Monday, November 10, 2014

Penumpang penerbangan kecoh, lelaki cuba buka pintu keselamatan ketika dalam penerbangan



Penumpang penerbangan kecoh, lelaki cuba buka pintu keselamatan ketika dalam penerbangan | Penerbangan sebuah pesawat milik Vietnam Airlines dari Vietnam ke Australia kecoh apabila seorang penumpang lelaki bertindak di luar kawalan dengan cuba membuka pintu keselamatan pesawat itu selepas ia berlepas selama dua jam, baru-baru ini. Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu berjaya dipatahkan sekumpulan penumpang pesawat VN773 dari Hanoi ke Sydney yang terpaksa menggunakan kekerasan bagi mententeramkan suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Menurut saksi, Mark Ansley, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum terdengar suara penumpang menjerit dan panik, sebelum melihat kelibat seorang lelaki cuba menendang pintu kecemasan pesawat tersebut.

Lelaki itu mendakwa dia diculik dan diberikan dadah serta terdapat orang yang menunggunya di Sydney untuk membunuhnya. Ansley berkata, dia dengan beberapa penumpang lain kemudiannya bergelut dengan lelaki itu sebelum dia diberikan tali pengikat bagi menghalang lelaki itu terus bertindak agresif, namun usahanya gagal selepas suspek melawan. “Saya kemudiannya memutuskan untuk menumbuknya, namun percubaan pertama saya tidak berjaya sebelum memutuskan untuk menumbuknya dengan lebih kuat sehingga berjaya melemahkannya. “Insiden itu amat menakutkan dan saya betul-betul menggeletar.

Lelaki itu cuba membunuh dirinya dan kesemua penumpang yang menaiki peswat tersebut,’’ katanya kepada rangkaian televisyen New Zealand, TVNZ sebagaimana lapor Mail Online. Ansley yang menaiki pesawat itu bersama seorang anaknya berusia enam tahun berkata, dia dan penumpang lain cuba mencari kenalan suspek di dalam pesawat itu, namun tidak berjaya dan percaya lelaki tersebut khayal akibat pengaruh dadah. Penumpang itu mungkin tidak mengetahui bahawa adalah sukar untuk membuka pintu kecemasan kapal terbang ketika ia berada di udara atas faktor ketinggian altitud. Polis Australia mengesahkan insiden itu. Lelaki itu ditahan dan akan dibicarakan pada 16 Disember ini di Mahkamah Pusat Downing atas kesalahan membahayakan keselamatan pesawat.-AP



.

Pelajar Universiti Cairo ditahan miliki novel Orwell, '1984'.. Ada apa dengan novel itu?



Pelajar Universiti Cairo ditahan miliki novel Orwell, '1984'.. Ada apa dengan novel itu? | Seorang penuntut Universiti Cairo diberkas pihak polis Mesir pada Ahad kerana membawa novel berjudul, 1984 oleh novelis popular George Orwell yang menggambarkan kehidupan masyarakat ‘distopia’di bawah pemerintahan diktator yang berlandaskan sistem hirarki. Pelajar berusia 21 tahun itu ditahan di pagar masuk utama universiti tersebut dan barangan peribadi termasuk dua telefon bimbit, dua pemacu USB dan cakera keras turut dirampas, menurut petikan akhbar Mesir, Al-Masry Al-Youm.

 Laporan itu turut memetik yang pihak berkuasa menjumpai beberapa keping nota milik pelajar tersebut yang menyebut ajaran khalifah Islam dan cara menggunakannya di sesebuah negara. Novel yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1949 ini berkisar watak protagonis, Winston Smith yang berusia 39 tahun dan pemberontakannya terhadap pemerintahan diktator dalam sistem hirarki.-AP




.

Kenapa kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun ini jadi bintang YouTube?


Kenapa kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun ini jadi bintang YouTube? | Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menjadi bintang saluran YouTube setelah membawakan watak dalam satu siri program yang menggambarkan tentang kepahitan realiti kehidupan seharian di kawasan-kawasan yang dikuasai pemberontak di Aleppo, Syria. Dia yang dikenali sebagai Rasha melakonkan watak "Umm al-Abdo Halabiya", seorang suri rumah tangga yang terpaksa tinggal di dalam bandar itu yang bergelora dengan keganasan selama tiga tahun. Di dalam program 30 episod itu, kesemua watak-wataknya dibawakan oleh kanak-kanak yang memainkan peranan sebagai orang dewasa dan ia telah ditontoni oleh puluhan ribu pengguna Internet.

Antara babak yang mendapat perhatian penonton adalah babak ketika Umm Abdo berdebat dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad dan mengkritik kumpulan pemberontak yang cuba untuk menggulingkan Bashar. Walaupun masih muda, Rasha menunjukkan kematangannya dengan meniru gaya wanita tradisional Syria yang lazimnya kehidupan mereka banyak berkisar tentang gosip. Kanak-kanak berpipi tembam dan berambut perang itu berlakon bersama-sama kanak-kanak lain yang memainkan watak-watak seperti pemberontak dan jiran. Di dalam satu episod, Umm Abdo dilihat memakai pakaian tradisional dishdasha (jubah) dan berbual di telefon dengan adiknya, yang tinggal di kawasan kejiranan yang dikuasai rejim di Aleppo di mana masalah ketiadaan bekalan air semakin menjadi-jadi.

"Adakah anda juga mencuci pakaian dengan menggunakan tangan?" dia bertanya, sebelum menambah: "Saya sangkakan pengikut setia seperti kamu seorang yang manja!”. Dalam episod yang lain, Umm Abdo menjemput dua wanita ke rumahnya, di mana salah seorang daripada mereka sedang mencari jodoh buat anaknya, seorang pejuang pemberontakan. Pernikahan itu bagaimanapun tidak diteruskan kerana tuntutan mas kawin adalah dalam matawang dolar atau emas oleh Umm Abdo. Pengarah siri itu, Bashar Hadi memberitahu AFP dia memilih untuk membuat persembahan secara santai tentang kehidupan tragik di Aleppo kerana ia akan terus menusuk ke hati penonton. Dia berkata video-video terbabit adalah untuk menghilangkan kesedihan penduduk dan membuat penonton tersenyum walaupun perang saudara di Syria telah meragut lebih 180,000 nyawa.

Bandar Aleppo telah berpecah kepada kawasan kerajaan dan pemberontak sejak serangan besar-besaran dilancarkan oleh pemberontak pada bulan Julai 2012. Bashar berkata dia memutuskan untuk mendapatkan pelakon kanak-kanak untuk memainkan watak di dalam programnya untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kesengsaraan rakyat Syria. Beliau berkata, Rasha "mewakili generasi anak-anak yang terperangkap dalam peperangan, tetapi akhirnya menjadi satu simbol perjuangan". Penggambaran siri itu juga sering terganggu dengan kejadian tembak-menembak yang berlaku di sekitar kawasan penggambaran, yang ada ketikanya memaksa penggambaran dihentikan seketika.

Program ini mula menjadi popular pada bulan Ramadan lalu dan krew penggambaran kini dalam perbincangan untuk menyiarkannya di saluran televisyen Arab. Namun, siri itu tidak memaparkan kisah-kisah dan watak komedi semata-mata. Ada beberapa adegan yang menyayat hati, terutama ketika Umm Abdo berjalan merentasi kawasan tapak perkuburan mereka yang "mati syahid" dalam peperangan. "Saya impikan sebuah negara yang aman, kanak-kanak akan kembali ke tanahair milik mereka dan tiada istilah ‘pelarian’," akhiri Bashar.-AP



.

Takziah.. Bekas KPN, Tan Sri Mohd Bakri Omar meninggal dunia



Takziah.. Bekas KPN, Tan Sri Mohd Bakri Omar meninggal dunia | Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar meninggal dunia di Institut Kanser Negara, Putrajaya kira-kira pukul 8.45 pagi ini akibat kanser. Beliau berusia 66 tahun. Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), ACP Asmawati Ahmad mengesahkan perkara berkenaan kepada Bernama. Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di No 10, Jalan Aman Perdana 5U/KU5, Taman Aman Perdana, Meru, Klang. Mohd Bakri dilahirkan pada 10 September 1948 di Manjung, Perak dan memulakan perkhidmatan sebagai Kadet Asisten Superintenden pada 1 Januari 1971. Beliau dilantik menjadi Ketua Polis Negara pada 5 November 2003 sehingga Sept 2006, menggantikan Tan Sri Norian Mai. -Awani




.

Apa akan jadi kepada juara Akademi 2014, Firman dan pemenang lainnya selepas ini?


Apa akan jadi kepada juara Akademi 2014, Firman dan pemenang lainnya selepas ini? | Astro mempunyai strategi dalam memastikan juara Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) mampu mengekalkan populariti dan terus terkenal dalam industri hiburan tanah air. Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pihaknya akan memastikan kelima-lima peserta akhir itu mempunyai kerjaya yang sudah diaturkan dengan teliti. Matlamat untuk melahirkan penyanyi yang mempunyai pakej lengkap berjaya apabila kelima-lima peserta akhir ini mempunyai kualiti tersendiri. "Kali ini kita akan pastikan bukan sahaja juara iaitu Firman, malah kesemua peserta akhir ini akan terus popular dan mempunyai kerjaya untuk mereka yang telah dirancang," ujarnya pada sidang media selepas konsert akhir AF 2014 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, malam Ahad.

Raqim berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan pihak stesen televisyen tersebut selepas berakhirnya AF 2014 berikutan nasib peserta rancangan realiti tersebut pada musim lalu di lihar kurang popular dan terus tenggelam. Sementara itu, mengulas lanjut perkara itu katanya, populariti seseorang peserta selepas keluar daripada program realiti itu turut bergantung kepada usaha mereka sendiri. "Selepas keluar daripada program realiti ini mereka perlu bekerja keras untuk mengekalkan nama mereka untuk terus popular dan bukan hanya bergantung kepada usaha pihak stesen televisyen semata-mata. "Kalau mereka mahu terus dikenali sebagai penyanyi mereka sendiri ada inisiatif untuk berusaha kearah itu, sebab itu kita lihat ada peserta yang berjaya sebagai penyanyi bukan daripada juara sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Program Realiti dan Format ASTRO, Namanzee Harris berkata, peningkatan peratusan undian pada AF 2014 menunjukkan bahawa program realiti tersebut diterima kembali. Katanya, perkara tersebut memberi peluang kepada program tersebut untuk mdiadakan kembali pada musim depan. "Peratusan peningkatan undian meningkat sebanyak 102 peratus berbanding Akademi Fantasia 2013 lalu dan sebanyak 13 peratus peningkatan berbanding Akademi Fantasia musim pertama. "Ini menunjukan bahawa masyarakat menerima kembali program realiti ini dan rancangan kami untuk kembali kepada format asal berjaya," ujarnya.

 Sementara itu, juara Akademi Fantasia 2014, Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir, 25, berkata, kemenangannya merupakan rezeki yang tidak dijangka. Dia juga tekad menjadikan bidang nyanyian ini sebagai kerjaya selepas hampir dua tahun menganggur. "Alhamdulillah saya sangat tidak jangka kemenangan ini kerana ini pertama kali saya menyertai pertandingan nyanyian. "Tujuan utama saya menyertai pertandingan ini adalah untuk mengubah nasib keluarga saya yang hidup dalam keadaan susah, selepas ini Insya-Allah saya akan teruskan perjuangan dalam industri seni suara," katanya.

Dalam pada itu, Firman berkata, wang kemenangan tersebut akan digunakan untuk menghantar kedua ibu bapanya mengerjakan umrah, sementara sejumlah lagi akan didermakan kepada tabung Palestin. "Saya sudah bernazar jika menang saya akan bawa ibu bapa saya menunaikan umrah dengan wang tersebut, saya tahu kemenangan ini juga disebabkan doa daripada mereka. "Selain itu, saya juga ingin memberi sedikit sumbangan kepada tabung Gaza, Palestin kerana simpati dengan nasib rakyat di sana yang memerlukan bantuan," katanya. Dalam AF 2014 yang berakhir pada Ahad, Firman membawa pulang wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta Toyota Vios.

Lelaki tikam diri sendiri selepas lakukan siasatan fenomena paranormal di lokasi pembunuhan



Lelaki tikam diri sendiri selepas lakukan siasatan fenomena paranormal di lokasi pembunuhan | Seorang lelaki menikam dirinya sendiri awal Jumaat lalu ketika melakukan siasatan fenomena paranormal di sebuah rumah yang menjadi lokasi pembunuhan dua dewasa dan enam kanak-kanak di Iowa pada 1912. Robert Laursen, 37, melakukan siasatan di rumah digelar 'Villisca Ax Murder House'-yang kini juga menjadi tarikan pelancong di sebuah bandar kecil apabila tiba-tiba menikam dirinya di dada sekitar jam 12.45 tengah malam.


Pejabat Syerif Daerah Montgomery dalam satu kenyataan berkata, Laursen dibawa ke hospital tempatan sebelum diterbangkan menggunakan helikopter ke Pusat Perubatan Creighton di Omaha untuk rawatan lanjut. Polis tidak mendedahkan senjata yang digunakannya dan motif kejadian tidak diketahui. -AP




.

Pelumba kereta maut dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban


Pelumba kereta maut dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban | Kegembiraan pelumba kereta warga Singapura meraikan kemenangannya dalam perlumbaan Supercar Drag Race 2014 pada Sabtu lalu tidak bertahan lama apabila atlet itu terbunuh dengan kepalanya tertusuk besi dalam kemala­ngan di Kilometer 3.9 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Desa Pe­taling di sini semalam.


Dalam kejadian ngeri pada pukul 2.15 pagi itu, Kwek Kun Chon, 35, ditemui mati tersepit dalam kereta mewah jenis Porsche 911 Turbo yang dipandunya. Turut terbunuh bersama pelumba kereta itu ialah rakannya seorang jurugambar Franco Toh, 42, juga rakyat Singapura. Kedua-dua sahabat itu mengalami kecederaan parah di badan dengan mayat ma­sing-masing ditemui da­lam kereta mewah yang remuk teruk.


Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kende­raan itu dipandu laju melebihi 160 kilometer sejam. Difahamkan, semasa kejadian Kun Chon dan Franco dalam perjalanan menuju ke Ampang bagi meraikan kemenangannya menjuarai Supercar Drag Race 2014 sebelum merancang pulang ke Singapura pada petang semalam. -Kosmo




.

Gelagat pencuri yang mencuri didalam masjid ketika jemaah solat, dirakam oleh cctv



Gelagat pencuri yang mencuri didalam masjid ketika jemaah solat, dirakam oleh cctv | Setiap kali sujud, dia dengan pantas mencuri beg tangan milik jemaah wanita yang diletakkan di depan saf dan perbuatan itu dilakukannya berulang kali. Itu aksi seorang pencuri remaja dipercayai berusia belasan tahun yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Al-Ikhwaniah Taman Cheras Utama, di sini, pada malam Jumaat lalu. Kejadian berlaku di ruang solat wanita ketika beberapa jemaah menunaikan solat Maghrib, jam 7.10 malam.

Nazir masjid itu, Abd Karim Md Nor berkata, pihaknya mengambil inisiatif memasang CCTV sejak sebulan lalu berikutan kejadian mencuri yang semakin menjadi-jadi. "Sebelum ini seorang wanita yang mengajar mengaji di masjid berkenaan turut kehilangan wang tunai serta barang kemas. Duit tabung masjid juga pernah dicuri dan bilik imam juga cuba dipecah masuk. -Metro



.

Isteri redha suami meninggal dunia dalam kemalangan tragis..


Isteri redha suami meninggal dunia dalam kemalangan tragis.. | “Terasa berat saya hendak melepaskan tangan ketika bersalam dengannya pagi tadi (semalam) dan selepas kejadian baru sedar ia salam terakhir daripada suami,” kata Azila Rosli, 38. Dia adalah isteri kepada Ahmad Mahyuddin Mohammad, 30, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 135, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung FELDA Belara, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 7 pagi itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Belara berkenaan memandu Proton Saga dari rumahnya di Kampung Tok Jiring, di sini menuju ke sekolah berseorangan sebelum bertembung dengan Honda City dari arah Setiu menuju ke Kuala Terengganu sebaik melepasi selekoh Kampung FELDA Belara terbabit.

Akibat insiden itu, lelaki lingkungan 30-an yang memandu Honda City parah di bahagian kaki dan badan manakala guru berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan. Menurut Azila yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain di Maras, di sini, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi kenalan suami memaklumkan kemalangan menimpa pasangannya itu dan bergegas ke tempat kejadian. “Sebaik tiba di lokasi, saya lihat tubuh suami terbujur kaku di dalam kenderaan polis. “Saya kuatkan semangat dan cuba menenangkan tiga anak berusia dua hingga lima tahun yang belum mengerti pemergian ayahnya.

“Saya sebak apabila hasrat arwah untuk menghadiri usrah dengan saya dan anak minggu ini tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam. Guru Besar SK LKTP Belara Mat Saat Ibrahim berkata, arwah adalah seorang yang disayangi murid dan banyak berjasa kepada sekolah. Menurutnya, pihaknya berharap keluarga arwah tabah menerima ketentuan Ilahi dan meminta semua kenalan mendoakan ketenangan arwah. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!