Monday, December 29, 2014

Wanita ambil gambar selfie dengan mayat dibicarakan di mahkamah



Wanita ambil gambar selfie dengan mayat dibicarakan di mahkamah | Seorang wanita didakwa mengambil gambar selfie dengan mayat untuk seorang rakan dan memuat naik gambar berkenaan ke dalam Facebook. Dalam perbicaraan di Mahkamah Newton County semalam, Chelsie Berry, 24, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu. Dia juga dituduh sengaja membiarkan mayat si mati, Dennis Meyer, 30, terbujur di jalan masuk sebuah rumah. Meyer mati akibat mengambil dadah berlebihan. Ketika ditahan Ogos lalu, Chelsie memberitahu polis, dia tidak menelefon ambulans atau membawa Meyer ke hospital kerana dia juga khayal selepas mengambil dadah Methamphetamine dan Xanax dan bimbang ditahan polis. Chelsie akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 9 Februari depan. - Agensi



.

Lapor diri ke Institut Latihan KKM ditangguh ke 12 Januari 2015



Lapor diri ke Institut Latihan KKM ditangguh ke 12 Januari 2015 | Kementerian Kesihatan menangguhkan tarikh lapor diri bagi pelatih latihan praperkhidmatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang dijadualkan Khamis ini kepada 12 Januari 2015. Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Farida Mohd. Ali dalam kenyataan hari ini berkata, penangguhan berkenaan adalah berikutan bencana banjir yang melanda negara.

“Bagi memudahkan para pelatih mendapatkan maklumat lanjut berhubung penangguhan ini, mereka boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Latihan, Kementerian Kesihatan di talian 03-88850600 atau ILKKM yang berkenaan,” katanya. Farida berkata, terdapat seramai 3,500 pengambilan baharu pelatih Latihan Pra Perkhidmatan dan 14,500 pelatih-pelatih sedia ada yang akan mendaftar dan melapor diri di ILKKM di seluruh negara bagi sesi pengajian Januari 2015. - Bernama




.

Kecoh di lapangan terbang apabila ada wanita bersikap biadap potong barisan



Kecoh di lapangan terbang apabila ada wanita bersikap biadap potong barisan | Gara-gara tidak berpuas hati dengan sikap biadap seorang wanita warga China yang bertindak memotong barisan di kaunter pengesahan penerbangan di sebuah lapangan terbang di sini menyebabkan seorang wanita warga Thailand naik berang dan memarahi wanita China berkenaan. Akhbar Daily Mail melaporkan insiden kedua-dua wanita itu bertengkar menggemparkan penumpang dan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Thailand, kelmarin. Ekoran insiden itu, beberapa pengguna di lapangan terbang tersebut sempat merakamkan video dan gambar pergaduhan itu menggunakan telefon bimbit masing-masing.

 Menurut seorang saksi, ketika penumpang beratur di sebuah kaunter pengesahan syarikat penerbangan tambang murah, Lion Air Thailand, seorang penumpang warga Thailand naik berang apabila seorang penumpang wanita warga China bertindak memotong barisan. Bangkok Post melaporkan, pelancong dari China dan wanita Thailand itu mula bertengkar dan tercetus pergelutan kecil sebelum dileraikan oleh beberapa orang penumpang lelaki yang turut berbaris. Namun kedua-dua wanita itu didapati terus menjerit ke arah satu sama lain.

Kejadian di lapangan terbang itu merupakan beberapa insiden pertengkaran dan gangguan yang membabitkan penumpang warga China pada bulan ini. Sebelum ini seorang penumpang wanita warga China yang kecewa kerana dia tidak dapat duduk disebelah teman lelakinya di dalam pesawat bertindak membaling secawan air panas dan mi ke muka seorang pramugari syarikat penerbangan AirAsia Thailand. Susulan itu, teman lelaki wanita tersebut melompat keluar dari kerusinya dan mengugut untuk meletupkan pesawat berkenaan yang dalam perjalanan ke Nanjing, sebelum pesawat itu dipaksa perpatah balik dan melakukan pendaratan cemas.

Ekoran insiden itu, menyebabkan pelancong China dikecam oleh media tempatan di China yang menggelar mereka sebagai tidak bertamadun dan kerajaan China berjanji akan mengenakan hukuman berat kepada pasangan tersebut dan dua teman mereka. Dalam satu kenyataan pedas yang dikeluarkan Jabatan Pentadbiran Kebangsaan Pelancongan menyatakan kejadian pelancong China mengganggu penerbangan dan mencederakan penumpang telah ‘secara teruk merosakkan imej keseluruhan orang China.’ -AP




.

Selepas genap setahun tragedi, apa kisah lagenda F1 Michael Schumacher?



Selepas genap setahun tragedi, apa kisah lagenda F1 Michael Schumacher? | LAGENDA F1, Michael Schumacher sedang melalui tempoh pemulihan yang panjang walaupun kejadian ngeri yang menimpa pelumba itu telah genap setahun pada 29 Disember, jelas pengurusnya, Sabine Kehm. Kehm mengeluarkan kenyataan terbaharu itu bagi menyangkal dakwaan bahawa Schumacher telah pulih apabila mula mengenali isteri dan anaknya. "Kami perlu masa lebih lama (pemulihan). Dia akan melalui masa lebih lama untuk pulih. "Dai telah menunjukkan kemajuan dalam beberapa situasi yang serius sebelum ini," katanya mengulangi kenyataan yang dibuat sebulan lalu.

Schumacher mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan ski di Meribel, Perancis pada 29 Disember 2013. Dia berada dalam keadaan koma dalam tempoh yang panjang sehingga Jun tahun ini sebelum meninggalkan hospital pada September. Dalam satu temubual oleh akhbar Le Parisien pada Ahad, seorang bekas pelumba F1, Philippe Streiff memberitahu bahawa Schumacher kini mampu bercakap dan mula mengenali isteri serta anaknya.

Streiff yang dikatakan rakan lama Schumacher oleh akhbar tersebut dilaporkan mendapat maklumat berkenaan daripada isteri lagenda berkenaan iaitu Corinne dan pakar bedah, Gerard Saillant. Bagaimanapun Kehm mendakwa Streiff bukan rakan lama kepada Schumacher dan tidak mendapatkan maklumat daripada Corinne serta Saillant. "Saya tidak boleh mengesahkan maklumat (Streiff). Dia bukan rakan lama dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kami, tiada apa-apa," jelasnya.-AP



.

Lihat kejutan anak paling mengharukan ibu bapa sempena krismas



Lihat kejutan anak paling mengharukan ibu bapa sempena krismas | Video memaparkan ibu bapa kepada seorang lelaki menangis apabila membuka hadiah sempena Hari Krismas daripada anaknya berupa sepucuk surat yang menyatakan pinjaman rumah yang didiami ibu bapanya telahpun dilangsaikan, dan video itu tersebar meluas di Internet. Laman web UPI melaporkan lelaki tersebut yang dikenal pasti sebagai seorang pereka aplikasi Videoshop, Joseph Riquelme merakam detik dia menyerahkan sepucuk surat berupa hadiah Hari Krismas kepada ibu bapanya.


Surat tersebut merupakan surat daripada bank yang memaklumkan bahawa pinjaman rumah yang dibuat oleh pasangan suami isteri itu telah dilunaskan. Ibu Riquelme kelihatan menangis ketika membaca surat tersebut dan dia kemudian menyerahkan surat itu untuk dibaca oleh suaminya. Air mata bapa pereka aplikasi tersebut turut kelihatan mengalir selepas membaca surat berkenaan. Video tersebut bertajuk Merry Christmas ditonton lebih 240,000 kali pada hari pertama ia dimuat naik di YouTube. -AP




.

#QZ8501 : Wanita dedahkan, harapan bercuti bersama tunang di Singapura musnah selepas kapal itu hilang



#QZ8501 : Wanita dedahkan, harapan bercuti bersama tunang di Singapura musnah selepas kapal itu hilang | Louise Sitharta sepatutnya bercuti di sini bersama tunangnya sebelum mereka melangsungkan perkahwinan Mei tahun depan. Namun begitu harapan wanita ini berkecai apabila tunangnya, Alain, merupakan seorang daripada penumpang pesawat AirAsia Indonesia yang hilang pada pagi Ahad. "Tunang saya dan keluarganya berada di dalam penerbangan itu. Mereka merancang untuk bercuti dan saya sepatutnya bertemu dia di sini. Ini sepatutnya percutian terakhir dia bersama-sama keluarganya sebelum kami berkahwin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan menunggu di Aras 3, Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.

Warga Indonesia berusia 25 tahun itu menaiki penerbangan lain ke Singapura di sebelah tengah hari dan sepatutnya bertemu Alain di sini. Louise berkata Alain, 27, menaiki penerbangan itu bersama-sama bapa, ibu dan tiga saudara lelaki. "Saya berfikiran positif dan berharap kapal terbang itu akan ditemukan segera," katanya, dan menambah tiada apa yang dapat dilakukannya selain menunggu perkembangan selanjutnya. Louise mendapat perkhabaran itu menerusi siaran radio kira-kira 11 pagi ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Surabaya untuk ke Singapura.


Berdasarkan senarai penumpang yang dikeluarkan di sini, terdapat nama Alain Oktavianus Siaun. Penerbangan QZ8501, dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura, membawa 162 orang termasuk tujuh anggota kru. Pesawat itu, yang dijadual tiba pada 8.30 pagi Ahad, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi Ahad. Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura, ketika terputus hubungan, pesawat itu berada di Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) Indonesia iaitu lebih 200 batu nautika di tenggara sempadan FIR Singapura-Jakarta.-AP




.

Gambar terkini Harper Beckham, satu-satunya anak perempuan David Beckham



Gambar terkini Harper Beckham, satu-satunya anak perempuan David Beckham | Nama anak perempuan bekas pemain bola sepak terkenal dunia, David Beckham iaitu Harper semakin diminati dalam kalangan ibu bapa di Britain apabila melonjak naik sebanyak 67 anak tangga dalam senarai nama bayi paling popular di negara ini.Portal berita Mail Online yang memetik laporan tahunan Kelab Ibu Bapa Bounty pada tahun ini berkata, nama Harper turut melonjak naik ke tangga ke-77 dalam senarai terbaharu berbanding tangga ke-144 pada tahun sebelumnya, sekali gus mengenepikan nama popular lain seperti Thea, Darcie dan Lottie.

Harper yang berusia tiga tahun merupakan satu-satunya anak perempuan pasangan Beckham dan Victoria Beckham. Pasangan itu mempunyai tiga anak lelaki iaitu Brooklyn, 15, Romeo, 12, Cruz, 9 tahun. Bagi kategori nama lelaki pula, pilihan nama Kian semakin popular di Britain, manakala nama Jack paling banyak digunakan untuk kelahiran bayi baharu pada tahun ini.


Advertisement Amelia pula kekal sebagai nama paling banyak dipilih untuk bayi perempuan disusuli Olivia dan Emily. Jurucakap kelab berkenaan, Lisa Penney berkata, ibu bapa pada masa ini semakin kreatif untuk memilih nama anak mereka, sama seperti selebriti. “Tetapi secara umumnya, apapun nama yang diberikan pada anak mereka, ia belum pasti menjadikan mereka kaya atau terkenal apabila sudah besar nanti. Advertisement “Ada nama bayi yang boleh cepat popular dan ada juga yang tidak diminati oleh ibu bapa,” katanya.-AP




.

Tukang urut wanita ditemui mati tergantung dalam tandas



Tukang urut wanita ditemui mati tergantung dalam tandas | Seorang tukang urut wanita warga Thailand ditemui mati tergantung di dalam tandas di sebuah premis di Jalan Mahsuri, Bayan Baru, 2 petang tadi. Mayat mangsa, Kankrittaya, 38, ditemui seorang pekerja lelaki selepas melihat mangsa masuk ke dalam tandas. Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, berdasarkan siasatanmangsa dipercayai mengalami tekanan jiwa dan dilihat menangis serta murung beberapa hari lalu.

Beliau berkata, semasa kejadian mangsa dilihat masuk ke dalam tandas namun tidak keluar selepas itu dan lebih kurang 15 minit kemudian pekerja lelaki mengetuk pintu tandas tetapi tiada respon daripada mangsa. Katanya, pekerja terbabit memecahkan pintu tandas dan menemui mangsa tergantung dengan tali. -Metro



.

#QZ8501 : Kerana perubahan jadual, sekumpulan penumpang tertinggal pesawat dan menaiki penerbangan lain


#QZ8501 : Kerana perubahan jadual, sekumpulan penumpang tertinggal pesawat dan menaiki penerbangan lain | "Kami bersyukur tetapi sesungguhnya simpati terhadap penumpang dan ahli keluarga mereka," kata wanita dikenali sebagai Cristianawati, yang sepatutnya menaiki pesawat AirAsia QZ8501 ke Singapura, pada Ahad. Cristianawati berkata, dia dan sembilan ahli keluarga lain tidak menaiki penerbangan berkenaan kerana menyangka jadual penerbangan tidak berubah. “Tiket penerbangan kami pada 6.30 pagi (waktu Malaysia) tapi AirAsia mempercepatkan jadual penerbangan. Kami diberitahu, pada 15 dan 26 Disember lalu, syarikat penerbangan itu ada menghubungi kami memaklumkan bahawa jadual dipercepatkan. Tapi, kami tidak menjawab panggilan itu," katanya yang berasal dari Surabaya.

Oleh itu, katanya, dia bersama keluarganya terus ke lapangan terbang Juanda Surabaya dengan andaian jadual penerbangan tidak berubah. “Saya bersama keluarga, termasuk tiga kanak-kanak dan dua bayi tiba di lapangan terbang, pada pada 4.30 pagi (waktu Malaysia). Kami sekeluarga begitu yakin sudah menepati waktu dan akan menaiki pesawat itu. “Bagaimanapun, sangkaan kami meleset apabila jadual penerbangan dipercepatkan dan kami ketinggalan pesawat. Oleh itu, kami terus membuat aduan kepada syarikat penerbangan itu berhubung jadual penerbangan yang diubah tetapi kami tidak tahu. “Selepas berbincang dengan kakitangan syarikat penerbangan itu, akhirnya kami sekeluarga diberi jadual penerbangan baru iaitu pada 11.45 pagi (waktu Malaysia) untuk penerbangan Surabaya-Jakarta-Singapura," katanya.

Tetapi, katanya, tidak lama kemudian dia dimaklumkan oleh adiknya bahawa penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 yang sepatutnya mereka sekeluarga naiki terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta. "Kami menangis mendengar laporan berhubung pesawat itu di lapangan terbang. Kami berdoa semoga penumpang AirAsia Indonesia QZ8501 dan krew penerbangan segera ditemui," katanya. Cristianawati berkata, dia kemudian membatalkan niat untuk ke Singapura. “Kami kini berkumpul di rumah ibu," katanya. AirAsia Indonesia mengesahkan pesawat Airbus dengan pendaftaran QZ8501 dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura hilang daripada radar pada 7.24 pagi (waktu Malaysia). Pesawat Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu dipercayai membawa 155 orang penumpang dan anak kapal dan terputus hubungan ketika berada di ruang udara di Teluk Kumai, Kalimantan Tengah, Indonesia. -Detiknews





.

Tarikh baru sesi persekolahan 2015 untuk seluruh negara - Menteri Pendidikan




Tarikh baru sesi persekolahan 2015 untuk seluruh negara - Menteri Pendidikan | Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika ini, demikian umum Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). "Seperti semua pihak maklum banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir. "Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu," katanya dalam satu kenyataan. Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambil kira; a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka. Muhyiddin berkata, sekiranya keadaan banjir pulih, pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh berkenaan untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing. Ini katanya, bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna. -BH




.

Lelaki nyaris putus pergelangan kaki kanan selepas mesin pemotong elektrik terpelanting ke kakinya



Lelaki nyaris putus pergelangan kaki kanan selepas mesin pemotong elektrik terpelanting ke kakinya | Seorang lelaki nyaris putus pergelangan kaki kanan selepas mesin pemotong elektrik yang digunakan untuk memotong kayu terpelanting ke kakinya dalam kejadian di Kampung Pinang, semalam. Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Muzabirin Bokhari, 44, menjerit kesakitan akibat mesin pemotong elektrik melekat pada pergelangan kakinya sementara menunggu kehadiran bantuan kecemasan.

Muzabirin berkata, dia bersama beberapa rakan mengambil kontrak membuat rumah di Kampung Pinang. Katanya, ketika kejadian dia sedang memotong kayu menggunakan mesin pemotong elektrik dan gegaran kuat menyebabkan mesin itu gagal dikawal. "Mesin itu terlepas daripada tangan, terpelanting dan jatuh melekat pada pergelangan kaki saya. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!