Monday, November 3, 2014

Boleh kahwin walaupun tanpa suami?



Boleh kahwin walaupun tanpa suami? | Sebuah syarikat di Jepun menawarkan khidmat mengadakan ‘perkahwinan solo’ untuk wanita bujang. Khidmat yang disediakan itu termasuk membolehkan wanita berkenaan melalui dua hari penuh seperti bakal pengantin perempuan lain, dari memilih pakaian pengantin, memilih bunga, mendandan rambut dan mekap hingga memilih lelaki yang akan menemaninya untuk bergambar. Syarikat berkenaan, Cera Travel di Kyoto berkata, setakat ini 10 wanita bersetuju menjalani perkahwinan sedemikian yang dikhususkan kepada wanita yang obses untuk hidup berdikari dan tidak bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga tetapi mempunyai impian untuk merasai pengalaman menjadi pengantin.

Bagaimanapun, kosnya tidaklah semurah yang disangka walaupun seorang pengantin saja yang terlibat. Menurut jurucakap syarikat terbabit, ia mengenakan bayaran kira-kira RM8,900 untuk setiap peserta. Seorang ahli perniagaan wanita dipetik sebagai berkata, dia menjalinkan hubungan dengan lelaki selama beberapa tahun tetapi belum ada lagi lamaran diterima. Kerana teringin sangat untuk memakai baju pengantin, dia memilih ‘perkahwinan solo’ dan mendakwa, majlis yang diadakan cukup hebat. Perkhidmatan itu juga menyasarkan wanita yang sudah bercerai yang mahu merasakan diri mereka masih istimewa. -AP




.

Dituduh anggota militan, mayatnya dibakar dan cebisan dagingnya yang rentung dimakan



Dituduh anggota militan, mayatnya dibakar dan cebisan dagingnya yang rentung dimakan | Penduduk sebuah kampung di Congo menyerang dan membunuh seorang lelaki yang disyaki sebagai anggota kumpulan militan. Insiden berlaku berhampiran bandar Beni, selepas penduduk menangkap lelaki berkenaan kerana berkelakuan mencurigakan. Ketika ditangkap, lelaki tersebut didapati membawa parang dan tidak mampu bertutur dalam bahasa tempatan.

Sebaik disoal siasat, mangsa dipukul sehingga mati sebelum mayatnya dibakar. Saksi berkata, penduduk yang gagal mengawal perasaan bertindak memakan cebisan daging mangsa yang rentung. Menurut Daily Mail, tindakan penduduk itu sebagai membalas dendam di atas kematian lebih 100 orang akibat serangan militan ADF-NAUL. -AP




.

Ini memang luar biasa.. Gunung berapi berlava biru?



Ini memang luar biasa.. Gunung berapi berlava biru? | Pelik tetapi ajaib! Gunung berapi biasa mungkin mengeluarkan lava merah panas dalam keadaan aktif. Namun bagi Gunung Berapi Ijen yang terletak di Jawa Timur Indonesia, gunung ini mempunyai pemandangan yang cukup indah dan juga mengalirkan lavanya yang berwarna biru. Terhasilnya lava berwarna unik itu disebabkan terhasilnya asid sulfurik yang dikatakan mengalir dan membentuk sebuah tasik semula jadi terbesar di dunia. Tasik tersebut dinamakan sebagai Kawah Ijen oleh penduduk setempat.

Kawah Ijen juga dijadikan sebagai lombong sulfur dan menghasilkan 160-200 kilogram sulfur setiap hari. Menurut laporan yang dipetik melalui beberapa blog, nyalaan api biru yang terhasil daripada asid tersebut boleh mencapai sehingga lima meter. Dengan ketinggian 2,443 meter, gunung ini telah dikatakan meletus sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1796, 1817, 1913, dan 1936. Difahamkan, Gunung Berapi Ijen merupakan satu-satunya gunung berapi yang mengeluarkan lava biru di Indonesia. -AP



.

Cinta itu pelik bagi rakyat negara ini


Cinta itu pelik bagi rakyat negara ini | Seorang anak perempuan pengusaha kedai pembekal bahan binaan semalam dikahwinkan dengan pasangannya juga seorang perempuan dengan hantaran simbolik bernilai THB200,00 (RM20,000) dan sedikit emas. Majlis meriah itu diadakan di bandar Nakhon Ratchasima. Bagaimanapun, disebabkan keanehan pasangan Piyanat Sae Kim dan Yupa Chanmuenwai itu, ia tidak lepas daripada diperkatakan orang ramai. Yupa, 31, membawa sendiri hantaran itu untuk keluarga Piyanat. Menurut sumber, Piyanat, 25, menjalin hubungan romantik dengan Yupa sejak dua tahun lalu sebelum mereka bersetuju ‘disatukan’ sebagai suami isteri. Yupa ialah seorang kakitangan bank tempatan.

Kata sumber, rumah mereka terletak berhampiran dan sering bertembung secara kebetulan. “Lama-kelamaan, timbul perasaan cinta sesama mereka dalam diam. “Pada suatu hari Yupa memberanikan diri mengajak Piyanat keluar,” katanya. Selepas mencurahkan isi hati masing-masing, pasangan terbabit masih berdepan cabaran untuk hidup sebagai pasangan bahagia. Bagaimanapun, kata sumber, kesukaran itu dapat diatasi selepas Yupa memenangi hati ibu bapa Piyanat yang kagum dengan sikap berdikari dan tekun bekerja ditunjukkannya.

Ketika ini Thailand tidak mempunyai undang-undang menguruskan perkahwinan sejenis walaupun parti Demokrat dan Pheu Thai bersetuju menubuhkan panel bersama untuk menggubal peraturan mengenainya tahun lalu. Tidak dapat dipastikan nasib cadangan itu kerana tentera merampas kuasa daripada Yingluck Shinawatra pada Mei lalu. Melalui rang undang-undang itu, warga Thailand berusia sekurang-kurangnya 20 tahun boleh mendaftar perkahwinan sama jantina jika mereka boleh membuktikan kedua-duanya tidak bersaudara dan belum berumah tangga.-AP




.

Terkini! Punca Pesawat Malindo Air dari New Delhi-KL dilencong ke Bangkok



Terkini! Punca Pesawat Malindo Air dari New Delhi-KL dilencong ke Bangkok | Malindo Air mengesahkan penerbangan OD206 dari New Delhi, India ke Kuala Lumpur pagi ini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok, Thailand disebabkan masalah teknikal. Pesawat yang sepatutnya tiba di klia2 pada 5.25 pagi itu mendarat dengan selamat pada 2.45 pagi waktu Thailand dan tiada kecederaan dilaporkan, kata Malindo Air dalam satu kenyataan di sini.

Penerbangan yang dioperasikan oleh pesawat Boeing 737-900ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pada 10.05 malam waktu tempatan membawa 121 penumpang termasuk tiga bayi, dan lapan anak kapal. “Sebaik mengenal pasti masalah teknikal, kru operasi melaksanakan senarai semakan kecemasan menurut prosedur operasi standard dan memaklumkan kepada menara kawalan trafik udara sebelum menukar haluan ke Don Mueang.

“Kebajikan penumpang kini dijaga oleh Thai Lion Air dan usaha sedang diambil untuk menerbangkan mereka ke Kuala Lumpur menerusi satu penerbangan yang dijadualkan pada 3.45 petang ini waktu Thailand,” kata kenyataan itu. Malindo Air berkata pihaknya sedang meneliti punca masalah teknikal itu dan perkara berkenaan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk pengeluar. - Bernama




.

Percaya adik belum mati, mayat dilayan umpama orang hidup dan dipercayai mampu ubati orang



Percaya adik belum mati, mayat dilayan umpama orang hidup dan dipercayai mampu ubati orang | Pada September 1981, Guillermo Jacobe meninggal dunia selepas dirawat tiga hari di hospital kerana komplikasi usus. Tiga hari kemudian - selepas semua ritual dilakukan - mayat Guillermo ditanam seperti sepatutnya. Beberapa malam kemudian kakak Guillermo, Remedios Tagana, 55, bermimpi pemuda terbabit meminta digali semula secepat mungkin kerana dia masih hidup. Mimpi itu diberitahu kepada bapa mereka, Francisco Jacobe, 92, yang enggan mempercayainya. Malam berikutnya Remedion bermimpi perkara sama sekali lagi dan ia mendorong mereka sekeluarga menggali semula kubur berkenaan pada November 1981.

Sumber berkata, mereka terkejut apabila mendapati mayat Guillermo tidak banyak berubah.
Keranda itu dibawa pulang untuk membolehkan mayat Guillermo dibersihkan dan ketika itulah ibunya, Illuminada, 77, mendapati tubuh pemuda terbabit seperti berpeluh. Kata Illuminada, sejak itu mereka menyimpan tubuh Guillermo di rumah dan dia menukar pakaian anaknya setiap Ahad. “Pada ketika tertentu, saya berborak dengan dia, terutama ketika badan saya sakit. “Nampaknya kesakitan itu hilang selepas beberapa jam kemudian,” katanya. Lebih menarik, Guillermo juga dilaporkan boleh ‘membantu’ menyembuhkan penyakit orang lain.

Sejak itu rumah mereka kerap dikunjungi orang ramai yang ingin mencuba kemujaraban ‘kuasa’ Guillermo. Seorang daripada mereka berkata, pesakit hanya perlu berbisik kepada mayat Guillermo mengenai masalah dihadapi. “Ia akan hilang tidak lama kemudian,” katanya. Selepas 33 tahun, mayat Guillermo dilaporkan masih utuh dengan gigi, wajah, kulit tangan dan salur darahnya masih elok. Keluarga itu juga berikrar menjaga Guillermo sehingga akhir hayat mereka. - Agensi




.

Lagi pemain digelar 'bodoh' oleh pengurus Manchester United, Louis Van Gaal


Lagi pemain digelar 'bodoh' oleh pengurus Manchester United, Louis Van Gaal | LOUIS VAN GAAL menggelar Chris Smalling sebagai bodoh apabila dilayangkan kad merah sekaligus menyebabkan Manchester United tewas 1-0 kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada Ahad. Kekalahan yang membawa United menghuni tangga ke-10 dengan mengumpul 13 mata merupakan permulaan terburuk pasukan itu dalam tempoh 28 tahun. Smalling digelar bodoh apabila menerima kad kuning pertama selepas tujuh minit permainan bermula sebelum dilayangkan kad merah tanpa sempat babak pertama tamat.

Kad kuning pertama diberikan kerana Smalling menghalang penjaga gol City, Joe Hart manakala kad kuning kedua berserta kad merah dilayangkan pada minit ke-39 apabila dia menjatuhkan James Milner.Van Gaal mendedahkan, Smalling telah memohon maaf kepada rakan sepasukan tetapi pertahanan itu sepatutnya tahu adalah lebih baik dia tidak dilayangkan kad kuning kerana tindakan bodoh tersebut. "Ia (kad merah) telah memberi kesan kepada pasukan lawan, juga kepada kami.


"Walaupun bermain dengan 10 pemain, tetapi mereka telah bermain dengan lebih baik berbanding babak pertama. Itulah semangat berpasukan. "Dibuang padang bukan perkara pokok. Sebagai pemain kamu perlu mengawal sikap agresif dalam perlawanan seperti ini," jelasnya. Van Gaal memberitahu, sebagai pemain, Smalling sepatutnya berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas menerima kad kuning pertama. "Bagi kad kuning pertama saya tidak peduli, tetapi kad kuning kedua itu bodoh," ujarnya.-AP




.

Wanita nekad cipta rekod dunia lari maraton dengan kasut tumit tinggi



Wanita nekad cipta rekod dunia lari maraton dengan kasut tumit tinggi | Seorang wanita di sini berazam mencipta rekod dunia sebagai individu pertama menamatkan larian maraton dengan memakai kasut tumit tinggi. Wanita itu, Natalie Eckert, 37, merancang menyertai larian Maraton London pada April tahun depan sejauh 42 kilometer dengan memakai sepasang kasut yang mempunyai tumit setinggi 12.7 sentimeter. Ibu kepada dua orang anak itu berkata, dia menjalani latihan berlari dengan memakai kasut tumit tinggi selama dua hari seminggu sebagai persediaan menyertai pertandingan maraton tersebut.

Walaupun tidak pernah menyertai larian maraton sebelum ini, Eckert yakin dia mampu menamatkan larian tersebut dengan memakai kasut tumit tinggi dan berazam menamatkan larian dalam tempoh empat jam. “Saya sangat menyukai kasut tumit tinggi dan ketika di sekolah rakan-rakan pernah mentertawakan saya kerana memakai kasut tumit tinggi ketika menyertai sukan di sekolah,” katanya. Menurutnya, dia merancang untuk mengutip dana berjumlah £5,000 (RM26,437) ketika menyertai larian tersebut dan wang berkenaan akan didermakan kepada sebuah badan amal. – Agensi




.

Kisah cinta yang menyayat hati ini menjadi viral di laman sosial



Kisah cinta yang menyayat hati ini menjadi viral di laman sosial | Seorang pemuda berusia 24 tahun di Shandong sanggup berhenti kerja dan berpindah ke Henan untuk menjaga kekasihnya yang menghidap barah. Yu Haining menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya, Fan Huiziang, 25, sejak lima tahun lalu. Selepas mengetahui kekasihnya itu disahkan menghidap barah Jun lalu, dia serta-merta meletakkan jawatan untuk menjaganya. Yu bersungguh-sungguh mahu mengahwini Fan secepat mungkin. “Tidak kira apa yang berlaku pada masa depan, saya akan sentiasa bersamanya,” kata lelaki itu kepada wartawan ketika ditemui di hospital di Henan.


“Kerana cinta, saya memegang erat tangan kamu. Kerana cinta juga, saya mengharapkan keajaiban. Saya berharap sangat anda bersetuju menjadi isteri saya dan terima saya menjadi suami kami,” kata Yu kepada kekasihnya itu. Fan pula berkata, perasaannya bercampur-aduk walaupun mengaku bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga dengan Yu. “Semua wanita mahu berkahwin. Tetapi saya tidak pasti berapa lama lagi saya boleh hidup. Jika saya bersetuju menerima lamarannya dan meninggalkannya kemudian, apa yang boleh dia lakukan,” kata wanita itu. Kisah cinta Yu itu mendapat pujian ribuan pengunjung laman sosial. Seorang pengunjung menulis: “Anda meyakinkan saya mengenai cinta.” - Agensi




.

Jururawat dipenjara 8 tahun kerana beli iPad guna wang palsu



Jururawat dipenjara 8 tahun kerana beli iPad guna wang palsu | Gara-gara menggunakan wang palsu untuk membeli gajet, seorang jururawat dihukum penjara sehingga lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. Hakim Mohd. Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nor Aziarina Ismail, 30, setelah wanita itu didapati bersalah menggunakan wang palsu untuk membeli sebuah iPad. Nor Aziarina didakwa membeli sebuah iPad daripada seorang pemuda, Abdul Mu'iz Ahmad, 20, dengan menggunakan sebagai tulen 10 keping wang kertas palsu not RM100 berjumlah RM1,000 di depan sebuah restoran makanan segera di Wakaf Che Yeh, di sini pada pukul 9 malam 22 November tahun lalu. -Kosmo



.

Motosikal berkuasa tinggi yang baru dibeli terbakar, pemilik pengsan dan dikejarkan ke hospital



Motosikal berkuasa tinggi yang baru dibeli terbakar, pemilik pengsan dan dikejarkan ke hospital | Seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri apabila mengetahui motosikal yang baru dibelinya enam bulan lalu dibakar dalam kejadian di Flat Sri Perantau, pagi semalam. Menurut Muhammad Ikhmal Jamaluddin, 18, anak kepada pemilik motosikal berkenaan yang dikenali sebagai Jamaluddin Muhammad, 44, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, jiran mereka memaklumkan bahawa kenderaan milik bapanya itu terbakar.

“Ayah kemudian meluru keluar untuk melihat motosikal jenis Benelli RKV 200 miliknya sebelum terperanjat dan tidak sedarkan diri apabila mendapati motosikal berkenaan hangus sama sekali. “Orang ramai terpaksa membawa ayah ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui semalam. Difahamkan, tiga motosikal terbakar akibat perbuatan khianat serta turut mengakibatkan dua letupan berlaku yang menyebabkan penduduk di sekitar flat berkenaan cemas seketika.

Menurut saksi kejadian, Mohd Shawal Sabtu, 33, individu yang bertanggungjawab membakar kenderaan berkenaan bukan penghuni dari flat berkenaan dan datang ke kawasan itu sebelum mula membuat kecoh. “Saya dapati lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan sudah menasihatkannya dengan cara baik supaya beredar dari flat ini kerana bimbang dia melakukan sesuatu di luar jangkaan. “Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit beredar, lelaki terbabit yang berusia 30-an datang kembali,” katanya. Katanya, dia yang dimaklumkan mengenai kehadiran semula lelaki itu kemudian membuat tinjauan dan terkejut apabila mendapati lelaki berkenaan sedang membakar sebuah motosikal.

“Lelaki itu cuba melarikan diri namun sempat ditangkap beberapa penduduk yang melihat kejadian itu,” katanya. Sementara itu, Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 11 pagi. Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat pula berkata, pihaknya menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!