Friday, January 23, 2015

Reaksi Siti Nurhaliza berikutan tindakan komposer, Saari Amri yang mengaitkannya dengan keadaan Zamani



Reaksi Siti Nurhaliza berikutan tindakan komposer, Saari Amri yang mengaitkannya dengan keadaan Zamani | Tindakan komposer terkenal pada era 90-an, Saari Amri memuat naik status di laman sosial dipercayai mengaitkan Datuk Siti Nurhaliza yang tahu mengapa bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Berikutan tindakan Saari itu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat. Saari dalam entri di Facebook menulis "Siti Nurhaliza tahu mengapa Zamani jadi macam itu.

"Siti yang juga penyanyi lagu tema filem Suamiku Encik Perfect 10! bersama Cakra Khan kala dihubungi memilih pendekatan untuk tidak mengulas lanjut hal berkenaan. Ikuti penjelasan ringkas beliau. "Saya minta maaf kerana tidak mahu memberi sebarang komen kepada status orang lain dan saya sendiri sifatkan ia tiada kena mengena dengan saya. Saya tidak mahu mencampuri urusan atau hal yang dicetuskan pihak lain," katanya.


Zamani kini ditahan reman atas kesalahan terbabit selepas ditahan awal pagi Rabu lalu. Zamani hari ini membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang menyebarkan video penahanannya sehingga menjadi viral di laman sosial. Kes Zamani akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang pada 27 Januari ini. -BH




.

5 Gambar kebakaran di Tawau yang mengakibatkan lebih 20 rumah musnah


5 Gambar kebakaran di Tawau yang mengakibatkan lebih 20 rumah musnah | Lebih 20 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Saadani, Batu 2, Jalan Apas di sini, petang tadi.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd. Affendy K. Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 3.13 petang.


“Sebaik dimaklumkan dua buah jentera dan dua kenderaan serbaguna dengan 29 anggota yang diketuai pegawai bomba, Noraini Jumdani dihantar ke lokasi kejadian. "Ketika tiba kira-kira 80 peratus rumah telah musnah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, api dapat dikawal pada pukul 4.30 petang manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian sedang disiasat. Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau, Asnah Kassim berkata, pihaknya sedang mendaftar mangsa yang terlibat.


“Mangsa yang tidak mempunyai keluarga untuk menumpang akan ditempatkan di masjid,” katanya. - Bernama





.

Penyanyi popular diugut bunuh gara-gara baju di #AJL29 sampai terpaksa buat laporan polis



Penyanyi popular diugut bunuh gara-gara baju di #AJL29 | Gara-gara memakai pakaian ranggi rekaan Meg atau nama Instagramnya, @meggoth di Anugerah Juara Lagu ke-29 baru-baru ini, penyanyi Asfan yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia itu dikecam hebat sehari selepas acara itu berlangsung. Motif rekaan logo mata dan lambang tiga segi pada baju yang digayakan itu disalah erti hingga ada yang menganggapnya ada kaitan dengan Dajal atau Illuminati. Rentetan itu, Asfan turut diugut bunuh dan dibakar di laman sosial oleh pengikutnya yang dilihat ekstrim.

Semalam, Asfan membuat laporan polis bersama peguam dan pereka fesyen berkenaan di Balai Polis Gombak sekitar jam 3 petang akibat ancaman jenayah yang berkemungkinan membahayakan keselamatan dirinya. "Di blog hiburan atau di dada akhbar tidak wujud isu menakutkan ini tetapi saya amati di blog yang condong kepada agama dan politik menjadi sebaliknya. Malah ada yang menyifatkan logo gambar baju itu menandakan dajal sudah akan datang. "Saya dicop sebagai pengikut fahaman yang bukan-bukan.

Tindakan membuat laporan polis ini diharap dapat menjadi ruang saya melindungi diri. "Saya agak tertekan hingga tak boleh tidur apabila cerita ini timbul. Ia juga sebagai langkah menjaga reputasi saya di arena seni. "Gara-gara baju itu saya diugut bunuh, malah secara rawak juga ada yang terlalu ekstrim membuta tuli ingin membakar saya hidup-hidup menerusi komen mereka di media sosial," katanya yang menyifatkan lambang serta logo di baju itu sebagai simbolik cerita cinta tiga segi untuk lagu terbarunya. -Metro




.

Kenali budak berusia 7 tahun yang mampu godam Wi-Fi dalam tempoh kurang 11 minit



Kenali budak berusia 7 tahun yang mampu godam Wi-Fi dalam tempoh kurang 11 minit | SEORANG kanak-kanak perempuan menggodam sebuah hotspot Wi-Fi dalam tempoh kurang dari 11 minit selepas menonton video tunjuk ajar atau tutorial di internet. Betsy Davies, 7, mengambil masa 10 minit 54 saat dalam usaha membuktikan bahawa betapa senang untuk seorang penggodam untuk mencuri data.

Davies merupakan seorang kanak-kanak yang digunakan dalam demostrasi oleh sebuah syarikat Virtual Provider Network (VPN) dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aktiviti godam. Kebiasaannya, penggodam akan mencuri data berkaitan dengan bank simpanan, akaun e-mel, kata kunci dan juga pergerakan mangsa-mangsanya. Menurut beberapa pakar, aktiviti penggodaman akan meningkat pada 2015. Demostrasi yang dipamerkan oleh Davies dipantau oleh pakar keselamatan. -AP




.

Wanita nekad bakar diri sendiri dengan minyak tanah selepas bertengkar dengan suaminya



Wanita nekad bakar diri sendiri dengan minyak tanah selepas bertengkar dengan suaminya | Akibat gagal mengawal emosi, seorang wanita nekad membakar diri sendiri dengan minyak tanah selepas bertengkar dengan suaminya di rumah mereka di sini semalam. Menurut adik mangsa dikenali Hera berkata, pertengkaran ini bermula selepas pertanyaan kakaknya tidak diendahkan malah dibalas dengan pukulan di kepala oleh suaminya, Anton.

"Pertengkaran berlanjutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pula selepas suaminya keluar dari rumah. Mangsa kemudiannya berpesan supaya menjaga kedua-dua anaknya dengan baik jika dia meninggal dunia namun pesanan tersebut tidak diendahkan suaminya", katanya dipetik Kompas.com. Katanya lagi, mangsa meminta kebenaran suaminya melalu SMS untuk membeli minyak tanah dan tidak lama kemudian membakar dirinya sendiri.

"Kakak minta anaknya keluar rumah dan kemudian dia masuk ke rumah dan membakar diri sendiri," katanya. Menurut seorang jiran, selepas membakar diri, dia sempat berteriak meminta pertolong dan jiran kemudiannya cuba untuk menyelamatkan mangsa. Jiran cuba memadamkan api dan mangsa kemudianya berlari masuk ke dalam sebuah bekas takungan air yang berada diluar rumahnya. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal hari ini selepas mengalami kecederaan serius. -AP




.

Lelaki bawa mayat ibu untuk keluarkan wang daripada akaun warga emas itu di sebuah bank



Lelaki bawa mayat ibu untuk keluarkan wang daripada akaun warga emas itu di sebuah bank | Seorang lelaki di sini, didakwa membawa mayat ibunya untuk mengeluarkan wang sebanyak AS$850 (RM3,069) daripada akaun warga emas itu di sebuah bank, kira-kira dua minggu lalu. Polis kini menyiasat kemungkinan David Vanzo berbuat demikian sebelum memberitahu tentang kematian ibunya, hanya tujuh jam selepas pulang dari bank tersebut.

Menurut saksi, mereka nampak kaki wanita berusia 90 tahun itu terseret di atas lantai ketika berada di kerusi roda yang ditolak anaknya. Jiran Vanzo pula berkata, mereka tertanya-tanya sama ada wanita itu telah meninggal dunia atau pengsan semasa dibawa keluar dari rumah oleh anaknya menaiki teksi.

Polis menjelaskan, ibu Vanzo meninggal dunia beberapa hari sebelum sambutan ulang tahun ke-91 wanita berkenaan, kira-kira dua minggu lalu. Anggota polis yang datang ke rumah Vanzo selepas menerima panggilan kecemasan, dikejutkan dengan bau kurang menyenangkan daripada air kencing dan najis manusia sebelum menemukan mayat wanita itu memakai jubah, kot bulu serta kasut but yang disaluti najis. Vanzo kemudiannya ditahan atas tuduhan mengabaikan warga emas.-AP



.

Lokasi paling sesuai didiami di Asia dan di dunia



Lokasi paling sesuai didiami di Asia dan di dunia | Singapura kekal sebagai lokasi paling sesuai didiami di Asia dan di dunia. Manakala pesaing serantaunya Hong Kong jatuh ke tangga ke-33 di dunia daripada tempat ke-17 sebelum ini. Kajian itu dibuat oleh penarafan lokasi terkini ECA International. Penarafan itu yang berdasarkan kehidupan ekspatriat meletakkan Kuala Lumpur dan George Town masing-masing di tangga ke-16 Asia dan ke-118 dunia manakala Johor Baharu di kedudukan ke-21 dalam ranking Asia.

Pada 2014, Kuala Lumpur di tangga ke-16, George Town (17) dan Johor Baharu (21) dalam ranking Asia. Antara kriteria yang dipertimbang dalam penarafan itu ialah perkhidmatan kesihatan, perumahan dan kemudahan, akses kepada jaringan sosial dan kemudahan riadah, keselamatan diri, kualiti udara dan keadaan politik. Penarafan membabitkan 450 lokasi di seluruh dunia. -AP



.

Individu yang dikatakan merupakan posmen paling malas didedahkan



Individu yang dikatakan merupakan posmen paling malas didedahkan | Seorang posmen biasanya menghantar surat tidak kira keadaan cuaca hujan atau panas malah ada juga yang terpaksa bersengkang mata semata-mata menjalankan tugas pada waktu malam. Namun lain pula ceritanya dengan Alex Douglas Douma, 27, dari pejabat pos di Eugene apabila menyimpan hampir 1,000 surat hanya kerana dia malas. Surat berkenaan ditemui dalam dua tong di depan rumahnya Julai tahun lalu. Kebanyakan surat itu ialah risalah iklan, namun ada juga kertas undian daripada pilihan raya pada Mei, selain lebih 200 surat kelas pertama dan biasa.

Douma mengaku salah semalam di Mahkamah Daerah Eugene dan diarahkan menjalani pengawasan selama setahun selain membayar denda AS$500 (RM1,800). Ketika siasatan kes itu, Douma mengakui gagal melaksanakan tugasnya kerana terasa malas beberapa kali antara akhir April dan awal Julai tahun lalu.

Douma memohon maaf di hadapan Majistret Thomas Coffin dan berkata ketika itu dia tertekan dengan garis waktu ditetapkan majikan berikutan terpaksa memilih, mengasingkan dan menghantar surat. “Saya tidak langsung berniat menyimpan semuanya,” katanya. Pendakwa William ‘Bud’ Fitzgerald berkata, Douma melakukan jenayah apabila gagal melaksana tugasnya. Sementara itu, ejen Pejabat Khidmat Pos Amerika Syarikat John Masters berkata pihaknya menganggap kesalahan dilakukan Douma sebagai amat serius. - AFP




.

Keghairahan seorang jurugambar miang akhirnya kantoi oleh model itu sendiri



Keghairahan seorang jurugambar miang akhirnya kantoi oleh model itu sendiri | Seorang jurugambar miang akhirnya bertemu buku dengan ruas apabila keghairahannya merakam imej seksi model Singapore Motorshow 2015 dibongkar oleh model itu sendiri. Menggunakan rangkaian media sosial, Miki Ace berkata, insiden itu berlaku ketika dia bertugas sebagai model kereta di pameran berkenaan. Katanya, dia melihat jurugambar terbabit bukan mengambil gambar seperti sepatutnya, malah menumpukan lensa kamera ke bahagian dada dan pahanya. “Saya dapat merampas kameranya untuk melihat gambar yang diambil.

“Saya sangat terkejut kerana dia mengambil gambar dada dan seluar dalam setiap model yang ada di pameran ini,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut Miki Ace, itu bukanlah kali pertama lelaki terbabit menyalahgunakan kameranya. “Saya tak sangka kerana dia juga memiliki gambar sebegitu untuk ekspo tahun lalu!” katanya. Pendedahan Miki Ace itu ternyata cepat menarik perhatian pengguna Facebook dan imej berkenaan dikongsi ramai dalam tempoh singkat.


Kata Miki Ace, dia mengakui dibayar untuk berpakaian menarik dan melayan permintaan pengunjung untuk bergambar. “Tetapi ia tidak bermakna kami berhak dilayan begini,” katanya. Menurut Miki, dia berharap semua lelaki dapat menghormati wanita sewajarnya. Bagaimanapun, ada juga pengguna Facebook menganggap model seperti Miki Ace memang layak dilayan begitu. Hujah mereka - model terbabit tidak boleh mengeluh berdasarkan sifat pakaian mereka yang mencolok mata. -AP




.

Misteri beberapa lelaki dikatakan terkena santau selepas meminum campuran serbuk ubat perangsang didedahkan



Misteri beberapa lelaki dikatakan terkena santau selepas meminum campuran serbuk ubat perangsang didedahkan | Beberapa kejadian muntah darah dilaporkan dialami beberapa lelaki di sekitar Hulu Klang di sini, sejak seminggu lalu akhirnya membongkar penjualan minuman serbuk racun yang dibancuh bersama telur ayam kampung.

Siasatan mendapati lebih 10 mangsa 'santau' ini membeli minuman jamu maut yang mudah diperolehi di beberapa kedai runcit milik warga asing Indonesia di sekitar daerah ini. Jurucakap Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cawangan Selangor berkata, pihaknya menerima aduan dan laporan daripada beberapa mangsa yang menghubungi pejabat serta mendakwa muntah darah sejak seminggu lalu.

Menurutnya, melalui laporan bertulis diambil, mangsa mendakwa muntah darah berulang kali selepas meminum campuran serbuk ubat perangsang seks jenama Gali-Gali bersama telur ayam kampung. "Hasil risikan dan siasatan mendapati serbuk Gali-Gali diseludup dari Indonesia itu disahkan mengandungi racun sildenafil berlebihan dan masih dijual secara rahsia di pasaran.

Anak TGNA, Nik Mohamad Abduh dedah penyakit sebenar Mursyidul Am Pas itu


Anak TGNA, Nik Mohamad Abduh dedah penyakit sebenar Mursyidul Am Pas itu | Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kelmarin disahkan menghidap kanser prostat tahap empat tetapi masih terkawal. Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh bagaimanapun berkata, tahap kesihatan bekas Menteri Besar itu semakin baik hari ini tetapi pasukan doktor masih belum menggunakan perkataan ‘sihat’ untuk merujuk perkembangan terkini bapanya sebaliknya sekadar ‘ada perkembangan positif’.

 Beliau berkata, bapanya juga menjalani rawatan kemoterapi sejak masih menjadi Menteri Besar lagi namun dalam tempoh setahun ini hanya mengambil ubat sahaja. “Alhamdulillah perkembangan ayah hari ini lebih baik, pagi tadi bangun solat subuh dan minta makan nasi air. “Kita tak benar pelawat masuk, hanya boleh tengok dari luar cermin bilik kerana bimbang jangkitan. Semalam pelawat ramai sangat sehingga ayah batuk,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Nik Abdul Aziz yang dimasukkan ke Wad 2 Delima, HUSM sejak Selasa lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya ketulan darah dalam otak Nik Abdul Aziz yang menjadi punca beliau dimasukkan ke ICU, Nik Abduh menafikannya.
“Tak ada (ketulan darah), jadi begini kerana kesan kanser yang dihidapnya sejak empat hingga lima tahun lalu. “Saya perlu rujuk doktor untuk mengetahui lebih lanjut organ mana yang sudah terkesan tetapi setakat ini tidak menjejaskan keadaan keseluruhannya. “Pernafasannya baik, tekanan darah pun baik, beliau kenal semua kawan yang datang ziarah dan boleh berkomunikasi, cuma doktor sebut semalam untuk kata ayah sihat belum lagilah,” katanya. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!