Friday, November 14, 2014

Kenali pulau cantik yang merupakan ‘penjara’ paling tragis di dunia, Pulau Poveglia



Kenali pulau cantik yang merupakan ‘penjara’ paling tragis di dunia, Pulau Poveglia | MUNGKIN ramai yang tidak tahu sejarah di sebalik keindahan Pulau Poveglia, iaitu salah satu pulau kecil yang terletak di Itali. Terletak di antara sempadan Itali dan Lido, pulau in dikatakan menyimpan sejarah yang agak menakutkan. Sejarah bagi pulau ini bermula pada tahun 1379 apabila ia dikatakan menjadi tempat persembunyian bagi pelarian perang ketika berlakunya siri peperangan di Eropah. Pulau ini tidak didiami oleh sesiapa pada abad-abad berikutnya. Kisah hitam pulau ini dicatatkan pada tahun 1793 apabila serangan wabak penyakit melanda Itali. Dikatakan, pulau tersebut menjadi lokasi ‘ideal’ bagi kerajaan Itali untuk mengkuarantin pesakit bagi wabak bubonik, taun, denggi dan sebagainya daripada menjangkiti atau menyebarkan virus kepada penduduk di tanah besar Itali.


Menurut masyarakat tempatan, pesakit yang dihantar ke pulau itu akan dibakar hidup-hidup atau dibiarkan kelaparan sehingga mati. Malah ada yang mengatakan, sebilangan pesakit yang dibawa ke pulau itu akan dicampakkan ke dalam sebuah lubang yang dipenuhi rangka dan tengkorak manusia. Pada tahun 1922, sebuah rumah sakit jiwa dibangunkan di pulau indah itu. Namun wujud pelbagai laporan mengatakan, kesemua pesakit jiwa yang mendapat rawatan di pulau tersebut mati akibat kekejaman doktor yang melakukan pelbagai uji kaji dan eksperimen kejam ke atas pesakit mereka.


Dikatakan, doktor yang merawat pesakit-pesakit di hospital sakit jiwa itu membunuh diri dengan terjun dari menara lama yang terdapat di hospital berkenaan. Pulau itu terbiar tanpa penghuni sejak tahun 1968. Sehingga kini, Pulau Poveglia seluas 68 kilometer persegi ini mencatatkan kematian sehingga 160,000 nyawa. Menurut laporan portal The Telegraph pada April tahun ini, pulau tersebut sedang dilelong oleh kerajaan Itali untuk dibangunkan kepada pusat peranginan mewah. Hasil carian Sinar Harian Online menerusi aplikasi satelit Google Map menunjukkan bangunan lama pulau tersebut masih dikekalkan sehingga kini. Namun pulau itu dilaporkan mulai dikawal ketat oleh pihak kerajaan dan ditutup kepada pelawat mulai tahun ini. -AP




.

Pelakon terkenal dedah punca terpaksa solat di kawasan parkir PWTC



Pelakon terkenal dedah punca terpaksa solat di kawasan parkir PWTC | Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan tindakannya menunaikan solat di parkir Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ke majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada 7 November lalu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Zahiril, 29, berkata, dia terpaksa menunaikan solat Maghrib di kawasan letak kereta tersebut berikutan sudah kesuntukan masa selepas berkejar-kejar dari lokasi penggambaran untuk menghadiri majlis berkenaan. "Saya terpaksa menunaikan solat Maghrib di parkir kerana waktu solat sudah suntuk dan saya sudah mengagaknya. Jadi selepas selesai penggambaran saya pulang ke rumah untuk ambil isteri saya dan ketika itu saya sudah siap-siap ambil air sembahyang.

"Selepas sampai sahaja di PWTC saya cari tempat tersorok untuk bersembahyang kerana kalau saya bergegas ke surau sudah tentu penuh, lagi pun saya takut air sembahyang terbatal jika ada yang ingin bergambar ketika dalam perjalanan ke surau," ujarnya kepada mStar Online. Zahiril berkata demikian ketika diminta mengulas apabila gambarnya sedang bersembahyang di kawasan parkir sebelum bermula majlis ASK 2014 tersebar dan dibualkan di laman sosial. Gambar dirakamkan oleh peminat yang melihat situasi itu menyebabkan Zahiril dituduh mahu menunjuk-nunjuk kerana tidak menunaikan solat di surau yang disediakan di PWTC.


Jelas Zahiril, dia sendiri terkejut apabila diberitahu tentang gambar itu tersebar dan diperkatakan di laman sosial. "Saya rasa ia tidak elok untuk disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah seperti ini, saya pun tidak perasan siapa yang mengambil gambar tersebut. Kalau benar saya mahu menunjuk-nunjuk baik saya sembahyang di red carpet sahaja. "Saya sudah cari tempat paling sunyi yang tidak ada orang ramai, namun saya tahu ada pengawal keselamatan berhampiran kerana takut kalau ada apa-apa berlaku ketika sedang solat," katanya. -Mstar




.

Misteri kemunculan harimau yang gemparkan kota Paris



Misteri kemunculan harimau yang gemparkan kota Paris | Polis dan pasukan bomba Perancis terpaksa dikerah selepas penduduk tempatan di Seine-et-Marne berjaya merakam gambar seekor harimau yang dipercayai terlepas tidak jauh dari Disneyland Paris, semalam. Dengan dibantu sebuah helikopter, bomba yang dibantu senjata `melumpuh’ menggiatkan usaha menjejaki haiwan itu yang tidak dapat dipastikan dari mana asalnya sejak pagi di daerah tersebut. Seorang penduduk tempatan mengesan haiwan itu di sebuah parkir pasar raya dan mengambil gambar sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.

Penduduk bandar Montevrain kemudiannya memaklumkan pada laman Facebook mereka bahawa harimau itu dikesan berada di dalam belukar di belakang gelanggang tenis dan padang bola yang terletak hanya sembilan kilometer dari taman tema itu. Pihak berkuasa bandar dalam satu kenyataan berkata, polis dan pasukan penyelamat sudah berada di lokasi dan membuat kepungan menutup kawasan tersebut dan menasihatkan orang ramai tidak menghampiri kawasan tersebut. - AFP




.

Bekas penjaga gol kebangsaan, Peter Rajah meninggal dunia di Sandakan


Bekas penjaga gol kebangsaan, Peter Rajah meninggal dunia di Sandakan | Bekas penjaga gol kebangsaan Peter Rajah, 63, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini pada jam 6.16 pagi ini. Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Datuk Louis Rampas berkata, mendiang dimasukkan ke HDOK kira-kira jam 6 pagi Rabu lalu akibat sakit jantung. Menurut Louis, mendiang sering menerima rawatan susulan di hospital berkenaan akibat masalah jantung. "Mendiang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), dua hari lalu sebelum koma dan meninggal dunia pagi tadi," katanya.

Mendiang yang sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Kompleks Sukan Sandakan, meninggalkan balu Tracie Gom dan tiga anak. Peter mewakili negara pada era awal 80-an bersama Hassan Sani dan James Wong yang mewarnai sukan bola sepak Sabah dan Kebangsaan ketika itu. Mendiang mewakili Sabah sejak 1972 hingga 1995 selain pernah beraksi untuk skuad kebangsaan bersama mendiang R Arumugam. -Metro




.

Remaja ditahan polis disyaki buang janin dekat kubur



Remaja ditahan polis disyaki buang janin dekat kubur  | Seorang remaja perempuan ditahan polis susulan penemuan satu janin di tepi perhentian bas berhampiran tanah perkuburan di Jalan Kebun Teh di sini, semalam. Remaja berusia 16 tahun itu ditahan selepas disyaki membuang janin berkenaan yang diletakkan dalam sebuah kotak di bawah rimbunan pohon buluh di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, janin yang cukup sifat itu dianggarkan berusia 18 minggu.

Beliau berkata, suspek terbabit dipercayai membuat pengguguran haram di sebuah hospital swasta hasil persetubuhan yang tidak sah. "Polis menjalankan siasatan rapi dan dalam tempoh empat jam, kami berjaya mengesan suspek yang dipercayai ibu kepada janin terbabit," katanya. -Metro




.

Ngeri! Lelaki muncul di hospital dengan kayu 15 inci terpacak pada mukanya



Ngeri! Lelaki muncul di hospital dengan kayu 15 inci terpacak pada mukanya | Seorang lelaki nyaris maut selepas jatuh di atas sebatang kayu hingga menyebabkan kayu itu tertembus kepalanya. Kakitangan sebuah hospital di Poland terkejut melihat Kamil Podwinski tiba di hospital itu dengan kayu 15 inci itu terpacak pada mukanya. Lelaki berusia 40 tahun itu memberitahu jururawat, dia sedang bekerja di rumahnya apabila jatuh muka dulu pada batang kayu berkenaan.

Menurut akhbar New York Post, kayu itu menembusi bawah bola mata Pondswinski dan menembusi hingga ke belakang tengkuknya. Anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membantu apabila kakitangan hospital bimbang mereka tidak dapat mencabut kayu itu tanpa menyebabkan kecederaan lebih lanjut. Jurucakap bomba Sebastian Andrezejewski berkata: "Kami menerima panggilan untuk membantu mencabut kayu dari muka seorang lelaki. -AP




.

Nelayan menemui sesuatu yang mengerikan ketika memotong perut seekor jerung harimau



Nelayan menemui sesuatu yang mengerikan ketika memotong perut seekor jerung harimau | Lima nelayan menemui sesuatu yang mengerikan apabila memotong perut seekor jerung harimau yang mereka tangkap di perairan sekitar Filipina. Bodoy Gorgod, 48, berkata, dia dan rakannya menangkap ikan itu di laut antara Pulau Bohol dan Camigiun yang dianggar seberat 590 kilogram. Apabila memotong perut ikan itu, mereka menemui kepala dan sebelah kaki manusia. “Ia sungguh memualkan. Kami tidak tahan baunya,” kata Gorgood kepada akhbar Minda News.

“Saya mula menangkap ikan ketika berusia 20 tahun dan ini kali pertama saya menemui anggota manusia dalam ikan,” kata Gorgod. Nelayan berkenaan mencampakkan semula bangkai ikan itu ke laut kerana bimbang ia membawa nasib buruk jika dibawa pulang. Penduduk tempatan percaya kepala dan kaki itu milik seorang mangsa feri MV Maharlika yang karam di luar pantai Leyte Selatan pada 13 September lalu.

Kira-kira 100 penumpang diselamatkan oleh kapal yang berada di kawasan itu ketika itu, tetapi dua lagi diisytihar hilang. Seorang isteri kepada nelayan berkenaan berkata, dia akan membuang rahang dan sirip ikan yang dibawa pulang suaminya. “Saya tidak mahu melihatnya selepas tahu jerung berkenaan memakan manusia. Saya bimbang roh mangsa akan datang ke rumah kami,” katanya. - Agensi




.

Lelaki sempat rakam gambar sebelum maut


Lelaki sempat rakam gambar sebelum maut | Kebanyakan mayat mangsa terkorban dalam letusan gunung berapi di Jepun pada awal musim luruh baru-baru ini, dijumpai memegang telefon bimbit yang mengandungi gambar pada saat-saat akhir sebelum mereka menemui ajal. Media tempatan melaporkan, lebih separuh daripada 56 mayat yang ditemukan dalam bencana alam di puncak Gunung Ontake, Honsu pada September lalu memegang telefon bimbit mereka. Antara mangsa yang terbunuh merupakan seorang pendaki, Izumi Noguchi, 59, yang mayatnya dijumpai berdekatan kawasan puncak gunung tersebut.

Pasukan mencari dan menyelamat menemukan mayat Noguchi dengan kameranya yang mengandungi gambar-gambar menunjukkan kumpulan asap dan debu mendekatinya selepas gunung itu meletus. Isteri Noguchi, Hiromi mendedahkan imej tersebut kepada umum sebagai memperingati kematian suaminya. “Saya berharap ketika itu dia menyelamatkan diri berbanding mengambil gambar-gambar berkenaan,’’ katanya kepada akhbar Guardian.


Seorang lagi mayat pendaki, Hideomi Takahasi, 41, ditemukan berdekatan puncak dengan telefon bimbit jenama iPhone masih lagi berfungsi. Seorang rakan keluarga Takahashi menyiarkan gambar di Internet selepas majlis pengebumiannya dan memaklumkan media tempatan bahawa telefon bimbit tersebut mengandungi enam keping gambar menunjukkan saat-saat akhir sebelum pendaki itu terbunuh.-AP




.

Misteri penemuan mayat wanita dalam lubang kumbahan di sebuah rumah banglo



Misteri penemuan mayat wanita dalam lubang kumbahan di sebuah rumah banglo | Seorang wanita dipercayai warga Indonesia ditemui mati di dalam lubang kumbahan di sebuah rumah banglo di Jalan Setia Murni 11, Bukit Damansara di sini, dipercayai dibunuh tiga bulan lalu. Menurut sumber polis, mayat ditemui kira-kira jam 6.30 petang ini dalam keadaan reput dan tidak sempurna anggota badan. Sumber polis berkata mayat ditemui orang awam yang terhidu bau busuk sebelum bertindak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Beberapa individu turut ditahan sebaik mayat wanita itu dijumpai bagi membantu siasatan. “Banglo ini masih belum siap sepenuhnya, dan polis masih menyiasat sama ada mayat wanita ini sengaja di buang di kawasan ini atau sebaliknya," kata sumber. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat itu dan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan. -Metro



.

Lelaki dipenjara kerana cuba bunuh diri


 Lelaki dipenjara kerana cuba bunuh diri  | Seorang lelaki dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh diri di dalam lokap Balai Polis Melaka Tengah September lalu. Tertuduh A Vikneswaran, 36, dari Taman Merdeka di sini, dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh diri di lokap polis kira-kira jam 11.40 pagi, pada 8 September 2014. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian anggota polis yang menjaga lokap terdengar bunyi bising di sel berkenaan dan apabila melakukan pemeriksaan dia terkejut melihat tertuduh menggantung diri dengan menjerut leher menggunakan cebisan seluar yang diikat pada besi. Melihat keadaan itu, anggota polis kemudian menghalang tindakan tertuduh dan menyelamatkannya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhafiza Haron yang mengendalikan kes memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sama ada denda atau penjara terhadap tertuduh. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon dikenakan hukuman penjara dengan tempoh yang lama. ''Jika boleh saya hendak penjara lebih dua tahun atau lebih dari itu kerana keluarga saya sudah tidak terima saya lagi,'' katanya. Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Norina kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara setahun bermula pada tarikh jatuh hukum. -Metro



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!