Friday, December 5, 2014

[Gambar] Inilah restoran paling mahal di dunia



Inilah restoran paling mahal di dunia | Alain Ducasse at Plaza Athénée, yang bertapak di Hotel Plaza Athenee, Perancis mungkin merupakan restoran paling mahal di dunia. Dibuka pada tahun 2000, restoran yang memiliki sentuhan lima bintang ini akan memberi pelbagai kejutan kepada pelanggan yang mengunjungi restoran ini. Istimewanya restoran ini dek keunikan susun atur dan ukiran perabotnya yang dicipta khas untuk memberi kelainan kepada pengunjung restoran.

 Selain itu, Alain Ducasse at Plaza Athénée turut menawarkan menyajikan masakan Perancis kontemporari yang terbaik kepada pelanggannya. Pelanggan yang datang ke restoran tersebut boleh memesan makanan dengan harga minima RM1,063.07 bagi hidangan ala carte. Sedikit informasi mengenai Hotel Plaza Athenee, hotel ini merupakan hotel bertaraf lima bintang yang dibuka sejak tahun 1911. Hotel yang berdekatan dengan Menara Paris ini mempunyai 154 bilik dan 54 suites. Hotel Plaza Athenee pernah diubahsuai pada tahun 2013 dan kos membaik pulih hotel penuh sejarah ini dikatakan memakan kos sehingga 2 bilion Euro. -AP



.

Bila Lulu-Pages kena review (sekian lama tak kena hehe)



Bila Lulu-Pages kena review (sekian lama tak kena hehe) | Lulu dah jadi blogger dengan Lulu-Pages ni sejak 2010. Sejak tu memang ada saja yang review blog ni, terutama ketika join atau anjurkan segmen. Dan bila hari demi hari berlalu, masa beredar, tiba-tiba hari ni kena review.. Dan terus lulu sedar, rupanya dah lama blog ni tak kena review.

Cadangan dan teguran penulis blog ni [REVIEW] memang bagus, dan lulu terima positif. Terus sedar yang lulu dah lama sangat tak ambik berat nak kemas kini blog atau ambil berat mengenai susun atur setiap detail dalam blog.. Dulu mula-mula rajin juga belajar dan google apa saja perkara mengenai blog, sebab sedar tak ada pengetahuan yang khusus dalam dunia IT. Haih, sejak itu hingga kini, lulu lebih selesa untuk terus berkongsi dan update blog setiap hari tanpa pening kepala nak kemas kini blog. Ada juga terfikir nak buat sesuatu yang drastik untuk Lulu-Pages, tapi rasanya insha Allah, suatu hari nanti. Apa pun terima kasih untuk review ini.. :)



P/S - Jom singgah blog penulis ni. Menariknya, blog ini ditulis dengan bahasa inggeris tau..



.

Ini reaksi penyanyi Syahrini mengenai gambar kontroversi, disembah 5 pekerja yang di kecam hebat oleh peminat



Ini reaksi penyanyi Syahrini mengenai gambar kontroversi, disembah 5 pekerja yang di kecam hebat oleh peminat | Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Syahrini dikecam hebat baru-baru ini selepas sekeping foto yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya menunjukkan lima orang bekerja di Princess Syahrini Entertainment Indonesia melutut sambil menyembah Syahrini sebagai tanda hormat. Tindakan memuat naik foto tersebut di laman Instagramnya menimbulkan pelbagai kecaman hebat oleh umum selepas dianggap ianya agak keterlaluan dan salah disisih agama Islam.

Rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan Syahrini dan menuduh Syahrini tidak habis-habis cuba mencari publisiti murahan. Namun menurut Syahrini, foto tersebut hanya gurauan semata-mata dan bukan sengaja ingin menimbulkan kontroversi murahan. "Saya seorang Muslim, dan sebagai salah seorang yang beragama Islam hanya Allah SWT yang harus disembah. Tiada tuan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah. Tidak mungkin saya mahu mereka menyembah saya.

"Itu sekadar gurauan dan tidak bermaksud mahu menimbulkan kontroversi murahan. Sudah tertulis ianya ‘Just For Fun’," jelas Syahrini kepada pihak media. Minggu lalu Syahrini terus kekal mempertahankan gelaran ‘Penyanyi Paling Popular’ lima tahun berturut-turut di Anugerah SCTV 2014. Sebelum ini, Syahrini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan Malaysia dua tahun lalu namun putus ditengah jalan akibat masalah persefahaman.-AP




.

Dua rakan yang menaiki sebuah motosikal maut digilis treler kerana cuba elak memerang



Dua rakan yang menaiki sebuah motosikal maut digilis treler kerana cuba elak memerang | Dua rakan yang menaiki sebuah motosikal maut apabila kenderaan dinaiki dilanggar sebelum mangsa digilis treler di Jalan Pelabuhan Klang menghala Shah Alam berhampiran susur keluar ke Taman Botanik, malam tadi. Jurucakap polis berkata, dalam kejadian 9.30 malam itu, kedua-dua mangsa dikatakan mengelak memerang yang melintas di tengah jalan dan lori kontena yang berada di belakang mereka sempat mengelak ke kanan jalan daripada melanggar kedua-duanya.

Bagaimanapun katanya, sebuah lagi treler dari arah sama cuba mengelak lori kontena berkenaan sebelum melanggar kedua-dua mangsa. Menurutnya, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat. Difahamkan mangsa lelaki berusia 48 tahun manakala mangsa perempuan berusia 43 tahun. -Metro




.

Ujian vaksin denggi pertama dunia



Ujian vaksin denggi pertama dunia | Kementerian Kesihatan sedang melakukan ujian klinikal terhadap vaksin denggi pertama di dunia, yang dijangka berada di pasaran pertengahan 2015. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap vaksin itu bagi menentukan penggunaannya dalam jangka masa panjang. “Sebelum kita memutuskan sebarang rancangan jangka panjang mengenai penggunaan vaksin ini, kita perlu meneliti kajian asalnya untuk memastikan kita mempunyai data mencukupi mengenainya,” katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian selepas Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Ke-4 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah di sini, hari ini. Seramai 4,697 graduan dari 33 ILKMM menerima diploma lanjutan, diploma dan sijil masing-masing pada konvokesyen itu. Menurutnya, jika Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menggunakan vaksin itu, pihaknya akan melakukan ujian lapangan terlebih dahulu sebelum ujian secara meluas dilakukan di kawasan mencatatkan kes denggi yang tinggi seperti Lembah Klang.

Sehingga ini, katanya, kebanyakan kes denggi yang dilaporkan membabitkan kumpulan umur 25 tahun dan ke atas. Mengenai statistik denggi terkini, beliau berkata, kes itu menurun kepada 2,300 setiap minggu berbanding 3,000 kes pada Ogos dan September lalu. “Kempen perangi denggi yang kita bertujuan mengurangkan kes denggi daripada mencecah 3,000 dan kita telah capai sasaran itu. Saya harap jumlah itu berkurangan kepada 1,500 kes,” katanya. Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kerajaan bercadang menambah tempat latihan perubatan kerana Unit Kecemasan di beberapa hospital kerajaan memerlukan ramai pegawai penolong perubatan. “Kepakaran bagi sesetengah perkhidmatan dalam bidang kesihatan sangat diperlukan khususnya di kawasan luar bandar. Agenda utama kerajaan ialah memberikan perkhidmatan terbaik dan menyediakan sumber manusia yang mencukupi,” katanya. - Bernama



.

Punca misteri penduduk kampung menghidap penyakit ganjil didedahkan



Punca misteri penduduk kampung menghidap penyakit ganjil didedahkan | Penduduk di Kampung Sahecun di selatan China mengalami penyakit ganjil dan ketumbuhan di badan mereka akibat kesan pencemaran logam berat yang meracuni air serta tanah di kawasan berkenaan. Masalah kesihatan seperti badan lemah dan benjolan di seluruh tubuh dipercayai berpunca daripada pencemaran sebuah bekas lombong plumbum yang telah ditutup beberapa puluh tahun lalu.


Seorang penduduk, Huang Guiqiang, 58, berkata, dia tidak mampu bekerja kerana sakit dan keseluruhan badannya juga ditumbuhi dengan benjolan kecil. “Saya mula sakit sejak beberapa tahun lalu yang menyebabkan badan saya lemah dan tidak mampu lagi untuk bekerja,” katanya.


Ujarnya, ramai penduduk memperoleh sumber makanan dari kolam penternakan ikan walaupun sedar haiwan berkenaan telah dicemari dengan logam berat. Pusat Kajian Geologi dan Alam Sekitar Guangxi pada tahun 2000 memberi amaran bahawa jumlah logam berat kadmium di sungai dan sumber air di kampung itu adalah 17.4 kali lebih tinggi daripada tahap biasa. Jumlah kandungan kadmium di tanah pula jauh lebih tinggi iaitu 29.1 kali ganda daripada tahap biasa. – Agensi




.

Datuk Bandar London alami detik cemas dalam pesawat #MAS


 Datuk Bandar London alami detik cemas dalam pesawat MAS | Datuk Bandar London Boris Johnson berdepan detik cemas di udara apabila bersemuka dengan seorang penumpang yang bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata kesat di dalam pesawat. Johnson menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2 dari Kuala Lumpur ke London selepas berakhirnya lawatan rasmi beliau ke Asia Tenggara. Lapor The Daily Mail, penumpang berkenaan seakan ‘hilang akal’ sebelum dia dihalang oleh anak-anak kapal. “Datuk Bandar bersama-sama dengan beberapa penumpang lain dan krew kabin telah membuat beberapa percubaan untuk menenangkan lelaki berkenaan tetapi tidak berjaya,” kata seorang jurucakap Johnson.


Nama penumpang berkenaan tidak didedahkan, namun dilaporkan berusia 43 tahun dari Britain. Penumpang berkenaan dipercayai dalam keadaan mabuk dan ditangkap ketika pesawat mendarat di lapangan terbang Heathrow. Akhbar itu turut melaporkan bahawa penumpang itu ditahan di sebuah balai polis di London. Sementara itu, duta teknikal Eileen Burbidge memuat naik gambar situasi berkenaan dan memuji kru MAS yang bertindak dengan pantas. Johnson berada di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta untuk lawatan rasmi ke Asia Tenggara.-AP



.

Kesan filem animasi Frozen kepada pasangan suami isteri ini begitu mengejutkan



Kesan filem animasi Frozen kepada pasangan suami isteri ini begitu mengejutkan | Seorang wanita berusia 29 tahun menuntut cerai daripada suaminya semata-mata kerana berbeza pendapat mengenai filem animasi Disney, Frozen. Menurut laman web Kikonsha no Hakaba atau dalam bahasa Melayunya-Kawasan Kubur Orang Sudah Berkahwin- wanita berkenaan terlalu taksub dengan filem itu selepas menontonnya bersendirian berulang kali.

Dia kemudian memujuk suaminya untuk menonton bersama. Dia berharap sangat suaminya yang pernah belajar Kesusasteraan Denmark di universiti akan menyukainya, memandangkan Frozen diterbitkan berdasarkan cerita The Snow Queen yang ditulis penulis negara itu, Hans Christian Andersen. Bagaimanapun, dia terkejut apabila reaksinya bertentangan. -AP




.

‘Tipu’ Zalora, suami isteri dapat kejutan misteri.. Apakah kejutan misteri itu?



‘Tipu’ Zalora, suami isteri dapat kejutan misteri.. Apakah kejutan misteri itu? | “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu,” itulah yang terjadi kepada pasangan suami isteri setelah mendapat hadiah khas daripada syarikat membeli-belah atas talian Zalora.com.my, selepas si suami melarang si isteri daripada membeli-belah di syarikat berkenaan. Posting suaminya di laman Facebook Zalora yang berbunyi “Hai Zalora kalau ada ternampak isteri saya ‘shopping’ dekat sini jangan layan ya… pura-pura kata ‘server down’ ke komputer, rosak ke? Pandailah bagi alasan ye. Untuk makluman nama isteri saya Nuzaimah ingat tau… akhirnya membawa tuah kepada pasangan tersebut.

Mana tidaknya dek kerana ‘post’ tersebut lima skuad Zalora daripada Bahagian Talian Fesyen Asia, telah melawat pasangan tersebut semalam di kediaman mereka di Kuala Lumpur untuk memberi hadiah kepada pasangan suami isteri itu iaitu kepada, Muhamad Radzi Ali dan Nuzaimah Ideris. Terdahulu post Radzi Ali dikomen balas oleh Zalora yang meminta maaf kepada Radzi kerana pihaknya tidak boleh berbuat sepertimana yang disuruh olehnya.

“Hai Radzi… hahahah maaf, kami tidak dapat mengesan setiap pelanggan kami yang melayari web kami dengan itu, web kami sentiasa berjalan lancar dan kami tidak dapat berpura-pura untuk mengatakan server kami down. Jika anda mahu menjimatkan wang anda… anda boleh mendaftar Newsletter kami untuk dapat baucer dan maklumat terkini mengenai jualan atau diskaun kami sehingga 70 peratus,” tulis Zalora. Post Radzi itu juga mendapat perhatian isterinya apabila, isterinya Nuzaimah berkata Zalora tidak boleh berbuat demikian kerana bakal mengecewakan pelanggannya.

“Hi zalora. I don’t thinks it is good for you ban potential client like me. Don’t dispointed ur client zalora!,” tulis Nuzaimah. Sementara itu, kedatangan skuad Zalora ke rumah pasangan tersebut semalam, ternyata membawa kejutan buat mereka. "Kami tidak menyangka kejutan ini. Kami hanya bermain-main," kata Radzi. Sementara isterinya, Nuzaimah pula berkata bahawa dia amat kagum kerana mendapat balasan yang interaktif daripada pihak perkhidmatan pelanggan Zalora. Dalam pada itu, Pengarah Urusan Zalora Malaysia, Giulio Xiloyannis berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk melayan pelanggan seperti Radzi dan Nuzaimah di halaman Facebook mereka.

“Membeli-belah dalam talian adalah trend terkini yang semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia. “Kami percaya bahawa kenyataan suami, isteri dalam laman media sosial itu adalah satu refleksi dari masyarakat kita yang sekarang ini mengamalkan gaya hidup ‘digital’,” katanya. Mengulas lanut, Xiloyannis berkata, tujuan pemberian hadiah tersebut adalah untuk meraikan pasangan tersebut yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

“Oleh itu pihak kami, berasa amat gembira untuk menghadiahkan Radzi dan Nuzaimah dengan hadiah-hadiah yang dipilih khas untuk mereka. Dengan pemberian Zalora dan Zalia kami harap Nuzaimah mengalami pengalaman indah sepanjang kehamilan dia,” tambah Xiloyannis. Nuzaimah telah menerima bekalan pakaian dan kasut selama setahun dari Zalora serta baucar bernilai RM400. Pasangan ini mendapat perhatian apabila ‘post’ yang ditulis Radzi di laman Facebook Zalora yang melarang isterinya dari membeli-belah dalam laman web berkenaan pada hari Isnin lepas. -SH




.

Oh mimpi ngeri penduduk datang balik


 Oh mimpi ngeri penduduk datang balik | Penduduk di perkampungan di tengah Filipina berebut-rebut meninggalkan kediaman masing-masing dan membeli barangan keperluan di kedai runcit dan stesen minyak berikutan ribut kencang yang dijangka melanda negara itu menimbulkan ketakutan berulangnya bencana Taufan Haiyan. Agensi kaji cuaca kerajaan berkata, Taufan Hagupit dengan kelajuan angin 230 kilometer sejam dijangka membadai wilayah Samar esok sebelum mengikuti laluan sama dengan Taufan Haiyan yang melanda tahun lalu dalam tragedi yang memusnahkan puluhan kampung dan mengakibatkan lebih 7,300 mati atau hilang.

Mangsa Taufan Haiyan tahun lalu, Emily Sagalas, 23, berkata, ramai jirannya di kota Tacloban sudah berpindah ke tempat lebih selamat di stadium sukan berhampiran atau rumah keluarga dengan membawa pakaian dan barang keperluan. Katanya, kedai runcit dan stesen minyak juga sesak dengan orang ramai membeli barang keperluan dalam kuantiti banyak sebagai persediaan menghadapi bencana. Emily melahirkan anak perempuan tidak lama selepas Haiyan melanda yang mengakibatkan kematian ibu mentuanya serta memusnahkan rumah mereka.

“Trauma kembali menghantui kami. Malah, tahun ini lebih teruk lagi bagi saya kerana bimbangkan keselamatan anak,” katanya. Haiyan memusnahkan sejuta rumah dan mengakibatkan kira-kira empat juta penduduk kehilangan tempat tinggal. Ratusan yang masih tinggal di dalam khemah di Tacloban diberi keutamaan dalam operasi pemindahan kali ini. Sementara itu, bilik hotel di Tacloban - yang masih merasai penangan Haiyan - habis ditempah golongan kaya yang turut membuat persiapan menghadapi ribut hujung minggu ini.

Pekerja Hotel Leyte Park, Roan Florendo berkata: “Cuaca masih elok dan matahari masih bersinar tetapi semua orang ketakutan. Hampir semua bilik kami sudah disewakan.” Sekolah di beberapa bandar yang menjadi laluan Hagupit akan ditutup hari ini. Pihak berkuasa turut memindahkan lokasi forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu depan - yang dijadualkan dihadiri ratusan wakil dari 21 negara - dari Albay ke Manila yang dijangka tidak dilanda taufan itu. - AP




.

Ibu saksi bayi lelakinya berusia 16 bulan lemas dalam kolam selepas sejam hilang



 Ibu saksi bayi lelakinya berusia 16 bulan lemas dalam kolam selepas sejam hilang | Serian: Seorang ibu kelu dan terkejut apabila melihat bayi lelakinya berusia 16 bulan lemas dalam sebuah kolam selepas sejam dilaporkan hilang di Kampung Bayor, Balai Ringin, kelmarin. Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi ketika bayi terbabit Matles Marselino berseorangan bermain di belakang rumah yang turut menempatkan sebuah kolam dengan kedalaman 0.3 meter. Sumber polis berkata, kehilangan Matles disedari sejam kemudian selepas wanita itu tidak melihat kelibat bayi terbabit sebelum keluar mencari di sekitar belakang rumah.

"Ibu mangsa cuba memanggilnya, namun tiada sahutan sebelum mencari berhampiran kolam terbabit dan melihat anaknya dalam keadaan keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam itu. "Wanita itu cuba menggerakkan tubuh anaknya, tapi tiada tindak balas lalu memaklumkan perkara itu kepada suaminya. Bayi itu dikejarkan ke Klinik Desa Balai Ringin, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya. -Metro




.

Pelajar kolej menangis dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah kerana buang bayi lelaki oktober lalu



Pelajar kolej menangis dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah kerana buang bayi lelaki oktober lalu | Tindakan seorang pelajar diploma pengurusan perniagaan sebuah kolej swasta mengemukakan rayuan sambil mengesat air mata berulang kali tidak membuahkan hasil apabila dia dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam tong sampah pada Oktober lalu. Tertuduh, Norhidayah Yon, 19, membuat pengakuan salah itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan pada November lalu di hadapan Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan bagaimanapun hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga semalam sementara menunggu laporan akhlak tertuduh disiapkan untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan, NorHidayah didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang mayat bayi tersebut ke dalam tong sampah secara sulit selepas melahirnnya di Blok C, PV6, Kondo Platinum Hill Park, Jalan Setapak, Wangsa Maju di sini pada pukul empat pagi, 28 Oktober lalu. Pelajar perempuan yang berasal dari Hutan Melintang, Perak itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Chean Ling mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman yang sesuai dan memandai bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam selain mengambil kira masalah pembuangan bayi seperti ini amat berleluasa pada masa kini.

Terdahulu, tertuduh yang dilihat menangis di dalam kandang mahkamah memohon agar hukumannya dikurangkan atas alasan masih belajar dan mempunyai lima lagi semester untuk tamat pengajian selain sudah direman pihak polis selama sebulan di penjara Kajang. Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap iaitu pada 30 Oktober lalu selain menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan yang sama di masa hadapan kerana tertuduh merupakan pesalah muda dan mempunyai masa depan yang cerah kelak.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memberitahu salah seorang penduduk menjumpai mayat bayi di tong sampah kondominium berkenaan kira-kira pukul 11 pagi pada hari kejadian. Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan di rumah tertuduh yang didiami bersama empat lagi rakan wanitanya sebelum membawa kelima-lima mereka ke balai polis beserta beberapa barang rampasan untuk membantu siasatan. Hasil siasatan yang dijalankan, tertuduh mengaku membuang mayat bayinya di tong sampah tingkat bawah berhampiran lif selain turut menunjukkan tempat dia melahirkan bayi tersebut. - Kosmo!




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!