Sunday, January 11, 2015

Lelaki bunuh lima dari enam anaknya dengan harapan beroleh kuasa ajaib termasuk kesaktian



Lelaki bunuh lima dari enam anaknya dengan harapan beroleh kuasa ajaib termasuk kesaktian | Seorang lelaki warga Pakistan sedang diburu polis selepas dipercayai membunuh lima daripada enam anaknya dengan harapan beroleh kuasa ajaib termasuk kesaktian, kata polis pada Jumaat. Ali Nawaz Leghari, 40, mencekik dua anak perempuan dan tiga anak lelakinya, berusia di antara tiga dan 13 pada Khamis malam di kampung Saeed Khan, kira-kira 230 kilometer di utara kota Karachi. "Suspek belajar ilmu hitam dan korban yang dilakukan ini dipercayai bagi memantapkan lagi ilmu yang dipelajarinya," kata pegawai polis Qamaruddin Rahimo kepada AFP.

Ketua Polis Daerah, Amjad Sheikh mengesahkan kejadian dan menambah Leghari telah melakukan ritual rohani selama 40 hari yang dikenali sebagai 'Chilla' sebagai syarat untuk menguasai ilmu hitam. Rahimo berkata Leghari pada Selasa cuba membunuh seluruh keluarganya dengan meletak racun ke dalam sajian makan malam di rumah mereka, namun disedari isterinya. Pasangan itu bertengkar dan isteri suspek keluar dari rumah membawa bersama anak sulung mereka untuk tinggal dengan ibu bapanya.

Sejurus kemudian, Leghari pantas melaksanakan rancangan jahat dengan memberikan sedatif kepada lima anaknya yang tinggal dan menggunakan tali untuk mencekik mereka, kata Rahimo merujuk kepada seutas tali yang ditemui di tempat kejadian. "Dia mencekik mangsa satu demi satu di dalam bilik dan kemudian membuang mereka di atas katil di halaman," katanya sambil menambah bahawa polis sedang memburu Leghari. Amalan ilmu hitam berakar umbi dalam tradisi mistik Sufi dan masih diamalkan di luar bandar di negara ini termasuk di wilayah Sindh yang miskin di mana pembunuhan ini berlaku.-AP




.

#QZ8501: Akhirnya penyelam temui kotak hitam pesawat - Kementerian Pengangkutan Indonesia






#QZ8501: Akhirnya penyelam temui kotak hitam pesawat - Kementerian Pengangkutan Indonesia | Penyelam misi mencari dan menyelamat Indonesia hari ini menemui kotak hitam milik pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 membawa 162 orang yang terhempas dekat Laut Jawa, kata Kementerian Pengangkutan. Bagaimanapun, katanya, mereka masih gagal untuk mengeluarkan kotak hitam itu kerana ia tersekat di bawah serpihan bahagian utama pesawat berkenaan.



"Penyelamat tentera laut di wilayah Jadayat berjaya menemui peralatan yang amat penting itu iaitu kotak hitam pesawat AirAsia QZ8501,"kata Pegawai Kanan kementerian itu, Tonny Budiono. - AFP



.

Hari pertama persekolahan di Sungai Petani, Kedah mengundang tragedi ngeri



Hari pertama persekolahan di Sungai Petani, Kedah, siang tadi mengundang tragedi apabila lapan kenderaan yang kebanyakannya baru menurunkan pelajar sekolah, dirempuh oleh sebuah lori. Namun yang paling menyedihkan - perjalanan sepasang suami isteri ke hospital berakhir dengan anak dalam kandungan si isteri meninggal dunia.Kejadian jam 8 pagi tadi berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Permatang Gedung. Sebuah lori pasir dikatakan dipandu laju hingga hilang kawalan lalu merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Salah sebuah kenderaan dipandu oleh Zaharin Md Isa yang dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, membawa isterinya Noor Azlina Mohammad Hashim yang menunggu masa untuk melahirkan anak. Namun bayi dalam kandungan Noor Azlina disahkan meninggal dunia akibat hentakan kuat pada papan pemuka kereta.Suaminya pula parah di dada dan dirawat di unit rawatan rapi.Pasangan suami isteri itu dilaporkan masih belum sedarkan diri.Pemandu lori terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut. -TV3



.

Alyah dedah suami, Datuk Ramli MS sudah mengahwini wanita dalam gambar



Alyah dedah suami, Datuk Ramli MS sudah mengahwini wanita dalam gambar | Isu rumah tangga penyanyi Alyah memasuki fasa baharu selepas wanita itu memuat naik gambar suaminya, Datuk Ramli MS dengan seorang wanita yang tidak dinyatakan identitinya. Gambar yang dimuat naik Alyah atau nama sebenarnya Norhasliah Abu Hassan, 34, di Instagram miliknya itu mencetuskan tanda tanya apabila dia menulis kapsyen seolah-olah Ramli telah menganiayanya. "Kalau tidak pernah mencintai saya kenapa perlakukan saya sebegini. Tak cukup lagikah pengorbanan yang saya lakukan?," tulisnya. Pendedahan penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa itu mengejutkan para pengikutnya di Instagram yang rata-rata tertanya apakah yang sedang berlaku dalam rumah tangga pasangan itu.

 Malah ada yang meminta Alyah supaya memadam gambar berkenaan dan menyelesaikan masalah dengan Ramli tanpa pengetahuan umum. Dalam status yang dimuatnaik pada petang Ahad itu Alyah antara lain memohon kepada Allah sekiranya dia pernah menganiaya orang lain, moga Allah memberi petunjuk agar kembali ke jalan-Nya. "Namun jika aku yang dianiaya, aku mohon kepada-Mu, ya Allah, Kau angkatlah doaku juga dengarlah kesedihanku ya Allah..." tambahnya.

Sementara itu Alyah berkata, Ramli telah berkahwin dengan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Siti Hafilah Che Kar secara sembunyi tetapi tidak diketahui bila tarikhnya. Malah Alyah turut mengucapkan terima kasih kepada wanita itu kerana menghancurkan rumah tangganya. Dalam laporan itu Alyah turut mengatakan selama berkahwin dengan Ramli, dia seperti orang bodoh apabila suaminya itu sering menegah untuk mereka bergambar bersama dan memuat naik gamabr-gambar di laman Instagram.

Alyah juga menganggap kehidupan rumah tangganya sudah hancur dan menerima apa juga kesudahan dalam hidupnya itu. Pasangan itu bernikah secara rahsia di Batam, Indonesia pada 18 Mac 2013. Perkahwinan itu terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu. Bagaimanapun mereka berjaya meyakinkan pihak penguatkuasa berkenaan selepas mengemukakan dokumen pernikahan itu. -Mstar




.

Ustaz Ahmad Dasuki tegur tindakan beberapa orang gadis melayu bertudung dicium serta dipeluk oleh artis Kpop



Ustaz Ahmad Dasuki tegur tindakan beberapa orang gadis melayu bertudung dicium serta dipeluk oleh artis Kpop | "Semua yang berlaku ini adalah punca tindakan kita yang membuka ruang kebebasan yang terlalu luas hingga lupa nilai agama ada pada diri kita," kata pendakwah dan penceramah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani. Beliau mengulas penyebaran beberapa gambar dan video memaparkan beberapa orang gadis melayu bertudung dicium serta dipeluk oleh artis Kpop menjadi bahan sensasi dan kritikan orang ramai di internet.

Difahamkan, gadis terbabit dicium dan dipeluk oleh beberapa orang anggota dari kumpulan Kpop B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Center Kuala Lumpur semalam yang dianjurkan oleh syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Ahmad Dusuki berkata, keruntuhan sosial adalah cabaran dan masalah paling besar yang dihadapi ketika ini disebabkan umat Islam dilihat sudah semakin lupa dengan ajaran agama. "Kita berhadapan masalah besar sekarang, sosial kita runtuh, ekonomi runtuh, agama sudah tidak ada. Apabila agama sudah tidak ada, segala-galanya juga sudah tidak ada," katanya. -Metro



.

Kampung yang memiliki keindahan semula jadi menakjubkan ini rupanya menyimpan rahsia besar



Kampung yang memiliki keindahan semula jadi menakjubkan ini rupanya menyimpan rahsia besar | Sebuah kampung di kawasan pergunungan Antioqua, barat laut Colombia, menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan semula jadinya. Namun, apa yang tidak diketahui, Kampung Yarumal sebenarnya menyimpan ‘rahsia’ yang lebih besar kerana menempatkan populasi pesakit Alzheimer paling ramai di dunia. Menurut laman web berita pelik Oddity Central, hampir semua penduduknya mengalami masalah nyanyuk walaupun pada usia muda dan penyakit itu dilapor diwarisi sejak turun temurun.

Laporan menyatakan, masalah itu berlaku disebabkan amalan perkahwinan sesama ahli keluarga atau saudara-mara yang diamalkan sejak 300 tahun lalu dalam kalangan penduduk Kampung Yarumal. Kebanyakan penduduk di kampung itu mengalami pelbagai tahap Alzheimer disebabkan toksik protein yang memusnahkan sel-sel otak sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi pelupa. Simptom tersebut mula dikesan ketika usia pesakit masih muda sebelum mencapai usia 40 tahun.

Seorang wanita bernama Cuartas, 82, yang sihat berkata, pada usianya itu, dia terpaksa menjaga tiga anaknya yang menghidap Alzheimer iaitu Dario, 55, Maria, 51, dan Oderis, 51. “Saya sangat sedih melihat anak-anak saya menghidap Alzheimer. Ini adalah penyakit paling seksa di dunia,” ujar Cuartas. Walaupun berusaha merawat penyakit yang dialami secara turun temurun, tetapi kemajuan sains perubatan yang ada di pasaran hari ini tidak mampu mengubati penghidap penyakit tersebut. Bagaimanapun saintis cuba mencari jalan untuk merawat penyakit itu dan Kampung Yarumal dipilih menjadi lokasi pertama sebagai rawatan pemulihan. -AP



.

Penemuan mengejutkan keatas puluhan penerbangan tempatan Indonesia


Penemuan mengejutkan keatas puluhan penerbangan tempatan Indonesia | Kementerian Pengangkutan Indonesia semalam menggantung 61 laluan penerbangan tempatan yang dikendalikan oleh syarikat Garuda dan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah disebabkan tidak mempunyai permit. Tindakan itu diambil susulan siasatan ke atas penerbangan AirAsia Indonesia yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu dan pesawat berkenaan didakwa terbang tanpa kebenaran pihak berkuasa. “Garuda Indonesia didapati melakukan empat pelanggaran peraturan penerbangan, Lion Air (35), Wings Air (18), Trans Nusa (1) dan Susi Air (3),” kata Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan pada sidang akhbar di sini semalam.

“Mereka melanggar peraturan berkaitan permit. Mereka tidak mempunyai permit penerbangan (61 laluan) itu. Perkara sama berlaku kepada Air–Asia,” ujar beliau. Kementerian Pengangkutan sebelum ini telah bertindak membekukan penerbangan AirAsia Indonesia dari Surabaya yang merupakan bandar kedua terbesar di Indonesia ke Singapura.

Pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal hilang selepas 40 minit penerbangan dan terhempas di Laut Jawa. Siasatan bagaimanapun tidak mengaitkan kemalangan itu dengan masalah permit penerbangan kerana kejadian berlaku akibat cuaca buruk. Ignasius berkata, pada masa yang sama sebanyak 11 pegawai penerbangan telah dikenakan tindakan disiplin kerana terbabit dalam kontroversi permit penerbangan dan langkah-langkah telah diambil bagi mengelak masalah itu daripada berulang. – AFP




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!