Friday, January 9, 2015

Promosi hebat! Piza RM5 untuk pelanggan setia Pizza Hut



Promosi hebat! Piza RM5 untuk pelanggan setia Pizza Hut | PIZZA Hut Malaysia memperkenalkan promosi terbaharu, Awesome! Tasty Deals, Promosi Gegar Rasa Gempak Harga yang memberi peluang kepada pelanggan setia piza menikmati kesemua 16 jenis piza dari harga serendah RM5 untuk setiap piza, atau diskaun lebih 50 peratus. Pengurus Besar Kanan, Pizza Hut Malaysia Low Kang Moon berkata, Pizza Hut Malaysia sentiasa mencari jalan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan dengan memberikan mereka peluang untuk menikmati kesemua piza pada harga menakjubkan.

 “Kami juga faham bahawa kebanyakan orang sentiasa mencari hidangan lazat pada harga berpatutan untuk dikongsi bersama sahabat-handai dan juga keluarga tersayang. Dengan mengambil kira faktor ini, maka promosi ini dilancarkan,” katanya menerusi satu kenyataan, Sementara itu, Awesome! Tasty Deals – Promosi Gegar Rasa Gempak Harga Pizza Hut itu terdapat di lebih 350 restoran Pizza Hut seluruh negara untuk khidmat bawa pulang sahaja dari 5 hingga 27 Januari ini.



.

Bekas penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya selamat melahirkan anak lelaki


Bekas penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya selamat melahirkan anak lelaki | Bekas penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya selamat melahirkan anak lelaki secara normal jam 5.52 pagi tadi. Bayi seberat 2.53 kilogram itu dilahirkan di Universiti Malaya Specialist centre.


Bayi berkenaan hasil perkongsian hidupnya bersama Mohammed Azam Abdullah atau Miko Abdullah sejak 11 Januari 2013.Menerusi perkahwinan pertamanya sebelum ini, Aleya yang juga kakak kepada aktres Sharifah Amani, dikurniakan dua cahaya mata kembar perempuan iaitu Asha Ameena dan Aza Ameena. -BH




.

Apa dah jadi pada kelab gergasi dunia, Barcelona?



Apa dah jadi pada kelab gergasi dunia, Barcelona? | WALAUPUN berjaya membelasah kelab kerdil Elche 5-0 dalam saingan Copa del Rey, namun Barcelona disifatkan telah menempuh perlawanan memalukan apabila hanya 27,099 penonton yang hadir menyaksikan perlawana itu di Nou Camp. Gelanggang keramat kelab terkemuka dunia itu kelihatan lengang selepas penyokong dilaporkan kecewa dengan permasalahan yang wujud di antara Lionel Messi dengan jurulatihnya, Luis Enrique.


Tidak cukup dengan itu, penonton juga dilaporkan masih terkesan dengan kekalahan 0-2 Barcelona kepada anak didik David Moyes iaitu Real Sociedad.Difahamkan, penyokong kecewa terhadap tindakan Enrique selepas dia merehatkan Gerard Pique, Dani Alves, Ivan Rakitic, Neymar dan Messi dalam perlawanan pada Ahad lalu. Dalam perlawanan menentang Elche, gol Barcelona dihasilkan oleh Messi, Jordi Alba dan dua jaringan menerusi Neymar. -AP




.

#QZ8501: Mayat lelaki memakai alat mengendong bayi yang masih berada di kerusi ditemui


#QZ8501: Mayat lelaki memakai alat mengendong bayi yang masih berada di kerusi ditemui | Dua lagi mayat mangsa nahas AirAsia QZ8501 ditemui pada hari ke-13 misi pencarian dan diangkat ke Kapal Mahakarya Geo Survey (MGS) yang berada di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah. Lapor portal CNN Indonesia, jantina mayat adalah seorang lelaki dan perempuan. Mereka duduk bersebelahan dan diangkat dari laut bersama kerusi yang mereka duduki. Mayat lelaki kelihatan memakai alat mengendong bayi di dadanya.

Sebelum ini, dua mayat ditemui dan diangkat oleh Kapal KN Pacitan milik Basarnas dan Kapal Diraja Kasturi milik Malaysia. Lapor portal berkenaan, sehingga hari ini 46 jenazah telah ditemui oleh pasukan SAR. QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 28 Disember 2014 jam 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari sama sebelum dilaporkan hilang.




.

#QZ8501: Gambar objek dipercayai muncung pesawat dikesan



#QZ8501: Gambar objek dipercayai muncung pesawat dikesan | Objek besar dipercayai muncung pesawat AirAsia Q8501 yang terlibat dalam nahas pada bulan lalu, dikesan oleh kapal peninjau Indonesia, Geo Survei awal hari ini. Menurut laporan portal Detik News yang memetik kenyataan Ketua Pasukan Survei, Muhammad Aga, objek berukuran 2x2x1.5 meter itu dikesan di perairan Selat Karimata, beberapa ratus meter dari lokasi ekor pesawat QZ8501 dijumpai beberapa hari lalu.


“Objek berkenaan dikesan pukul 4.30 pagi waktu tempatan dalam posisi menjunam di dasar laut pada kedalaman kira-kira 30 meter. “Tetapi masih belum disahkan sama ada objek itu merupakan muncung pesawat milik AirAsia dan unit penyelam telah dihubungi untuk melakukan pengesahan,” katanya.




.

Pegawai awam dipecat... kerana ambil cuti tidak sah 24 tahun lalu



Pegawai awam dipecat... kerana ambil cuti tidak sah 24 tahun lalu | Seorang pegawai awam India telah dipecat dari jawatannya setelah mengambil cuti tidak sah 24 tahun yang lalu selain tidak akan dibenarkan kembali bertugas,kata kementerian pembangunan bandar, Khamis. Pegawai terbabit, Penolong jurutera eksekutif, AK Verma sebelum ini pergi bercuti pada tahun 1990 selepas menyertai Jabatan Kerja Raya Rakyat India (CPWD). Verma ketika itu mengingkari arahan kembali bekerja oleh pegawai atasannya selepas permohonan untuk cuti tambahannya ditolak, tetapi jabatannya hanya mula mengambil tindakan rasmi pada 2007, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Pembangunan Bandar, M. Venkaiah Naidu mengarahkan pemecatannya bagi "menyelaraskan fungsi CPWD dan untuk memastikan akauntabiliti." Penjawat awam India sudah lama terkenal dengan sering lewat ke tempat kerja, mengambil masa makan yang panjang atau menghabiskan sebahagian besar hari mereka di padang golf. Satu kaji selidik 2012 oleh perunding Risiko Politik dan Ekonomi yang berpangkalan di Hong Kong telah menilai birokrasi India sebagai yang paling teruk di kalangan negara-negara Asia.

Perdana Menteri Narendra Modi pernah berkata beliau terkejut dengan apa yang dilihatnya berlaku dalam kerajaan selepas berpindah ke New Delhi setelah meraih kemenangan pilihan raya yang besar pada Mei tahun lepas. Beberapa bulan pertama berkhidmat, Modi sudah mempunyai reputasi untuk membuat lawatan secara mengejut ke pejabat-pejabat kerajaan. Kebimbangan ditangkap ponteng telah meningkatkan tahap kehadiran di kalangan kakitangan awam selain padang-padang golf utama Delhi dilaporkan mula lengang.-AP



.

Akibat ditegur majikan, pembantu rumah nekad rosakkan susu badan majikan dalam peti sejuk



Akibat ditegur majikan, pembantu rumah nekad rosakkan susu badan majikan dalam peti sejuk | Akibat tidak berpuas hati ditegur majikannya, seorang pembantu rumah warga Indonesia menuang minyak kayu putih ke dalam dua peket susu badan wanita itu untuk menggertaknya. Pembantu rumah itu - yang namanya tidak didedahkan bagi melindungi identiti majikannya - mengaku bersalah di mahkamah dan dihukum penjara lima tahun. Amah berusia 28 tahun itu dimarahi majikannya yang berusia 34 tahun pada 23 Ogos tahun lalu kerana tidak melakukan kerja rumah.

Disebabkan tidak puas hati, pembantu rumah yang baru bekerja dua bulan di situ menuang minyak kayu putih ke dalam dua peket susu badan majikannya yang disimpan di bahagian paling belakang di dalam peti sejuk supaya tidak digunakan si ibu untuk bayinya yang baru berusia dua bulan. Apabila majikannya pulang, dia membuka peket susu terbabit dan terhidu sesuatu yang kurang menyenangkan.

Berasa sesuatu yang tidak kena, dia memeriksa baki lima peket susu itu dan mendapati satu lagi mempunyai bau sama. Dia membuat keputusan untuk memeriksa barang kepunyaan pembantu rumahnya dan menemui sebotol minyak PurerAire Eucalyptus. Dia mencium bau botol itu dan mendapati bau yang sama dalam peket susu. - Agensi




.

Persembahan secara langsung di tv jadi mimpi ngeri selepas berlaku kesilapan dan hampir membuatkan salah seorang terbunuh



Persembahan secara langsung di tv jadi mimpi ngeri selepas berlaku kesilapan dan hampir membuatkan salah seorang terbunuh | Sebuah kumpulan pembaling pisau hampir membuatkan seorang anggota mereka terbunuh selepas berlaku beberapa kesilapan dalam persembahan berkenaan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen televisyen di sini baru-baru ini. Kumpulan berkenaan yang menyertai satu pertandingan realiti mencari bakat mempamerkan kecekapan seorang lelaki membaling pisau ke arah seorang rakannya yang memegang daun terup dan buah tembikai.

Bagaimanapun, aksi tersebut tidak menjadi apabila rakannya yang memegang daun terup luka di jari selepas terkena pisau yang dibaling oleh lelaki berkenaan. Aksi kedua dilihat semakin mencemaskan apabila lelaki itu cuba membaling pisau ke arah sebiji buah tembikai yang diletakkan di atas kepala rakannya. Beberapa balingan yang dibuat lelaki berkenaan langsung tidak konsisten dan dia terus menghentikan persembahan apabila sebilah pisau yang dibaling hampir mengenai muka rakannya itu. Sejurus selepas persembahan berkenaan berakhir lelaki itu dilihat cuba menghilangkan kesan darah di pentas yang menitis dari luka di jari rakannya menggunakan kasut. – Agensi




.

Selepas koma setahun, lelaki ini sedar hanya kerana seorang jururawat...


Selepas koma setahun, lelaki ini sedar hanya kerana seorang jururawat... | Selepas lebih setahun koma, nasib seorang lelaki berubah gara-gara ‘insentif’ jururawat yang sering menunjukkan wang kertas bernilai 100 yuan (RM58) di depan matanya. Media semalam melaporkan, Xiao Li tidak sedarkan diri walaupun melalui pelbagai proses rawatan. Xiao pengsan ketika leka melayan permainan dalam talian di sebuah kafe Internet pada Ogos 2013. Sumber berkata, dia dibawa ke hospital dan sejak itu kekal koma akibat pendarahan serebrum yang serius.


Kata pakar bedah otak, Dr Liu, perdarahan intraserebrum spontan tercetus apabila pesakit terlalu leka melayan permainan dalam talian. Baru-baru ini jururawat menunjukkan wang berkenaan di depan mukanya setiap hari. Xiao diberitahu, dia boleh memiliki wang berkenaan jika mampu mengambilnya sendiri. Tidak lama kemudian, Xiao dilaporkan mula menggerakkan tangannya. - Agensi

Pelakon drama Istikharah Cinta akui kewujudan beberapa keping foto mesranya dengan seorang lelaki


Pelakon drama Istikharah Cinta akui kewujudan beberapa keping foto mesranya dengan seorang lelaki | Pelakon Nonny (AF5) mengesyaki ada pihak-pihak tertentu melakukan komplot untuk menjatuhkan kerjayanya dengan mencari jalan menyebarkan gambar-gambar lama simpanannya. Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 26, berkata, sejak putus cinta pada bulan lalu, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena sehinggalah timbul isu gambar berkenaan. "Kalau boleh saya tidak mahu tuduh sesiapa tetapi sejak putus cinta bulan lalu, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan saya. "Semua itu berpunca selepas saya menolak pinangan bekas kekasih saya atas sebab-sebab tertentu."Kemudian selepas itu saya mendapat tahu ada individu ingin menyebarkan gambar-gambar saya bersama bekas teman lelaki saya itu. Saya rasa individu itu tidak senang hati lebih-lebih lagi melihat kerjaya seni saya yang semakin baik," katanya.

Nonny berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai beberapa keping foto mesranya dengan seorang lelaki. Bagaimanapun Nonny mengakui foto tersebut adalah dirinya yang diambil ketika masih menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan. Dia turut memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan foto tersebut kerana tidak mustahil ia akan tersebar dengan meluas tidak lama lagi. Dalam pada itu, Nonny turut berasa kesal atas kelakuannya itu apatah lagi dia berazam ingin membina namanya semula sebagai pelakon serta penyanyi pada tahun ini.


"Sudahlah nama saya baru nak naik sejak terlibat dengan drama Istikharah Cinta (kini sedang ditayangkan di TV3). "Tiba-tiba ada pula pihak yang cuba mengenakan saya. Bagaimanapun saya akur, ia juga atas kesilapan saya sebelum ini mengambil foto mesra seperti itu," ujarnya.Sementara itu, Nonny berkata, sejak drama Istikharah Cinta disiarkan, rezeki lakonannya juga semakin bertambah. "Syukur apabila beberapa penerbit mula mempercayai bakat saya ini. "Mungkin kerana impak watak antagonis sebagai Haiza dalam drama itu membuatkan masyarakat mudah ingat. Apa-apapun, ini semua adalah rezeki keluarga. "Cuma yang tak seronoknya apabila awal tahun saya dimulakan dengan dugaan penyebaran foto pula," tuturnya. -Mstar



.

#QZ8501 : Status penemuan jasad penumpang tunggal rakyat Malaysia


#QZ8501 : Status penemuan jasad penumpang tunggal rakyat Malaysia  | Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia masih menunggu pengesahan sama ada mayat penumpang tunggal rakyat Malaysia dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501, Sii Chung Huei telah ditemui atau sebaliknya. Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pegawai kedutaan telah ditugaskan untuk membantu keluarga dan waris Sii di Surabaya dan sebaik sahaja pihak kedutaan menerima laporan mengenai identifikasi jenazah Sii, beliau sendiri akan berlepas ke Surabaya bagi membantu pengurusan jenazah.

"Kita telah membuat persiapan dan jika mayat Sii ditemui dan disahkan, kita akan terbangkannya terus ke Sarawak menerusi pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia)," kata beliau kepada Bernama di sini. Sii adalah suami kepada seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Prof Madya Annie Wong Muk Ngiik. Pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas di perairan dekat Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah pada 28 Dis lepas ketika dalam perjalanan ke Singapura dari Surabaya. Penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis.

Sementara itu, penemuan bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 semalam, diharap dapat merungkai persoalan apakah punca sebenar tragedi pesawat itu yang terhempas dan terjunam dalam dasar laut dekat Pangkalan Bun. Ini kerana kedudukan kotak hitam sepatutnya berada pada bahagian ekor pesawat dan pasukan penyelam yang menjalankan kerja-kerja mengikat dan memasang pelampung pada serpihan bahagian ekor pesawat itu dilaporkan telah mendengar isyarat bunyi yang dipercayai datang dari kotak hitam berkenaan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ke-12 hari ini, terus diuji dengan cabaran alam apabila pasukan SAR terpaksa mengharungi arus yang deras dan ombak tinggi di kawasan pencarian.

SAR yang diterajui oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) telah mengerakkan sepasukan penyelam profesional bagi mencari kotak hitam dalam bahagian ekor pesawat, yang ditemui dalam keadaan terbalik dan terbenam dalam selut. Ketua Basarnas, Bambang Soelistyo berkata kerja-kerja mencari kotak hitam kini masih giat dilakukan dan terpaksa berhenti sementara ekoran arus dalam laut yang kuat. Bambang berkata pasukan SAR telah bersedia dengan jentera pengangkat bagi menaikkan bangkai pesawat tersebut namun ada banyak prosedur pemeriksaan perlu dilakukan terlebih dahulu. Semalam, pasukan SAR mengesan satu objek besar di dasar laut dan ia disahkan bahagian ekor pesawat kerana tertera perkataan 'Air' dengan kedudukan terbalik.

Bangkai pesawat itu ditemui di titik koordinat 03" 36.31 S-109" 41.66 T atau di perairan Laut Jawa dengan kedalaman antara 30-35 meter. Beliau berkata walaupun fokus diberi untuk mencari kotak hitam, pihaknya juga giat mencari mangsa nahas itu dan setakat ini sebanyak 40 mayat telah ditemui. Pasukan keselamatan juga percaya banyak lagi mayat masih berada dalam kabin pesawat yang belum ditemui. Penerbangan QZ8501 berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama. Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).-Awani



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!