Tuesday, December 30, 2014

Comelnya bayi pasangan kerdil Britain ini



Comelnya bayi pasangan kerdil Britain ini  | Pasangan kerdil Laura Whitfield dan Philips berasa bahagia selepas menyambut kelahiran cahaya mata pertama mereka pada bulan lalu, satu-satunya bayi yang mengalami simptom kerdil berganda (double dwarfism) di Britain.Bayi berkenaan, Nathan Philips dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan kini dijaga pasangan kerdil, Whitfield, 24, dan Philips, 34 tahun. Whitfield dan Philips yang merupakan pelakon filem Snow White and the Seven Dwarfs juga mula bersiap untuk kembali ke pentas bersama bayi mereka yang dijaga di belakang pentas ketika mereka mengadakan persembahan. Laman web, Mail Online melaporkan, Whitfield dinasihatkan supaya menggugurkan kandungannya selepas menerima diagnosis awal kandungan.


Whitfield diberitahu bayi berkenaan mungkin memerlukan penjagaan khusus sekiranya dia selamat dilahirkan. “Pada minggu ke-25, doktor mendapati ukuran bayi dalam rahim saya tidak seperti yang dijangka. Mereka berpendapat bayi kami mewarisi dua jenis gen unik yang mungkin berbahaya. “Saya dinasihatkan supaya menggugurkan kandungan saya, tetapi saya tidak mengambil peduli tentang hal itu. Saya dapat rasakan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya yang dipetik laman web, sunderlandecho.com.


Whitfield mengalami simptom achondroplasia yang menyebabkan tangan dan kakinya menjadi pendek dan tulang belakangnya bengkok. Pasangannya, Philips pula mengalami simptom pseudoachondroplasia yang menyebabkan pertumbuhan tulang terbantut dan pinggulnya lemah. Pasangan kerdil itu yang bertemu ketika penggambaran filem Snow White and the Seven Dwarfs pada tahun lalu memaklumkan bahawa mereka tidak pasti tentang masa depan anak mereka itu, namun mereka akan tetap tabah. “Doktor berkata Nathan mungkin hanya akan mula belajar berjalan apabila umurnya mencecah 18 bulan. Tetapi kami akan terus menyokongnya,” kata Whitfield. -AP




.

Bateri unit kawalan jauh helikopter mainan bikin dua beradik parah


Bateri unit kawalan jauh helikopter mainan bikin dua beradik parah | Seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun putus jari tangan manakala adik lelakinya berusia lima tahun cedera di muka, tangan serta badan selepas terkena letupan disyaki berpunca daripada bateri unit kawalan jauh helikopter mainan dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Universiti, di sini, pagi ini. Difahamkan, bateri berkenaan yang sedang dicaj itu meletup dan mencederakan dua daripada tiga beradik lelaki yang berada dalam bilik itu.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran rumah di kawasan terbabit, pada 11.55 pagi. Menurutnya, setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati berlaku letupan dalam bilik di rumah berkenaan.

"Anggota kemudian menemui serpihan jari dan tompokan darah di sekitar kawasan bilik berkenaan. Difahamkan terdapat tiga mangsa di dalamnya, termasuk seorang daripadanya jari terputus,” katanya. Selian itu, anggota bomba turut mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera di muka, tangan dan badan manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tidak cedera. Katanya, kedua-dua kanak-kanak lelaki itu kemudian dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. -Metro



P/S - Sekadar gambar hiasan



.

#QZ8501 : Sedih.. Jasad ditemui sedang berpegangan tangan



#QZ8501 : Sedih.. Jasad ditemui sedang berpegangan tangan | Tiga hingga empat jasad mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui dalam keadaan berpegangan tangan ketika pasukan mencari dan menyelamat membuat tinjauan dari udara. Juruterbang pesawat Hercules A-1319, Lettu Adhi Miswara berkata, selepas menemui jasad pertama mangsa nahas, pihaknya melakukan tinjauan di sekitar kawasan berkenaan dan menemui kira-kira lapan jasad lagi tidak jauh dari lokasi penemuan jasad pertama . Pesawat Hercules yang diterbangkan dari Lanud Halimperdanakusuma Jakarta sempat mendarat di Lanud Iskandar Pangkalan Bun sebelum membuat pencarian di wilayah selatan perairan Pangkalan Bun.

Setelah menemui pelampung berwarna oren dan serpihan pesawat, kira-kira 4.30 petang waktu tempatan, mereka menemui jasad mangsa yang dibawa arus ke Selat Karimata dekat Teluk Air Hitam. "Ia ditemui di barat dan dekat dengan lokasi pertama," katanya. Pembantu juruterbang, Erwin Tri Prabowo pula berusaha merakam gambar jasad-jasad itu dengan menggunakan kamera dengan lensa panjang. "Kami melihat dalam jarak sekitar 5 kilometer, ada kira-kira tujuh hingga lapan jasad lain. "Satu daripada jasad yang ditemui dalam posisi tertiarap memakai baju putih dan seluar hitam.


Selain itu juga ada sekelompok jasad malah ada yang masih berpegang tangan," katanya. Sementara itu, sebuah kapal perang Indonesia menemui lebih 40 jasad terdampar ditengah laut ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat AirAsia, kata jurucakap tentera laut. “Berdasarkan laporan radio tentera laut, dilaporkan kapal perang Bung Tomo sudah membawa keluar 40 jasad dan angka itu meningkat dari semasa ke semasa. Mereka kini terlalu sibuk,” kata Manahan Simorangkir. - Agensi





.

#QZ8501: [Gambar] Anggota SAR temui mayat membengkak terapung



#QZ8501: [Gambar] Anggota SAR temui mayat membengkak terapung | Pembantu juruterbang Hercules C130 Indonesia mendakwa melihat objek seperti mayat manusia terapung di Selat Karimata di mana objek lain seperti pelampung dan serpihan pesawat. Leftenan Satu Tri Wibowo berkata, pada awalnya beliau melihat objek berkenaan seperti manusia yang sedang melambai-lambai ke arah pesawat, namun selepas didekati ia menyerupai jasad manusia yang sudah membengkak.

"Pada awalnya saya lihat seperti manusia melambai-lambai, mungkin dia menyedari kehadiran pesawat. Tetapi selepas kami dekati, nampak ia sudah membengkak. Ia kelihatan melambai-lambai mungkin kerana dipukul ombak," kata Tri di sini, sebentar tadi. - Kompas




.

Objek yang ditemui disahkan adalah serpihan #QZ8501



Objek yang ditemui disahkan adalah serpihan #QZ8501 | Kementerian Perhubungan Republik Indonesia (KEMENHUB) mengesahkan objek ditemui di Laut Jawa mempunyai kaitan dengan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501. Laporan yang dipetik daripada DetikNews disahkan oleh Plt Dirjen Perhubungan Udara Kementerian, Djoko Murjatmodjo. "Sudah dipastikan itu adalah serpihan pesawat. Ada tiga objek yang titik kordinatnya berbeza tadi. "Infomarsi itu juga selari berdasarkan maklumat yang diberitahu oleh Badan mencari dan menyelamat (BASARNAS) sebentar tadi," kata Djoko. Djoko berkata, jika warna objek itu adalah putih dan merah adalah dipercayai mempunyai kaitan dengan badan pesawat. "Tentera Nasional Indonesia akan terbang ke Pengkalan Bun berikutan objek ini berpotensi menjadi petunjuk," kata Djoko. -AP




.

#QZ8501 : 7 Gambar penemuan terkini berupa gelongsor kecemasan, pintu pesawat dan objek berupa susuk manusia



#QZ8501 : Gambar penemuan terkini berupa gelongsor kecemasan, pintu pesawat dan objek berupa susuk manusia | Sejumlah objek gelongsor kecemasan dan pintu dipercayai milik pesawat AirAsia QZ8501, dikesan ketika misi pencarian melalui udara dijalankan oleh pasukan penyelamat, lapor pihak berkuasa Indonesia hari ini. Pegawai Tentera Udara Indonesia, Agus Dwi Putranto dalam sidang akhbar berkata, pihaknya mengesan kira-kira 10 objek besar dan banyak lagi objek kecil berwarna putih di kawasan pencarian, kira-kira 10 kilometer dari lokasi terakhir pesawat yang membawa 162 penumpang itu dikesan radar.





Beliau turut menunjukkan 10 objek yang merupakan pintu pesawat, gelongsor kecemasan dan objek berbentuk kotak. Seorang jurugambar AFP yang menyertai misi pencarian berkata, dia turut melihat sejumlah objek yang menyerupai rakit getah, jaket keselamatan dan tiub panjang berwarna jingga. - AFP






Tentera Indonesia kesan objek berupa susuk manusia 

Pasukan tentera udara Indonesia dilapor menemukan objek yang dipercayai tubuh manusia di kawasan perairan Selat Karimata dekat Teluk Air Hitam, Kalimantan Barat. Menurut laporan portal tempatan, Detik News, penemuan terbaharu itu dicatatkan melalui pemantauan oleh sepasukan anggota tentera yang menaiki pesawat Hercules A1319, kurang sejam selepas penemuan sejumlah objek dipercayai termasuk pintu pesawat dan gelongsor kecemasan milik pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang sejak dua hari lalu.



Seorang daripada pegawai tentera yang berada dalam pesawat itu, Tri Prabowo sempat menangkap gambar objek berkenaan yang kelihatan seperti tubuh manusia yang sedang melambai tangan seolah-olah meminta bantuan. Jelas laporan itu, penemuan tersebut tidak jauh daripada lokasi terakhir pesawat yang membawa 162 penumpang itu sebelum hilang daripada dikesan radar. - Utusan




 P/S - Sumber gambar dari google




.

Suami isteri tak sangka pasu sumbing milik mereka punya nilai yang sangat tinggi


Suami isteri tak sangka pasu sumbing milik mereka punya nilai yang sangat tinggi | Sebuah pasu sumbing yang digunakan sepasang suami isteri untuk menempatkan bunga plastik dijual dengan harga £634,400 (RM3.45 juta) selepas didapati ia peninggalan abad ke-18 China. Pasangan yang nama mereka tidak didedahkan itu mewarisi pasu berkenaandaripada mendiang bapa wanita itu dan sama sekali tidak menyedari mengenai asal usul dan nilai pasu itu.

Menurut wanita itu, pasu berkenaan dibeli bapanya pada 1960. Mereka menghantar beberapa gambar barangan antik yang mereka anggap boleh mendapat harga tinggi kepada syarikat lelong, termasuk pasu setinggi 12 inci berwarna hijau kekuningan itu. Seorang pakar serta-merta mengecam pasu porselin unik itu yang dibuat pada abad ke-18 untuk sebuah istana Maharaja China, Qianlong.


Mereka terkejut apabila syarikat berkenaan meletakkan harga anggaran prajualan sebanyak £10,000 (RM54,427.50). Bagaimanapun, dengan kehadiran pembida dari China, Hong Kong, Taiwan dan Kanada pada hari jualan, harga pasu itu meningkat hingga £100,000 (RM544,87) sebelum dibeli seorang pembida pada harga £520,000 (RM2.83 juta) Ditambah dengan yuran, jumlah yang dibayar untuk pasu itu mencecah £634,400 (RM 3.45 juta). -AP




.

Ibu rela serah bayi kerana tidak mampu bagi makan



Ibu rela serah bayi kerana tidak mampu bagi makan | Seorang ibu menyerahkan bayinya berusia tiga bulan kepada orang tidak dikenalinya kerana tidak mampu memberinya makan disebabkan sudah mempunyai enam anak lain. Bayi perempuan yang hanya memakai baju serta topi nipis itu diserahkan kepada Jennifer Argo di bangunan apartmennya ketika dia kebetulan lalu di situ pada jam 7 malam Sabtu lalu. Anggota polis Phoenix James Holmes berkata, wanita berusia 39 tahun itu memberitahu Jennifer dia tidak mampu memberi makan atau pakaian untuk bayi berkenaan kerana mempunyai enam anak lain.

Sementara itu Jennifer berkata: “Saya melihat wanita itu dan terfikir ‘mesti dia tidak akan kembali ke sini’ dan nyata ramalan saya itu benar. “Saya kemudian dimaklumkan wanita itu tinggal tidak jauh dari sini. Perbuatannya menjijikkan. Saya mempunyai tiga anak dan tidak dapat membayangkan menyerahkan mereka dengan semudah itu,” katanya. -AP




.

Apa pula kisahnya ni? Kereta mayat pun dicuri?



Apa pula kisahnya ni? Kereta mayat pun dicuri? | Sebuah kereta mayat bersama-sama mayat di dalamnya dicuri di luar sebuah gereja di sini menjelang satu upacara pengebumian semalam. Akhbar Los Angeles Times melaporkan, kereta mayat itu diletakkan di luar Gereja Baptist Ebenezer sementara pegawai mengatur bunga untuk upacara pengebumian seorang remaja, Jonte Lee Reed, 19, di dalam gereja. Sebaik menyedari kehilangan kenderaan itu, pengurus berkenaan meminta bantuan rakannya mencari kereta itu. Keluarga Reed yang dimaklumkan mengenai kejadian itu turut membantu dan menahan kereta itu tidak jauh dari tempat ia dicuri. Menurut laporan media tempatan, polis menahan pencuri kereta mayat itu dan menghantarnya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan mental. - AP




.

Pesawat Virgin Atlantic alami saat mencemaskan sebelum mendarat dengan selamat



Pesawat Virgin Atlantic alami saat mencemaskan sebelum mendarat dengan selamat | SEBUAH pesawat Virgin Atlantic dalam penerbangannya dari London ke Las Vegas pada Isnin terpaksa berpatah balik dan mengelilingi di ruang udara tenggara England selama empat jam berikutan gear pendaratannya gagal berfungsi. Pesawat itu bagaimanapun berjaya membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Gatwick, London. Menurut laporan telegraph.co.uk, penerbangan VS43 itu dirakamkan menerusi radar penerbangan 'flight radar' yang mengelilingi kawasan itu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Gatwick. Virgin Atlantic mengesahkan bahawa terdapat masalah di salah satu bahagian gear pendaratannya.

Ia berkata, pesawat itu membuat persiapan untuk melakukan pendaratan cemas. Dipercayai juruterbang terus menerbangkan pesawat itu di ruang udara tenggara negara itu sehingga bahan api cukup dibakar sebelum membuat cubaan untuk membawa turun Boeing 747. Pesawat itu berlepas ke Las Vegas pada pukul 11.44 pagi waktu tempatan (7.44 malam waktu Malaysia) pagi sejurus jadual perlepasan pada pukul 11.20 pagi (7.20 malam waktu Malaysia). Maklumat radar menunjukkan bahawa pesawat itu berpatah balik sejurus selepas merentasi pantai utara Devon. Ia mengelilingi ruang udara Bristol sebelum berpatah balik ke bahagian tenggara.

Seorang jurucakap Gatwick mengesahkan pesawat itu berpatah balik ke lapangan terbang itu kerana "masalah teknikal kecil". Virgin Atlantic dalam satu kenyataan berkata: "Virgin Atlantic mengesahkan bahawa penerbangan VS43 pada 29 Disember, dalam penerbangannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran di Las Vegas, telah berpatah balik kerana masalah isu teknikal membabitkan salah satu gear pendaratannya." "Pesawat itu bersedia untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang Gatwick." Syarikat penerbangan itu kemudiannya mengesahkan pesawat VS43 berjaya mendarat dengan selamat. Seorang jurucakap syarikat itu berkata: "Virgin Atlantic mengesahkan penerbangan VS43 mendarat dengan selamat di Gatwick." "Keutamaan kami sekarang adalah para penumpang dan anak kapal," tambahnya. -AP




.

Kebetulan? Blogger Ramal Pesawat AirAsia #QZ8501 Akan Hilang 13 Hari Sebelum Kejadian



Kebetulan? Blogger Ramal Pesawat AirAsia #QZ8501 Akan Hilang 13 Hari Sebelum Kejadian  | TINDAKAN seorang blogger misteri di China meramalkan sebuah pesawat AirAsia akan ghaib - 13 hari sebelum QZ8501 dilaporkan hilang pada Ahad menjadi viral dikalangan netizen. Dalam ramalan tersebut blogger terbabit dilaporkan memberi amaran kepada syarikat penerbangan bahawa sebuah pesawat lagi sedang menjadi sasaran oleh kumpulan bayangan yang digelarnya 'Tangan Hitam' (Black Hand). Menurut laporan DailyMail Online, blogger terbabit turut mendakwa 'Tangan Hitam' merupakan kumpulan yang bertanggungjawab terhadap dua insiden melibatkan Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu MH370 dan MH17 sebelum ini.

Pesawat QZ8501 milik AirAsia Indonesia yang membawa 162 penumpang dilaporkan hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad dan kejadian itu merupakan yang ketiga melibatkan syarikat penerbangan dari Malaysia. Sejak pesawat itu hilang, netizen kembali mempersoalkan ramalan berkenaan manakala terdapat kumpulan lain mendakwa ia telah disunting semula bagi dijadikan viral.


Dalam satu komen pada 15 Disember yang telah diterjemahkan dipetik berkata, penulis blog berkenaan telah memberi amaran' "Tangan Hitam telah merampas dan menembak jatuh MH370 dan MH17.""Ini sudah cukup untuk membunuh syarikat penerbangan keenam terbesar: Penerbangan Malaysia (MAS). "Kini, Tangan Hitam menyasar untuk merosakkan AirAsia, kerana ia juga milik Malaysia. "Memandangkan bertapa kuatnya Tangan Hitam itu, saya mencadangkan semua rakyat China supaya mengelak daripada menggunakan AirAsia, supaya anda tidak hilang seperti MH370. -AP




.

Minggu penangguhan persekolahan tidak perlu diganti - Muhyiddin


Minggu penangguhan persekolahan tidak perlu diganti - Muhyiddin | Penangguhan selama seminggu permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negeri tidak perlu diganti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, ia tidak perlu diganti kerana masih dalam tempoh yang bersesuai untuk persekolahan. "Bukannya cuti persekolahan itu ditambah tetapi masalah tertentu yang kita terpaksa tangguhkan. Kita harap ini akan disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan di sekolah-sekolah," katanya pada sidang media selepas melawat dua pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan SK Kampung Nyior di sini.

Dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain pada 12 Januari (Isnin). Turut bersama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah. Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Januari manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Januari.

Muhyiddin berkata, sehingga semalam, Kementerian Pendidikan mendapati 340 sekolah di tujuh negeri terjejas banjir atau menjadi Pusat Pemindahan Sementara. "Banjir masih berlarutan, maka sebahagian sekolah tidak dapat digunakan. Malah ada guru yang masih berada di kampung dan mereka tidak boleh pulang sekarang untuk mengajar. "Justeru, atas dasar-dasar ini, kita putuskan untuk tangguhkan sementara pembukaan sesi persekolahan waktu ini bagi membantu keluarga untuk pemulihan dan buat persiapan," katanya. Muhyiddin turut meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah membuat taksiran mengenai kerugian harta benda dan kerosakan bangunan yang mungkin dialami berikutan bencana itu. -BH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!