Wednesday, October 15, 2014

Cara paling berkesan cegah jenayah babitkan pemandu teksi


Cara paling berkesan cegah jenayah babitkan pemandu teksi | MyTeksi, sistem aplikasi pencegahan jenayah, dilancarkan hari ini bagi membolehkan pembabitan pemandu teksi bertindak sebagai mata dan telinga polis dalam menangani jenayah. Menerusi aplikasi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan latihan dan taklimat kepada 500 pemandu teksi di ibu kota baru-baru ini, dan mereka akan menjadi penghubung antara masyarakat dan PDRM dalam memelihara keselamatan awam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pelancaran aplikasi itu adalah inisiatif dirangka melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS7) bersama-sama dengan pemandu teksi.

Beliau berkata, aplikasi MyTeksi boleh dimuat turun menerusi telefon pintar, selain boleh membantu penumpang mendapatkan perkhidmatan teksi, ia juga memudahkan pemandu teksi menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat di Lembah Klang apabila berlaku sesuatu insiden jenayah atau kemalangan. "Pemandu teksi yang terbabit diberi pendedahan daripada aspek keselamatan melalui sesi taklimat dan penerangan bagi membantu mereka memahami tanggungjawab dan peranan mereka," katanya pada majlis pelancaran Kolaborasi Strategik PDRM bersama MyTeksi di Dewan Theatrette Bukit Aman, di sini, hari ini.

"Saya diberitahu terdapat lebih 10,000 ahli syarikat MyTeksi di Lembah Klang dan berharap semua mereka boleh diberikan latihan berhubung aplikasi ini secara berperingkat," katanya. Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat MyTeksi, Adelene Foo, berkata sistem aplikasi yang diperkenalkan kepada pemandu teksi itu juga boleh membantu orang awam untuk melaporkan apa sahaja kemalangan atau insiden jenayah yang berlaku.

"Selain itu, fungsi butang 'Lapor kepada PDRM' dalam aplikasi MyTeksi itu juga dapat membantu keselamatan pemandu teksi yang mengambil antara 10 hingga 15 tempahan teksi dalam satu hari. "Dengan butang ini, pemandu teksi akan rasa lebih selamat ketika mengambil penumpang-penumpang yang tidak dikenali, pemandu MyTeksi boleh membuat laporan kepada PDRM dengan hanya dua klik di dalam aplikasi tersebut," katanya. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun. - Bernama




.

Hukuman paling wajar buat wanita yang tiduri suami orang?



Hukuman paling wajar buat wanita yang tiduri suami orang? | Dia dibogelkan secara paksa dan dipukul tanpa belas kasihan oleh sekumpulan wanita di jalan raya yang sibuk. Bukan saja polis tidak datang membantu, malah orang ramai juga tidak campur tangan ketika kumpulan wanita berkenaan menendang celah kelangkang dan payu dara Lin Yao Li, 38, walaupun dia meraung kesakitan. Saksi berkata, Lin tidak layak dibantu kerana dia tidur dengan suami orang. Ia kejadian terbaru seumpamanya di China yang menyaksikan wanita dimalu dan dipukul di khalayak ramai kerana menjadi punca lelaki bersikap curang terhadap isteri.

Dalam kejadian kelmarin, Lin diserbu empat wanita ketika berjalan pulang dari membeli-belah di Puyang, wilayah Henan, di timur China. Dengan menumbuk dan menendangnya sehingga Lin terjatuh sambil meraung kesakitan, penyerangnya kemudian menanggalkan pakaiannya sebelum memukulnya lagi, menarik rambut dan menendang celah kelangkang dan payu daranya. Serangan ganas itu dikatakan dirancang oleh isteri lelaki yang didakwa tidur dengan Lin. Dia dibantu tiga rakannya.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian hanya memerhatikannya. Seorang lelaki tempatan, Jun Feng, 30, yang membantu Lin selepas penyerangnya meninggalkan tempat itu memberitahu stesen televisyen tempatan: "Kejadian ini sudah menjadi perkara biasa. "Isteri dan teman wanita membalas dendam terhadap lelaki mereka dengan menyerang wanita lain. Orang ramai tidak berminat membantu." Lin yang calar-balar dan lebam kemudian dibawa ke hospital selepas merayu dipanggilkan ambulans.-Agensi




.

Pesawat terpaksa mendarat cemas, disebabkan dinding kabin merekah


Pesawat terpaksa mendarat cemas, disebabkan dinding kabin merekah  | SEBUAH pesawat American Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas apabila dinding kabinnya mula merekah sehingga menggerunkan penumpang yang melihatnya. Salah seorang penumpang, James Wilson berkata, penumpang dalam penerbangan pada Isnin dari San Francisco ke Dalles menyedari sesuatu tidak kena berlaku apabila mereka merasakan badan pesawat mula bergegar dan bunyi kuat dapat didengari dari luar Boeing 757 sejurus selepas berlepas. Keadaan itu menjadi tanda tanya sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan penumpang yang bimbang pesawat itu akan terhempas kerana panel bahagian dalamnya di kedua-dua belah kabin merekah dari dindingnya.

Mereka kemudiannya merasai terdapat perubahan tekanan dalam kabin kemungkinan disebabkan oleh kebocoran saluran udara. Wilson dari Kyle, Texas, memberitahu Associated Press: "Ia (rekahan) melibatkan seluruh baris 14 di kedua-dua bahagian, dari lantai ke siling." Dia memberitahu ABC7: "Tiba-tiba (kami dengar) bunyi bising... pop, pop, pop... bunyinya sangat kuat dan bunyi seperti rekahan. Ia kedengaran seperti bola boling yang jatuh dari atas tempat susunan pin. "Ia sangat menakutkan. Kami tidak tahu apakah yang telah berlaku. "Kami semua menjerit kepada kru kabin, "Datang sini lihat dinding sedang merekah!"

Walaupun menjadi kebimbangan para penumpang, kapten juruterbang membuat pengumuman bahawa Penerbangan 233 akan meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth kerana tekanan kabin stabil. Bagaimanapun, juruterbang itu kemudiannya mengubah fikiran selepas keluar dari kokpit dan melihat sendiri kerosakan yang berlaku. Pesawat itu berpatah balik dekat sempadan California-Nevada dan membuat pendaratan cemas di San Francisco.

Pasukan bomba dan penyelamat bersiap sedia menunggu di landasan terbang sewaktu pesawat tersebut melakukan pendaratan. Bagaimanapun, kesemua 184 penumpang dan enam kru yang menaiki pesawat berkenaan tidak mengalami kecederaan. Pesawat itu kemudiannya dibawa untuk pemeriksaan dan pembaikan. Persekutuan Pentabiran Penerbangan Amerika Syarikat berkata, ia akan melakukan siasatan bersama dengan American Airlines bagi mengesan dan menyelesaikan masalah yang berlaku sebelum pesawat itu boleh diterbangkan semula. -AP




.

Nelayan terkejut, pukatnya tertangkap sejenis makhluk aneh



Nelayan terkejut, pukatnya tertangkap sejenis makhluk aneh  | SEJENIS makhluk aneh umpama timbunan cacing atau sotong ditemui nelayan pantai dalam Singapura baru-baru ini. Ong Han Boon, 54 ketika itu berada di lokasi penangkapan ikan yang digemarinya iaitu di kawasan Pulau Sentosa dengan harapan memperoleh hasil lumayan. Sementara menunggu pukatnya dipenuhi tangkapan, dia berehat sambil menikmati minuman di botnya apabila dikejutkan dengan pergerakan pada pukatnya.

"Saya dapat mengesan ada sesuatu yang menyebabkan tali pukat itu bergerak dan sebaik menariknya keluar dari air, saya terkejut dengan apa yang saya lihat. Makhluk itu kelihatan mempunyak hampir 100 sesungut umpama tangan seperti sotong atau tapak sulaiman yang bergerak-gerak. "Saya pernah beberapa kali menemui sesuatu yang pelik, tetapi bukan dari laut. Bagaimanapun, makhluk seperti ini memang tidak pernah saya lihat sebelum ini. "Ia kelihatan seperti alien atau mutan," katanya.

Han Boon memuatnaik video makhluk aneh itu dengan harap ada pihak yang akan tampil memaklumkan apa sebenarnya yang masuk ke pukatnya itu. "Saya sudah bertanya kawan-kawan tetapi tiada sesiapa yang tahu, manakala pencarian menerusi Internet juga belum mendapat sebarang jawapan. "Jadi, jika tiada siapa yang dapat memberitahu apa sebenarnya yang saya tangkap, mungkin ia makhluk asing atau saya menemui spesis mutan hidupan laut," katanya. -AP



.

Ngeri.. Lelaki maut digilis komuter



Ngeri.. Lelaki maut digilis komuter | Seorang lelaki maut selepas dilanggar komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) di landasan Simpang Batu Segambut dekat sini, awal pagi ini. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, buat masa ini identiti lelaki itu masih belum dapat dikenal pasti. Katanya, mangsa mengalami kecederaan serius apabila putus kedua belah kaki daripada bahagian paha akibat digilis komuter terbabit. "Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa. "Siasatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa berkenaan," katanya. -Metro




.

Lelaki kejam dedahkan bagaimana dia melakukan upacara penyembahan syaitan keatas mangsanya



Lelaki kejam dedahkan bagaimana dia melakukan upacara penyembahan syaitan keatas mangsanya | Seorang lelaki yang menggunakan nama sempena nama syaitan dalam filem 'The Exorcist' adalah antara tiga orang yang ditangkap di Carolina Utara atas tuduhan membunuh. Mereka ditangkap selepas polis menemui rangka dua mangsa mereka dalam kubur cetek di belakang sebuah rumah di Clemmons, tempat jiran berkata Pazuzu Illah Algarad, 35, sering mengadakan upacara penyembahan syaitan.

Seorang jiran mendakwa dia memberitahu semua orang mengenai mayat itu tetapi tidak seorang pun mempercayainya. Algarad juga menceritakan bagaimana dia membunuh mangsa, makan sebahagian mayatnya dan membakar bakinya dalam unggun api. Amber Nicole Burch, 24, yang tinggal bersama-sama Algarad dan dikatakan isterinya dalam Facebook, juga menghadapi tuduhan membunuh sementara Krystal Nicole Matlock, 28, ditahan kerana membantu menanam mayat itu.

Mangsa pertama dikenali sebagai Joshua Fredrick Wetzler, 37, sementara kedua, Tommy Dean Welch, 36. Menurut laporan, Algarad dilahirkan di San Francisco sebagai John Alexander Johnson, tetapi ibunya, Cynthia Lawson, juga pemuja syaitan menukar namanya kepada Pazuzu Algarad atas alasan agama. 'Pazuzu' adalah nama syaitan yang merasuk budak perempuan dalam filem 'The Exorcist' dan mendakwa berketurunan Iraq.

Pada pintu depan rumah Algaerad yang dimiliki ibunya, terdapat papan tanda memberi amaran supaya polis tidak memasukinya serta lambang tengkorak. Di bawahnya tertera perkataan bermakna 'Kejahatan akan menang.' Ketika dihadapkan ke mahkamah semalam, Hakim Daerah Forsyth Gordon Miller memberitahu tertuduh bahawa mereka akan dihukum penjara seumur hidup jika didapati bersalah. Ketiga-tiganya akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 23 Oktober depan. - Agensi

Tragis.. Lelaki dirempuh kereta sendiri selepas solat



Tragis.. Lelaki dirempuh kereta sendiri selepas solat | Dua lelaki berusia 55 tahun yang sedang berehat di bangku perhentian bas selepas selesai menunaikan solat Zuhur cedera dirempuh sebuah kereta Perodua Viva di Kampung Pulau Kerengga, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi. Kejadian itu dikatakan berpunca apabila sebuah Proton Gen2 dari arah Kuala Terengganu ke Dungun terbabas lalu melanggar sebuah kereta Perodua Viva yang diparkir di hadapan perhentian bas berkenaan menyebabkannya bergerak lalu merempuh empat lelaki itu.

Insiden itu menyebabkan mangsa, Musa Ngah yang juga pemilik Perodua Viva itu terperosok di bawah kenderaannya dan seorang lagi mangsa, Ibrahim Muda tercampak dari bangku. Musa yang parah di kepala dan badan kini koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu manakala Ibrahim yang cedera di dada hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan. Dua lagi rakan mereka yang berada di tempat kejadian bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. -Metro



.

Sekumpulan kanak-kanak menempuh detik cemas apabila terperangkap ketika memancing di tebing parit



Sekumpulan kanak-kanak menempuh detik cemas kira-kira sejam apabila terperangkap ketika memancing di tebing parit bawah sebuah jambatan akibat air melimpah di Indahpura, di sini petang semalam. Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, semua mereka yang berusia antara lapan hingga 14 tahun itu berjaya diselamatkan pihak bomba. Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Firdaus Juritah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 4 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sebuah jentera bersama sembilan pegawai operasi dan anggota bergegas ke lokasi dan operasi menyelamat berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. "Semua kanak-kanak yang berteduh ketika hujan di bawah jambatan sebelum terperangkap berikutan paras air yang naik mendadak itu berjaya diselamatkan dan operasi ditamatkan pada jam 4.55 petang," katanya. Semua mangsa itu hanya dikenali sebagai Mohd Nor Haikal, 8; Mohd Aqasha Rashid, Fazril Fahmi, Ahsani Taqwin, Mohamad Shahrul Arifin dan Muhamad Nor Fikri yang berusia 13 tahun serta Muhammad Azrol Ashrad, 14. -BH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!