Monday, December 15, 2014

Lelaki ni tidak wajar dipanggil bapa...



Lelaki ni tidak wajar dipanggil bapa... | SEORANG bapa dikesan memasukkan anak lelakinya ke dalam mesin basuh serta memutar kanak-kanak itu sehingga mati. Dalam kejadian itu, suspek, Joseph, 28, didakwa telah membunuh anaknya, Koda Blocker, 4, menggunakan mesin di rumah mereka dekat Garland, Texas. Pembunuhan itu disedari apabila suspek menghubungi pasukan paramedik untuk meminta bantuan berikutan keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, siasatan polis mengesan mangsa telah dibunuh dan bukan terjatuh ke dalam mesin basuh.

"Mesin basuh itu bukan jenis automatik dan pintunya juga tidak tertutup secara automatik. Oleh itu, mangsa dipercayai telah dibawa masuk ke dalam mesin basuh oleh suspek yang kemudian menghidupkan mesin berkenaan," jelas polis. Berikutan itu, polis menahan Joseph untuk siasatan lanjut. Siasatan terhadap mayat bayi itu mendapati, kematian berpunca daripada kecederaan parah akibat diputar di dalam mesin basuh.-AP




.

Aneh!! Mumia wanita dipamer dalam kedudukan seperti janin



Aneh!! Mumia wanita dipamer dalam kedudukan seperti janin | Satu mumia berusia lebih daripada 1,000 tahun yang berada pada posisi seperti di dalam janin akan dipamerkan kepada umum di sebuah muzium di sini bermula bulan depan. Mail Online melaporkan, mumia wanita yang ditemukan di sebuah kawasan perkuburan purba di Pachacamac berhampiran bandar raya Lima, Peru itu dipercayai berusia 50 tahun ketika meninggal dunia.


 Bagi memastikan bentuk badan mumia berkenaan terus terpelihara, ahli arkeologi sepakat untuk mempamerkan mumia tersebut dalam keadaan asalnya di Musee de Confluences, Lyon bulan depan. Mumia tersebut akan menjadi sebahagian daripada pameran ta­madun pra-Inca yang memaparkan kaedah dan cara manusia purba mengendalikan mayat pada zaman itu mengikut usia dan budaya masing-masing.


Lebih daripada 160 tengkorak dan mumia ditemukan di Pachacamac yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Lima pada tahun 2012 dengan kira-kira 70 daripadanya dijumpai berada dalam keadaan se­perti di dalam janin dan kebanyakannya masih dibalut rapi dengan kain. Kesemua tengkorak dan mumia itu dipercayai merupakan penduduk yang tinggal di bandar purba berkenaan yang wujud kira-kira 800 ke 1,450 tahun dahulu.-AP




.

Amanat terakhir Allahyarham Datuk Mustapha Maarof dimakbulkan Allah


Amanat terakhir Allahyarham Datuk Mustapha Maarof dimakbulkan Allah | Aktor seniman Datuk Mustapha Maarof, 79, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 8.38 pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang dekat sini selepas waktu zohor hari ini Allahyarham yang meninggalkan tiga orang cahaya mata Suzylynna, 50; Azlynna, 46; dan Mohd. Rezainudden, 38 serta tujuh orang cucu, meninggal dunia di Hospital Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju selepas 12 hari berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU ) kerana masalah paru-paru.

Amanat Allahyarham yang mahu disemadikan bersebelahan pusara isterinya, Allahyarham aktres Datin Roseyatimah dimakbulkan oleh Tuhan. Semalam genap 27 tahun Allahyarham Roseyatimah meninggal dunia kerana barah payu dara. Menurut anak bongsu pasangan ini, Mohd. Rezainudden, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan bersyukur kerana hajat Allahyarham untuk dikebumikan bersebelahan pusara isterinya tertunai. "Terima kasih kepada semua yang mendoakan agar segala urusan pengebumian Allahyarham ayah berjalan lancar," katanya. Majlis tahlil akan diadakan di Masjid Sentul selama tiga hari berturut-turut bermula malam ini. Bagi para peminat Allahyarham bolehlah hadir untuk bacaan Yassin dan tahlil malam ini. - Utusan



.

Wanita 72 tahun bunuh anak lelakinya berusia 54 tahun yang sakit terlantar kerana sudah tidak mampu jaga anak



Wanita 72 tahun bunuh anak lelakinya berusia 54 tahun yang sakit terlantar kerana sudah tidak mampu jaga anak | Polis di Higashiyamato kelmarin menahan seorang wanita berusia 72 tahun kerana membunuh anak lelakinya berusia 54 tahun yang sakit terlantar. Wanita dikenali Keiko Ikeda itu dilaporkan mencekik mati anaknya lewat Jumaat lalu sebelum menghubungi polis pada jam 11 malam untuk mengakui perbuatannya. Polis yang datang menyiasat menemui mayat mangsa yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu dengan skaf diikat pada lehernya. Dia dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia. Ikeda dilaporkan tidak tahan lagi menjaga anaknya itu. - Agensi




.

Doktor menemui sesuatu yang mengejutkan didalam perut seorang lelaki



Doktor menemui sesuatu yang mengejutkan didalam perut seorang lelaki | Seorang lelaki Kazakhstan menderita kesakitan selama 12 tahun apabila pakar bedah secara tidak sengaja meninggalkan gunting di dalam perutnya selepas melakukan pembedahan. Karp Ponomaryov, 53, menjalani pembedahan yang menyelamatkan nyawanya itu lebih sedekad lalu, namun kecemerkapan pekerja perubatan mengakibatkan gunting sepanjang 20 sentimeter itu ditinggalkan di dalam badannya.


Sejak itu, dia mengalami sakit perut yang teruk setiap kali makan berlebihan, namun tidak pernah mengesyaki sesuatu tidak kena kerana bersyukur terselamat menjalani pembedahan itu. Dia bagaimanapun mendapatkan rawatan selepas tiba-tiba hilang selera makan dan berat badannya susut mendadak kira-kira sebulan lalu. Gunting berkenaan ditemui Dr Baurzhan Aybaev, 44, apabila melakukan imbasan x-ray. -AP




.

Wanita Britain lakukan aksi lagak ngeri



Wanita Britain lakukan aksi lagak ngeri  | Dua orang wanita Britain melakukan aksi lagak ngeri dengan berjalan dan mengimbangi badan mereka di atas sayap dua pesawat ringan di sekitar kawasan pantai paling popular di sini, minggu ini. Aksi Britons Danielle Hughes dan Emily Guilding dari pasukan Breitling Wingwalkers dilakukan bersempena penganjuran UIM Skydive Dubai XCAT World Po­werboating Series ketika kelajuan angin mencecah 160 kilometer sejam. Antara aksi ngeri yang dilakukan wanita di atas pesawat Boeing Stearman keluaran tahun 1930-an itu adalah membuat rutin gimnastik meskipun berada dalam kedudukan kuasa graviti yang tinggi di udara, lapor Mail Online.


Persembahan itu sekali gus mencuri tumpuan penduduk Dubai yang ketika ini tertumpu kepada perlumbaan bot laju tersebut. Pesawat Boeing Stearman yang dinaik taraf dengan enjin 450 kuasa kuda, berlepas dari landasan Skydive Dubai dan membuat formasi aerobatik serta pemanduan silang.


Pasukan Breitling Wingwalkers yang berasal dari United Kingdom amat dikenali kerana sering membuat pertunjukan di seluruh dunia antaranya di China, Australia, Kuwait dan tanah air mereka. “Kami amat teruja kerana dapat mempersembahkan pertunjukan daripada pasukan Breitling Wingwalkers semasa acara ming­gu ini yang merupakan pusingan akhir UIM Skydive Dubai XCAT World Series 2014,’’ kata penganjur program itu yang juga Presiden WPPA, Dr Saif Al Ketbi.-AP




.

Rakaman video papar haiwan peliharaan Presiden Rusia mengejutkan orang ramai



Rakaman video papar haiwan peliharaan Presiden Rusia mengejutkan orang ramai | Satu rakaman video yang memaparkan Harimau Siberia milik Presiden Rusia, Vladimir Putin membaham anjing telah dimuat naik ke laman sosial dan mendapat perhatian orang ramai khususnya di China. Harimau yang jarang ditemui itu telah dilepaskan Putin di Pulau Heixiazi pada Mei sebelum dikesan memasuki China.


Ketika dirakam, haiwan ganas itu juga kelihatan dipasang alat pengesan GPS. Menurut media China, Harimau Siberia milik Putin itu bukan sahaja mula membaham haiwan peliharaan milik penduduk tetapi telah mengganggu haiwan ternakan. - Agensi



.

Sekolah cipta kelainan selepas alami masalah kekurangan tanah pembinaan



Sekolah cipta kelainan selepas alami masalah kekurangan tanah pembinaan | Sebuah sekolah di sini mengambil keputusan untuk membina sebuah gelanggang permainan dan trek di atas bumbung selepas mengalami masalah kekurangan tanah pembinaan. Laman web Oddity Central melaporkan, pihak pengurusan Sekolah Rendah Tiantai berpendapat keputusan tersebut adalah yang terbaik bagi membolehkan murid-muridnya menjalani pelbagai aktiviti sukan selepas tidak terdapat tanah kosong sesuai di sekitar sekolah yang terletak di tengah-tengah kawasan perumahan itu.


“Akibat ruang tanah yang terhad, kami mencabar diri untuk membina kawasan permainan dan trek di atas bumbung sekolah,” kata ketua arkitek, Ruan Hao. Bagi memastikan keselamatan terjamin, gelanggang dan trek sepanjang 200 meter itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan ciri-ciri keselamatan antaranya dinding luarnya dilindungi dengan kaca genting setebal 1.8 meter. Pihak berkuasa turut menempatkan kamera bagi memantau aktiviti kira-kira 1,600 orang murid sekolah tersebut ketika bersukan.-AP




.

Laluan utama Serian dan Tebedu terputus berikutan kejadian tanah runtuh



Laluan utama Serian dan Tebedu terputus berikutan kejadian tanah runtuh | Laluan utama yang menghubungkan antara Serian dan Tebedu terputus berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di KM36, Jalan Serian-Tebedu di sini, petang semalam. Kejadian 4.50 petang itu menyebabkan laluan di kedua hala terputus selepas tanah runtuh berlaku dari bukit di kanan jalan. Menurut Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Chung Aik Peng, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu. Katanya, bomba sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian keadaan tanah runtuh serta mengambil tindakan selanjutnya.

"Berikutan kejadian ini, jalan utama ke Tebedu dan beberapa kampung berhampiran terputus sehingga kerja pembersihan dijalankan. "Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif Jalan Daha Kisau (dari Tebedu) dan Jalan Terbat/Mongkos (dari Serian), " katanya. Bomba dan JKR Serian dijangka melakukan kerja pembersihan tanah malam ini bagi membolehkan laluan itu digunakan pengguna jalan raya. Chung berkata, pemeriksaan JKR mendapati tiada kerosakan pada jalan, hanya tanah runtuh dari bukit berhampiran memenuhi jalan. -Metro




.

Rahsia penjual burger hidup mewah terbongkar



Rahsia penjual burger hidup mewah terbongkar | Rahsia seorang pemuda yang hanya menjual burger, tetapi hidup mewah terbongkar apabila dia sebenarnya pengedar pil kuda. Pemuda berusia 22 tahun itu ditahan bersama isterinya berusia 21 tahun dan sepasang lagi suami isteri berusia 23 dan 25 tahun dipercayai saudaranya dalam serbuan oleh Pasukan Khas Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah di Kampung Terusan Limbat, Rabu lalu. Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan itu, sebungkus kertas mengandungi 1,000 biji pil kuda yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kancil dipercayai milik salah seorang pasangan berkenaan ditemui.

“Pemeriksaan lanjut menemui wang tunai sebanyak RM84,557 selain sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dianggarkan bernilai RM12,000 turut dirampas. “Ketika serbuan itu, seorang daripada suspek cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan di kawasan rumah berkenaan. Dia (salah seorang yang ditahan) hanya jual burger, tetapi banyak wang dan itu yang kita pelik,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan, di sini, semalam. Menurutnya, siasatan mendapati penjual burger itu aktif mengedar pil kuda sejak enam bulan lalu di daerah ini dan tidak menolak kemungkinan mempunyai pelanggan tetap. Katanya, kedua-dua pasangan suami isteri itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, dalam dua operasi berasingan yang berakhir kelmarin di Jalan Pintu Pong dan Kampung Cherang, di sini, Mazlan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun. “Seorang daripada mereka bekerja sebagai buruh berusia 20 tahun ditahan bersama satu paket plastik dipercayai mengandungi 200 biji pil kuda bernilai RM5,000 di depan sebuah rumah di Jalan Pintu Pong. “Kita menemui dadah itu dalam poket seluarnya dan suspek disiasat mengikut Seksyen 39 (A) (1) ADB,” katanya. Menurutnya, soal siasat lanjut terhadap suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun ditahan dan sejumlah 600 biji pil kuda bernilai RM14,850 yang diletakkan dalam raga motosikalnya dirampas.

Katanya, suspek berasal dari Tawang, Bachok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. “Jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi selama empat hari itu adalah RM116,407 membabitkan dadah jenis pil kuda, kenderaan dan wang tunai. “Dengan tertangkapnya semua suspek, kita percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dan kini giat mengesan saki baki anggota yang terbabit dalam pengedaran di daerah ini, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok,” katanya. -Metro



P/S - Sekadar gambar hiasan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!