Friday, November 7, 2014

[Video] Rangga dan Cinta dipertemukan semula selepas 12 tahun 'Ada Apa Dengan Cinta?'



[Video] Rangga dan Cinta dipertemukan semula selepas 12 tahun 'Ada Apa Dengan Cinta?' | Apakah yang berlaku dalam pertemuan semula antara dua kekasih, Rangga dan Cinta selepas 12 tahun penamat filem ikonik Ada Apa Dengan Cinta? Pasti ramai yang masih mengingati pesona filem cinta remaja, Ada Apa Dengan Cinta yang pernah ditayangkan pada 2002. Aplikasi permesejan sosial, LINE Indonesia membawakan drama mini Ada Apa Dengan Cinta 2014.. sambungan kepada kisah Rangga dan Cinta selepas pertemuan terakhir mereka di lapangan terbang di mana Rangga bertolak ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran di sana.

Baru dimuatnaik semalam (6 November) di laman Youtube LINE Indonesia, sekuel itu mengumpul lebih 92 ribu tontonan. Siri iklan dalam bentuk drama mini ini menyaksikan Rangga, lakonan Nicolas Saputra kini bekerja sebagai wartawan di New York manakala Cinta, didukung oleh Dian Sastrowardoyo bekerja di sebuah syarikat majalah di Jakarta. Pelakon lain yang menjadi rakan Cinta iaitu Ladya Cherill (Alya), Adinia Wirasti (Carmen), Titi Kamal (Maura) dan Sissy Priscillia (Milly) turut membuat kemunculan. Meskipun drama ini adalah untuk memperkenalkan khidmat baru aplikasi LINE iaitu Find Alumni, ia berjaya mengusik nostalgia penonton dengan imbasan masa lalu yang dipetik daripada adegan filem asal.






.

Pelakon dan penyanyi terkenal sesak nafas selepas pembedahan


Pelakon dan penyanyi terkenal sesak nafas selepas pembedahan  | Aktres dan penyanyi Julia Perez mengadu dia mengalami masalah kesukaran bernafas sejak selesai menjalani pembedahan di Hospital Universiti Singapura, Rabu. Kata selebriti yang lebih dikenali dengan panggilan Jupe itu, dia menjalani pembedahan untuk menaikkan ovari. "Kerana itu saya mengalami sedikit kesukaran bernafas," katanya. Jupe pergi ke Singapura dalam usaha merawat beberapa masalah kesihatannya. Sebelum ini dia pernah mendedahkan rancangan mahu mendapatkan anak melalui proses tabung uji dengan mencantumkan sperma lelaki penderma dengan telurnya.

Minggu lalu pula dia mendedahkan menghidap kanser serviks. Walaupun berdepan pelbagai masalah kesihatan, Jupe terus memuat naik pelbagai gambar di Instagram bagi mengetengahkan segala aktivitinya kepada peminat. Kata Jupe, mulai Khamis dia akan mengikuti prosedur radiasi. "Disebabkan keadaan ini, saya bercadang menetap sementara di Singapura. Mungkin selama dua bulan," katanya. -Mstar




.

Kejam! Bunuh bekas kekasih anak dan beri buaya makan mayatnya



Kejam! Bunuh bekas kekasih anak dan beri buaya makan mayatnya | Seorang wanita mengadapi tuduhan cuba mengupah seorang lelaki untuk membunuh bekas kekasih anak perempuannya dan memberi buaya memakan mayat mangsa. Polis menahan Melisa Schonfield, 57, yang menetap di bandar Brownville beberapa hari lalu atas tuduhan cuba melakukan jenayah. Jurucakap pejabat syerif Jefferson County, Dave Pustizzi berkata, Melisa didakwa menemui seorang detektif yang menyamar pembunuh upahan untuk mengupahnya membunuh seorang lelaki berusia 36 tahun yang kemudian disahkan bekas kekasih anaknya.

Melisa dituduh menyerahkan wang berjumlah AS$5,500, separuh daripada jumlah upah yang dipersetujui untuk melakukan pembunuhan itu. Apabila detektif itu bertanya bagaimana untuk melupuskan mayat mangsa, Melisa mencadangkan supaya ia diberikan kepada buaya untuk dimakan. Melisa dikatakan bertindak demikian ekoran pertelingkahan dengan bekas kekasih anak perempuannya itu, berkait dengan seorang kanak-kanak hasil hubungan lelaki itu dengan anaknya. Melisa yang ditahan di penjara hujung minggu lalu bagaimanapun dibebaskan kelmarin selepas diikat jamin sebanyak AS$500,000 (RM1.66 juta). - Agensi




.

Tindakan lelaki ini mendapat kritikan dari ramai pihak terutama pencinta alam



Tindakan lelaki ini mendapat kritikan dari ramai pihak terutama pencinta alam | Tindakan seorang peminat haiwan liar merakam adegan dia dimakan hidup-hidup oleh seekor anaconda, mendapat kritikan ramai pihak terutamanya kumpulan pencinta alam yang menyifatkan perbuatan itu sebagai penderaan terhadap haiwan itu. Mail Online melaporkan, rakaman adegan berbahaya yang dilakukan oleh Paul Rosolie, 26, itu merupakan sebahagian daripada rancangan televisyen terbaharu Discovery Channel yang diberi nama Eaten Alive.

Rancangan yang akan disiarkan pada 7 Disember ini, bakal menyaksikan Rosolie yang akan menggunakan pakaian khas ditelan oleh seekor anaconda gergasi berukuran sembilan meter panjang. Kumpulan pencinta alam menyi­fatkan perbuatan tersebut sebagai satu ‘penderaan tahap tertinggi’ dan menggesa pihak Discove­ry Channel supaya membatalkan tayangannya, Kumpulan berkenaan turut mengeluarkan satu petisyen yang sudah ditandatangani lebih 500 orang bagi membantah tindakan tersebut.

Rosolie menolak dakwaan kumpulan itu dan beranggapan tindakannya merupakan salah satu proses untuk mengenali lebih mendalam tentang ular terbesar di dunia itu. “Jika anda mengenali saya, saya tidak pernah mencederakan haiwan liar. Anda seharusnya menyaksikan rancangan ini terlebih dahulu, sebelum membuat kritikan,” jelas Rosolie, yang juga dikenali sebagai Indiana Jones Amazon dalam laman sosial Twitternya.-AP



.

Gambar anak kedua, Fasha Sandha, Putri Raysha Jemaima



Gambar anak kedua, Fasha Sandha, Putri Raysha Jemaima | Menerusi kemaskini terbaru menerusi akaun Instagram, suami kepada Fasha Sandha, Rizal Ashram telah memuat naik gambar memaklumkan yang pelakon popular itu sudah pun selamat melahirkan seorang bayi perempuan hari ini yang juga merupakan anak kedua pasangan ini.


Anak perempuan ini sudah pun diberi nama Putri Raysha Jemaiman dan Jejai juga memaklumkan yang kedua dua ibu dan anak dalam keadaan sihat. -era.fm




.

Punca lelaki bayar ganti rugi RM63,473 dengan syiling



Punca lelaki bayar ganti rugi RM63,473 dengan syiling | Seorang lelaki mencampakkan duit syiling bernilai AS$19,000 (RM63,473) di sebuah pusat pameran kereta dengan mendakwa jurujual di pusat jualan tersebut mempermainkan dirinya. Lester Ong berkata, sebagai anak seorang pemilik francais nasi lemak, dia diarahkan mahkamah untuk membayar Exotic Motors wang tunai sebanyak AS$11,000 (RM36,747) yang dipinjamkan kepada mereka dan AS$8,000 (RM26,725) sebagai yuran guaman. Beliau kemudiannya membuat pembayaran tersebut dalam bentuk syiling yang diisi di dalam sebuah kotak styrofoam yang biasanya digunakan untuk menyimpan ikan. - AGENSI



.

Luahan hati Matyo mengenai masa depannya dalam bolasepak selepas ini


Luahan hati Matyo mengenai masa depannya dalam bolasepak selepas ini | Norshahrul Idlan Talaha mungkin tidak pernah menyangka dia akan menerima tum­puan sebegini besar, terutamanya dari penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini. Terlibat dengan isu ‘konfrontasi dengan pak guard’ dan kini dipersalahkan apabila gagal menyempurnakan sepakan sewaktu situasi penalti penentuan ketika JDT kalah kepada Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, peminat lebih banyak berkisah mengenai hal-hal yang tiada kaitan dengan bola sepak berbanding bercerita mengenai bakat besar bekas penyerang Kelantan itu. Mulai musim depan, Norshahrul yang mesra dengan panggilan Mat Yo akan menyarung jersi ATM, tetapi dia menafikan isu-isu berkenaan mempengaruhi keputusannya untuk meninggalkan JDT yang disertainya pada 2013.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Besut, Terengganu itu turut menafikan layanan buruk yang di­terima daripada para penyokong dan peminat bola sepak menjadi punca dia mengubah haluan. “Perpindahan saya ini tiada kaitan langsung dengan tekanan atau laya­nan buruk yang saya teri­ma selama ini, sebaliknya saya menyertai ATM kerana mahu mencari peluang ber­aksi dengan lebih banyak. “Oleh itu, jangan kaitkan perpindahan saya ini kerana tekanan daripada peminat atau kontroversi dahulu kerana tidak mempengaruhi langsung keputusan yang saya buat ini,” katanya di sini semalam. Nama Mat Yo yang pernah dinobatkan sebagai penyerang terbaik negara pada 2010 semakin menjadi bualan peminat setelah isu perpindahannya dari pasukan Kelantan ke JDT pada tahun lalu.

Selain itu, insiden pergaduhan isterinya dengan seorang pe­ngawal keselamatan serta insiden membuang pingat ke dalam tong sampah menyebabkan pemain itu dipersendakan oleh penyokong dan peminat yang menghukumnya tanpa usul periksa. Terbaharu, ialah apa yang berlaku di Stadium Nasional pada Sabtu lalu, yang menyebabkan sebahagian peminat JDT menyalahkannya. “Saya tidak mampu untuk menghalang atau menutup mulut mereka. Sudah lumrah kehidupan kalau kita buat baik orang tidak akan kata apa-apa, tetapi kalau kita buat silap, memang menjadi buah mulut. “Ya, kadang-kala saya juga ter­sing­gung dengan layanan peminat terhadap saya, hingga apa yang saya dan isteri buat menjadi bahan untuk mereka gosipkan di laman sosial.

Tetapi itu semua tiada kaitan langsung dengan perpindahan saya ke kelab baharu,” katanya. Ditanya dakwaan dalam laman sosial mengatakannya semakin sombong di luar padang Mat Yo berkata perkara itu tidak benar. Katanya, sebenarnya sikapnya tidak banyak bercakap dan pemalu yang mungkin menyebabkan ramai orang tersalah tafsir tentang dirinya. “Rakan-rakan seperjuangan saya lebih mengenali siapa diri saya yang sebenar,” jelasnya. Prestasi Mat Yo dilihat semakin menurun dan lebih banyak berada di bangku simpanan musim ini selepas dihimpit kecederaan selain kehadiran beberapa bintang luar di dalam pasukan JDT.

Ini juga menyebabkan pemain itu membuat keputusan mencari tapak baharu musim depan. Mat Yo yakin jurulatih ATM, B. Sathianathan yang pernah membimbingnya ketika bersama Kelantan dahulu mampu memulihkan semula reputasi dan imejnya sebagai antara penyerang terbaik negara. “Beliau (Sathianathan) sudah mengenali cara permainan saya dan banyak membantu dalam memperbaiki kemahiran saya di atas padang. Oleh itu, saya harap dia dapat membimbing saya semula. “Buat masa ini saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi saya yang menurun sedikit, tetapi jika dapat banyak peluang bermain saya rasa saya mampu bangkit semula ke tahap sebenar,” katanya.




.

Rumah kecil yang mendedahkan rahsia besar..


 Rumah kecil yang mendedahkan rahsia besar.. | Pembekal rokok seludup yang bertindak sebagai ‘stokis’ kepada penjual rokok di negeri ini dikesan menjadikan sebuah rumah di Kampung Simpang Sepayang, Rompin sebagai gudang menyimpan pelbagai rokok yang tidak mendapat pelepasan kastam. Aktiviti mereka terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu sebuah banglo di ladang sawit kira-kira jam 2 petang kelmarin dan merampas kira-kira 4,000 karton rokok seludup bernilai lebih RM500,000. Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, kumpulan pembekal rokok terbabit berselindung di sebalik banglo itu yang kelihatan seperti rumah didiami penduduk setempat.

Menurutnya, pihaknya melakukan intipan selama beberapa bulan sebelum serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat awam dan mendapati dua lelaki tempatan bertindak sebagai pembekal rokok berkenaan. “Ketika serbuan, kita mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni dan terpaksa memecahkan pintu utama untuk masuk. Bagaimanapun, dua suspek melarikan diri ke ladang sawit selepas menyedari kehadiran polis. “Hasil pemeriksaan di rumah itu menemui beberapa karton rokok diletakkan di bilik dan ruang tamu, malah pemeriksaan lanjut menemui beberapa karton rokok diletakkan dalam kotak besar di sebuah rumah kecil bersebelahan banglo berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, pihaknya mendapati suspek sengaja memilih lokasi terpencil untuk menempatkan rokok seludup pelbagai jenama itu bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa. “Kita percaya suspek sudah menyewa rumah berkenaan sejak enam bulan lalu dan kebiasaannya akan berpindah dari satu tempat ke tempat lain apabila aktiviti mereka mulai dikesan. “Kita tidak menolak kemungkinan rokok berkenaan dibawa masuk melalui jalan laut bagi mengaburi pihak berkuasa dan ia untuk pasaran di sekitar Pantai Timur,” katanya. Beliau berkata, serbuan berkenaan rampasan kesembilan dilakukan membabitkan rampasan rokok dan ia yang terbesar sepanjang tahun ini.




.

Pesawat Malindo Air mendarat cemas kerana penumpang sakit



Pesawat Malindo Air mendarat cemas kerana penumpang sakit | Syarikat Penerbangan Malindo Air mengesahkan sebuah pesawat Boeing 737-900E melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI) di Senai, Johor kira-kira 3.45 petang semalam. Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam Raja Sa'adi Raja Amrin, berkata, penerbangan OD1028 itu terpaksa melakukan pendaratan cemas berikutan seorang penumpangnya mengalami serangan jantung.

Menurutnya, pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan dijadualkan sampai pada 6.20 petang. "Bagaimanapun ia terpaksa dilencongkan ke LTSI bagi menurunkan penumpang terbabit sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu," katanya. Penumpang tersebut dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut, katanya.




.

Lori rempuh kereta mengakibatkan dua maut dan seorang parah di Batu Pahat



Lori rempuh kereta mengakibatkan dua maut dan seorang parah di Batu Pahat | Dua maut manakala seorang parah apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 13, Jalan Parit Sulong-Yong Peng berdekatan Kampung Mohd Noor di sini, hari ini. Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan dua mangsa yang juga penumpang kereta jenis Perodua Myvi maut di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa Attika Jaaffar, 64, dan Hana Abdul Rahman, 44, maut akibat parah selepas tersepit.

Menurut Din, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori membawa muatan barangan sejuk beku dari arah Yong Peng menghala ke Parit Sulong terbabas sebelum merempuh Perodua Myvi yang dipandu mangsa yang parah, Johari Md Yatim, 72. "Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Perodua MyVi yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk menerima rawatan lanjut. "Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca sebenar kejadian selain merekod keterangan pemandu lori dan saksi kejadian,"katanya. -Metro



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!