Tuesday, January 13, 2015

Lelaki sanggup berbelanja mewah untuk tujuan yang tidak masuk akal



Lelaki sanggup berbelanja mewah untuk tujuan yang tidak masuk akal | Seorang lelaki di sini yang sanggup berbelanja mewah gara-gara ingin menikmati gaya hidup seperti selebriti terkenal Hollywood, Joey Essex kini disahkan hampir muflis. Lelaki tersebut, Sam Barton, 22, telah melakukan pembedahan plastik pada bahagian wajahnya termasuk mendapat suntikan botox serta rawatan pemutihan gigi yang jumlah keseluruhannya mencecah £35,400 (RM191,000). Barton yang memiliki 15 kad kredit telah berbelanja mewah selama empat tahun dengan membeli barangan perhiasan dan pakaian berjenama terkemuka yang ditempah khas selain menghabiskan masa dengan bercuti ke luar negara.

“Saya sangat obses untuk mendapatkan kehidupan yang sempurna sehingga saya tidak pernah memikirkan tentang jumlah wang yang telah dibelanja. “Saya turut akan pastikan sekiranya saya menginginkan sesuatu, saya pasti akan membeli,” kata Bortan. Disebabkan cara hidupnya itu, Barton juga telah menghabiskan sekitar £100,000 (RM539,000) selain membuat overdraft bank sehingga hampir disahkan muflis apabila gagal melangsaikan hutang sebanyak £35,000 (RM188,500). – Agensi




.

[Gambar] Pelakon drama Be Careful With My Heart mengahwini pasangannya dalam satu majlis ringkas


Pelakon drama Be Careful With My Heart mengahwini pasangannya dalam satu majlis ringkas | Pasangan selebriti Aiza Seguerra dan Liza Dino disatukan dalam satu majlis ringkas di California baru-baru ini.


Seguerra, 31 tahun, yang baru-baru ini mengesahkan dirinya sebagai seorang lelaki transgender , berkahwin dengan Dino, yang juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 7 tahun dengan hubungan terdahulu.


Pasangan itu kemudian diraih dengan meriah di Filipina dan Aiza Seguerra, yang merupakan seorang pemuzik popular dan pelakon drama yang popular di Malaysia, Be Careful With My heart, mencipta sebuah lagu untuk hari yang bermakna dalam hidupnya itu, bertajuk 'Araw Gabi'.




.

Awie membuat pendedahan mengejutkan mengenai isterinya, Rozana Misbun


Awie membuat pendedahan mengejutkan mengenai isterinya, Rozana Misbun | Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa diberitahu, isteri kepada penyanyi terkenal Awie iaitu Rozana Misbun mengamalkan amalan khurafat sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka. Peguam Syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu mahkamah, anak guamnya mempunyai bukti kukuh bahawa Rozana seorang pengamal perkara syirik, khurafat dan tahyul dengan penemuan beberapa barang di rumah kelamin mereka di Ukay Bestari, Ampang dekat sini. Jelas Mohd Zaidi dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Jais, anak guamnya menemui barang-barang seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha.

Selain itu, turut ditemui adalah tangkal yang dibungkus dalam kain hitam dan kuning serta tali pusat bayi dan barang-barang lain dibungkus dalam kain dari warna sama. "Anak guam saya telah menemui sebahagian barang-barang tersebut sebelum responden meninggalkan kediaman mereka dan sebahagian lagi dijumpai setelah responden meninggalkan rumah. "Barang-barang tersebut telah disorok di bawah tilam, di dalam almari pakaian, ditanam di dalam pasu bunga dan disembunyikan dalam rak barang perhiasan di ruang tamu," katanya. Mohd Zaidi berkata demikian pada sesi penghujahan balas dalam perbicaraan tuntutan membatalkan perintah ex-parte terhadap hak penjagaan anak yang dikemukan oleh Rozana pada 8 Ogos tahun lalu.

Awie pada 21 Julai tahun berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5. Dalam pada itu, Mohd Zain dalam penghujahannya turut mendedahkan, Rozana selaku responden dalam kes tersebut telah mengaku kepada suaminya telah menggunakan botox untuk mengubah wajahnya selain memasang susuk untuk tujuan sama. Perkara itu menurut Awie selaku pemohon dilakukan tanpa kerelaan dan pengetahuannya sebagai suami yang sah di sisi syarak. "Responden juga seorang yang tidak amanah apabila telah menggunakan dan membelanjakan wang simpanan pemohon yang telah diamanahkan untuk disimpan di dalam akaun bank dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) demi masa depan keluarga.

"Wang berkenaan telah digunakan untuk membeli barangan berjenama seperti Louis Vuitton, Chanel, Dolce & Gabanna dan lain-lain tanpa keizinan pemohon," jelasnya lagi. Tambah Mohd Zaid, Rozana juga seorang yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak dan mereka sendiri mengadu kepada pemohon diabaikan oleh ibu sendiri selain tugas menjaga diserahkan kepada pembantu rumah sekiranya pemohon berada diluar kawasan.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Rozana iaitu Jamal Lokman Mohd Sulaiman terdahulu dalam penghujahannya memberitahu mahkamah alasan dikemukan pihak pemohon terhadap kes terbabit adalah bersifat masalah di antara suami isteri yang tidak melibatkan kebajikan anak-anak mereka. Jelas Jamal, dakwaan terhadap Rozana berhubung isu khurafat tidak dapat disahihkan kebenarannya selain melihat isu keterdesakan yang dibuat pemohon terhadap kes itu tidak kukuh. Malah Jamal turut mempertikaikan tentang manipulasi pemohon yang menggunakan sijil nikah palsu dan menyembunyikan fakta sebenar untuk mendapatkan hak penjagaan sementara anak-anak mereka. Mohd Amran bagaimanapun menangguhkan keputusan kes berkenaan pada Rabu. -Mstar



.

#QZ8501 : BASARNAS temui badan utama pesawat bersama mayat yang terperangkap


#QZ8501 : BASARNAS temui badan utama pesawat bersama mayat yang terperangkap | Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) berjaya menemui badan utama pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 bersama mayat yang terperangkap di dalamnya. Pengarah Operasinya Bambang Supriyadi ketika ditemui di Lapangan Tentera Udara Iskandar mengesahkan penemuan itu kira-kira 1.7 batu nautika berhampiran ekor pesawat arah timur laut. “Kedudukan badan pesawat ini tidak berada berdekatan sayap yang menindih Perakam Suara Kokpit (CVR). “Bagaimanapun, pasukan SAR gabungan akan mengangkat badan utama ini menggunakan beg pelampung sama seperti kaedah digunakan untuk menaikkan ekor pesawat,” katanya.

Menurutnya, BASARNAS akan menambah kekuatan pasukan dan kapal tongkang sudah disediakan di Pelabuhan Panglima Utar Kumai. “Sekarang kapal KN Jadayat berada di lokasi bangkai utama. Proses pengangkatan kira-kira sama dengan ekor iaitu menggunakan beg pelampung yang sudah ada di lokasi kejadian. “Mungin ada beberapa tambahan belon apungan yang kita cuba turunkan di dalam air. Ia boleh mengangkat keseluruhan badan pesawat,” kata Supriyadi. Katanya, penemuan bangkai utama pesawat diberi keutamaan berikutan BASARNAS menjangkakan terdapat lebih 50 peratus mayat masih berada di dalamnya. - Detik.com




.

BR1M tidak diagih lebih awal - Timbalan Menteri Kewangan



BR1M tidak diagih lebih awal - Timbalan Menteri Kewangan | Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebaran mesej bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diagihkan sebelum 15 Januari adalah palsu. Ahmad berkata, mesej palsu menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. “Urusan dengan bank-bank komersial hanya selesai pada esok dan BR1M akan diagihkan pada 15 Januari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - Utusan



.

Penemuan mengejutkan di Truk Lagoon, barat Lautan Pasifik




Penemuan mengejutkan di Truk Lagoon, barat Lautan Pasifik | Sebuah kawasan di Truk Lagoon, ba­­rat Lautan Pasifik menjadi tempat persemadian beratus-ratus bangkai kapal dan pesawat yang pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua. Mail Online me­laporkan, lebih 40 buah bangkai kapal perang Jepun dan 250 buah pesawat terdampar di kawasan berkenaan selepas diserang oleh tentera pakatan dalam Operasi Hailstone dari 16 hingga 17 Februari 1944. Hampir 70 tahun selepas kejadian se­rangan tersebut berlaku, kawasan berkenaan kini menjadi tempat persemadian bangkai kapal dan pesawat perang terbesar di dunia.

Selain itu, kawasan tersebut juga menjadi tarikan kepada para penyelam yang kagum dengan kekayaan sejarah, hidupan laut, dan batu karang yang terdapat di sekitarnya. Seorang penyelam, Nick Blake, 49, berkata, pemandangan yang menarik selain kepelbagaian ikan dan batu karang menjadi sebab mengapa ramai penyelam gemar menghabiskan masa di kawasan berkenaan. “Tanpa rasa ragu, ini adalah kawasan pelancongan terbaik di dunia. Bangkai kapal dan pesawat memberikan perman­dangan yang menarik kepada kami,” jelas Blake.-AP



.

Apa yang orang lain tidak tahu mengenai Puteri Diana ketika dia meninggal dunia?



Apa yang orang lain tidak tahu mengenai Puteri Diana ketika dia meninggal dunia? | Sebuah persembahan teater bertajuk Truth, Lies, Diana mendakwa, Puteri Diana sedang mengandung ketika terlibat dalam nahas jalan raya yang me­ngorbankannya pada tahun 1997 di Paris. Laman web Mirror.co.uk me­laporkan, persembahan teater terbitan West End Theatre yang akan ditayangkan Rabu ini turut mendedahkan, Putera Philip mempu­nyai banyak hubungan sulit dengan wanita lain. Penulis dan pengarah teater berkenaan, Jon Conway berkata, dia tidak pernah rasa menyesal dengan pendedahan tersebut dalam seni persembahannya.

“Saya rasa penting untuk masyarakat mengetahui cerita sebenar kejadian kerana ramai orang tidak mahu memperkatakan tentangnya,” jelasnya. Jalan cerita teater Truth, Lies, Diana dihasilkan oleh Conway selepas menjalankan kaji selidik dan temu bual bersama pakar pe­nyiasat, bekas kekasih Puteri Diana, James Hewitt termasuk pembantu rumah, Paul Burrell. Selain itu, Conway turut me­ngadakan temu bual bersama pelakon Piers Morgan, Mohammed Al Fayed dan beberapa orang kerabat diraja Britain. Jalan cerita teater berkenaan tidak meletakkan Puteri Diana sebagai watak utama, namun pe­ranan itu dipegang oleh seorang wartawan dikenali sebagai Ray yang menceritakan tentang kematian Puteri Diana bersama kekasihnya Dodi al-Fayed pada tahun 1997. -AP



.

Gambar bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo merangkul anugerah Trofi Ballon d'Or buat kali ketiga



Gambar bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo merangkul anugerah Trofi Ballon d'Or buat kali ketiga  | BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo merangkul anugerah Ballon d’Or buat kali ketiga mengetepikan penyerang Barcelona Lionel Messi dan penjaga gol Bayern Munich Manuel Neuer pada majilis Anugerah Ballon d’Or 2014 di Zurich awal pagi Selasa.


Ronaldo menjadi pilihan mengekalkan trofi ini selepas turut dipilih sebagai Pemain Terbaik pada tahun 2013 dan 2008. Penyerang Portugal ini membantu Real Madrid merangkul trofi Liga Juara-Juara dengan menewaskan Bayern Munich pada saingan separuh akhir sebelum menang secara penalti ke Atletico Madrid di pentas akhir.


Sementara itu, jurulatih Jerman Joachim Loew dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik FIFA 2014 selepas bersaing hebat dengan pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone dan bos Real Madrid, Carlo Ancelloti.


Simeone membawa Atletico meraih gelaran juara Liga manakala Ancelotti menamatkan kemarau gelaran ke-10 Liga Juara-Juara. -AP



.

Seorang dari pelakon utama Laskar Pelangi ditemui mati terlentang di tempat tidurnya



Seorang dari pelakon utama Laskar Pelangi ditemui mati terlentang di tempat tidurnya | Seorang daripada pelakon utama filem Laskar Pelangi ditemui meninggal dunia di bilik sewanya, petang Isnin. Verrys Yamarno yang membawa watak Mahar dalam filem berdasarkan kepada novel Andrea Hirata itu ditemui tidak bernyawa di bandaraya ini. Ketika anggota polis menjalankan pemeriksaan di bilik itu, ramai teman sekampusnya dari Institut Kesenian Jakarta datang sambil menitiskan air mata akibat terkejut dengan kematian Verrys. Sebahagian lagi kelihatan berpelukan sesama sendiri. Saksi berkata, mayat Verrys, 18, ditemui terlentang di tempat tidurnya.Pemilik bilik sewa itu yang hanya dikenali sebagai Suan berkata, pemuda berasal dari Bangka Belitung itu sering mengadu sakit kepala berterusan.

"Dia mengadu pernah kemalangan dan sejak itu kepalanya sakit. Cuma saya tak tahu apa-apa," katanya. Dalam filem Laskar Pelangi terbitan 2008, Verrys berjaya menghidupkan watak Mahar - seorang murid sekolah daif yang cintakan seni dan budaya. Satu daripada babak penting yang dikenang ramai dalam filem itu ialah nyanyiannya mendendangkan lagu Seroja ketika Ikal ditinggalkan gadis Tionghua, A Ling. Laskar Pelangi mengisahkan tentang 10 kanak-kanak yang bersahabat baik selepas mengikuti persekolahan di Sekolah Rendah Muhammadiyah di Belitung.


Selain berdepan hidup yang daif, mereka juga terpaksa mengikuti pembelajaran di sekolah yang serba kekurangan.Kata Suan, Verrys tinggal di bilik sewa itu bersama Mukharam Khairani yang membawa watak Kucai dan Zulfani Fasa (Ikal). Sementara itu Andrea berkata, dia terkejut dan sedih apabila diberitahu mengenai kematian Verrys pada petang Isnin. "Saya berasa bagaikan kehilangan ahli keluarga. "Dia anak muda penuh bakat, tetapi apa yang berlaku ini adalah takdir dan kita harus menerimanya," katanya di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta. -AP




.

Foto murid sekolah galas beg kotak jadi viral, ini penjelasannya



Foto murid sekolah galas beg kotak jadi viral, ini penjelasannya | Sesi persekolahan 2015 yang bermula hari ini, bagi ibu bapa sudah tentunya persediaan untuk ke sekolah telah dibuat lebih awal. Baju uniform, kasut, stokin dan beg termasuk alat tulis sudah tentunya menjadi perkara utama dalam senarai barang keperluan sekolah untuk dibeli. Kebetulan beberapa negeri di Malaysia telah teruk dilanda banjir baru-baru ini, bagi mangsa yang terlibat mungkin menemui kesukaran untuk menyediakan keperluan sekolah untuk anak-anak mereka.

Mungkin kerana 'terlebih' prihatin, satu foto seorang murid sekolah yang menggalas beg kotak mula viral di media sosial termasuk Whatsapp.Tersebarnya foto itu, maka ramailah yang berasa simpati malah ada juga yang mengaitkannya dengan mangsa banjir. Lebih dahsyat adalah golongan yang cuba mengaitkan foto tersebut dengan kelemahan sistem bantuan kerajaan. Hakikatnya pengguna media sosial dan Whatsapp tertipu dengan foto itu tanpa mengetahui fakta sebenarnya. Akhirnya, seorang pengguna di facebook bernama Rozali Salleh menerangkan cerita sebenar di sebalik foto itu. 


"Gambar ini diambil semasa hari terakhir penggal persekolahan di sebuah sekolah dalam daerah Pensiangan, Sabah. Memandangkan sekolah bakal berakhir, guru-guru mengedarkan stok susu sekolah kepada pelajar. Oleh kerana pelajar ini tiada bekas untuk membawa susu tersebut pulang maka dengan kreativitinya sendiri dia menggunakan kotak tersebut dan menggunakan tali rafia untuk menyandang beg tersebut." terang Rozali pada kemaskini facebooknya.-Awani




.

Bomba bantu turunkan 2 beradik lelaki yang lari naik ke bumbung hotel murah elak daripada dicekup kerana khalwat



Bomba bantu turunkan 2 beradik lelaki yang lari naik ke bumbung hotel murah elak daripada dicekup kerana khalwat | Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu menurunkan dua beradik lelaki yang lari naik ke bumbung sebuah hotel murah setinggi hampir 20 meter untuk mengelak daripada dicekup penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu(PADKP) kerana disyaki berkhalwat, di sini, malam kelmarin. Dua lelaki berusia 20 dan 25 tahun itu dikatakan bertindak demikian selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang membuat serbuan di hotel berkenaan jam 12.30 tengah malam kelmarin ketika mereka berada dalam sebuah bilik bersama pasangan masing-masing, berusia 16 dan 18 tahun.

Semua mereka dipercayai berasal dari Kelantan datang dengan menunggang motosikal dan menyewa di hotel terbabit sejak dua hari lalu dengan alasan mencari kerja di daerah ini selepas negeri itu dilanda banjir. Gadis berusia 18 tahun itu dipercayai tunang si abang manakala gadis berusia 16 tahun itu pula dikatakan janda selepas berkahwin pada usia 14 tahun. Pegawai PADKP Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan aduan, lapan anggota penguat kuasa diketuai Abd Rahim Abu menjalankan pemeriksaan di hotel berkenaan. -Metro



.

[Gambar] Lori terbabas, orang ramai kecoh rebut buah oren



[Gambar] Lori terbabas, orang ramai kecoh rebut buah oren | Bagai ‘pesta limau’, itu yang berlaku apabila puluhan orang awam termasuk warga asing mengutip buah limau ‘percuma’ yang terkeluar daripada sebuah lori yang terbabas di jejambat berdekatan kawasan Pasar Borong Selayang di sini, semalam. Kejadian pada jam 8.30 pagi itu turut mengakibatkan bumbung lori muatan barangan pasar yang melalui kawasan bawah jejambat itu kemek. Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Hamdan,36, berkata, dalam tempoh hanya beberapa minit kawasan bawah jejambat itu dipenuhi orang ramai untuk mengutip buah limau.

“Ratusan limau bertaburan di jalan, malah ada orang awam yang membawa beg plastik untuk mengutipnya, menjadikan keadaan agak meriah,” katanya kepada Harian Metro. Difahamkan, ketika kejadian lori muatan buah itu dalam perjalanan dari Rawang untuk menghantar buah limau ke pasar borong berdekatan. Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan ketika dihubungi berkata, lori muatan buah terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan jejambat itu. Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan muatan buah yang dibawa lori berkenaan terjatuh ke bawah dan menghempap sebuah lori di bawah jejambat itu. “Bagaimanapun, kedua-dua pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!