Thursday, December 4, 2014

Reaksi Anwar Ibrahim berhubung keputusan menarik balik gelaran Datuk Seri oleh Sultan Selangor



Reaksi Anwar Ibrahim  berhubung keputusan menarik balik gelaran Datuk Seri oleh Sultan Selangor | Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung titah Sultan Selangor berhubung keputusan menarik balik Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) hari ini. “Saya mengambil maklum, berdasarkan kenyataan media Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, gelaran Datuk Seri telah ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014.

 “Gelaran ini telah dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang telah berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dalam pada itu, Anwar menambah, beliau akan tetap menjalankan tugasnya terutama dalam menjunjung Perlembagaan negara, Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen serta akan sentiasa mendokong perjuangan untuk meningkatkan martabat rakyat. “Pada masa yang sama, saya akan terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan rakyatnya,” katanya lagi.-SH




.

Ibu hanya mampu duduk dan meratap hiba di sisi mayat anak lelaki yang terkorban dalam kemalangan


Ibu hanya mampu duduk dan meratap hiba di sisi mayat anak lelaki yang terkorban dalam kemalangan | Pilu apabila seorang ibu hanya mampu terduduk dan meratap hiba di sisi mayat anak lelakinya yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Danau Kota, Setapak di sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, Mangsa, Muhammad Azly Razelan, 19, yang menunggang motosikal terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian berhampiran pusat beli-belah Festival City di sini. Ibu mangsa yang berusia 50-an bagaimanapun berkeras mahu pergi ke lokasi tragedi selepas dimaklumkan berhubung kematian anak bongsunya itu.

Difahamkan mangsa yang bekerja sebagai pembantu restoran makanan Arab kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gombak. Pegawai Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markhandan berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal Yamaha LC 135 maut akibat kecederaan di tubuh dan kepala. -Metro




.

Gelaran 'Datuk' Anwar Ibrahim telah ditarik balik.. tapi, ada lagi tiga ahli politik lain yang menerima nasib yang sama



Gelaran 'Datuk' Anwar Ibrahim telah ditarik balik.. tapi, ada lagi tiga ahli politik lain yang menerima nasib yang sama | Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ahli politik berprofil tinggi yang paling baharu ditarik balik gelaran 'Datuk Seri', tetapi beliau bukanlah satu-satunya ahli politik yang menerima nasib seperti itu. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menarik balik anugerah Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diberikan kepada Anwar dan membawa gelaran Datuk Seri berkuatkuasa 3 November, juga pernah menarik balik gelaran yang diberikan kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun 2011.

Dr Khir, yang berdepan tuduhan rasuah, digantung gelaran 'Datuk Seri' dengan syarat ia akan dikaji semula jika beliau didapati tidak bersalah dan bebas daripada kesalahan. Beliau kemudiannya didapati bersalah pada bulan Disember 2011 dan dijatuhi hukuman 12 bulan penjara. Gelaran ini belum dikembalikan kepadanya. Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang diberi gelaran 'Datuk' dibatalkan oleh istana Kelantan pada tahun 2010. Tiada sebab diberikan bagi pelucutan gelaran itu di mana beliau merupakan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas.


Beliau telah dianugerahkan gelaran itu pada tahun 2003 oleh Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra. Beliau juga telah dianugerahkan anugerah Datuk dari Melaka pada tahun 1994 dan Selangor pada tahun 1999. Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng juga ditarik balik dua gelaran Datuk oleh istana Johor pada tahun 2010. Chua turut menerima gelaran Datuk dari Pahang dan Selangor, masing-masing pada tahun 2002 dan 2003. Pada Khamis, Istana Selangor berkata Anwar telah dilucutkan gelaran yang diberikan kepadanya pada tahun 1992 kerana beliau telah "berulang kali mempersoalkan kewibawaan Sultan dalam menangani krisis Menteri Besar Selangor, dan juga mempersoalkan isu-isu lain yang berkaitan dengan Islam." Anwar juga dianugerahkan gelaran Datuk yang diberikan kepadanya dari hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia. -Mstar




.

Ketahui kewujudan hutan 'berhantu' lokasi popular bunuh diri



Ketahui kewujudan hutan 'berhantu' lokasi popular bunuh diri | Tidak seperti hutan biasa, Hutan Aokigahara yang terletak di Jepun ini dikatakan punyai rekod dan sejarahnya yang tersendiri. Menurut sumber daripada penduduk tempatan, hutan tersebut dijadikan lokasi terkenal bagi individu yang ingin membunuh diri. Ia terjadi selepas penerbitan novel Kuroi Jukai pada tahun 1960 iaitu novel percintaan yang mengisahkan sepasang kekasih membunuh diri di hutan tersebut, menjadikan lokasi tersebut popular bagi individu yang mempunyai tujuan yang sama. Dilaporkan lebih kurang 50 hingga 100 orang membunuh diri dalam setahun dengan menggunakan pelbagai cara di hutan tersebut. Hutan tersebut dikatakan ‘menyimpan’ begitu banyak mayat atau rangka manusia.


Keadaan itu bagaikan memberi peluang kepada kumpulan kongsi gelap Yakuza. Kumpulan ini akan mengupah pengemis atau gelandangan masuk ke hutan untuk mengambil barangan berharga yang ada pada individu yang mati di situ. Selain menerima kunjungan daripada individu yang bertujuan membunuh diri, hutan yang terkenal ini turut menerima kehadiran pelawat atau pengembara yang ingin merasai dan mengetahui misteri yang menyelubungi hutan tersebut. Lebih dari itu, antara objek lain yang ditemui adalah nota-nota ucapan selamat tinggal atau surat terakhir, menerangkan punca mereka mengambil jalan mengakhiri nyawa masing-masing.


Antara yang pernah dijumpai pengunjung yang memasuki hutan tersebut termasuklah mayat tergantung pada dahan atau batang pokok, tersepit di celah pokok atau rangka manusia di lantai hutan. Memetik sumber dari pada Wikipedia, hutan Aokigahara terletak di bahagian barat laut Pergunungan Fiji dengan keluasan 35 kilometer persegi. Keadaan hutannya begitu tebal sehingga mampu menyekat laluan angin, menjadikan suasana hutan tenang dan sepi. Tiada pemantauan ketat dilakukan untuk menghalang mana-mana individu masuk ke hutan tersebut bagi membunuh diri.


Ia kerana lokasinya yang agak jauh daripada petempatan dan keadaan hutannya yang begitu tebal, gelap licin dan menakutkan, sekali gus menjadikan kawalan hutan adalah sesuatu yang mustahil dilakukan! Pada kebiasaannya pihak berkuasa akan melakukan ‘pembersihan’ mayat sekurang-kurangnya sekali pada setiap tahun. Sehingga kini, hutan tersebut masih kekal terpelihara kehijauannya dan masih ada individu memasuki hutan tersebut untuk tujuan membunuh diri. Antara nama lain hutan Aokigahara adalah Suicide Forest atau ‘Hutan Berhantu’. -AP




.

Ada apa dengan 'Mona Lisa'?



Ada apa dengan 'Mona Lisa'? | Penyelidikan yang dijalankan oleh sejarawan dan novelis Itali yang berpusat di sini, Angelo Paratico, menyebut bahawa ibu Leonardo Da Vinci yang menjadi subjek dalam lukisan ‘Mona Lisa’ mungkin hamba dari China. Hasil kajian Paratico selama dua tahun itu menjadi asas untuk buku terbarunya, ‘Leonardo Da Vinci: A Chinese Scholar Lost in Renaissance Italy’ (Leonardo Da Vinci: Kehilangan Cendekiawan China dalam Zaman Pembaharuan Itali).

Daily Mail melaporkan, dalam buku yang akan diterbitkan tahun depan itu, Paratico akan mendedahkan hubungan Da Vinci dengan wilayah Timur Jauh. Dia yang menghabiskan masa selama 20 tahun di Hong Kong yakin pelukis itu berasal dari Asia. “Saya yakin ibu Leonardo berasal dari Timur. “Tetapi untuk memastikan dia berasal dari China, kita perlu menggunakan kaedah deduktif,” katanya.

Paratico juga menekankan beberapa faktor lain yang menunjukkan Da Vinci berketurunan Cina. “Antaranya, dia menulis dari kiri ke kanan dengan menggunakan tangan kiri dan juga vegetarian. “Mona Lisa mungkin potret ibunya, seperti yang dikatakan Sigmund Freud pada 1910. Lukisan itu berlatarbelakangkan China, bahkan wajahnya juga mempunyai ciri-ciri wanita Cina,” kata Paratico. - AFP




.

Wanita bunuh diri dengan kurung diri dalam penyejuk beku



Wanita bunuh diri dengan kurung diri dalam penyejuk beku | Seorang wanita warga Perancis ditemui mati dalam keadaan mengurung diri dalam penyejuk beku, dipercayai sebagai cubaannya membunuh diri, kata polis pada Selasa. Wanita berusia 57 tahun itu dipercayai mengalami masalah kesunyian kerana hidup bersendirian. Pegawai bomba membuat penemuan yang mengerikan itu selepas mendapat arahan untuk memeriksa rumah wanita berkenaan di pinggir Paris.

Anak perempuan kepada wanita berkenaan menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang selepas tidak mendapat sebarang khabar berita daripada ibunya. Menurut sumber polis kepada AFP, para pegawai menemui mayatnya dalam keadaan terperosok di dalam penyejuk beku selepas pemeriksaan dibuat ke atas rumah itu. "Dia telah mengurung dirinya di situ (penyejuk beku) sebagai cubaan untuk membunuh diri," kata sumber itu. Pihak berkuasa turut menemui lima pucuk surat daripada wanita yang dialamatkan kepada beberapa ahli keluarganya. - AFP




.

Punca Sultan Selangor tarik balik gelaran Datuk Seri yang diberi kepada Anwar



Punca Sultan Selangor tarik balik gelaran Datuk Seri yang diberi kepada Anwar  | Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepada Anwar Ibrahim berkuatkuasa 3 November lepas. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, gelaran itu ditarik balik berikutan tindakan dan perlakuan Ketua Pembangkang itu sejak akhir 2013 mempersoalkan kuasa dan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar. Anwar dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri-Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) yang membawa gelaran Datuk Seri pada 1992. - Utusan






.

Wanita tuntut cerai selepas suaminya dikatakan curang dengan ‘cucu’



Wanita tuntut cerai selepas suaminya dikatakan curang dengan ‘cucu’  | Seorang wanita berusia 78 tahun menuntut cerai daripada suaminya selepas menuduh lelaki itu curang dengan menjalinkan hubungan dengan gadis berumur 19 tahun. Mahasen memberitahu mahkamah di sini, dia mahu bercerai dengan suaminya yang berusia 86 tahun selepas lelaki itu enggan memutuskan hubungan dengan gadis berkenaan yang juga jiran mereka.

“Wanita itu memberitahu hakim suaminya membesar dan menyara bapa gadis itu. Dia menganggap gadis itu seperti cucunya. Tetapi suaminya menjalin hubungan sulit dengan gadis itu dan enggan memutuskan hubungan mereka. “Dia menuduh suaminya miang dan nyanyuk sehingga berasakan dirinya masih remaja,” kata sumber. Menurut laporan akhbar tempatan semalam, mahkamah akhirnya membenarkan wanita itu bercerai selepas kes mereka dibicarakan beberapa kali sejak sembilan bulan lalu. - Agensi



.

Keluarga tinggal bersama mayat selama 6 bulan kerana percaya ia akan hidup jika mereka banyak berdoa



Sebuah keluarga tinggal bersama satu mayat selama enam bulan kerana percaya lelaki yang mati itu boleh hidup semula jika mereka banyak berdoa. Mayat berkenaan hanya ditemui selepas keluarga itu diusir kerana tidak membayar sewa rumah. Kaling Wald, 52, semalam mengaku bersalah kerana gagal memaklumkan kepada polis mengenai kematian suaminya. Peguamnya Peter Boushy berkata, mahkamah mengarah dia diletakkan dibawah pengawasan polis dan menjalani kaunseling kerana kesalahan itu. Suaminya, Peter Wald, 52, mati pada Mac 2013, dipercayai selepas sekian lama menderita kerana kencing manis. -AFP




.

Mangsa samun dan toreh, Nur Shafiqa Lah menceritakan kejadian malang itu




Mangsa samun dan toreh, Nur Shafiqa Lah menceritakan kejadian malang itu | “Tidak mungkin saya melupakan insiden itu dan sampai bila pun saya akan ingat terutama bagaimana dia (penjenayah) menoreh muka saya,” kata Nur Shafiqa Lah, 22. Dalam kejadian jam 2 petang Ahad lalu, muka Nur Shafiqa ditoreh manakala matanya ditumbuk dua lelaki yang memecah masuk rumahnya di Wakaf Berangan, Bandar Sri Aman, di sini. Turut dicederakan dalam kejadian itu ialah ibu mangsa Hat Tema Mat Zin, 58. Menceritakan kejadian malang itu, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia hanya teringat mati lebih-lebih lagi apabila penyamun itu tidak menghiraukan rayuan, sebaliknya terus mencederakannya.

“Saya guna kedua-dua tangan untuk melindungi muka dan menangkis serangan lelaki itu. “Namun, dia cepat menoreh muka dan sedar-sedar saja, saya rasa muka ngilu dan panas apabila darah mengalir dengan banyak dan tangan juga terasa perit. Akibat tidak tahan, saya cuba lawan dan menjadi agresif dan ketika itu, dia keluar dari bilik dan saya mengambil kesempatan mengunci pintu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Nur Shafiqa berkata, dia bersyukur kerana diberikan kekuatan mempertahankan diri walaupun teruk dikerjakan penjenayah, malah dalam keadaan lemah itu masih sempat meminta bantuan daripada jiran. Menurutnya, dia tidak pasti nasib dirinya jika tiada jiran mendengar jeritan itu, malah dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

“Kejadian itu begitu pantas dan penjenayah menceroboh masuk pun seperti halimunan. Saya tidak hanya ditarik keluar dari bilik air, malah kepala turut diketuk dengan objek tumpul. “Ibu juga cedera ditumbuk beberapa kali di muka. Syukur adik saya selamat kerana sempat bersembunyi di bawah katil,” katanya yang hanya membuka pintu bilik apabila jiran memenuhi rumah mereka untuk membantu. Nur Shafiqa dan Hat Tema dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan keluar hospital dan dibawa pulang ke rumah pagi semalam oleh bapanya Lah Hassan, 59, serta tunangnya Mohd Azijja Zafran Mohd Zahari, 24. Mohd Azijja Zafran berkata, dia berharap penjenayah yang mencederakan tunangnya dapat ditangkap segera dan dibawa ke muka pengadilan. Menurutnya, mereka bercadang melangsungkan perkahwinan pada Mac depan, namun bercadang mempercepatkan tempoh itu. Katanya, cintanya terhadap Nur Shafiqa tidak berubah, malah menjadi tanggungjawabnya memberikan kata-kata semangat bagi memulihkan semangat insan tersayangnya itu.

Sejauh mana kebenaran dakwaan ikan tilapia kolam diberi makan bangkai babi?



Sejauh mana kebenaran dakwaan ikan tilapia kolam diberi makan bangkai babi? | Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta jabatan yang berkenaan termasuk Jabatan Perikanan dan Jabatan Agama Islam negeri menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan ikan tilapia diberi makan bangkai babi. Beliau berkata dakwaan perbuatan itu dilakukan di sebuah kolam di Bukit Tinggi, Redang Panjang dekat Kubu Gajah perlu ditangani sewajarnya kerana ia membabitkan sensitiviti agama dan kehidupan masyarakat berbilang kaum di Perak.

"Ada tindakan-tindakan pihak tertentu (buang bangkai babi) dan ianya akan menimbulkan persepsi yang tidak baik. Jadi saya minta siasatan dijalankan mengenai laporan itu dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Sebuah akhbar pada Rabu melaporkan, gambar bangkai dipercayai babi yang diletakkan di tengah-tengah kolam ternakan itu dimuat naik dalam laman sosial Facebook oleh seorang individu. Sebaik mendapat tahu mengenainya, Jabatan Perikanan Perak dan beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Perak, pentadbir daerah Selama dan polis segera menyerbu lokasi itu semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Dr Bah Piyan Tan ketika dihubungi berkata pihaknya telah pun mengambil sampel beberapa jenis ikan di kolam berkenaan untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia dan keputusannya dijangka siap dua minggu lagi. "Bagi pihak Jabatan Perikanan Negeri Perak kita telah menjalankan siasatan dan pergi ke kolam tersebut bersama ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) serta Jabatan Agama Islam. Kita telah ambil tindakan itu," katanya. Beliau berkata ia bukan hanya tanggungjawab Jabatan Perikanan malah agensi yang berkenaan juga perlu mengambil tindakan sewajarnya. "Sekarang penternak dah ambil mudah dia tengok kolam dia bagi ikan makan benda itu. Agensi yang berkenaan sepatutnya mengawal ke mana bangkai itu pergi. Sampai bila Jabatan Perikanan mahu tangani perkara ini jika tiada kawalan sedemikian," katanya. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!