Sunday, November 30, 2014

David Beckham kemalangan selepas ambil anaknya di pusat latihan Arsenal





David Beckham kemalangan selepas ambil anaknya di pusat latihan Arsenal | Lagenda bola sepak England, David Beckham terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas mengambil anaknya, Brooklyn di pusat latihan Arsenal pada pagi Sabtu. Dalam kemalangan berhampiran pusat latihan tersebut, Beckham dan anaknya tidak mengalami kecederaan, tetapi kereta yang dipandu bekas pemain Manchester United itu mengalami kerosakan teruk. Sebelum kejadian, Beckham, 39, menyaksikan anak sulungnya, Brooklyn, 15, mewakili skuad bawah 16 tahun Arsenal menentang Brington di London Colney, Hertfordshire.

Kejadian itu dilapor telah disaksikan oleh seorang pekerja pusat latihan akademi Arsenal. Saksi itu memberitahu, Beckham dan anaknya tidak mengalami kecederaan walaupun kelihatan terkejut, malah dia juga tidak bertengkar dengan pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu sebaliknya mereka bersalaman dan pulang. Beckham pulang dengan kereta lain bersama anaknya dan tidak pasti sama ada mereka ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut. -AP




.

Lelaki cuba rompak warga emas terima padah apabila dia ditangkap dan diikat separuh bogel di tiang lampu


Lelaki cuba rompak warga emas terima padah apabila dia ditangkap dan diikat separuh bogel di tiang lampu | Seorang lelaki yang cuba merompak warga emas menggunakan pisau menerima padah apabila orang ramai yang berang dengan perbuatannya menangkap dan mengikatnya separuh bogel di tiang lampu. Valentino Abeyta Barrera, 32, didakwa cuba merompak mangsa yang juga pesara dan apabila kejadian itu disedari orang ramai, mereka menahan dan terus memukulnya.

Mereka juga mengoyak baju dan menarik seluar Barrera sebelum mengikatnya pada sebatang tiang lampu di Santiago. Polis yang tiba 20 minit selepas itu kehairanan dan bertanyakan kejadian itu kepada Barrera, namun dia enggan berkata apa-apa sebaliknya hanya merayu dilepaskan. Ketika di balai polis, Barrera menolak untuk memfailkan aduan dan polis terpaksa membebaskannya kerana warga emas yang cuba dirompak itu juga tidak membuat sebarang laporan. -AP




.

Ajal lelaki tersepit pada tiang konkrit selepas hidupkan van dari luar



Ajal lelaki tersepit pada tiang konkrit selepas hidupkan van dari luar | Seorang lelaki maut selepas tersepit pada tiang konkrit apabila menghidupkan sebuah van dari luar di perkarangan lobi bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini, petang semalam. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu Norazam Abd Razak, 41, berdiri di luar pintu van dan dikatakan cuba menghidupkan enjin kenderaan berkenaan dari luar apabila ia melonjak ke depan. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa dipercayai tidak tahu gear van itu tidak berada dalam keadaan neutral. "Ia mengakibatkan kenderaan berkenaan berganjak ke depan dan mangsa tersepit antara pintu van dengan tiang konkrit berkenaan. "Mangsa yang cedera di dada meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. -Metro




.

Pramugari Turkish Airlines dipecat kerana berpakaian seksi


Pramugari Turkish Airlines dipecat kerana berpakaian seksi | Seorang pramugari dipecat selepas tindakan ‘menayangkan tubuhnya’ dalam video muzik dan beberapa sesi penggambaran diketahui majikannya. Zuhal Sengul, 31, menimbulkan kemarahan Turkish Airlines apabila mengambil bahagian dalam sesi penggambaran dengan berpakaian seksi termasuk korset dengan gaya ala gotik dalam sebuah majalah Itali. Malah, video muzik terbabit menampilkan Zuhal yang bertatu dan hanya memakai bikini menyebabkan syarikat penerbangan itu - yang kini bergerak ke arah imej lebih konservatif - mengambil tindakan memecat model sambilan terbabit. Perkara itu disahkan kenyataan Turkish Airlines.

“Pekerja di dalam sektor perkhidmatan dinasihati memakai mekap sederhana yang kemas dan berwarna pastel,” kata kenyataan itu. Tindakan terhadap Zuhal - yang juga aktif mempromosikan pemakanan vegetarian selain memiliki tali pinggang hitam karate - menampakkan pengaruh nilai Islam yang kini semakin popular di Turki. Presiden kesatuan pekerja syarikat penerbangan itu turut mengakui Turki semakin konservatif dan mengamalkan adab Islam. - Agensi




.

Kes perceraian termahal dicatatkan setakat ini



Kes perceraian termahal dicatatkan setakat ini | Isteri seorang pegawai kewangan di London, Chris Hohn dianugerahkan 337 juta pound (RM1.79 bilion) dalam satu kes penyelesaian penceraian paling mahal yang diputuskan oleh mahkamah Britain. Maklumat pembayaran kepada Jamie Cooper-Hohn, 49, didedahkan semalam selepas draf keputusan mahkamah itu diserahkan kepada peguam sebelum diumumkan. Peguam wanita tersebut dilaporkan sedang menimbang untuk mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pembayaran yang lebih besar.

Jamie berpisah dengan Chris selepas berkahwin selama 15 tahun dan mereka berebut aset bernilai lebih 700 juta pound (RM3.2 bilion). Pasangan suami isteri itu bertemu ketika mereka belajar di Universiti Harvard dan mempunyai empat orang anak. Chris pada awalnya dilaporkan menawarkan Jamie suku daripada jumlah aset tersebut, namun isterinya mendakwa kemewahan yang dicapai itu adalah hasil usaha mereka berdua.

Pakar undang-undang menyatakan, kes itu merupakan kes penyelesaian penceraian antara paling mahal di Britain, namun sukar untuk mengetahui sama ada ia merupakan yang paling tinggi kerana maklumat mengenainya tidak didedahkan Bagaimanapun, pembayaran itu mengatasi kes perceraian yang dipercayai paling mahal di Britain melibatkan mendiang hartawan Rusia, Boris Berezovsky pada 2011. Berezovsky dilaporkan membayar antara 165 juta pound (RM877 juta) dan 220 juta pound (RM1.169 bilion) kepada bekas isterinya, Galina Besharova. – AFP




.

Petrol RON95 turun harga empat sen seliter kepada RM2.26 bermula esok



Petrol RON95 turun harga empat sen seliter kepada RM2.26 bermula esok | Harga jualan runcit bagi petrol RON95 akan diturunkan kepada empat sen seliter kepada RM2.26 seliter selari dengan penurunan harga minyak global, bermula esok. Itu kandungan surat tersebar di media sosial, hari ini, yang dikeluarkan Kementerian Kewangan kepada pengusaha stesen minyak di seluruh negara. Surat berkenaan antara lain turut mendedahkan pengguna kenderaan di negara ini turut berpeluang menikmati penurunan sembilan sen seliter bagi RON97 kepada RM2.46 seliter (1 Disember) selain kenaikan tiga sen seliter bagi diesel kepada RM2.23 sen seliter.

Sumber Kementerian Kewangan ketika dihubungi mengesahkan penyebaran surat berkenaan beserta arahan penurunan harga bagi RON95 dan RON97 dan kenaikan diesel. Menurutnya, penurunan harga runcit petrol itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan mengguna pakai kaedah pengapungan terkawal bagi menetapkan harga petrol RON95 dan diesel setiap bulan. "Langkah itu dibuat selagi harga minyak dunia berada pada paras USD 80 setong ke bawah," katanya ketika ditemui, di sini. Sebelum ini, harga runcit RON95 ditetapkan pada harga RM2.30 seliter manakala, diesel pula ditetapkan kepada RM2.20 seliter.




.

Adik tak sangka mangsa kemalangan yang dilanggarnya hingga maut adalah abang sendiri


Adik tak sangka mangsa kemalangan yang dilanggarnya hingga maut adalah abang sendiri | Seorang lelaki tidak menyangka mangsa kemalangan yang dilanggarnya sehingga maut adalah abang kandungnya dalam kejadian membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 23 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, berhampiran Jambatan Sungai Atong, dekat sini, semalam. Malah, Azhar Husin, 32, dari Kampung Melayu, Sungai Lembing, dekat sini, hanya menyedari mangsa adalah abangnya Azhari 37, selepas mengecam motosikal Yamaha LC milik mangsa yang berada di tengah jalan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku jam 2 petang apabila Azhari yang menetap di Kampung Jelihang, Sungai Lembing, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlanggar belakang kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 26 tahun menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan. "Mangsa yang bekerja sebagai pembantu am rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dilanggar dan diseret kereta Perodua Myvi dipandu Azhar yang datang dari arah Sungai Lembing menuju ke bandar ini. -Metro



.

23% bayi mati akibat luka tali pusat dalam tempoh sebulan


 23% bayi mati akibat luka tali pusat dalam tempoh sebulan  | Seramai 23 peratus bayi meninggal dunia dalam tempoh sebulan pertama selepas dilahirkan akibat kesilapan memotong tali pusat di Pakistan. Malah jumlah kematian itu jauh lebih tinggi di kawasan pedalaman yang kekurangan kemudahan, menyebabkan proses kelahiran dikendalikan golongan kurang berkelayakan. Pengurus program Mercy Corps Shoaib Shahzad yang mendedahkan perkara itu dalam satu seminar semalam berkata, kematian berlaku akibat kesan jangkitan kuman ketika memotong tali pusat.

“Purata kematian neonatal di Pakistan adalah yang paling teruk di Asia Selatan iaitu 55 bayi bagi setiap 1,000 orang. “Malah jumlah ini lebih teruk daripada Afghanistan yang diselebungi peperangan iaitu hanya 36 kematian neonatal daripada 1,000 bayi,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, Bangladesh dan Nepal menunjukkan rekod lebih baik dengan purata 24 kematian bagi 1,000 orang, manakala di India 31 bagi setiap 1,000.

Shoaib berkata, 75 peratus daripada bayi yang mati dalam tempoh bulan pertama kelahiran tidak mampu bertahan lebih seminggu. Jumlah kematian kanak-kanak di bawah lima tahun juga paling teruk di catatkan di Pakistan (89/1,000) manakala Sri Lanka paling kurang (12/1,000). Ia satu-satunya negara yang menunjukkan jumlah kematian kanak-kanak lebih teruk sejak 1990 berbanding negara lain di rantau berkenaan yang jauh menunjukkan peningkatan. - Agensi




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!