Sunday, November 2, 2014

Punca Wanita Ditembak Mati Di Perkarangan Stadium Emirates



Punca Wanita Ditembak Mati Di Perkarangan Stadium Emirates | SEORANG wanita dilaporkan telah ditembak mati di perkarangan stadium milik pasukan Arsenal pada pagi Sabtu. Wanita itu dikatakan telah ditembak seorang lelaki berusia 38 tahun, beberapa jam sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris melibatkan pertemuan antara Arsenal menentang Burnley. Pasukan perubatan yang menemui mangsa memberitahu, keadaan wanita terbabit tenat akibat kecederaan parah selepas ditembak. Mereka gagal menyelamatkan mangsa yang kemudian disahkan mati di lokasi kejadian. Jurucakap Polis Metropolitan berkata," pada peringkat awal kita percaya suspek yang ditahan dan mangsa saling mengenali." Dalam perlawanan pada sebelah petang di Stadium Emirates, Arsenal berjaya menewaskan Burnley 3-0. -AP




.

Buat pertama kali, pasukan penyiasat percaya mereka telah menemui serpihan pesawat yang telah hilang sejak 1937



Buat pertama kali, pasukan penyiasat percaya mereka telah menemui serpihan pesawat yang telah hilang sejak 1937 | Buat pertama kali, pasukan penyiasat percaya kepingan aluminium yang ditemui di sebuah kawasan terpencil di Lautan Pasifik, merupakan serpihan kapal terbang milik Amelia Earhart yang terhempas ketika melakukan percubaan mengeliling dunia melalui garisan Khatulistiwa pada 2 Julai 1937. Laman web Fox News melaporkan, aluminium berkenaan yang ditemui pada 1991 di Nikumaroro, sebuah kawasan terumbu karang yang tidak berpenghuni di Republik Kiribati merupakan serpihan kapal terbang dua enjin Lockheed Electra milik Earhart.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Sejarah Pemulihan Kapal Terbang Antarabangsa (TIGHAR) yang melakukan kajian tentang penerbangan Earhart sejak 77 tahun lalu itu, Ric Gillespie berkata, serpihan aluminium berkenaan telah dicantum dengan kepingan logam ketika kapal terbang terbabit mendarat di Miami, yang juga merupakan perhentian keempat sebelum penjelajahan mengelilingi dunia diteruskan. Kata Gillespie, berdasarkan gambar yang diambil oleh Miami Herald pada 1 Jun 1937, dapat dilihat kepingan aluminium yang sudah dicantum dengan logam itu ditampalkan di pintu kapal terbang.

Ujarnya, bagi mendapatkan kepastian, TIGHAR turut menjalankan ujian di Pusat Perkhidmatan Udara Wichita di Newton, bagi membandingkan kepingan aluminium berkenaan dengan komponen asal kapal terbang Lockheed Electra. “Kepingan yang ditemui di Nikumaroro mempunyai corak dan ciri-ciri sepadan dengan struktur kapal terbang Lockheed Electra. Ini merupakan kali pertama penemuan berkenaan dikaitkan dengan Amelia Earhart,” ujar Gillespie. Penemuan terbaharu ini membuktikan kapal terbang milik Earhart dan pembantunya Fred Noonan tidak terhempas di Lautan Pasifik, sebaliknya mereka mungkin kehabisan minyak dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Nikumaroro berhampiran Pulau Howland. -AP




.

Peminat sebuah pasukan bola sepak terkemuka kini disediakan tanah perkuburan khas



Peminat sebuah pasukan bola sepak terkemuka kini disediakan tanah perkuburan khas | Peminat sebuah pasukan bola sepak terkemuka di Brazil kini boleh menunjukkan kesetiaan mereka hingga mati apabila kelab itu mengesahkan rancangan mewujudkan tanah perkuburan untuk penyokongnya. Kelab Corinthians yang berpusat di Sao Paulo berkata, ia menyediakan 70,000 plot kubur untuk peminatnya di tanah perkuburan yang diberi nama ‘Corinthians Forever’ yang dijangka dibuka pada 2015.

Kompleks perkuburan yang luas itu juga akan menjadi tempat persemadian pemain legenda kelab berkenaan. Sehubungan itu, kubur sehingga 100 tokoh yang diiktiraf Corinthians akan dipindahkan ke tanah perkuburan baru itu. Setiap plot itu dijual dengan harga antara RM6,000 hingga RM10,000, bergantung kepada saiz dan kedekatannya dengan idola kelab. Corinthians antara kelab terkenal di Brazil, memenangi kejuaraan kebangsaan lima kali sepanjang 104 tahun sejarah mereka dan dua kali Piala Kelab Dunia FIFA. Antara pemain ternama mereka ialah Socrates, bekas kapten Brazil yang bermain untuk kelab berkenaan antara 1978 dan 1984. Dia meninggal dunia pada 2011. - Agensi





.

Lelaki sanggup curi kereta mewah setiap bulan untuk gembirakan kekasih


Lelaki sanggup curi kereta mewah setiap bulan untuk gembirakan kekasih | Polis semalam menahan seorang lelaki yang mencuri sebuah kereta mewah setiap bulan hanya untuk menggembirakan teman wanitanya. Penangkapan itu dibuat selepas polis menahan teman wanita lelaki berkenaan memandu sebuah kereta curi. Apabila disoal, wanita itu berkata, kereta berkenaan hadiah daripada teman lelakinya. Dia juga memberitahu teman lelakinya memberinya kereta mewah berlainan setiap bulan.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila diberitahu kereta dipandunya itu kereta curi. Akhbar Al Watan melaporkan, wanita itu memberikan maklumat teman lelakinya yang membolehkan lelaki itu ditangkap. Lelaki itu ketika disoal siasat mengaku memberitahu teman wanitanya bahawa dia jutawan. Untuk meyakinkan kekasihnya, dia mencuri kereta mewah setiap bulan untuk diberikan kepadanya. - Agensi




.

Warga emas nyaris maut selepas bakar rumah sendiri



Warga emas nyaris maut selepas bakar rumah sendiri | Seorang warga emas nyaris maut selepas dia membakar rumah yang didiaminya di Desa Selatan, Jelutong di sini pagi semalam. Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata, lelaki berusia 60-an itu yang dipercayai mempunyai masalah mental dapat diselamatkan jirannya selepas rumahnya di tingkat tiga pangsapuri berkenaan terbakar.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan mengaku membakar kediamannya dengan membakar kertas sehingga menyebabkan api merebak.
"Bagaimanapun tindakan pantas jiran-jirannya telah berjaya menyelamatkan lelaki itu dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. - Bernama



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!