Thursday, October 16, 2014

(WHO) Minuman tenaga mengandungi gula dan kafein wajar dihentikan kerana mengundang bahaya pada kesihatan


(WHO) Minuman tenaga mengandungi gula dan kafein wajar dihentikan kerana mengundang bahaya pada kesihatan | Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, penjualan minuman tenaga yang mengandungi gula dan kafein wajar dihentikan kerana produk tersebut boleh mengundang bahaya kepada kesihatan kanak-kanak dan golongan belia. Menurut laporan portal Mail Online, berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh Pejabat WHO di Eropah, peraturan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan dua pertiga daripada individu berusia 10 hingga 18 tahun sering mengambil minuman tenaga seperti Redbull dan Monster.

Ketua kajian, Dr. Joao Breda dalam penulisannya berkata, kanak-kanak dan remaja yang mengambil minuman tenaga mengandungi kafein, tinggi berisiko mengalami kesan buruk terhadap kesihatan dan perkembangan tubuh. Jelas Breda, antara penyakit yang boleh dihidapi akibat pengambilan kafein secara berlebihan adalah peningkatan kadar denyutan jantung, sawan dan kematian selain meningkatkan risiko menghidap diabetes Jenis 2. Tambahnya, golongan yang kerap mengambil minuman tenaga mengundang masalah kesihatan lain seperti kemurungan dan ketagihan.

"Kesan menyeluruh ke atas peningkatan jumlah pengambilan minuman tenaga masih belum dikumpulkan, tetapi pemasaran secara agresif penjualan produk berkenaan dalam kalangan golongan muda tanpa pemantauan dan larangan, boleh mengundang masalah kepada kesihatan umum pada masa hadapan. "Saya menggesa pihak bertanggungjawab di setiap negara mengenakan larangan penjualan minuman bertenaga kepada kanak-kanak dan golongan berusia bawah 18 tahun," katanya. Beberapa negara Eropah termasuk Denmark dan Turki mengharamkan penjualan produk minuman tenaga, manakala negara seperti Sweden menetapkan hanya pembeli berusia 15 tahun ke atas boleh menggunakan produk terbabit. -AP




.

Kejar ribut dan puting beliung semata-mata ambil gambar pemandangan yang menakjubkan


Kejar ribut dan puting beliung semata-mata ambil gambar pemandangan yang menakjubkan  | Seorang jurugambar dan isterinya sanggup berdepan bahaya dengan mengejar ribut dan puting beliung semata-mata untuk merakamkan gambar pemandangan yang menakjubkan itu, lapor MailOnline kelmarin.


Jurugambar tersebut, Nicolaus, 34, dan Daow Wegner, 32, berkata, mereka tidak gentar untuk berada berdekatan cuaca buruk berkenaan kerana ia sering memberikan imej yang menakjubkan. Nicolaus berkata, mereka menggunakan alatan kaji cuaca untuk meramal di mana ribut atau puting beliung akan berlaku sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.


“Saya cuba mengambil gambar secepat mungkin sebelum ribut menghampiri kami dan keadaan sangat bahaya jika ada kilat berhampiran kami,” katanya. Menurut Daow, pada mulanya dia berasa sangat gementar tetapi akhirnya perasaan itu bertukar menjadi sangat mengujakan. “Pengalaman ini sangat mengujakan dan saya cuba menikmati situasi ini sebaik mungkin,” jelasnya. – Agensi




.

Komet Yang Telah Mengembara 1 Juta Tahun Kembali Melintasi Marikh Ahad Ini



Komet Yang Telah Mengembara 1 Juta Tahun Kembali Melintasi Marikh Ahad Ini  | Komet yang telah mengembara melintasi planet Marikh satu juta tahun dahulu kini akan kembali membuat satu lagi lintasan pada Ahad ini, demikian menurut Agensi Angkasa Lepas Amerika (Nasa). Yang menariknya menurut Nasa, komet ini yang dikenali sebagai Siding Spring (C/2013 A1) hanya akan kembali sejuta tahun akan datang. Ia mempunyai kelebaran 1.6 kilometer dan bergerak pada kepantasan 202,000 kilometer sejam. Komet ini tidak mempunyai permukaan yang pejal melainkan timbunan bagaikan bedak talkum sahaja. Siding Spring akan menghampiri planet Marikh pada jarak 139,500 kilometer (88,000 batu) iaitu sangat hampir dengan permukaan planet menurut kiraan astrologi.

Dan jika komet ini melintasi bumi, ia akan berlaku pada kedudukan sepertiga daripada jarak bumi dengan bulan.Siding Spring dijadualkan menghampiri planet Marikh pada jam 2.27 petang (1827 waktu GMT) pada Ahad ini, 19 Oktober, jelas Nasa dalam satu kenyataan. Bagaimanapun ia tidak akan bertembung dengan planet merah itu. Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga Nasa telah mengerakkan kesemua orbiternya jauh dari laluan komet tersebut untuk mengelak daripada terkena sebarang serpihan. Tiga kapal angkasa Nasa iaitu Mars Reconnaissance Orbiter, Mars Odyssey dan MAVEN telah digerakkan ke satu kawasan yang blebih selamat dan jauh dari jarak laluan komet berkenaan.

Nasa juga berharap dua buah rovernya di atas planet Marikh iaitu Curiosity dan Opportunity akan dapat merakamkan komet berkenaan ketika ia melintasi planet tersebut nanti.Komet The comet Siding Spring ditemui oleh Robert McNaught ketika dia sedang melakukan pemantauan angkasa lepas di Pusat Cerapan Siding Spring di Australia pada Januari tahun lalu. Komet ini dipercayai berasal dari Debu Oort berbilion tahun dahulu dan tidak berubah bentuk sehingga sekarang.


Carey Lisse, pakar kajian bintang dari Balai Cerapan Fizik Tulen Universiti Johns Hopkins berkata, satu perkara mengenai keunikan komet ialah ia masih lagi bergerak dan mengembara mengelilingi matahari sejak empat setengah bilion tahun yang lalu.Salah satu daripada sebab mengapa komet masih 'hidup' kerana ia mengembara jauh dari matahari ke kawasan gelap dan oleh yang demikian kekal beku pada kebanyakan masa. Komet Siding Spring katanya secara relatifnya bersaiz kecil dan hanya dipenuhi dengan debu bagaikan bedak talkum. Ia tidak akan kembali ke sini dalam tempoh satu juta tahun lagi sebaik sahaja melengkapkan putarannya mengelilingi matahari selepas melintasi Marikh. -AP



.

Wanita yang mati kerana kanser ini memilih majlis pengebumian yang pelik



Wanita yang mati kerana kanser ini memilih majlis pengebumian yang pelik | Seorang wanita, Annette Maunder, yang mati akibat kanser bulan lalu memilih 'majlis pengebumian' lain daripada yang lain apabila mahu abu mayatnya dijadikan bunga api dan diletupkan di udara. Annete, 55, sempat membincangkan idea berkenaan bersama suaminya, Gary - bekas anggota tentera laut - dan dia kini berusaha memenuhi permintaan terakhir wanita itu. Dia menghubungi syarikat bunga api, Heavenly Stars Fireworks, yang mengambil masa dua minggu untuk membuat 250 bunga api khas berkenaan. Abunya dicampurkan dengan belerang dan dimasukkan dalam bunga api yang bakal menghasilkan letupan pelbagai bentuk termasuk bunga dan ekor naga.

Acara melepaskan abu Annette ke udara itu dijadualkan bulan depan di Devonport Park di Plymouth, Devon. "Pasti Annette menyukainya. Memang inilah cara terbaik untuk mengucapkan selamat tinggal daripada kami semua. "Berkahwin dengannya sepanjang 13 tahun lalu adalah tempoh paling bahagia dalam hidup saya. Malangnya dia akhirnya kalah kepada kanser. "Annette begitu unik, tiada yang lain sepertinya," kata Maunder. Pameran bunga api itu dianggarkan selama dua minit dengan disaksikan keluarga dan sahabat terdekat Annette di taman berkenaan. Menurut Maunder secara kebetulan, acara itu juga diadakan serentak dengan ulang tahun ke-60 sahabat karibnya, Joan, yang banyak memberi sokongan kepada Annette sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.

"Kami semua teruja dan tidak sabar menanti hari istimewa itu," katanya. Jurucakap rumah pengebumian Cooperative Funeral Care Service Hayley Pell berkata, pihaknya menjual bunga api berkenaan bagi pihak Heavenly Stars. "Kebanyakan budaya di seluruh dunia melihat majlis pengebumian sebagai detik yang merapatkan hubungan sesama masyarakat dengan meraikan kehidupan yang pernah dilalui orang yang mereka sayangi.

"Itulah pendekatan diambil Maunder dan kami berharap dapat memenuhi permintaannya serta Annette melalui acara ini. "Ia cara yang begitu indah untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. "Acara itu akan dihadiri bukan saja Maunder malah juga sahabat serta keluarga terdekat mereka, selain pihak kami serta paderi yang akan membantu memastikan segalanya berjalan dengan sempurna," katanya. Jurucakap Heavenly Stars Fireworks berkata, kaedah itu semakin popular untuk majlis pengebumian. -AP




.

Lagak pemuja nombor ekor melakukan wayang kulit atas kubur mengejutkan penduduk sekitar



Lagak pemuja nombor ekor melakukan wayang kulit atas kubur mengejutkan penduduk sekitar | "Sekiranya diperhatikan lagaknya, tidak ubah seperti bermain wayang kulit, namun lokasinya tidak sesuai kerana ia dimainkan di atas kubur, bukannya di padang dan mempunyai penonton. "Begitulah lagak pemuja nombor ekor di kubur pahlawan melakukan perbuatan khurafat dengan menggunakan teknik seperti bermain wayang kulit," kata Mohd Kamal Salim, 57, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Telemong. Menurutnya, Kubur Pahlawan Perang Padang Kachung mempunyai sejarah tersendiri apabila 12 pahlawan yang menentang British pada 1928 terkorban dan disemadikan di dalam satu liang lahad. Katanya, penentangan berlaku akibat ketidakpuasan hati penduduk apabila British ingin menaikkan cukai.

"Jasad 12 pejuang terbabit iaitu Muhamad Mat Din, Lebai Abdul Rahman, Idris Muhamad, Muhamad Yunus, Abdullah Muhamad, Ismail Ali, Muhamad Jusoh, Muhamad Idris, Muhamad Abdullah, Abdul Hamid Ismail, Mamat Musa dan Sulaiman Salleh disemadikan dalam satu liang lahad. "Sebelum pembinaan Masjid Kampung Kuala Telemong yang baru pada 1986, kedudukan kubur berkenaan terletak bersebelahan alur sungai. "Namun, apabila masjid berkenaan siap dan alur sungai pula dialihkan ke laluan lain menjadikan kubur itu terletak berhadapan masjid kampung terbabit," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Telemong, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini banyak berlaku kejadian individu yang datang untuk memuja nombor ekor dan hajat di atas kubur berkenaan. Katanya, selepas kubur itu termasuk dalam kawasan pembinaan masjid baru, aktiviti terbabit berkurangan dengan terakhir pada pertengahan tahun lalu apabila tiga individu berusia 40-an dilihat memuja nombor ekor di atas kubur berkenaan. Mohd Kamal berkata, walaupun menyedari penduduk kampung melalui kawasan itu, namun ketiga-tiga lelaki terbabit tetap berdegil dan meneruskan perbuatan khurafat dengan menyalakan lilin dan di bahagian hadapan pula dibentangkan kain putih seperti bermain wayang kulit selain mereka turut menyalakan colok sembahyang.


"Dalam kejadian terbaru pula, penduduk menemui satu sudu serta garpu tertinggal di atas kubur berkenaan dan sekiranya difikirkan, ia berkemungkinan digunakan untuk menulis nombor ekor pada tanah ketika pemujaan dilakukan. "Saya menasihati individu yang mempunyai niat tidak baik supaya tidak melakukan perbuatan khurafat di atas kubur berkenaan kerana ia bukannya tempat mencari jalan pintas bagi mendapatkan kekayaan," katanya. Bekas Imam Masjid Kampung Kuala Telemong Abdul Rahman Abdullah, 69, berkata, sebelum pembinaan masjid baru, kubur berkenaan terletak di kawasan yang agak sunyi dan pada waktu malam, tiada penduduk lalu di kawasan itu.

"Ia membolehkan individu tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti khurafat dan selepas pembinaan masjid baru, kubur berkenaan termasuk di kawasan masjid. "Namun, masih juga berlaku perbuatan itu, bagaimanapun tidak seperti sebelumnya kerana kawasannya dipagar dan terletak di dalam pekarangan masjid. "Saya berharap individu berkenaan tidak mencemari kesucian masjid dengan melakukan perbuatan keji sedangkan kubur terbabit hanya menyemadikan jasad manusia yang tidak perlu dipuja bagi mendapatkan sesuatu hajat," katanya yang menjadi imam di kampung itu selama 31 tahun.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Rozali Salleh berkata, pihaknya memantau keadaan itu dan pelaku boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. "Saya menasihati individu yang melakukan perbuatan itu supaya bertaubat kepada Allah kerana bermain nombor ekor itu adalah dosa. Selain itu, berdamping dengan meminta bantuan daripada makhluk juga adalah dosa besar," katanya. -Metro




.

Seorang jururawat disyaki bunuh 38 pesakit hanya kerana sikap pesakit atau keluarga mereka menyakitkan hatinya



Seorang jururawat disyaki bunuh 38 pesakit hanya kerana sikap pesakit atau keluarga mereka menyakitkan hatinya | Seorang jururawat di sebuah hospital di sini disyaki membunuh 38 pesakit selepas dituduh menyuntik seorang daripadanya menggunakan kalium klorida hanya kerana sikap pesakit atau keluarga mereka menyakitkan hatinya. Daniela Poggiali ditahan di Lugo, utara Itali selepas kematian mengejut pesakit berusia 78 tahun yang dimasukkan ke hospital kerana demam biasa. Berikutan kejadian itu, polis Itali sedang menyiasat dan memperluaskan skop membabitkan kematian 38 pesakit kerana disyaki dibunuh jururawat itu.

Terdapat laporan yang menyebut dia dipercayai membunuh pesakitnya menggunakan kalium, manakala seorang rakan sekerjanya pula memberitahu, Daniela pernah memintanya merakam gambarnya bersebelahan seorang pesakit yang baru meninggal dunia. Jururawat berusia 42 tahun itu juga pernah secara berseloroh mahu memberikan kalium klorida kepada seorang pesakit yang tenat. Daniela juga didakwa pernah memberi ubat pelawas buang air besar kepada pesakit sebelum menamatkan syifnya kerana dengan sengaja mahu menyusahkan rakan sekerja pada syif seterusnya.

Wanita ini menjadi suspek berikutan siasatan kes kematian mengejut pesakit di bawah jagaannya, Rosa Calderoni, 78, April lalu. Ujian menunjukkan saluran darah pesara itu mengandungi sejumlah besar kalium klorida di mana jika ia diberi dalam dos tinggi boleh menyebabkan serangan jantung. Bahan itu digunakan ke atas banduan yang menjalani hukuman mati di Amerika Syarikat. Ketua Pendakwa Raya Alessandro Mancini memberitahu sidang akhbar, pihaknya berdepan dengan kesukaran dalam siasatan ke atas Daniela. -AP




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!