Wednesday, November 12, 2014

Punca gangguan elektrik di Sabah dikenal pasti


Punca gangguan elektrik di Sabah dikenal pasti | Kadar jidar simpanan yang tipis bagi memenuhi keperluan semasa waktu puncak dan kecurian elektrik dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah gangguan bekalan yang kerap berlaku di Sabah, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, jaringan penghantaran dan pengagihan elektrik yang masih belum kukuh juga menyebabkan lucutan beban terpaksa dilakukan pada masa-masa tertentu. "Selain itu, kementerian mendapati bahawa pada separuh tahun 2014, komponen penjanaan merupakan penyumbang terbesar kepada gangguan bekalan elektrik di Sabah.

"Kekurangan kapasiti penjanaan dan henti tugas tidak berjadual yang terpaksa dilakukan oleh stesen-stesen jana kuasa sama ada milik persendirian atau SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) terpaksa dilakukan dan seterusnya menyebabkan gangguan bekalan," katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu punca masalah gangguan elektrik di Sabah serta pelan jangka panjang dan pendek kerajaan untuk mengatasinya.

Ongkili berkata, antara langkah yang telah diambil ialah pembinaan Stesen Janakuasa Kimanis Power melibatkan tiga unit jana kuasa serta stesen Janakuasa Cash Horse, yang menyumbang kepada peningkatan bekalan. Selain itu, kerajaan juga sedang merancang beberapa projek penjanaan kuasa lain termasuk di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu pada 2016 hingga 2018. Dalam pada itu, Ongkili berkata, kementerian juga telah menambah sistem perlindungan kilat bagi memperkukuh sistem penghantaran dan pengagihan elektrik yang terdedah kepada gangguan cuaca. - Bernama




.

Apakah?? 22 orang imam dipenjarakan atas kesalahan menyebarkan Islam



Apakah?? 22 orang imam dipenjarakan atas kesalahan menyebarkan Islam | Masyarakat Islam di Xinjiang, barat China, sekali lagi ditindas apabila sebanyak 22 orang imam dipenjarakan atas kesalahan menyebarkan Islam. Menurut laporan agensi berita rasmi kerajaan, China News Service, hukuman penjara dari lima hingga 16 tahun itu dijatuhkan dalam satu majlis sabitan kesalahan secara beramai-ramai di sini, semalam. Selain imam, ketua agama yang masih melaksanakan aktiviti agama selepas dipecat dan individu yang melanggari undang-undang ketika berada dalam sektor kerajaan, turut dipenjara.

Tertuduh yang lain didakwa menghasut kebencian kaum, me­lakukan provokasi dan terlibat dalam pergaduhan. Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit dalam satu kenya­taan mengutuk hukuman berke­naan sebagai penindasan agama dan cubaan untuk menidakkan hak etnik Uighur. “Perbuatan membeza-bezakan agama yang sah dan tidak sah dibuat berdasarkan keperluan politik kerajaan. Secara dasarnya, etnik Uighur tidak mempunyai hak ber­agama,” katanya. – AFP



.

Polis Pakai Sut 'Donald Duck' Kesan Pemandu Tidak Benarkan Itik Melintas



Polis Pakai Sut 'Donald Duck' Kesan Pemandu Tidak Benarkan Itik Melintas  | PEMANDU harus berhentikan kenderaan dan benarkan kartun Walt Disney, Donald Duck, melintas jalan atau ia akan menimbulkan kesusahan kepada mereka. Ini kerana, pemandu akan didenda $230 (£144) hanya kerana tidak benarkan kartun Disney itu melintas di Fort Lee, New Jersey ketika sambutan Haloween. Ia nampak seperti menyusahkan pemandu kerana tiba-tiba menjadi satu kesalahan apabila mereka tidak memberhentikan kenderaan untuk membenarkan watak kartun melintas.

Bagaimanapun perkara tersebut tidak disukai oleh polis Amerika Syarikat kerana mereka bimbang tindakan tersebut akan menggalakkan pejalan kaki melintas di tempat yang tidak dibenarkan. Sementara itu, ada juga pegawai polis yang memakai sut watak kartun Donald Duck untuk menangkap pemandu yang enggan berhenti. Seorang pemandu yang didenda kerana kesalahan tersebut membidas tindakan pihak berkuasa dengan menyifatkan ia sebagai hukuman yang tidak adil. "Mereka beritahu saya didenda hanya kerana tidak benarkan seekor itik melintas," kata Karen Haigh kepada Eyewitness News. Tambahnya,"Itik ini sangat besar dan ia menakutkan saya." -AP




.

Akibat kurang staf kerana kerap cuti bersalin, hospital laksana arahan harus ambil pil perancang atau dipecat



Akibat kurang staf kerana kerap cuti bersalin, hospital laksana arahan harus ambil pil perancang atau dipecat | Gara-gara kekurangan staf akibat kekerapan cuti bersalin, sebuah hospital di ibu negara Thailand melaksanakan langkah drastik apabila mengeluarkan arahan kontroversi untuk petugas wanita supaya mengambil pil perancang atau berdepan tindakan dipecat. Menurut laporan portal Mail Online, arahan tersebut dikeluarkan oleh jabatan farmasi Hospital Rajavithi di Bangkok dan telah ditandatangani lebih 25 staf sebagai memaklumkan mereka akur dengan peraturan itu. “Bermula 30 Oktober ini sehingga 31 Disember 2015, semua staf wanita perlu mengambil pil perancang. Anda tidak dibenarkan mengandung. Sesiapa yang didapati mengandung akan dipecat,” jelas arahan tersebut.

Gambar yang menunjukkan arahan itu turut disebarkan dalam laman sosial, sekali gus mengundang kritikan masyarakat tentang sikap prejudis pihak pentadbiran hospital yang secara terang-terangan melanggar hak asasi petugas. Selain itu, arahan berkenaan bertentangan dengan undang-undang buruh Thailand yang membenarkan petugas wanita mengambil cuti bersalin selama 90 hari. Ekoran bantahan orang ramai dan staf hospital itu sendiri, Pengarah Hospital Rajavithi, Dr. Udom Chaowarin membatalkan arahan tersebut dan mendakwa peraturan terbabit tidak pernah diluluskan olehnya.

Beliau menjelaskan bahawa arahan itu merupakan mesej dalaman jabatan farmasi yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga kerja wanita dan sering kekurangan staf akibat cuti bersalin. “Memandangkan arahan itu melanggar undang-undang, saya telah berjumpa dengan ketua jabatan yang kemudiannya menerangkan tindakannya bertujuan merayu kerjasama staf agar tidak cuti bersalin. “Kami bersetuju membatalkan arahan tersebut dan semua staf wanita tidak perlu bimbang untuk mengandung kerana jabatan farmasi boleh mengadu kepada pihak pengurusan jika kekurangan orang,” katanya. -AP





.

Lelaki dalam proses perceraian bertindak masukkan kereta isteri dalam sungai



Lelaki dalam proses perceraian bertindak masukkan kereta isteri dalam sungai  | Seorang lelaki yang dalam proses perceraian memandu kereta merah Corvette milik isterinya masuk ke dalam sungai. Kejadian itu menyebabkan polis melancarkan usaha mencari mangsa yang kemungkinan berada di dalam kenderaan itu. Seorang saksi yang menelefon polis mengenai kereta di dalam Sungai Delaware itu berkata, dia melihat seorang lelaki memandu kenderaan berkenaan di tebing sungai sebelum keluar dan membiarkan kereta itu jatuh ke dalam sungai.

 “Saya fikir dia amat berang dengan isterinya hingga menenggelamkan kereta itu ke dalam sungai,” kata jurucakap polis, Scott Small, semalam. Menurutnya, unit polis marin terpaksa dipanggil untuk memeriksa kereta itu di dalam sungai berkenaan bagi memastikan tiada mangsa berada di dalamnya. Kereta itu kemudian ditarik naik ke darat menggunakan trak tunda. Small berkata penyiasat mendapati lelaki berusia 50 tahun itu datang ke kediaman isterinya dan mencuri kereta berkenaan. - AP




.

Punca Maghribi digugurkan selaku tuan rumah Piala Negara Afrika 2015



Punca Maghribi digugurkan selaku tuan rumah Piala Negara Afrika 2015 | Maghribi digugurkan daripada status menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Negara-negara Afrika 2015 dan skuad kebangsaan negara berkenaan juga tersingkir. Menurut Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), keputusan itu dibuat selepas negara dari Afrika utara itu mahu menangguhkan kejohanan itu gara-gara bimbang dengan epidemik Ebola.

Kenyataan dari CAF berkata negara lain sudi menjadi tuan rumah dan badan induk itu akan membuat keputusan negara hos yang bakal dipilih tidak lama lagi. Badan berkenaan juga akan mengesahkan tempat dan tarikh bagi undian untuk pusingan akhir kejohanan pada masa yang sama. Tarikh yang diletakkan untuk kejohanan itu adalah dari 17 Januari sehingga 9 Februari 2015. - AFP




.

Anak sulung David Beckham, tandatangan perjanjian bersama Arsenal



Anak sulung David Beckham, tandatangan perjanjian bersama Arsenal | BROOKLYN Beckham iaitu anak sulung kepada bintang bola sepak dunia, David Beckham dilaporkan telah menandatangani perjanjian jangka pendek bersama Arsenal. Brooklyn, 15, yang sedang menjalani latihan di akademi Arsenal akan mewakili skuad bawah 16 tahun kelab tersebut. Anak kepada bekas ketua pasukan England itu dilaporkan turut mendapat perhatian daripada Chelsea dan Manchester United.Dia juga pernah menjalani ujian pemilihan pemain yang diadakan oleh Chelsea, United, Queens Park Rangers dan Fulham.

Brooklyn yang bermain di posisi sayap kanan akan ditawarkan kontrak sebagai pemain profesional jika berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan dalam tempoh perjanjian tersebut.Pemain muda hanya dibenarkan menurunkan tandatangan sebagai pemain profesional ketika berusia 17 tahun. Bapanya, David sebelum ini telah menempah nama di Manchester United di bawah kendalian Alex Ferguson, namun mereka mempunyai hubungan lebih akrab dengan Arsenal.


David mempunyai hubungan baik dengan Arsenal apabila dia diberikan peluang untuk berlatih dengan Arsenal pada Januari tahun lalu untuk kekal cergas selepas meninggalkan LA Galaxy. Dia kemudian mewakili Paris Saint-Germain sebelum bersara sebagai pemain pada usia 39 tahun.Selain Brooklyn, dua lagi anak David iaitu Cruz, 9, kini beraksi untuk pasukan bawah 10 tahun manakala abangnya, Romeo, 12, mewakili skuad bawah 13 tahun Arsenal. -AP




.

Punca seorang remaja tidak boleh buka mulut sejak 8 tahun yang lalu


Punca seorang remaja tidak boleh buka mulut sejak 8 tahun yang lalu | Seorang remaja belasan tahun buat pertama kali dalam masa lapan tahun, mampu membuka mulutnya selepas menderita akibat satu kemalangan yang menyebabkan rahangnya melekat pada pangkal tempurung kepalanya. Shivam Sharma dari Hathras, Uttar Pradesh di India, tidak boleh makan atau bercakap sejak jatuh dari bumbung rumahnya.


Kecederaan yang dialaminya juga menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas hingga menyukarkan dia tidur. Bagaimanapun, dua doktor berjaya membuat semula rahangnya menggunakan sendi tiruan. Kejayaan itu membolehkan Sharma menganga dan menggerakkan mulutnya semula. -AP

Lelaki warga emas maut selepas kaki digilis treler yang merempuh motosikalnya


Lelaki warga emas maut selepas kaki digilis treler yang merempuh motosikalnya | Seorang lelaki warga emas maut selepas kakinya digilis treler yang merempuh motosikalnya dalam kemalangan di Kilometer 99, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat persimpangan Laloh, di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa Esa Deraman, 85, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK) akibat parah di kaki. Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pahi, di sini. Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan pulang selepas membeli barang di bandar Kuala Krai.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dirempuh treler berkenaan menyebabkan kakinya digilis kenderaan berat terbabit. “Akibat rempuhan itu, mangsa parah di kedua-dua kaki termasuk kaki kiri hancur akibat digilis kenderaan berat berkenaan. “Mangsa mulanya dibawa ke HKK untuk rawatan kecemasan, tetapi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, anak bongsu mangsa, Omar, 52, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan sekerja yang memaklumkan bapanya dirawat di HKK. Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di HKK, dia dimaklumkan bapanya sudah menghembuskan nafas terakhir. “Ayah menetap di Kampung Depek, Gua Musang dan sudah menjadi kebiasaan dia akan keluar ke bandar sekali-sekala untuk mencari barang keperluan. Kali terakhir saya bertemu arwah sebelum Aidiladha lalu. Apapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya. -Metro




.

Kanak-kanak tanggung kesakitan lebih sejam selepas jari hantunya tersangkut dalam lubang pada tempat duduk di hentian bas



Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun menanggung kesakitan lebih sejam selepas jari hantunya tersangkut dalam lubang pada tempat duduk di hentian bas seberang Hospital Sibu, petang ini. Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, jari mangsa bengkak selepas tersepit menyebabkan anggota bomba dan penyelamat terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa. Pegawai Bomba Kanan II Balai Sungei Merah Azman Hanapis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.36 petang sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi. "Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memotong logam berkenaan selepas jarinya semakin membengkak. Operasi tamat pada jam 3.42 petang. "Kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," katanya. -Metro




.

Seorang pelajar tempuh pengalaman mengerikan selepas kain seragamnya terbelit di motorsikal


Seorang pelajar tempuh pengalaman mengerikan selepas kain seragamnya terbelit di motorsikal | Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh pengsan empat jam dan patah kaki kiri selain terkoyak daging dan terseliuh buku lali apabila terbabit kemalangan selepas kain pakaian seragamnya terbelit di celah lidi motosikal diboncengnya di Kilometer 2, Jalan Lapangan Terbang Kerteh dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku ketika Wan Siti Sulyza Wan Manssor, 17, membonceng motosikal bersama rakannya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Ranggong di sini selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Difahamkan, mangsa mendapat bantuan anggota bomba daripada Balai Bomba Kerteh yang tiba sejam kemudian, untuk mengeluarkan kakinya yang tersepit di celah lidi motosikal dan membawa ke Klinik Kesihatan Kerteh sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman. Ketika ditemui di Hospital Kemaman, hari ini, Wan Siti Sulyza berkata, selepas terasa kakinya disepit sesuatu dia terus tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku ke atas dirinya selama kira-kira empat jam.

"Saya tak tahu apa berlaku dan bila sedar jam 6 petang semalam, saya dah berada di sini (Hospital Kemaman) lalu terus menangis menahan kesakitan amat sangat," katanya. Sementara itu, ibu mangsa, Mahani Mamat, 47, berkata, anaknya akan tetap akan mengambil baki kertas SPM di hospital berkenaan memandangkan masih tidak mampu berjalan. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!