Saturday, December 6, 2014

TUK! TUK! TUK! HOUSEKEEPING! - EINA AFRINA




TUK! TUK! TUK! HOUSEKEEPING! - EINA AFRINA | Pertemuan tanpa disangka antara Azwa dan lelaki kerabat diraja, Tengku Izzudin yang hanya dikenali sebagai Qallif, ketika bercuti di Cherating menjadikan Azwa seseorang yang sangat istimewa  di hati Tengku Izzudin tanpa pengetahuan Azwa sendiri. Ya, walaupun ianya hanyalah merupakan pertemuan yang singkat, namun cukup terbekas didalam hati mereka berdua.

Dan kemudian mereka dipertemukan semula semasa Azwa menjadi housekeeping di sebuah hotel lima bintang, dan Tengku Izuddin merupakan tetamu terhormat hotel itu. Pada mulanya, Azwa memang terkejut melihat Tengku Izuddin yang miliki rupa sama seperti Qallif. Apatah lagi lelaki yang cerewet itu hanya mahukan dia mengurus biliknya ketika menginap di hotel itu. Siapa sangka, Tengku dan Qallif memang orang yang sama. Cinta dihulur dan indah rasanya bila mereka sememangnya miliki perasaan yang sama. Tapi bila Azwa berhadapan dengan Tengku Mariah, nenek Tengku Izuddin, dugaan besar menanti mereka kerana Tengku Mariah sudah ada calon isteri yang paling sesuai buat cucunya. Melihat Azwa dan mengetahui wanita itu hanya orang biasa, sudah cukup buat Tengku Mariah benci. Jadi, bagaimana hubungan mereka akhirnya?



Tajuk : Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Penulis : Eina Afrina
Halaman : 500 muka surat
Harga : RM21/RM24





.

Pelakon dedah diganggu makhluk halus ketika penggambaran filem seram berjudul 'Jelmaan'



Pelakon dedah diganggu makhluk halus ketika penggambaran filem seram berjudul 'Jelmaan' | Pelakon Raja Ilya mendedahkan diganggu makhluk halus ketika penggambaran filem seram berjudul Jelmaan yang dilakukan di Yogjakarta, Indonesia awal November lalu. Raja Ilya, 29, berkata, makhluk halus tersebut mengganggunya ketika dia sedang berehat di bilik hotel sehingga menyebabkan dia meracau dan tidak boleh melelapkan mata kerana ketakutan. "Kami menjalani penggambaran selama sepuluh hari di tempat-tempat yang memang dikenali sebagai berhantu seperti di Borobudur, Candi Prambanan, Parangtritis dan Gunung Merapi.

Ketika dua hari terakhir iaitu di Gunung Merapi ibu jari kaki saya kebas dan ketika di hotel saya meracau-racau dan menangis kerana ketakutan," ujarnya. Bagaimanapun, situasi tersebut dikawal oleh seorang pengamal perubatan tradisional yang disediakan khas untuk menjaga kru produksi sepanjang pengambaran berlangsung. Tambah Raja Ilya, perkara yang sama terjadi sekali lagi ketika dia diminta melakukan adegan dirasuk di sebuah bangunan lama peninggalan penjajah Belanda.

 "Hari terakhir penggambaran saya diminta melakukan adegan seperti dirasuk ketika itu pula berada dalam bangunan lama tempan rakyat Indonesia dibunuh oleh penjajah. "Suasana bangunan itu memang seram, selepas saya selesai adegan itu, seluruh anggota badan saya menggigil tidak boleh berhenti. Saya terus berlari meminta bantuan," ujarnya. Ia merupakan pengalaman pertamanya diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran. Filem yang akan disiarkan di Astro First Eksklusif itu dibintangi oleh Keith Foo, Mia Sara dan Rayqal Iskandar. -Mstar



P/S - Sekadar gambar hiasan



.

Inilah kisah sebenar kucing berwarna hijau yang menjadi viral di laman sosial



Inilah kisah sebenar kucing berwarna hijau yang menjadi viral di laman sosial | Penduduk tempatan gempar dengan kehadiran seekor kucing liar berwarna hijau terang yang ditemui berkeliaran di sekitar Varna, sebuah bandar pelancongan di Laut Hitam di Bulgaria, baru-baru ini. Laman web, MailOnline melaporkan, pada mulanya, penduduk tempatan menganggap kucing berkenaan menjadi mangsa individu nakal. Mereka turut menubuhkan satu halaman kumpulan dalam Facebook yang dipanggil ‘Hukuman kepada Pesalah Jenayah Ini’ bagi menangkap individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut terhadap kucing berkenaan.

Namun, sebenarnya kucing itu mempunyai bulu berwarna hijau kerana haiwan tersebut tidur di atas longgokan cat hijau sintetik dalam sebuah garaj yang menyebabkan kucing itu kelihatan lebih hijau setiap hari. Kini, kucing hijau itu menjadi semakin terkenal apabila satu rakaman video yang dimuat naik dalam laman web, YouTube menunjukkan haiwan tersebut bermain dengan seekor kucing perang. Persatuan Diraja Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) memberi amaran bahawa tindakan mengecat atau menukar warna bulu binatang atas tujuan kosmetik boleh menyebabkan kesan buruk kepada haiwan itu. Varna yang merupakan bandar terbesar Bulgaria adalah sebuah destinasi popular di negara ini yang terletak di tepi pantai Laut Hitam.-AP




.

Misteri pembunuhan kejam, mayat dikerat terbongkar


Misteri pembunuhan kejam, mayat dikerat terbongkar | Misteri pembunuhan kejam yang menyaksikan kepala dua mangsa dipotong dan dibuang di dua daerah di negeri ini berjaya diselesaikan selepas polis memberkas seramai 17 lelaki warga Myanmar dan menemui sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi kejadian ngeri berkenaan. Rumah berwarna hijau muda yang mempunyai dua bilik bernombor 575R itu terletak di Kampung Pisang, Machang Bubuk di sini, dipercayai disewa suspek sejak empat bulan lalu dengan kadar RM300 sebulan dan merupakan sebahagian daripada 27 unit keseluruhan yang dimiliki seorang pesara guru. Menurut sumber polis, susulan penahanan dua suspek utama beberapa hari lalu, mereka dibawa ke situ dan menemui tiga bilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk memotong badan mangsa.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak licik selepas mengecat semula dinding rumah berkenaan untuk menghilangkan kesan darah. “Polis terpaksa menggunakan alat khas untuk mengesan darah di bahagian dinding rumah itu yang telah dicat semula dan berjaya menemuinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya yang melancarkan ‘Ops Kelar’ berjaya menahan semua suspek di sekitar negeri ini dan di Rawang, Selangor dengan dua tangkapan terbaharu di Georgetown malam tadi. Menurutnya, sejak awal tahun ini terdapat 18 kes pembunuhan membabitkan warga Myanmar berlaku di negeri ini dan pihak­nya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes berikutan penahanan suspek terlibat.

“Pada mulanya mereka membungkus mayat dan meninggalkan di tepi jalan namun trend berkenaan berubah apabila kepala mangsa turut dipotong dan anggota badan yang lain dibuang di beberapa lokasi untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya. Sebelum ini, orang awam gempar apabila menemui kepala manusia yang dibungkus dalam plastik hitam di hadapan sebuah restoran di Taman Impian Ria pada 24 November lalu, sebelum disusuli penemuan badan manusia dalam tali air di Sungai Bakap sehari selepas itu. Polis kemudiannya menemui sepasang kaki berhampiran lokasi penemuan badan serta tangan dalam longkang di Simpang Ampat, Nibong Tebal yang terletak kira-kira 15 kilometer dari situ.

Isnin lalu pula, orang ramai menemui sepasang tangan dan satu lagi kepala yang dibuang berhampiran Balai Polis Machang Bubuk di sini. Abdul Rahim berkata, tindakan itu seolah-olah mencabar polis dan pihaknya akan membanteras jenayah kejam berkenaan habis-habisan dan ketika ini sedang mengesan beberapa anggota badan seorang mangsa yang masih belum ditemui. Sepanjang operasi itu, katanya, polis turut merampas kereta dan motosikal yang digunakan suspek yang bekerja sebagai buruh untuk membuang mayat. Ditanya mengenai punca kejadian, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati dendam lama di negara asal termasuk masalah keluarga dan hutang menjadi motif utama dan perkara itu berlarutan apabila warga Myanmar berkenaan tiba di negara ini. “Siasatan mendapati rakyat Myanmar yang tinggal di negeri ini kebanyakan berasal dari kawasan sama di negara asal dan sentimen dendam dan masalah peribadi dibawa ke sini,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Rahim memberi amaran kepada rakyat asing yang bekerja di negeri ini supaya mematuhi undang-undang negara. Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pisang, Machang Bubuk terkejut selepas mendapat tahu jirannya terlibat dengan kejadian pembunuhan kejam tersebut. Roziah Hamid, 50, berkata, sejak menyewa di situ, warga Myanmar berkenaan tidak bercampur dengan jiran dan hanya bergaul sesama mereka. “Mereka akan keluar bekerja pada awal pagi dan pulang lewat petang. Saya terkejut kerana rumahnya terletak kira-kira 10 meter sahaja dari rumah saya dan tidak sangka berlaku kejadian potong kepala di situ,” katanya.-Utusan




.

Budak 13 tahun naik basikal balik rumah selepas digigit jerung



Budak 13 tahun naik basikal balik rumah selepas digigit jerung | Seorang budak lelaki 13 tahun yang digigit seekor jerung semasa meluncur di pantai dekat Mandurah, 85 kilometer dari Perth, berbasikal balik ke rumahnya dan bersarapan sebelum pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, lapor portal berita Perth Now. Cameron Pearman, pelajar Tahun 8 di Kolej Katolik Mandurah, berkata beliau mahu makan roti kismis sebelum ibu bapanya membawa dia ke hospital selepas insiden pada pukul 6 pagi itu.

 "Saya sangat lapar. Saya hendak roti kismis sedikit," kata Cameron seperti dipetik oleh portal berita itu. Budak itu mengalami luka kecil pada kaki kanannya dan dirawat oleh seorang anggota penyelamat pantai, sebelum dia menunggang basikal untuk balik ke rumah, lapor agensi berita dpa. Apabila dia tiba di rumah, bapanya tidak percaya yang anak lelakinya itu diserang oleh seekor jerung sebaliknya memikirkan anaknya itu terjatuh basikal.

Menurut Cameron, ikan jerung yang dipercayai berukuran 2.25 meter menyerangnya dari belakang dan dia cuma nampak "kepala besar berwarna kelabu." Menurut budak lelaki itu, insiden tersebut tidak menakutkannya untuk turun lagi ke laut, sebaliknya dia akan terus meluncur seawal-awalnya pada Ahad. Pihak berkuasa pantai kemudian menutup pantai tersebut daripada dikunjungi orang ramai sehingga 6 pagi Ahad waktu tempatan.-AP



.

Inilah realiti Kumpulan rock terkenal, Search.. didedahkan oleh penyanyinya sendiri, Amy Search



Inilah realiti Kumpulan rock terkenal, Search.. didedahkan oleh penyanyinya sendiri, Amy Search | Setelah lebih tiga dekad dalam industri seni, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menzahirkan rasa kecewa atas kesukaran mencari penaja, khususnya dalam menjayakan persembahan mereka. Kata Amy, industri seni semakin ketandusan penaja artis tempatan, namun hal sebaliknya berlaku di mana kebanyakan syarikat tertentu lebih berminat memberi tajaan kepada artis antarabangsa. Situasi berat sebelah itu masih lagi dirasakan oleh artis tempatan, termasuk kumpulan rock dengan nama besar itu.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada mereka yang ketika ini dalam rangka membuat persembahan di Konsert Search: Live in Istana Budaya 2014. "Masalah sukar mendapat penaja masih lagi berlaku walaupun Search sebuah kumpulan yang sudah 33 tahun berada dalam industri. "Dalam 10 promosi yang kita lakukan, tiada satu pun yang mahu menaja. Walaupun begitu, kami teruskan juga konsert di Istana Budaya nanti demi peminat Search, walau tanpa tajaan," ujar Amy.

Sebagai bukti kumpulan tersebut masih mendapat tempat di hati pengikut setianya, tiket konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember ini telah pun habis terjual. Vokalis kumpulan rock tersohor negara itu berkata demikian ketika rakaman temubual bersama program Agenda AWANI. Bercerita mengenai konsert di IB, Amy berkata, tiada elemen lakonan dan grafik LED akan digunakan pada konsert tersebut seperti yang dikatakan sewaktu sidang media sebelum ini.Sebaliknya dalam konsert tersebut, penonton hanya akan menyaksikan aksi daripada kumpulan Search dan barisan pemain selo dari kumpulan Paladin di atas pentas panggung berprestij itu.

“Kumpulan Search kembali kepada basic persembahan. Tiada lakonan, tiada props dan tiada grafik LED yang akan digunakan. Hanya Search dan tambahan instrumen selo kumpulan Paladin,” jelas Amy. Amy berkata, selo dipilih kerana bunyi yang dikeluarkan bernada berat yang akan memberikan impak yang menarik jika digabungkan dengan irama rock & roll. Semenjak dibentuk pada tahun 1981, kumpulan yang dianggotai oleh Yazid Ahmad (dram), Kid (gitar utama), Din (gitar) dan Nasir (bass) telah menghasilkan lebih 20 album studio yang terjual laris.

Album 'Cinta Buatan Malaysia', 'Langit dan Bumi', dan 'Mentari Merah di Ufuk Timur', masing-masing terjual lebih 20,000, 30,000 dan 50,000 unit, membolehkan syarikat rakaman mereka memperoleh Anugerah Emas untuk dua album pertama dan Anugerah Platinum untuk album ketiga itu. Album keempat Search, 'Fenomena' yang dikeluarkan pada tahun 1989 telah berjaya terjual sebanyak 2 juta unit di Indonesia dan Malaysia. Dalam album inilah termuatnya lagu malar hijau 'Isabella'. Ikuti temubual penuh bersama Amy menceritakan pengalaman pahit manis Search sepanjang 33 tahun di dalam industri, dan konsert 'Search: Live In Istana Budaya 2014', di Agenda AWANI, 8:30 malam Sabtu ini.-Awani




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!