Thursday, December 18, 2014

Pemuda ajak wanita nama sama bekas kekasih pergi melancong


Pemuda ajak wanita nama sama bekas kekasih pergi melancong | Seorang pemuda, Jordon Axani, 28, akhirnya menemui calon paling sesuai untuk menggantikan tempat bekas kekasihnya untuk melancong keliling dunia, lapor Associated Press. Bulan lalu, Jordon dikatakan menjadi tumpuan apabila menawarkan tiket melancong keliling dunia secara percuma kepada mana-mana wanita yang bernama Elizabeth Gallagher. Jordon dan bekas kekasihnya itu telah menempah tiket tersebut pada Mei lalu namun hubungan mereka berakhir dan Jordon tidak mahu tiket tersebut tidak digunakan.

Tiket pelancongan itu mempunyai polisi ketat yang tidak membenarkan pertukaran namun memandangkan ketika membuat tempahan, maklumat pasport tidak dikehendaki, maka tiket tersebut sah untuk mana-mana rakyat Kanada bernama Elizabeth Gallagher. Jordon memuat naik tawaran tersebut di laman sosial media popular, Reddit menerima ribuan e-mel termasuk 18 Elizabeth Gallaghers yang mempunyai pasport. Akhirnya Jordon telah memilih pasangan melancongnya, Elizabeth Quinn Gallagher, 23, dari Cole Harbour, Nova Scotia, seorang pelajar yang bekerja separuh masa di sebuah pejabat. “Perjalanan ini akan menjadi begitu hebat,” kata Jordon.

Sementara itu, menurut Elizabeth, keputusan pergi melancong dengan individu yang tidak dikenali adalah sesuatu yang ‘gila’ namun berjaya diatasi melalui perbualan telefon dengan Jordon. “Sudah tentu ini sesuatu yang menyeramkan pada awalnya tapi sekarang saya dah bercakap dengan dia, ia lebih hebat,” katanya. Meskipun sudah mempunyai teman lelaki, namun Elizabeth menganggap perjalanan tersebut atas dasar kawan. Percutian itu dijadualkan Ahad ini bermula di New York kemudian ke Milan, Prague, Paris, Bangkok dan New Delhi sebelum berakhir di Toronto pada 12 Januari depan. -AP




.

Kisah mengharukan ini menjadi viral sepanjang minggu di laman sosial



Kisah mengharukan ini menjadi viral sepanjang minggu di laman sosial | Kisah seorang ibu dan nenek berusia 47 yang terpaksa mencuri lima biji telur di sebuah pasar raya di Tarrant, di sini, tetapi tidak ditahan, sebaliknya dibantu seorang pegawai polis sehingga menjadi viral sepanjang minggu ini berikutan mencuit emosi masyarakat seluruh dunia terus menjadi bualan. Terbaru, pegawai polis terbabit, William Stacy diberi penghargaan oleh Majlis Perbandaran Tarrant, Alabama, Amerika Syarikat, manakala wanita itu, Helen Johnson semakin mendapat perhatian selepas tidak putus-putus menerima bantuan bukan saja daripada penduduk Amerika Syarikat, malah penduduk Australia turut menghulurkan pelbagai sumbangan.

Pada 6 Disember lalu, Helen yang tinggal bersama dua anak, seorang anak saudara dan dua cucu berusia 1 dan 3 tahun menyembunyikan lima biji telur dalam poketnya, tetapi telur berkenaan pecah. Sebaik tiba di pintu keluar, dia ditahan oleh William dan diminta untuk menunggu namun diberitahu pengurusan tidak akan membuat laporan ke atasnya. Helen memberitahu William bahawa di rumah tiada makanan dan dia tidak mampu untuk membayar harga telur berkenaan.


Pegawai polis itu kemudian membelikan telur dengan syarat wanita itu berjanji untuk tidak mencuri lagi. Klip video mereka sedang berpelukan menjadi viral selepas itu dan William diberi penghargaan oleh Datuk Bandar Tarrant, Loxcil Tuck yang turut memuji usaha Jabatan Polis Tarrant menganjurkan program bantuan untuk Helen dan individu lain yang memerlukan. Minggu lalu, William serta beberapa pegawai polis lain membawa dua lori barang makanan untuk diberikan kepada Helen. - Al.com

Inilah Charyl Chappuis, pemain Thailand berjersi nombor 7, yang menjadi tumpuan peminat bola sepak



Inilah Charyl Chappuis, pemain Thailand berjersi nombor 7, yang menjadi tumpuan peminat bola sepak | Disebalik kemenangan pasukan Thailand mengatasi Harimau Malaya pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala malam tadi, tumpuan peminat bola sepak khususnya wanita juga terarah kepada aksi pemain tengah skuad Gajah Putih, Charyl Chappuis. Apa yang menjadi perhatian, Charyl bukan saja menunjukkan kemahiran di padang tetapi dikatakan menggoda penyokong wanita pasukan lawan. Pemain yang menyarung jersi nombor 7 dibawah bimbingan jurulatih Kiatisuk Senamuang itu seolah menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pengguna laman sosial di Facebook, Twitter dan Instagram.


Charyl yang memiliki wajah tampan terus mencuri tumpuan apabila mencatat kenangan manis untuk dirinya selepas menjaringkan gol pada minit ke-71 melalui sepakan penalti. Beberapa foto Charyl dikongsi di laman sosial berkenaan menggambarkan ramai penyokong wanita Harimau Malaya ‘terpukau’ dengan pemain kelahiran Thailand-Switzerland itu yang turut menjadi trending di Twitter selepas kata kunci Harimau Malaya dan Malaysia vs Thailand.


Bagaimanapun, segelintir peminat skuad Harimau Malaya cuba menafikan ketampanan pemain itu dengan menyatakan bahawa anak-anak buah jurulatih Dollah Salleh lebih kacak dan bergaya pada perhatian mereka.Malah, segelintir penyokong juga memuat naik gambar Charyl bersosial dengan lelaki yang memberi gambaran berbeza kepada pemain itu. Terdahulu, pasukan Thailand berjaya memanfaat peluang bermain di tempat sendiri apabila menundukkan Malaysia dengan keputusan 2-0. Misi menebus maruah pasukan Kebangsaan akan diteruskan pada perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 Disember ini. - mD



.

Penemuan mengejutkan, mayat dibungkus selimut di belakang sebuah restoran makanan segera



Penemuan mengejutkan, mayat dibungkus selimut di belakang sebuah restoran makanan segera | Mayat seorang wanita dibungkus dengan selimut ditemui di belakang sebuah restoran makanan segera di Kota Sentosa, di sini, jam 6.30 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Pauzi Bujang berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di belakang restoran berkenaan.

Katanya, ada kesan cedera di kepala mangsa, manakala hidungnya berdarah dipercayai dipukul dengan objek tumpul. "Mayat dipercayai warga tempatan dan ketika ditemui memakai baju hitam, berseluar pendek dan mempunyai tatu di lengan kanan. "Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. -Metro




.

Naib presiden marah, wartawan samakan rupiah dengan mata wang sampah



Naib presiden marah, wartawan samakan rupiah dengan mata wang sampah  | Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dilaporkan berang apabila ada pihak menyamakan rupiah dengan ‘mata wang sampah.’ Label berkenaan timbul apabila mata wang Indonesia itu kini mengalami penyusutan nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Pada peringkat awal melayan soalan wartawan, Jusuf kelihatan bersahaja, namun apabila isu berkenaan ditimbulkan, pembesar berasal dari Sulawesi Selatan itu tiba-tiba naik angin.

 “Ulangi lagi,” katanya. Apabila wartawan terbabit mengulangi kata-kata berkenaan, Jusuf memberi reaksi marah. “Justeru kau tidak menggunakan rupiah? Jangan kata begitu mengenai rupiah,” katanya. Keadaan semasa rupiah mengalami penurunan disebabkan pola pengukuhan dolar AS. Katanya, apa yang berlaku bukan disebabkan kedudukan rupiah. “Semua mata wang terjejas dan kita bernasib baik kerana kesan dialami adalah kecil,” katanya. -AP




.

Lagi penumpang pesawat China buat hal



Lagi penumpang pesawat China buat hal | Belum lagi reda mengenai tindakan bodoh dalam pesawat oleh pelancong China, timbul pula satu lagi kisah yang dicetuskan penumpang pesawat dari negara itu. Minggu lalu, berlaku kejadian melontar mi panas terhadap seorang pramugari AirAsia Thailand dan ancaman mengebom pesawat itu yang dilakukan sepasang kekasih dari negara itu. Kelmarin, satu lagi kes timbul, membabitkan seorang penumpang yang bertindak mengaktifkan gelungsur kecemasan semata-mata kerana mahu keluar cepat dari pesawat yang dinaikinya.

Penerbangan China Eastern MU2331 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sanya dari Xi’an mendarat sekitar jam 9 malam kelmarin dan hampir siap untuk berhenti di kawasan yang ditetapkan sebelum seorang penumpang membuka pintu kecemasan. Penumpang berkenaan sebelum itu memberitahu rakannya, dia tidak sabar untuk keluar dari kapal terbang berkenaan sebaik ia mendarat. Dia membuka pintu kecemasan itu, menyebabkan gelungsur kecemasan terpasang. Apabila ditahan kerana tindakannya itu, penumpang berkenaan berkata, dia tidak tahu pintu kecemasan tidak boleh dibuka walaupun perkataan melarangnya jelas terpampang pada pintu itu. -AP





.

Tragedi belon panas di Turki babit rakyat Malaysia



Tragedi belon panas di Turki babit rakyat Malaysia | Seorang mati manakala sembilan pelancong lain termasuk rakyat Malaysia parah apabila belon udara panas yang dinaiki mereka terhempas di Cappadocia, Turki, semalam. Dalam kejadian 8.15 pagi waktu tempatan itu, belon panas berkenaan berlepas dari pusat pelancongan Goreme sebelum terhempas ketika melalui lembah Guvercinilik.

Menurut laporan AFP, mangsa adalah rakyat dari negara China dan Malaysia. Mangsa dari Malaysia dilaporkan dalam keadaan kritikal. Mangsa yang meninggal dikenali sebagai Tang Yi dan mangsa selebihnya dihantar ke hospital berdekatan. Pada tahun 2009, kejadian sama berlaku di kawasan itu mengorbankan seorang pelancong dari Britain dan sembilan pelancong lain cedera. -AP




.

Pelajar kejururawatan dibunuh kejam selepas nekad dedah perbuatan tidak senonoh bapa tiri


  
Pelajar kejururawatan dibunuh kejam selepas nekad dedah perbuatan tidak senonoh bapa tiri | Seorang pelajar kejururawatan dibunuh dan kulitnya disiat selepas bercadang untuk mendedahkan perbuatan tidak senonoh bapa tirinya ke atas dirinya. Kassandra Bravo, 19, dilapor hilang awal bulan ini selepas tidak muncul untuk menjaga bayi di rumah rakan keluarganya. Polis mengeluarkan notis orang hilang selepas menerima laporan daripada ibunya. Mayatnya ditemui dalam parit berhampiran jalan raya di Las Cocinas. Detektif yang menyiasat kes itu berkata, mulanya sukar untuk mengecam mayat Kassandra kerana kulit mukanya sudah disiat.

Hasil bedah siasat menunjukkan dia dicekik. Seorang rakannya memberitahu polis, Kassandra bercadang memberitahu ibunya Angela Bravo, 41, bahawa dia didera secara seksual sejak berumur 15 tahun. Bapa tiri mangsa, Daniel Murrieta Sianz, 42, mengaku mencekik dan membuang mayat mangsa, tetapi menolak dakwaan dia mendera atau menyiat kulitnya. - Agensi




.

Punca bangunan ‘White House’ dibina di Iraq



Punca bangunan ‘White House’ dibina di Iraq | Sebuah rumah mewah menyerupai bangunan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS), White House sedang dalam pembinaan di Iraq dan bakal menggamit pelancong serta penduduk sekitar apabila ia siap kelak. Bangunan agama itu dibina di bandar Mosul, terletak 80 kilometer dari kawasan bergolak yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS). Rumah itu berukuran 3,000 meter persegi, dibina lebih kecil daripada bangunan White House sebenar yang berukuran 5,109 meter persegi. Kos pembinaannya dipercayai bernilai AS$20 juta (RM69 juta).

Portal berita nydailynews melaporkan, ia dibina oleh seorang taikun Kurdis di Kota Impian yang merupakan sebuah kawasan kediaman mewah di bandar Erbil, Iraq. Ia turut dihiasi siling bersalut emas 21 karat, lampu candeliar berukuran 2.7 meter dan jubin Turki berukiran halus. Jutawan itu, Shihab Shihab memberitahu NPR News, dia mengarahkan untuk meniru kediaman rasmi Presiden AS tetapi menggunakan marmar Greek yang diimport berbanding menggunakan batu pasir yang asal. “Saya mahu sebuah rumah yang menjadi perbualan orang ramai.

“Saya mahu mencipta satu mercu tanda baharu yang lebih hebat di kawasan mewah ini dan saya berpendapat jika anda ada wang, anda perlu tinggal di dalam kemewahan,” katanya yang mendakwa rumah agam itu, setakat ini masih dalam pembinaan dan mempunyai lakaran cetakan biru yang mengagumkan. Kata Shihab, dia pernah dihina menerima tawaran bernilai AS$17 juta (RM59 juta) daripada seseorang untuk membina rumah tersebut pada Oktober lalu. Shihab juga berkata, dia amat berbesar hati untuk membenarkan Presiden Obama singgah di rumahnya itu. “Jika Obama datang, saya akan menjemputnya datang ke sini. Kami akan menjemputnya untuk jamuan kebab Erbil dan ikan,” katanya.-AP




.

Shahrukh Khan dedah saat cemas dan pengalaman perit ketika diserang



Shahrukh Khan dedah saat cemas dan pengalaman perit ketika diserang  | "Saya menggigil dan berasa ajal semakin hampir. Saya terpaksa menggigit tali leher menahan sakit serta mengelak daripada menjerit dan mendiamkan diri dengan berbaring selepas terkena tembakan di kedua-dua kaki,” kata pelajar, Shahrukh Khan, 16, mangsa serangan puak Taliban di sebuah sekolah dikendalikan tentera Pakistan, semalam.

Menurutnya, masih terngiang-ngiang di ingatannya, empat lelaki memakai kasut but hitam masuk ke dalam kelas sejurus melepaskan tembakan rambang. “Ketika itu mereka mungkin mencari pelajar yang bersembunyi. Saya menutup mata, menanti sebarang kemungkinan ditembak semula,” katanya yang terselamat dalam kejadian itu selepas penembak berkenaan keluar dari kelas.

Dia kini dirawat di Hospital Lady Reading Pesahawar. Dalam kejadian jam 10.30 pagi (1.30 petang waktu Malaysia), seramai 141 orang maut, 132 daripadanya pelajar termasuk kanak-kanak dan selebihnya kakitangan sekolah. Kumpulan Threek-e-Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab dan dikatakan untuk membalas serangan tentera terhadap mereka. Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung dan menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi negara. AFP





.

Serang penyokong Vietnam.. Apa hukuman yang menanti jika sabit kesalahan?



Serang penyokong Vietnam.. Apa hukuman yang menanti jika sabit kesalahan? | Lima lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan merusuh dan menyerang seorang penyokong bola sepak Vietnam pada perlawanan separuh akhir Piala AFF 2014, di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu. Tertuduh, Mohd Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya Noor Hadi, 29; Amirul Akmal Nooradzhar, 22; Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28; dan Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Majistret Ellyana Razali kemudiaannya membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM2,800 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa selain diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan kediaman masing-masing sehingga kes selesai. Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda atau keduanya sekali. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!