Tuesday, December 23, 2014

Lukisan mural di Bandaraya ipoh ini undang kontroversi dan tanda tanya..



Lukisan mural di Bandaraya ipoh ini undang kontroversi dan tanda tanya.. | Di sebalik keindahan lukisan mural di sekitar Bandaraya Ipoh terdapat satu lukisan yang nyata mengundang kontroversi apabila ia mirip wajah Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Tiada siapa yang menyangka gambar yang menunjukkan seorang lelaki tua sedang memegang cawan di Jalan Tun Sambanthan, di sini, berhampiran Padang Ipoh itu seakan-akan individu yang diharamkan ke negara ini. Pendedahan itu dibuat sendiri oleh seorang warga Ipoh, Mior Azman Mior Aris, 46, yang sudah lama meneliti gambar berkenaan sejak ia dilukis pada Jun lalu oleh seorang pelukis mural terkenal.

 Menurutnya, jika dilihat sekali imbas memang tidak perasan tentang individu yang dilukis memandangkan Chin Peng tidak dikenali ramai dari segi paras rupanya. “Saya bersama beberapa rakan yang lain duduk semeja berbincang mengenai wajah individu terbabit. Apabila kita membuat pencarian internet gambar Chin Peng dan banding dengan lukisan itu, memang sama. “Ini satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan lukisan itu dilukis. Dalam sibuk kita membantah dan menghalang abu mayatnya (Chin Peng) di bawa ke negara ini, dengan selamba wajahnya dijadikan mural,” katanya.


Mior Azman berkata, perkara ini serius kerana ia dilihat cubaan pihak tertentu untuk menyebarkan elemen subversif menggunakan seni mural. Tambahnya, perkara seumpama itu harus menjadi iktibar kepada semua pihak khususnya PBT supaya lebih peka dalam menerima sesuatu projek seni bagi mengelak agenda tertentu dibawa melaluinya. “Kita mahu orang ramai buka mata terhadap agenda pihak tertentu yang cuba membawa masuk ideologi tertentu secara halus. “Orang ramai hanya nampak ia sebagai lukisan yang cantik, tetapi maksud tersirat di sebaliknya kita tak tahu,” katanya lagi.


Ramai tidak perasan 

Sementara itu, seorang warga Ipoh, Rozamir Zulkifli, 42, berkata, jika sekali imbas, gambar yang terpampang di bangunan tersebut memang mirip Chin Peng, tetapi tidak serupa. Menurutnya, lukisan ini subjektif untuk ditafsir kerana pelukis melukis melalui hati, bagaimanapun jika ia disuruh melukis gambar tersebut, motifnya perlu disiasat. “Jika gambar itu serupa, kita perlu siasat perkara tersebut. Dalam hal ini, kita juga perlu tahu tujuan lukisan dibuat sama ada mengindahkan bangunan atau menarik perhatian pelancong dan sebagainya. “Jika sebabnya lain atau terdapat maksud tersurat dan tersirat, ia perlu tindakan segera dari pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi warga Ipoh, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mengharapkan tindakan dan siasatan dari pihak berkenaan sekiranya gambar tersebut adalah Chin Peng. Abdul Salim berkata, jika benar ini mungkin satu cara halus pihak tertentu untuk meracuni fikiran anak muda yang tidak tahu sejarah sebenar gambar berkenaan. “Cadangan saya supaya pihak kerajaan negeri menganjurkan pertandingan lukisan mural wajah tokoh-tokoh Melayu supaya golongan muda kenal dengan tokoh yang pernah berbakti kepada tanah air kita.

“Cara ini lebih baik dari menuduh atau memarahi pihak berkenaan. Pihak berkuasa juga perlu memberi lebih perhatian kepada mereka yang bergerak secara sembunyi dan berharap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya. Pengerusi Barisan NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata, siasatan perlu dibuat untuk memastikan gambar siapa yang terpampang di bangunan tersebut. Mohd Salleh berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menghormati keputusan kerajaan dan menolak apa sahaja agenda untuk memasukkan Chin Peng atas kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini. “Pihak yang bertanggungjawab juga diminta untuk memberi penjelasan kerana memberi kebenaran lukisan tersebut terpampang di situ dan boleh menyebabkan salah sangka di kalangan rakyat apabila perkara yang tidak boleh, dibolehkan.

Chin Peng

“Selain pihak berkaitan, pemilik bangunan juga perlu disiasat untuk memastikan semuanya jelas dan tidak timbul kekeliruan,” katanya. Yang Dipertua Ikram Perak, Yahanis Yahya pula berpendapat, mural seumpama pimpinan PKM ini amat sensitif dan boleh menaikkan sentimen beberapa pihak. Menurut beliau, kesemua pihak diharap menjaga keharmonian negara dengan bertanggungjawab malah dalam kes ini pihak berkuasa tempatan perlu memberi penjelasan. “Kajilah sejarah secara objektif supaya penilaian dibuat dengan fakta bagi meningkatkan intelektual dan Malaysia boleh menuju ke negara Rahmah,” katanya.


MBI nafi mural Chin Peng 

Sementara itu, sumber dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberitahu pihaknya telah maklum dengan perkara itu. Menurut beliau, isu berkenaan sebenarnya sudah pun selesai dan pihak MBI menafikan individu dalam lukisan mural berkenaan adalah Chin Peng. Malah katanya, satu mesyuarat jawatankuasa sudah pun dibuat bagi membincangkan isu itu sebelum ini. “Kita faham akan sensitiviti masyarakat walaupun kita nyatakan bahawa lukisan itu bukanlah Chin Peng. Kita akan berbincang dengan pelukis dan pihak berkaitan untuk menukar gambar yang lain.

 “Apa-apa pun saya akan rujuk kepada Datuk Bandar dahulu sebelum maklum balas lanjut diberikan mengenai isu ini,” katanya. Di Pekan Lama Ipoh, terdapat tujuh lukisan mural berinspirasikan kopi yang dihasilkan pelukis terkemuka, Ernest Zacherevic di bawah projek Art of Oldtown. Setiap lukisan ditempatkan di tujuh lokasi berbeza seperti di Jalan Panglima, Market Street, Jalan Bijeh Timah, Concubine Lane 3, Jalan tun Sambanthan dan Jalan Padang yang memaparkan mural seperti ‘Kopi-O’, ‘kapal terbang kertas’, ‘beca’, ‘evolusi’ dan ‘pakcik tua bersama kopi putih’. -SH





.

Niat murni tak selalunya membawa kepada kebaikan



Niat murni tak selalunya membawa kepada kebaikan | Niat murni seorang pemandu wanita Kanada membantu sekumpulan itik yang terperangkap di lebuh raya, membawa padah apabila dia dipenjarakan selama 90 hari kerana tindakannya itu menyebabkan kemalangan maut. Menurut laporan portal berita United Press International (UPI), Emma Czornobaj, 26, juga perlu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam selain dilarang memandu selama 10 tahun. Bagaimanapun, hukuman penjara terbabit hanya akan dijalankan pada setiap hujung minggu sehingga cukup 90 hari.

Berdasarkan rekod kes, kejadian itu berlaku pada Jun 2010 apabila Czornobaj memberhentikan kereta Honda Civic yang dipandunya secara tiba-tiba selepas ternampak tujuh ekor itik terperangkap di tengah-tengah Lebuh Raya 30 di Montreal. Tindakan wanita berusia 26 tahun memberhentikan kereta secara mengejut, menyebabkan seorang penunggang motosikal, Andre Roy, 50, dan anak perempuannya, Jessie, 16, terlanggar bahagian belakang kereta Czornobaj lalu terbunuh.

Ketika perbicaraan, Czornobaj mengaku dia berbuat demikian kerana mahu menyelamatkan itik terbabit dan disabitkan dua kesalahan kerana kecuaian serta berdepan hukuman penjara seumur hidup. Namun dia bernasib baik dikenakan hukuman yang lebih ringan selepas kesnya mendapat perhatian kumpulan pencinta haiwan yang berjaya mengumpulkan lebih 19,000 tanda tangan bagi mendesak pihak mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.-AP




.

Bekas pemain bola sepak BPL cedera parah dirempuh lori ketika berjalan



Bekas pemain bola sepak BPL cedera parah dirempuh lori ketika berjalan | BEKAS pemain kelab bola sepak Leeds United, Burnley dan QPR iaitu Clarke Carlisle mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah lori ketika berjalan. Carlisle yang bakal menjawat jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional terpaksa diterbangkan ke Hospital Leeds untuk menerima rawatan. Ketika kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, Carlisle dilapor sedang berjalan di A64, North Yorkshire sebelum dirempuh sebuah lori.

Akibat rempuhan itu Carlisle mengalami kecederaan parah dan sedang diselamatkan oleh pasukan perubatan.Siasatan polis setakat ini belum dapat mengenalpasti punca rempuhan dan enggan membuat sebarang kesimpulan jika ia melibatkan karier Carlisle. Sementara itu, pelbagai pihak termasuk FA England menghantar ucapan selamat kepada Carlisle menerusi laman sosial Twitter miliknya.



.

Wanita 90 tahun mengaku ahli sihir, culik dan makan bayi



Wanita 90 tahun mengaku ahli sihir, culik dan makan bayi  | Seorang wanita berusia 90 tahun yang mengaku dirinya seorang ahli sihir ditangkap tidak lama selepas dia dan rakannya gagal melapah seorang bayi. Nenek dikenali sebagai Shoko itu ditangkap ketika memulangkan bayi berkenaan dan bercadang mencari bayi lain. Bayi pertama tidak dimakan kerana Shoko dan rakannya mendapati dia sudah mempunyai gigi. Bagaimanapun, dia ditangkap pada jam 3 pagi selepas bayi itu tidak henti menangis. Ibu kanak-kanak berkenaan, Sharai Hundi, yang kebetulan terjaga dari tidur berlari keluar kerana mendapati bayinya sedang terbaring di sebelah seorang wanita tua. “Saya tidak akan melupakan kejadian ini dan bersyukur Tuhan menyelamatkan bayi saya.

“Saya terjaga sekitar jam 3 pagi kerana anak mahu minum. Kebetulan saya memeriksa tempat tidur bayi saya namun dia sudah hilang. “Seolah dalam mimpi saya mendengarnya menjerit menangis di luar rumah dan alangkah terkejut apabila melihatnya terbaring di sebelah unggun api dengan seorang wanita tua bersamanya,” katanya. Menurut Sharai, dia terus mencapai bayinya dan membawa masuk ke rumah, tetapi kanak-kanak itu masih tidak henti menangis. Dia kemudian menghubungi keluarganya yang tinggal berhampiran, manakala Shoko yang malu menutup muka menggunakan bajunya menyebabkan badannya terdedah.

“Dia terpaksa mengakui perbuatannya kerana penduduk kampung hampir mahu membelasahnya. Semua orang terkejut apabila dia mengaku sebenarnya nenek kebayan yang buta pada waktu siang, namun dapat melihat jelas ketika malam. “Katanya, dia mengambil anak saya kerana tiba gilirannya mendapatkan daging manusia untuk diratah bersama rakan-rakannya,” katanya. Bayi itu bernasib baik kerana mereka mewajibkan semua anak yang ingin dimakan mestilah belum tumbuh gigi.

Sharai berkata, suaminya Mujena yang pulang dari kerja mengarahkan Shoko pergi dari situ namun wanita berkenaan mengelilingi rumah mereka selama empat jam sehingga anak-anaknya membawa kereta sorong dan membawanya pergi. “Kami ditawarkan lima lembu sebagai pampasan oleh keluarganya namun tidak menerimanya kerana bimbang dia datang untuk menghirup darah anak kami. “Anak saya masih belum pulih kerana luka di badan dan matanya belum sembuh,” katanya. Sementara itu, ketua kampung mengambil tindakan menghalau Shoko dari kampung itu.-AP




.

Awas sejadah dikatakan ada gambar babi atau tokong dijual di Maidin?



Awas sejadah dikatakan ada gambar babi atau tokong dijual di Maidin? | Seorang individu mendakwa Maidin USJ ada menjual sejadah yang dikatakan berbintik dan hampir menyerupai imej babi atau tokong. Sejadah itu dikatakan dijual dengan harga hanya RM25, di tingkat 1 Maidin USJ.


Pembeli mulai perasan ketika membeli barang disitu pada 20hb disember yang lalu, dan percaya bahawa sejadah berbintik itu sememangnya dilihat menyerupai bentuk babi atau tokong.


Pembeli juga berharap dengan tersebarnya gambar dan info ini, maka pihak berkenaan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini terhadap akidah umat islam di negara ini..




Pelajar tingkatan enam dibenar berpakaian biasa.. Ini detailnya..


Pelajar tingkatan enam dibenar berpakaian biasa.. Ini detailnya.. | Selepas berminggu-berminggu spekulasi, Kementerian Pendidikan mengesahkan bahawa pelajar yang akan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam dibenarkan memakai pakaian tradisonal atau pakaian lain, sebagai sebahagian daripada kod pakaian baharu bermula musim persekolahan yang akan dibuka dua minggu lagi. Mereka juga akan dibenarkan untuk memakai baju batik ke sekolah, di bawah langkah kementerian untuk "menjenamakan semula" Tingkatan Enam. Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, sekolah tidak lagi boleh mengarahkan pelajar Tingkatan Enam supaya memakai pakaian mengikut standard. Pelajar lelaki juga akan dibenarkan memakai baju dan seluar berwarna cerah dan seluar ke sekolah tetapi tidak boleh mempunyai corak bunga atau rekaan lain.

"Walaupun mereka bebas untuk memilih warna baju mereka, tetapi ia perlu pastikan tidak mempunyai corak. Namun baju yang bercorak belang atau berpetak dibenarkan," katanya mengenai arahan itu kepada semua sekolah. Walaupun tidak dinyatakan di dalam arahan itu, pelajar masih lagi boleh memakai uniform. Panjang seluar yang dipakai juga perlu melebihi buku lali dan tidak ketat. Pelajar juga dibenarkan memakai tali pinggang tetapi saiz 'buckles' tidak boleh melebihi 5 sentimeter. Dr Khair berkata, walaupun kelonggaran di bawah peraturan baru, pelajar dilarang daripada memakai mana-mana pakaian yang diperbuat daripada bahan denim. Beliau berkata selain baju kurung, pelajar perempuan juga akan dibenarkan memakai seluar panjang.


Mereka juga akan dibenarkan memakai blaus berlengan, gaun labuh, skirt yang melebihi paras lutut. Manakala seluar jeans, seluar kargo, seluar pendek dan celana ketat tidak dibenarkan. "Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai kemeja-T apabila mereka datang ke kelas," katanya sambil menambah bahawa pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian ketat. Pelajar lelaki dikehendaki memakai kasut dan stoking manakala perempuan hanya boleh memakai kasut yang menutupi kaki mereka. Selipar, terompah atau sandal tidak dibenarkan. Bagi aktiviti luar, pelajar digalakkan memakai seluar panjang atau seluar trek dan kemeja-T lengan panjang atau pendek. "Kemeja-T yang dipakai tidak boleh mempunyai imej politik, ganas, kesat atau apa-apa yang dianggap negatif," katanya. -Mstar




.

Video ini jadi sensasi di laman sosial



Video ini jadi sensasi di laman sosial | Seorang wanita yang berang selepas tayar keretanya dikunci oleh pihak berkuasa bertindak nekad memandu kenderaannya walaupun alat berkenaan masih dipasang. Kejadian berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 milik Chicquita Washington telah dikunci pada bahagian kiri tayar belakang kerana diletakkan di kawasan yang dilarang.

Washington yang baru keluar daripada menghadiri satu sesi uji bakat sebelum itu cuba merayu supaya seorang pegawai yang sedang mengunci tayar SUV miliknya tidak meneruskan tindakan berkenaan. Apabila rayuannya tidak dipedulikan, dia kemudian masuk ke dalam SUV berkenaan dan terus memandu walaupun beberapa pengguna jalan raya menasihati dia berhenti.

Bagaimanapun, selepas beberapa meter kunci tayar itu tiba-tiba patah menyebabkan sekumpulan penduduk yang melihat aksi itu bersorak dan bertepuk tangan. Seorang penduduk yang merakamkan aksi Washington itu telah memuat naik video berkenaan di internet dan kini menjadi sensasi di laman sosial. – Agensi





.

Ngeri! Pekerja binaan maut ditimpa runtuhan dinding konkrit



Ngeri! Pekerja binaan maut ditimpa runtuhan dinding konkrit  | Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas ditimpa runtuhan dinding konkrit ruang pameran yang sedang dalam pembinaan di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini malam tadi. Dalam kejadian 9.20 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Shamsul, 30, mati di tempat kejadian apabila dinding setinggi lima meter dengan lebar 5.6 meter itu menghempapnya.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Md Suhaimi Md Abdullah, berkata mangsa terperangkap di bawah runtuhan dan mayatnya hanya dapat dikeluarkan pasukan menyelamat pada 10.10 malam. "Mangsa sedang membuat kerja ketika kejadian sebelum dinding itu runtuh. Pasukan menyelamat mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa kerana runtuhan dinding itu padat. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!