Friday, January 2, 2015

Inilah ancaman terbesar kepada manusia dan dunia


Inilah ancaman terbesar kepada manusia dan dunia  | Internet dianggap sebagai medium yang banyak membantu urusan seharian manusia, namun pakar menganggap, kemudahan itu merupakan ancaman terbesar kepada manusia kerana boleh menghasut keganasan, menjatuhkan kerajaan, dan menghapuskan spesies manusia. Kebimbangan itu disuarakan oleh penyelidik dari Pusat bagi Kajian Kewujudan Risiko (CSER) Universiti Cambridge yang diwujudkan bagi memantau kecerdasan buatan, kemajuan teknologi, bioteknologi, nanoteknologi, dan perubahan iklim. Sebagai contoh menurut mereka, Internet disebut sebagai faktor utama yang mendorong fenomena kebangkitan rakyat di Mesir pada 2011, manakala serangan siber berpotensi menjatuhkan sesebuah kerajaan serta mengancam perniagaan sekali gus boleh merosakkan ekonomi global.

“Sains moden sering mengenegahkan idea risiko semula jadi seperti kesan asteroid dan bencana gunung berapi yang mampu mengancam spesies manusia keseluruhannya. “Namun apa yang kita tidak sedar, manusia sendiri sebenarnya berpotensi mengancam populasi sendiri,” kata pensyarah falsafah Universiti Cambridge, Huw Price. Selain Price, projek CSER turut disertai pensyarah kosmologi dan astrofizik universiti itu, Martin Rees serta pengasas bersama Skype, Jaan Tallinn. Penyelidik itu menjelaskan bahawa, kemampuan kemajuan teknologi amat berbahaya ‘dalam beberapa tangan manusia’.

Selain ancaman kejatuhan sesebuah kerajaan dan ekonomi, Internet juga menjadi medium yang digunakan penjenayah dan pengganas yang beroperasi di sebalik ‘laman web gelap’ yang boleh menyumbang kepada peperangan global, menyebarkan keganasan, dan jenayah sehingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga. Kemajuan Internet dan keupayaan laman web juga menjadikan prospek kecerdasan buatan lebih menonjol sehingga profesor Stephen Hawking mendakwa kejayaan mewujudkan kecerdasan buatan merupakan perkara besar dalam sejarah manusia.-AP




.

#QZ8501 : Seorang pegawai tentera laut Indonesia menceritakan keadaan mayat nahas..


#QZ8501 : Seorang pegawai tentera laut Indonesia menceritakan keadaan mayat nahas.. | Pasukan operasi mencari kini menemui 30 mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia dan seorang pegawai tentera laut Indonesia berkata, lima daripadanya masih terikat di tempat duduk. Komander kapal perang Bung Tomo, Kolonel Yayan Sofiyan memberitahu MetroTV bahawa lima mayat itu merupakan antara tujuh mayat yang ditemui di Laut Jawa dan telah dibawa menggunakan kapal milik Indonesia pada Jumaat. Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Henry Bambang Soelistyo kemudiannya berkata, sejumlah 30 mayat mangsa nahas QZ8501 telah ditemui.

 Seramai 162 penumpang dan anak kapal menaiki pesawat itu yang terhempas pada pagi Ahad lalu, dalam penerbangannya dari Surabaya ke Singapura. - The Inquirer/ANN Menurut laporan awal, The Jakarta Post memberitahu bahawa sebanyak 12 mayat lagi ditemui oleh kapal milik Amerika Syarikat (AS), USS Sampson pada petang Jumaat. "Helikopter tentera laut AS, UH60 Black Hawk menghantar lapan mayat petang ini dan empat lagi masih di Sampson," kata Pengarah Operasi Basarnas, Marshall SB Supriyadi dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Antara pada Jumaat.

Ketua Polis Kalimantan Tengah, Brigedier Jeneral Bambang Hermanu berkata, enam daripada 12 mayat telah dibawa ke Hospital Sultan Imanuddin di Pangkalan Bun. Enam mayat itu terdiri daripada tiga lelaki, termasuk seorang kanak-kanak, dan tiga wanita. Sepuluh mayat telah diterbangkan ke Surabaya selepas menjalani pemeriksaan pengencaman awal di Hospital Imanuddin dan akan dipindahkan ke Hospital Bhayangkara di Surabaya. Jumlah itu menjadikan sebanyak 18 mayat telah dibawa ke Surabaya. Operasi untuk menjejaki bangkai pesawat dan kotak hitam sedang dijalankan di Laut Jawa. - The Jakarta Post/ANN




.

#QZ8501 : Tragedi AirAsia akhirnya gagal pertemukan satu keluarga yang lama tidak bertemu


#QZ8501 : Tragedi AirAsia akhirnya gagal pertemukan satu keluarga yang lama tidak bertemu | Tak pernah ada yang menyangka, rancangan cuti tahun baru berakhir malang. Si isteri, Siti Romlah dan anaknya Yasmin Santiago dikhabarkan hilang dalam pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa mereka dari Surabaya menuju Singapura pada 28 Disember lalu. Alejandro Santiago, yang merupakan warga negara Filipina itu, segera menghubungi kedutaannya di Singapura. Dia mencari kebenaran informasi dua orang tersayangnya ada dalam manifes penumpang pesawat nahas itu. "Kami mendapat telefon dari Kedutaan Filipina untuk menyemak khabarnya ada dua warganegara Filipina menjadi mangsa," ujar Konsular Kehormatan Filipina untuk Jawa Timur dan Bali, Eddy Surohadi.

Setelah diperiksa, ternyata dipastikan tak ada warganegara Filipina yang ada dalam pesawat itu. Namun, dua anggota keluarga Alejandro dipastikan ada dalam pesawat. Eddy lalu memberikan khabar duka itu kepada Kedutaan Besar Filipina yang kemudian menghubungi Alejandro. Eddy bercerita dari perbualannya dengan Alejandro, ternyata Siti Romlah dan Yasmin hendak bertemu Alejandro yang tak dapat pulang ke Sidoarjo meskipun sudah merantau selama 1 tahun. Pada pagi ahad itu, Alejandro sudah menantikan kehadiran keduanya di Lapangan Terbang Changi Internasional, Singapura.

Singapura dipilih sebagai tempat bertemu keluarga berbeza negara itu untuk melepas rindu sebelum Alejandro kembali bertolak ke Amerika Syarikat. "Mulanya, Alejandro belikan tiket untuk anaknya. Dia rindu, namun tidak dapat pulang ke Indonesia kerana harus ke Amerika. Tapi kerana berat untuk terbang sendiri, isterinya ikut juga jadi akan bertemu tahun baru di Singapura," kata Eddi. Namun, pertemuan ayah, ibu, dan anak tersebut akhirnya tak akan terjadi. Pesawat QZ8501 yang dinaiki Siti dan Yasmin hilang di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah. Rancangan Tahun Baru bersama pun hanya tinggal harapan. Alejandro membatalkan pemergiannya ke Amerika Syarikat dan langsung bertolak menuju Surabaya. Hingga kini, jasad Siti dan Yasmin masih belum ditemukan. -Kompas




.

Punca Pengurus Arsenal, Arsene Wenger Diserang Penyokong Sendiri



Punca Pengurus Arsenal, Arsene Wenger Diserang Penyokong Sendiri  | ARSENE WENGER diserang oleh seorang penyokong selepas Arsenal tewas 2-0 kepada Southampton di Stadium St Mary pada Khamis. Lelaki dipercayai penyokong tegar Arsenal itu meluru ke tempat duduk barisan jurulatih Arsenal sebelum mengatakan sesuatu. Dia juga kelihatan memarahi pengendali Arsenal itu sebelum Wenger berkata sesuatu kepadanya.


Tanpa sempat bertindak lanjut, lelaki berkenaan kemudian ditahan oleh pasukan keselamatan untuk dibawa keluar dari tepi padang. Wenger yang sering dikritik oleh penyokong Arsenal sebelum ini mendakwa lelaki terbabit merupakan pengikut skuad Southampton. "Dia budak muda. Saya fikir dia penyokong Southampton, secara keseluruhan dia tidak agresif. Saya tidak fikir apa yang dia katakan," jelasnya.-AP



.

Penyanyi terkenal Indonesia tempelak syarikat penerbangan AirAsia?


 Penyanyi terkenal Indonesia tempelak syarikat penerbangan AirAsia? | Saat dua negara Indonesia dan Malaysia sedang berdukacita dengan kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik pada jam 7.24 pagi waktu tempatan, vokalis kumpulan Dewa 19 iaitu Once Mekel seakan menempelak sistem penerbangan AirAsia yang popular dengan slogan tambang murah. Menurut Once, sebagai seorang penyanyi yang kerap membuat persembahan di dalam dan luar negara membuatkan dia kini semakin berhati-hati dalam memilih sesebuah penerbangan.

“Ya, saya pilih penerbangan yang mempunyai reputasi yang cukup baik untuk dinaiki. Lebih mahal sedikit tidak mengapa. Saya cuba menghindari penerbangan yang terlalu bangga dengan reputasinya sebagai penerbangan murah terbaik meskipun tidak semuanya buruk,” ujar Once seperti dipetik menerusi portal Kapan Lagi. Walau bagaimanapun Once berharap agar pesawat tersebut segera ditemui agar nasib semua penumpang dan anak kapal AirAsia QZ8501 diketahui dengan jelas. “Saya pritahin dan turut simpati untuk keluarga penumpang dan sehingga saat ini mereka masih belum jelas terhadap nasib ahli keluarga mereka yang berada di dalam pesawat tersebut. Saya berharap pesawat tersebut segera ditemui. Dan masing-masing pihak penerbangan mahupun kerajaan saling menghulurkan bantuan mengenai kehilangan pesawat QZ8501,” jelas Once.


Dalam pada itu, Once percaya banyak faktor yang membuat sesebuah pesawat itu mengalami kecelakaan dan faktor tersebut sememangnya susah untuk membuat ramalan apa yang berlaku. “Faktor seperti cuaca, teknikal pesawat, teknologi dan faktor juruterbang antara yang sering menjadi tumpuan. Seharusnya semau perlu diawasi dan dikawal dengan baik setiap waktu. Organisasi sebuah penerbangan perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Untuk itu, perlu ada penerbangan yang baik dan mempunyai reputasi yang besar,” tambah Once lagi. -Awani




.

Kek majlis perkahwinan pelakon terkenal Filipina, Dingdong Dantes dan Marian Rivera terbesar di dunia?



Kek majlis perkahwinan pelakon terkenal Filipina, Dingdong Dantes dan Marian Rivera terbesar di dunia? | Majlis perkahwinan pasangan pelakon terkenal Filipina, Dingdong Dantes dan Marian Rivera mendapat liputan media antarabangsa apabila kek perkahwinan mereka dinobatkan sebagai paling besar di dunia. Rekod kek yang dibina secara tiga dimensi (3D) dengan ketinggian 3.6 meter itu memerlukan lebih 10 orang lelaki dewasa untuk mengangkatnya. Pasangan itu selamat melangsungkan majlis perkahwinan mereka di sebuah gereja di bandar Quezon sambil dihadiri ratusan tetamu pada 30 Disember lalu.


Selain memiliki kek perkahwinan paling besar di dunia, pasangan yang telah menjalinkan pertunangan sejak lebih dua tahun itu turut mendapat jolokan ‘perkahwinan diraja’ oleh penduduk tempatan. Sebelum ini, Guinness World Records telah mencatatkan kek perkahwinan terbesar dunia di New England, Amerika Syarikat yang memiliki berat 6,000 kilogram pada 2004 tetapi kek berkenaan dibuat cuma untuk pameran dan bukan untuk perkahwinan. Berikutan itu, kek pasangan selebriti tersebut yang benar-benar digunakan untuk majlis perkahwinan menjadikan kek itu sebagai yang terbesar di dunia. – Agensi




.

Nurul Dijangka Bersalin Awal Anak Kedua Kerana Masalah Uri


 Nurul Dijangka Bersalin Awal Anak Kedua Kerana Masalah Uri | Penyanyi Nurul Wahab yang sepatutnya melahirkan anak keduanya pada bulan hadapan berkemungkinan bersalin sebulan awal kerana masalah uri. Nurul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 37, berkata perkara tersebut berlaku selepas dia disahkan mengalami placenta previa atau uri berada di bawah sehingga terpaksa dimasukan ke Pusat Perubatan Prince Court, dekat sini pada Rabu lalu. "Saya mengalami pendarahan yang banyak pada pagi Rabu lalu dan suami terus membawa saya ke hospital. Doktor mandapati pendarahan tersebut disebabkan uri saya berada di bawah.

"Kandungan saya memasuki lapan bulan dan jika keadaan uri masih tidak bergerak saya akan bersalin bulan ini juga secara pembedahan. Sekarang saya masih dalam pemerhatian doktor selama 48 jam," ujarnya.Nurul ditahan di wad pusat perubatan berkenaan selepas mengalami pendarahan teruk ketika ingin membuang air kecil pada pagi Rabu lalu. Dalam pada itu, Nurul berkata, kandungannya berada dalam keadaan selamat dan sihat, namun dia tidak dibenarkan untuk terlalu banyak bergerak.

"Alhamdulillah, bayi sihat ketika sampai sahaja di sini, doktor terus memeriksa keadaan bayi dan kadar degupan jantungnya. "Buat masa ini saya tidak dibenarkan angkat benda berat termasuk mendukung anak saya Zachary yang kini 11 kilogram, selain itu saya tidak dibenarkan bergerak aktif kecuali ke tandas sahaja," katanya. Jelasnya, doktor akan membuat pemeriksaan semula dalam dua minggu lagi bagi memastikan keputusan untuk bersalin secara normal atau pembedahan.

Sementara itu, Nurul menjelaskan placenta previa merupakan keadaan yang boleh berlaku kepada sesiapa juga ibu mengandung tanpa sebarang sebab tertentu. Nurul bernikah dengan Eric Daniel Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Zachary Depp, berusia setahun. Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan dengan suami pertama, komposer, Ajai. -Mstar




.

#QZ8501: Janji Tony Fernandes kepada pramugari pesawat AirAsia



#QZ8501: Janji Tony Fernandes kepada pramugari | Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berjanji akan menghantar sendiri jenazah pramugari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang telah berjaya ditemui pada Rabu kepada ahli keluarganya di Palembang. Itu antara janji Tony yang dimuatnaik di laman Twitter miliknya pada Khamis. Twit tersebut merujuk kepada penemuan satu mayat wanita lengkap berpakaian pramugari oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) yang kemudiannya telah diterbangkan ke Hospital Surabaya pada Khamis bersama tiga mayat lain untuk proses pengecaman DNA.

Jasad mangsa telah ditemui bersama tag nama ‘Khairunnisa Haidar Fauzi’ yang tersemat di pakaian seragamnya serta memakai jam tangan berjenama Alexander Christie. Bagaimanapun masih belum ada pengesahan mengenai identiti mayat tersebut. Tony turut berharap agar berita pesawat QZ8501 telah ditemui adalah benar dan informasi yang diterima mengenainya adalah tepat.Setakat ini hanya jenazah Hayati Lutfiah Hamid, salah seorang mangsa nahas pesawat QZ8501 yang telah sah dikenal pasti oleh Pusat Pengecaman Mayat Mangsa Bencana Indonesia (DVI).


Pesawat QZ8501 jenis Airbus A320-200 dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 28 Dis 2014, jam 7.24 pagi. Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu telah berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Dis). Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masing seorang). Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin. -Awani




.

Mungkinkah ini yang terjadi kepada #QZ8501?


Mungkinkah ini yang terjadi kepada #QZ8501? | Mungkinkah pesawat Air­Asia Indonesia QZ8501 melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas ke laut? Itulah antara beberapa spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak di negara ini berikutan penemuan bangkai pesawat itu yang disahkan terhempas di Laut Jawa. Bekas Ketua Staf Angkatan Udara Indonesia Chapy Hakim berkata, buat masa ini perkara yang paling munasabah untuk diperkatakan ialah pesawat malang itu melakukan pendaratan cemas di atas laut. Katanya, keadaan mayat mangsa yang ditemukan setakat ini memberi petunjuk bahawa pesawat yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada Ahad lalu tidak terhempas seperti mana dijangkakan oleh banyak pihak.

 “Apa sebenarnya berlaku kita belum pasti, tetapi sekurang-kurangnya berdasarkan perkembangan terkini adalah jelas pesawat itu tidak terhempas, sebaliknya juruterbang berusaha melakukan pendaratan cemas,’’ katanya se­perti dilaporkan oleh media Indonesia. Seorang lagi penganalisis pener­bangan, Samudera Sukardi berpendapat, pesawat AirAsia Indonesia itu mungkin hilang kawalan disebabkan cuaca buruk seperti merempuh awan kumulonimbus sehingga mengalami gegaran.

“Dalam keadaan itu, pesawat sukar terkawal sehingga menyebabkan ia terhempas,’’ katanya. Beliau berkata, pandangan itu berasaskan kepada permintaan juruterbang yang meminta kebenaran daripada pusat kawalan udara untuk naik dari paras 32,000 kaki kepada 38,000 kaki dan mengubah laluan ke kiri. Penganalisis penerbangan, Arista Atmadjati pula berpendapat, pesawat itu seperti tersalah arah dari rancangan penerbangan asal mungkin disebabkan radar dan sistem pesawat rosak sehingga kapalterbang itu tidak boleh dikendalikan.

“Juruterbang berusaha mengawal pesawat namun tidak berjaya, disebabkan terkena petir ketika memasuki awan kumulonimbus sehingga sistem kokpit rosak,” ujarnya. Mengulas keadaan mayat mangsa yang masih sempurna, Arista berkata, kemungkinan besar ketika pesawat menjunam ke dalam laut, semua penumpang telah memakai tali pinggang keselamatan. “Jadi mereka masih terikat di kerusi masing-masing memandangkan pesawat tidak berkecai. Tetapi selepas tiga hari mayat bertaburan memandangkan pintu pesawat sudah tertanggal,’’ katanya.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!