Tuesday, January 27, 2015

Datuk terkejut apabila dapat tahu cucu sendiri merompak rumah dan menyebabkan dia kehilangan satu jarinya


Datuk terkejut apabila dapat tahu cucu sendiri merompak rumah dan menyebabkan dia kehilangan satu jarinya  | SEORANG pesara polis, Barry Sibley, 82, kehilangan satu jari tangannya akibat dipotong oleh pencuri yang merompak rumahnya, tanpa mengetahui perbuatan tersebut dilakukan oleh cucunya sendiri. Ketika kejadian Sibley, dicampak daripada tangga sebelum dia ditikam oleh cucunya, Jack Sibley, 21 yang memecah masuk ke rumah mangsa dengan memakai topeng. Beberapa hari selepas kejadian malang itu berlaku, Barry berkata cucunya itu ada datang melawatnya di hospital. Barry yang juga datuk kepada enam cucu berkata: "Jack melawat saya di hospital bersama keluarganya. "Dia langsung tidak bercakap dengan saya, dia hanya duduk di hujung katil dan senyap sahaja.

"Pada permulaannya saya tidak mengetahui dialah yang merompak rumah saya, namun saya agak terkejut apabila polis memberitahu dia terlibat dalam kejadian berkenaan. "Dia seperti tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap orang lain apabila cuba membuktikan dirinya tidak bersalah dengan melawat saya di hospital. "Apapun saya bersyukur kerana dia akan berada di penjara agak lama, sekurang-kuranya saya dapat tidur dengan tenang. "Saya menjangkakan dia akan dikenakan hukuman penjara yang ringan, namun saya amat berpuas hati dengan keputusan mahkamah," ujarnya.

Menceritakan semula bagaimana kejadian malang itu berlaku, Barrry berkata pada hari kejadian pada 13 Mei tahun lalu, dia bangun awal pagi selepas terdengar bunyi bising di dalam rumahnya. Sebaik sahaja keluar dari bilik tidurnya, dia terserempak dengan Sibley dan rakan subahatnya, Warren Reid, 22. Kedua-dua suspek mengangkat mangsa dan mencampaknya ke tangga sebelum mencapai sebilah pisau Gurka milik Barry. Mereka kemudiannya menggelar sebelum memotong jari hantu tangan sebelah kiri sebelum menggantung jari manisnya menggunakan seutas benang. Bukan itu sahaja, mangsa yang juga ditikam dibahagian dada dan mengalami keretakan di kepala dalam kejadian malang itu. Sibley dan Reid kemudiannya melarikan diri di Chesthut, Herts dengan meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Pasukan penyiasat mendapati kedua-dua suspek telah datang ke rumah mangsa dua hari sebelum kejadian. Polis turut menjumpai khidmat pesanan ringkas yang mendedahkan Sibley dan Reid mahu mencuri wang simpanan milik mangsa yang bernilai £4,000. Mereka memecah masuk rumah mangsa dengan menggunakan kunci pendua dan ingin menggunakan wang hasil rompakan tersebut untuk berjoli di sebuah kelab tarian bogel. Kedua-dua suspek dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah kerana merompak dan menyebabkan kecederaan parah ke atas Barry, Disember lalu. Sibley, dijatuhi hukuman penjara selama 19 tahun oleh Mahkamah St Albanbs pada Jumaat sementara Reid, berhadapan dengan hukuman penjara selama 19 tahun sembilan bulan.

Ketika dihadapkan ke mahkamah kedua-dua suspek saling menyalahkan antara satu sama lain kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pesara kerajaan tersebut. Namun Hakim Stephen Gullick memberitahu bahawa kesalahan mereka adalah sama dan kedua-duanya bertanggungjawab terhadap rompakan dan serangan secara kejam ke atas mangsa. Sebelum hukuman diputuskan oleh pihak mahkamah, Sibley sempat menulis sepucuk surat kepada datuknya, dengan menyatakan dia menyesal terhadap apa yang berlaku dan akan cuba sedaya upaya untuk megembalikan kenyakinan datuknya itu.

Namun Barry berkata: "Saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dia, dan tidak akan memaafkan segala perbuatannya. "Saya belum dapat memaafkan dia, mereka tinggalkan saya dalam keadaan hampir mati." "Keluarganya berpecah-belah, ia memisahkan kami. Namun adik bongsu Jack dan ahli keluarganya yang lain menyokong saya. "Saya semakin pulih namun tahun lalu cukup sukar untuk saya. Saya berharap semuanya lebih baik selepas ini." Bercakap kepada pemberita selepas mahkamah menjatuhkan keputusan terhadap kedua-dua suspek: Sarjan Jon Leak berkata:

"Pada kejadian berlaku, Sibley tidak langsung mengetahui siapakah kedua-dua suspek dan beliau sangat terkejut apabila dapat tahu mengenainya. "Selama saya berkhidmat sebagai anggota polis, kes ini sangat mengejutkan. Bukan hanya, perancangan awal yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh untuk merompak rumah datuknya sendiri, namun lebih menyedihkan mereka sanggup melihat ahli keluarga sendiri terkapai-kapai hingga hampir mati selepas memotong jari mangsa. "Saya sangat berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan saya berharap mangsa dapat menjalani kehidupan yang lebih mencabar selepas ini terutamanya trauma kesan psikologi yang berlaku terhadapnya sebelum ini."-AP



.

Pencuri cantik ditangkap polis dan menang pertandingan ratu cantik di penjara.. Cantik ke?



Pencuri cantik ditangkap polis dan menang pertandingan ratu cantik di penjara.. Cantik ke? | KECANTIKAN memang aset yang paling berharga bagi seorang wanita dan Andrea Torres memang tahu bagaimana untuk memanfaatkannya. Berbekalkan wajah cantik, Andrea, 28, menggunakan asetnya itu untuk memecah masuk kira-kira 300 apartmen di sekitar Bogota, Colombia. Modus operandinya ialah menggoda pengawal keselamatan bagi membenarkannya masuk ke kawasan apartmen yang menjadi sasaran.


Ada kalanya, dia berjaya meyakinkan pengawal keselamatan bahawa dia adalah teman wanita kepada pemilik apartmen yang kehilangan kunci rumah. Bagaimanapun, baru-baru ini taktik liciknya tidak berjaya apabila ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah apartmen di pinggir Bogota. Difahamkan, Andrea pertama kali dipenjarakan atas kesalahan mencuri pada usia 17 tahun. Ketika di penjara, dia memenangi pertandingan ratu cantik bagi banduan wanita. - Mirror




.

Bekas tentera British sudah menemui Wan Jamilah, tunang yang dicari (selepas terpisah 47 tahun)


Bekas tentera British sudah menemui Wan Jamilah, tunang yang dicari (selepas terpisah 47 tahun) | Misi bekas tentera British, Warren Holbrook adalah untuk menjejaki seorang wanita rakyat Malaysia yang patut dikahwininya pada 1968 membuahkan hasil. Wanita berkenaan, Wan Jamilah Wan Hussein, kini menetap di Australia. Bekas abang iparnya berjaya untuk menghubungkan semula Holbrook bersama beliau menerusi panggilan telefon. Holbrook, di mana kisahnya disiarkan The Star pada Isnin, terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada Wan Jamilah. "Panggilan pertama yang saya terima daripada bekas abang ipar Jamilah pada kira-kira pukul 9.30 pagi. Dia (bekas abang ipar) di Kuala Lumpur ketika dia menghubungi saya," katanya berusia 69 tahun.

"Pada kira-kira pukul 10.15 pagi, saya mendapat panggilan daripada Jamilah," tambah Holbrook. "Jamilah kini menetap di Melbourne dan terkejut apabila mengetahui saya sedang mencarinya. Dia gembira dan kami bercakap selama kira-kira 10 minit," katanya, sambil menambah bahawa Jamilah berkahwin dengan seorang rakyat Australia pada 1971 dan dikurniakan dua anak dan seorang cucu. "Dia mempunyai seorang anak perempuan berusia 41 tahun dan anak lelaki berumur 39 tahun. Saya sekarang ada nombor telefonnya dan kami akan berhubung. "Jamilah masih pulang ke Pulau Pinang, sekurang-kurangnya sekali setahun, biasanya pada April, untuk menziarahi saudara-maranya," kata Holbrook yang berterima kasih di atas usaha bekas abang ipar Jamilah.

"Saya pernah tinggal bersama dia (bekas abang ipar Jamilah) apabila saya datang dari Kluang, Johor, untuk berjumlah Jamilah (di Pulau Pinang), dan dia akan meminjamkan saya motosikal untuk saya berjumpa dengan Jamilah," katanya mengimbas kembali. Telefon bimbit Holbrook sering berdering sejak kisahnya disiarkan di The Star. "Saya terima sejumlah panggilan dan pesanan teks. Ada antara mereka mengucapkan selamat berjaya untuk menjejaki Jamilah, manakala yang lain berkata mereka akan cuba membantu saya mencari Jamilah.

"Malah ada antara mereka mempunyai maklumat dan cadangan bagi membantu dalam mengesan di mana Jamilah berada," katanya. "Saya bersyukur di atas bantuan dan keprihatinan semua pihak, dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua di atas ucapan mereka," kata Holbrook, yang menghabiskan masanya pada pagi isnin dengan menjawab banyak panggilan telefon dan membalas pesanan teks. Dia turut ditemuramah menerusi panggilan telefon oleh sebuah stesen radio tempatan pada Isnin. "Saya beritahu mereka semua yang saya telah menemuinya (Jamilah)," kata Holbrook, yang belum berkahwin. -Mstar




.

Ini punca facebook tidak boleh dilayari.. Rupa-rupanya Facebook tergendala selama kira-kira 40 minit



Ini punca facebook tidak boleh dilayari.. Rupa-rupanya Facebook tergendala selama kira-kira 40 minit  | Facebook tergendala selama kira-kira 40 minit, menjejaskan pengguna di Amerika Syarikat (AS), Asia, United Kingdom dan Australia. Pengguna di AS dan India melaporkan tidak dapat log masuk media sosial itu. Instagram milik gergasi media sosial itu juga tidak dapat diakses buat seketika. Instagram dalam akaun Twitter menjelaskan sedar mengenai gangguan servis itu dan berharap mengatasinya. Facebook mempunyai 1.25 bilion pengguna aktif manakala Instagram kira-kira 300 juta. - AP



.

Lelaki ini akhirnya sedar selepas menghabiskan hampir 20 tahun dalam keadaan koma.. Lihat apa perkataan pertamanya..



Lelaki ini akhirnya sedar selepas menghabiskan hampir 20 tahun dalam keadaan koma | SEORANG lelaki di Amerika Syarikat akhirnya bangun selepas menghabiskan hampir 20 tahun dalam keadaan koma. Perkataan pertama yang diucapkan Terry Wallis, 39, ialah 'mama' selepas melihat ibunya yang duduk di tepi katil. Perkataan kedua diucapkannya ialah Pepsi diikuti susu. Wallis koma selepas terlibat dalam kemalangan kereta di Mountain View, Arkansas pada bulan Julai 1984.

Akibat kemalangan itu, dia koma selama 19 tahun dan disahkan lumpuh. Isteri Wallis, Sandi berkata dia tidak putus harapan meskipun menyedari peluang untuk suaminya sedar adalah tipis. "Saya akui berdepan banyak kesukaran sepanjang Wallis koma. "Apabila dia diperlukan, dia tiada di sana," katanya. Ketika kemalangan itu berlaku, anak perempuan Wallis, Amber baru dilahirkan.


Amber kini seorang gadis remaja dan menjadi inspirasi untuk Wallis pulih. Menurut Sandi, meskipun Wallis koma, tetapi mereka tidak pernah terlepas untuk melawatnya setiap hujung minggu di Pusat Pemulihan Stone County. Malah, mereka turut meraikan majlis-majlis tertentu di sebelah katil suaminya. Dalam kemalangan 1984 itu, Wallis dan rakannya memandu kereta sebelum kenderaa mereka terbabas ke dalam sungai. - Daily Mail



.

Wanita ini punya tabiat yang sangat pelik



Wanita ini punya tabiat yang sangat pelik | EVELYN, 27, dari Cape Girardeau, Missouri, di Amerika Syarikat mempunyai tabiat pelik iaitu gemar minum penyegar udara setiap hari. “Saya amat gemarkan rasa penyegar udara. Ramai yang memberi reaksi jijik ketika saya menyemburnya di khalayak ramai, namun itu tidak sedikit pun mengurangkan ketagih saya,” katanya. Evelyn mengaku telah menyembur sehingga 50 kali penyegar udara sehari atau 20 botol seminggu, selama tiga tahun.


Malah, dia juga hanya gemarkan penyegar udara dengan perasa semula jadi yang segar. Tunangnya, Ricky berkata, meskipun dia tidak memahami minat Evelyn, tetapi dia tetap membelikan sebotol penyegar udara untuk tunangnya itu. “Kadang-kadang apabila terjaga pada tengah malam, saya lihat dia sedang sembur penyegar udara itu ke dalam mulutnya. Memang ia menjijikkan, tetapi disebabkan itu minatnya jadi saya ikutkan sahaja,” katanya. – Mail Online




.

'Lelaki' duduk di atas papan tanda iklan undang cemas pengguna lebuh raya kerana menyangka ia hendak membunuh diri



'Lelaki' duduk di atas papan tanda iklan undang cemas pengguna lebuh raya kerana menyangka ia hendak membunuh diri | Seorang 'lelaki' yang kelihatan duduk di atas papan tanda iklan di sini mengundang cemas pengguna lebuh raya kerana menyangka ia hendak membunuh diri. Ekoran itu beberapa panggilan kecemasan dibuat tanpa mengetahui 'lelaki' berkenaan hanyalah patung gimik untuk iklan berkenaan. Menurut pegawai polis, Mike Johnstone, pihaknya terus bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada beberapa pengadu.


 "Selepas diteliti, "lelaki" tersebut hanyalah patung yang diletakkan di atas papan tanda yang bertulis .. 'saya boleh nampak Deery Brothers di West Burlington dari sini'," katanya. Sementara itu, pemilik syarikat jualan kereta Deery Brothers, Bradd Deery berkata, pihaknya akan menurunkan patung berkenaan. "Saya hanya mahu menjual kereta, bukannya ingin mengelirukan orang ramai". katanya. -Mirror




.

Sikap peserta pertandingan menjadikan tragedi #MH370 bahan jenaka membuatkan adik penumpang pesawat itu meluat



Sikap peserta pertandingan menjadikan tragedi #MH370 bahan jenaka membuatkan adik penumpang pesawat itu meluat | Adik kepada seorang lelaki New Zealand yang merupakan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 dilapor ‘meluat’ dengan tindakan peserta pertandingan ‘Tata Beach Titanic Cup’ yang membina replika pesawat MAS dalam pertandingan itu. Malah lebih malang, peserta itu dinobatkan sebagai pemenang pertandingan perlumbaan bot kadbod tersebut yang juga menyediakan hadiah untuk ka­tegori bot karam paling dramatik. Gambar yang disebarkan di Internet, memaparkan pesawat yang diperbuat daripada kadbod itu dimasukkan ke dalam laut semasa pertandingan tahunan yang diadakan di Golden Bay.

“Saya amat terperanjat. Kehilangan pesawat itu juga masih belum mencapai tempoh setahun. Apa perasaan mereka sekiranya ahli keluarga mereka ada di dalam pesawat itu? “Peserta itu tidak sepatutnya menjadikan tragedi tersebut sebagai bahan jenaka,’’ kata wanita dari Christchurch, Sara Weeks sebagaimana lapor portal stuff.co.nz. Abang Sara, Paul, 38, merupakan antara penumpang pesawat itu yang dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pereka replika pesawat itu, Robert Chubb tanpa rasa bersalah berkata, dia percaya, sudah cukup lama sejak tragedi membabitkan pesawat MH370 berlaku bagi orang ramai untuk melihat perkara melucukan berbanding mencari kesalahan.


“Para penonton beranggapan replika itu satu pameran yang baik. “Tragedi MH370 merupakan satu peristiwa besar, sementara pertandingan ini hanya satu acara kecil-kecilan. Saya fikir orang ramai perlu melihat ironi dan unsur jenaka padanya,’’ kata Chubb. Sementara itu, wakil pihak penganjur pertandingan, Dave Myall mengaku replika itu menggambarkan tentang bagaimana pesawat MH370 sedang tenggelam, namun ‘merit kesenian menjadi faktor di sebalik pemilihan Chubb sebagai pemenang’. “Saya minta maaf setelah mendengar kekesalan Sara, namun pertandingan ini merupakan acara tempatan dan perlu diambil daripada konteks itu,’’ katanya. -AP




.

Adeh.. Sudah jahat, malang pula


Sudah jahat, malang pula. Seorang pencuri mengalami nasib amat malang ketika dia cuba memecah masuk ke sebuah pasar raya semalam. Jurucakap polis berkata, lelaki itu menyelinap ke pasar raya Family Dollar melalui bumbung bangunan terbabit. Katanya, lelaki itu kemudian bersusah-payah merangkak untuk sampai ke bahagian siling. Pada masa sama, pekerja pasar raya mengesyaki ada pencuri di atas siling dan menghubungi polis.

Ketika polis tiba untuk menyiasat, lelaki terbabit tiba-tiba terjatuh di depan anggota keselamatan. Sebaik melihat suspek meraung kesakitan, pegawai terbabit terus menahannya di tempat kejadian. Sumber berkata, suspek mencuri bersendirian dan memanjat pokok di bangunan bersebelahan untuk menyelinap masuk melalui lubang pada bumbung pasar raya itu. “Polis mengesyaki suspek memecah masuk pasar raya itu untuk mencuri rokok,” katanya. - Agensi




.

Penyelam temui sesuatu yang pelik dan belum pernah ditemui di dasar laut



Penyelam temui sesuatu yang pelik dan belum pernah ditemui di dasar laut  | Seorang penyelam berjaya menemui sebuah hutan prasejarah yang berusia kira-kira 10,000 tahun di Laut Utara ketika menyelam di pesisir pantai Norfolk di sini baru-baru ini. Penyelam tersebut, Dawn Watson, 45, berkata, dia tidak menyangka keputusannya untuk menyelam lebih jauh di pesisir pantai itu berjaya membongkar kewujudan sebuah hutan zaman prasejarah yang belum pernah ditemui.

“Air di pesisir pantai pada waktu itu agak bergelombang, jadi saya memutuskan untuk berenang 300 meter ke tengah laut sebelum menjumpai batang pokok oak purba. “Pengalaman ini sangat menakjubkan kerana saya telah melakukan aktiviti menyelam selama 16 tahun dan bukan setiap hari anda akan membuat penemuan bersejarah seperti ini,” katanya lagi sambil memberitahu bahawa apa yang dilihatnya itu seakan adegan dalam filem Hobbit atau Lord of the Rings.

Menurut pakar perhutanan, hutan yang ditemui itu dianggarkan wujud sejak Zaman Ais tetapi telah tenggelam apabila paras air laut meningkat setinggi 120 meter apabila ketulan ais cair. Kini, pokok-pokok itu membentuk terumbu karang semula jadi dan menjadi sebahagian daripada hidupan marin bersama ikan serta tumbuhan laut lain. – Agensi




.

Bapa akan tunaikan dua hajat terakhir anak



Bapa akan tunaikan dua hajat terakhir anak  | Walaupun terkejut dengan pemergian anaknya, Mat Lazim Ali, 52, bapa pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia Incheon 2014 Muhammad Azlan Mat Lazim tetap akan menunaikan dua hajat anaknya yang tidak kesampaian. Hajat pertama membawa isterinya menunaikan umrah dan kedua membeli rumah baru untuk mereka sekeluarga. “Sebelum kejadian, dia menghubungi saya pada jam 11 pagi untuk bertanya khabar kami sekeluarga dan menyatakan hasratnya membeli rumah baru dan menghantar saya dan isteri mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

“Namun, tiga jam lebih selepas itu, saya terkejut menerima berita kejadian menimpanya. Saya reda dengan apa yang berlaku meskipun amat sedih,” katanya ketika ditemui, semalam. Dalam kejadian baru-baru ini, pemenang tiga pingat emas paralimpik di Sukan Asia Incheon Muhammad Azlan Mat Lazim dilaporkan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya, Serdang, kelmarin. Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu turut membabitkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik negara, Farisan Jasna, 24, yang disahkan mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal Yamaha 125Z ditunggang mangsa dilanggar sebuah van jenis Toyota Hiace dari arah sama ketika keluar dari persimpangan menghala ke Lebuh Raya Bukit Jalil. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu van iaitu lelaki berusia 43 tahun tidak cedera. Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lalu, Muhammad Azlan menampilkan aksi cemerlang apabila membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki kategori kecacatan T38 dan T36. Jenazah Allahyarham Muhammad Azlan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur jam 1 pagi, semalam. -Metro




.

Penuntut Kolej Shahputra Kuantan dalam perjalanan pulang ke kampus, maut kereta dirempuh bas



Penuntut Kolej Shahputra Kuantan dalam perjalanan pulang ke kampus, maut kereta dirempuh bas | Dua penuntut Kolej Shahputra Kuantan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti semester terbunuh apabila Perodua Viva dinaiki merempuh belakang sebuah bas ekspres di Kilometer 153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pemandu, Aimi Sarah Abd Hissam, 20, dari Taman Muda, Cheras, Kuala Lumpur dan penumpang, Nurul Aida Ahmad Tajudin, 20, dari Setiawan, Perak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Difahamkan, Aimi mengambil jurusan diploma pereka fesyen manakala Nurul penuntut diploma dalam bidang arkitek.

 Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sebelum kejadian, bas ekspres yang membawa 28 penumpang menghala ke Kuala Terengganu, Terengganu, dari Kajang, Selangor, terpaksa berhenti di lorong kecemasan apabila seorang daripada penumpang mahu membuang air besar. “Pemandu memberhentikan bas di lorong kecemasan sebelum kereta dipandu Aimi dari arah sama melanggar belakang bas ekspres berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Beliau berkata, siasatan awal mendapati, rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, pemandu bas ekspres berkenaan bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mayat mangsa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan dihantar ke Hospital Bandar Jengka (HBJ), dekat sini untuk bedah siasat,” katanya. Mohamad Noor berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. “Kita tidak pasti apa yang berlaku dan amat memerlukan kerjasama saksi bagi membantu siasatan,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!