Saturday, October 4, 2014

[Gambar] Warga emas berjaya terbangkan belon udara ke perut Bumi



[Gambar] Warga emas berjaya terbangkan belon udara ke perut Bumi | Seorang warga emas berjaya mencatatkan nama di dalam Guinness Book of Records selepas berjaya menjadi manusia pertama memandu belon udara panas ke dalam perut Bumi. Mail Online melaporkan, pakar penerbangan, Ivan Trifonov, 70, berjaya melakukan aksi itu di Gua Mamet di sini, yang memiliki kedalaman 205 meter dan lebar 60 meter, bulan lalu. Trifonov berkata, bagi memastikan usaha tersebut berjalan lancar, dia perlu mengubah suai reka bentuk belon udara berkenaan menjadi lebih kecil daripada saiz biasa, yang turut menyaksikan dia terpaksa duduk di atas tangki gas.

 "Peluang seperti ini berlaku sekali dalam seumur hidup. Ini satu ekspedisi yang amat sukar. Anda perlu pastikan belon udara dan cuaca baik. "Saya tidak rasa ada orang lain yang sanggup melakukan aksi berbahaya seperti ini lagi," jelasnya, sambil menambah usaha berkenaan mendapat bantuan daripada Lembaga Pelancongan Croatia. Ekspedisi pemanduan belon udara panas tersebut yang diinspirasi daripada buku Journey to the Centre of the Earth tulisan Jules Verne berlangsung selama 25 minit.


Trifonov sebelum ini pernah mencatat nama dalam Guinness Book of Records selepas memandu belon udara panas ke Kutub Selatan, Kutub Utara, merentasi Laut Mediterranean selain menjadi orang pertama berdiri, menyelam dan terbang di Kutub Utara dalam masa 12 jam. Sementara itu, Lembaga Pelancongan Croatia berharap aksi mencabar yang dilakukan oleh Trifonov dapat menarik perhatian ramai pelancong untuk datang ke negara ini bagi menikmati keindahan pemandangan. -AP




.

Review filem seram, 'Annabelle'



Review filem seram, 'Annabelle'  | BAGI anda yang pernah mengikuti filem ‘The Conjuring’ arahan James Wan tahun lalu, pasti masih merasai keseraman dan kejutan yang disuntik Wan di dalam filem ketujuhnya itu. ‘The Conjuring’ merupakan filem yang mengangkat tema seram, suspen dan ‘thriller’ yang jalan ceritanya dikatakan diangkat dari kisah sebenar kehidupan sebuah keluarga yang mengambil latar masa pada tahun 1970-an. Atas kejayaan filem tersebut yang mendapat kutipan pecah panggung sehingga RM600juta berbanding kos pembikinan filem yang dianggarkan sekitar RM60juta sahaja, James Wan sekali lagi bertindak sebagai penulis menggarap naskhah terbaru, Annabelle. Annabelle juga dikatakan di ambil dari kisah benar mengenai sebuah patung vintaj yang penuh misteri.

Bagaimanapun naskhah kali ini diarahkan oleh John R. Leonetti dan membariskan barisan pelakon seperit Annabelle Walli, Alfre Woodard, dan Eric Ladin. Annabelle mengisahkan kehidupan Mia dan John, sepasang suami isteri yang diganggu oleh makhluk halus yang dipercayai berpunca dari sebuah anak patung yang dibeli oleh John dan dibawa ke rumah. Beberapa kejadian pelik dan menyeramkan mulai menyelubungi kehidupan mereka. Biarpun trailer filem ini mampu menyuntik rasa seram dan memberi keinginan untuk anda menontonnya di pawagam, namun nasihat penulis, jangan meletak harapan yang tinggi. Ini kerana, kedua-dua kisah seram ini digarap oleh pengarah yang berlainan dengan cerita yang pelakon yang berlainan. Biarpun mempunyai kesan bunyi yang cukup membuatkan jantung anda berdebar, namun debaran dan kejutan itu tidak lama dan lebih mengecewakan keseluruhan filem ini berbeza dengan impak filem The Conjuring.


Plot boleh di agak 

Kelemahan utama filem ini adalah plot penceritaan yang sudah boleh di agak dari mula hingga akhir. Leonetti gagal mengekalkan kecemerlangan Wan menerusi Annabelle biarpun patung vintaj itu sendiri mempunyai satu kisah yang cukup kuat. Apatah lagi, dengan muka yang menakutkan, ia mampu membuatkan anda rasa meremang sekiranya merenung patung itu lebih lama.


Lakonan mantap 

Bagaimanapun mujur Leonetti mempunyai barisan pelakon yang cukup mantap dan meyakinkan dalam menjayakan watak masing-masing. Penghayatan watak yang cukup berjaya itu akan membuatkan anda masih merasa debaran itu walaupun tidak cukup kuat apabila melibatkan babak seram. Pujian juga harus diberikan kepada Walli yang berjaya melakonkan wataknya sebagai Mia dengan baik sekali. Bagi anda yang meminati filem seram dan pernah menonton The Conjuring, rasanya anda perlu untuk menonton filem ini di pawagam.



PENGARAH : John R. Leonetti 
PELAKON : Annabelle Walli, Alfre Woodard, dan Eric Ladin. 
GENRE : Seram 
DURASI : 1jam 35minit 
KLASIFIKASI : P13 
TAYANGAN : 02 Okt 2014 
KESELURUHAN : * * *





.

[Gambar] Kemalangan tragis menjelang hari raya qurban



[Gambar] Kemalangan tragis menjelang hari raya qurban | Dua maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di KM256.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan ke utara selepas Terowong Menora dekat sini. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Ghuzlan Salleh ketika dihubungi berkata kejadian yang berlaku lebih kurang 11 pagi Sabtu membabitkan beberapa buah kenderaan. "Setakat ini maklumat yang kita terima dua orang maut dan seorang lagi cedera parah," katanya. Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori treler, lori, kereta jenis Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna jenis Alza serta kereta jenis Honda City.


"Operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 15 orang," katanya. Jurucakap Plusline ketika dihubungi berkata lalu lintas di lebuh raya dari arah Ipoh masih mengalami kesesakan sepanjang 13 kilometer. Bagaimanapun lalu lintas kembali lancar selepas kawasan kejadian, katanya. Plus mencadangkan supaya pengguna lebuh raya menuju ke utara melencong kenderaan mereka keluar di plaza tol Ipoh Selatan dan masuk kembali di plaza tol Kuala Kangsar bagi meneruskan perjalanan. -Mstar



.

Punca 35,000 ekor walrus terdampar di pantai Alaska


Punca 35,000 ekor walrus terdampar di pantai Alaska | Sekurang-kurangnya 35,000 walrus terdampar di pantai Alaska susulan pencairan ais Artik yang berpunca daripada perubahan iklim, menurut pakar kaji cuaca, kelmarin. Jurucakap Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, keadaan tersebut telah berlaku sejak hampir enam hingga lapan tahun lalu disebabkan pemanasan global.


"Anak walrus yang terdampar di pantai terdedah kepada risiko kematian akibat dipijak dan kebiasaannya haiwan mamalia yang menyerupai anjing laut itu hanya akan keluar ke permukaan ais untuk makan,"katanya, dipetik dari laporan AFP. Sementara itu, Pegawai Penyiasatan dari udara Artik Marine Mamalia Megan Ferguson memberitahu, pada awalnya terdapat hanya 1,500 walrus yang terdampar, namun jumlah itu meningkat sehingga 24 kali ganda dalam beberapa hari. -AP




.

Anak kambing istimewa ini dinamakan sempena nama pemimpin



Anak kambing istimewa ini dinamakan sempena nama pemimpin | Seorang petani semalam menamakan anak kambingnya yang baru dilahirkan dengan dua kepala, ‘Wowi,’ sempena nama dua calon pilihan raya presiden negara itu Prabowo Subianto dan Joko Widodo (Jokowi). Petani berkenaan, Karsono berkata, dia berbuat demikian kerana tertarik dengan kedua-dua tokoh politik itu. “Wowi ialah lambang pemimpin. Walaupun pilihan raya sudah berlalu, saya masih kagum dengan kedua-dua mereka. Seperti Prabowo dan Jokowi, Wowi juga menarik perhatian orang ramai,” katanya.

Anak kambing berkenaan lahir 1 Oktober lalu dengan memiliki anggota badan yang normal, kecuali kepalanya. Lebih menarik lagi, setiap kepala itu mempunyai satu mata dan satu telinga sementara mulut dan hidungnya satu. Menurut Karsono, Wowi mulanya tidak sihat kerana enggan menghisap susu ibunya.

Ia memaksa petani itu memberikannya susu formula. “Saya menyusukannya setiap sejam. Untuk menguatkan Wowi, saya campurkan susu itu dengan telur ayam kampung,” kata petani itu. Karsono berkata, rezekinya bertambah selepas kelahiran Wowi kerana ada dalam kalangan penduduk kampung sekitar yang datang untuk melihat anak kambing itu turut memberi sumbangan wang. - Agensi




.

MEMBAKAR SYURGA MENGGUYUR NERAKA - HANA ILHAMI





MEMBAKAR SYURGA MENGGUYUR NERAKA - HANA ILHAMI | Sinonim dengan cara penulisan penulis ini pada novel-novelnya sebelum ini, kehadiran novel terbaru ini juga sememangnya juga turut berunsurkan penulisan islamik. Mengisahkan mengenai Najiha yang bersedia merealisasikan hasrat Dona, rakan karibnya, yang ingin memeluk agama islam sebelum dia meninggal dunia. Dona yang beragama Hindu itu sedang menderita sakit barah otak. Antara lain hasrat Dona adalah kepulangan Rahul, abangnya yang membawa diri ke luar negara sejak sekian lama.

Ya, Najiha memang berjaya memujuk Rahul pulang ke Malaysia. Tapi dia malah rasa sungguh-sungguh tidak selesa pula dengan lelaki ini. Kenangan pahit Rahul bersama bekas kekasih islamnya malah menjadikan dia punya pandangan berbeza pula dengan Najiha. Perdebatan dan pandangan Rahul terhadap Najiha mulai berubah saat dia melihat hubungan baik antara sahabat dan ketulusan hati Najiha yang benar-benar ingin membantu. Najiha berada dalam dilema apabila lelaki impiannya lebih diperlukan oleh Dona, dan kehadiran lelaki songsang yang mengharap cintanya. Bagaimana pula dengan Rahul yang sentiasa ada untuknya? Mampukah dia membina hidup baru dengan lelaki berlainan agama dan bersama meraih cinta Ilahi?


Tajuk : Membakar Syurga Mengguyur Neraka
Penulis : Hana Ilhami
Halaman : 840 muka surat
Harga : RM30/RM33




.

Jenazah Bonda, Datuk Seri Hishammuddin akan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas zohor



Jenazah Bonda, Datuk Seri Hishammuddin akan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas zohor | Bonda kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tun Suhailah Tan Sri Noah, 82, meninggal dunia pada kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat. Allahyarhamah yang juga balu kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara kerana sakit tua. Jenazah dibawa ke kediaman Allahyarham di No 19 Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku di sini, jam 1.40 pagi Sabtu dengan van jenazah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Allahyarham adalah kakak kepada Tun Rahah, iaitu ibu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Allahyarham dilahirkan pada 12 Februari 1948 meninggalkan tiga anak perempuan dan dua anak lelaki termasuk Hishammuddin. Allahyarham sebelum ini pernah menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran 'Tun' - Kerajaan Persekutuan (1990) dan Anugerah Sri Kandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM). Bapa Allahyarham, Tan Sri Mohammad Noah Omar adalah bekas Speaker Dewan Rakyat. Jenazah Allahyarham Tun Suhailah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat Zohor, pada Sabtu. Menurut kenyataan Pejabat Menteri Pertahanan, orang ramai boleh menziarah jenazah di kediaman Allahyarham di No 19, Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur bermula jam 9.00 pagi Sabtu. -Mstar




.

Lelaki nekad langgar kenalan hingga mati kerana salah faham dalam urusan jual lembu


Lelaki nekad langgar kenalan hingga mati kerana salah faham dalam urusan jual lembu | Gara-gara berselisih faham dipercayai dalam urusan penjualan lembu, seorang lelaki berusia 40 tahun bagaikan hilang pertimbangan apabila sanggup melanggar kenalannya sehingga maut di Jalan Jelapang, Kampung Jepalang, di sini, tiga hari lalu. Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, suspek memandu Proton Gen 2, nekad melanggar mangsa berusia 44 tahun, daripada Kampung Bukit Loyat, Chalok ketika itu sedang menunggang motosikal bersama dua lagi individu dipercayai dalam perjalanan pulang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, sebelum itu, suspek dan mangsa dikatakan telah bertengkar di sebuah kedai kopi berhampiran jambatan di kampung berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham. “Berdasarkan laporan pengadu, sejurus mendapat tahu suspek dan mangsa sedang bertengkar dia bergegas ke kedai kopi berkenaan bersama seorang kenalan berusia 43 tahun yang berasal daripada Kampung Jelapang dengan masing-masing menunggang motosikal.

”Semasa pengadu sampai, mereka (suspek dan mangsa) masih bertengkar. Bagi mengelakkan suasana semakin tegang, pengadu telah mengajak mangsa balik, namun semasa ingin tinggalkan kedai kopi itu suspek mengugut akan melanggar mangsa,” katanya. Katanya, pengadu bersama seorang lagi rakan dan mangsa kemudiannya menunggang motosikal bersendirian meninggakan kedai kopi berkenaan. “Bagaimanpun, semasa dalam perjalanan suspek yang memandu kereta terus melanggar mangsa serta kenalan pengadu.

“Akibatnya, kedua-duanya terpelanting di tengah jalan. Tidak cukup dengan itu, mangsa bergerak ke depan dan membuat pusingan semula( u-turn) lalu sekali lagi melanggar mangsa serta kenalan pengadu sebelum bertindak meninggalkan tempat tersebut,” katanya. Tambah Ab Rahman, kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Setiu oleh rakannya dengan bantuan orang kampung namun mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Seorang lagi mangsa cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Katanya lagi, polis menangkap suspek jam 8.20 malam pada hari kejadian dan merampas sebuah kereta Proton Gen 2 dan kes masih disiasat. -SH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!