Sunday, February 15, 2015

Percaya atau tidak, anda mampu memperoleh RM500 dalam masa 15 minit sahaja. Ini caranya..



Percaya atau tidak, anda mampu memperoleh RM500 dalam masa 15 minit sahaja jika nasib menyebelahi anda ketika berjudi menggunakan mesin simulator yang disediakan di premis perjudian haram yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga. Itulah pengalaman wartawan Mingguan Malaysia yang menya­mar sebagai pelanggan untuk berjudi di premis berkenaan sekitar Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini bagi membuktikan dakwaan kegiatan tidak bermoral itu masih berleluasa. Tanpa sekelumit pengalaman berjudi, agak mengejutkan apabila mampu memperoleh keuntungan sebanyak itu dengan hanya perlu meramal simbol yang bakal dipilih di mesin simulator berkenaan.

Ketika mula tiba di premis berke­naan, terdapat seorang remaja yang dipercayai berusia dalam lingkungan belasan tahun duduk di hadapan kedai itu dan membukakan pintu. Di premis itu, mesin judi ‘monyet’ menjadi tumpuan pelanggan dan mereka yang bermain judi akan dihidangkan air minuman berkarbonat secara percuma serta boleh diisi semula pada bila-bila masa selagi leka berjudi. Difahamkan ketika itu, RM10 bersamaan dengan 100 mata apabila perkara itu jelas terpapar di mesin simulator berkenaan menggunakan pelekat dan RM100 telah digunakan sebagai permulaan taruhan.


Pada mulanya, ramalan terhadap simbol yang dipilih agak tersasar, namun 5 minit kemudiannya, nasib mula menyebelahi seorang pelanggan apabila simbol yang dipilih asyik terkena dengan nilai gandaan mata yang banyak. Selepas 10 minit berlalu, mata yang dikumpul mula meningkat dan ia menggalakkan pelanggan tersebut untuk meneruskan perjudian sehingga mendapat keuntungan lebih banyak tanpa berfikir panjang.

Sesudah 15 minit berlalu, sebanyak 5,000 mata bersamaan RM500 berjaya dikumpul oleh pelanggan berkenaan dan dia membuat pilihan untuk ‘cuci’ (simpan mata) sebahagian mata itu dengan melakukan pertukaran kepada kad baucar sebanyak RM400. Pertukaran baucar kepada wang tunai dilakukan di luar premis bagi mengelakkan ia dikesan oleh pihak berkuasa. Tinjauan wartawan Mingguan Malaysia ke sebuah lagi premis mendapati, pelanggan dikehendaki menekan loceng sebelum masuk ke kedai berkenaan. Kehangatan berjudi di premis tersebut dapat dirasakan apabila mereka yang berjudi mempertaruhkan RM1,000 ke RM5,000 untuk memulakan pertaruhan. -Utusan




.


Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah didiagnosis menghidap kanser prostat



Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah didiagnosis menghidap kanser prostat dan akan menjalani pembedahan untuk membuang kelenjar prostat pada Isnin ini, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini. Rawatan prostatektomi 'keyhole' yang dibantu oleh robot akan dijalankan oleh Prof Christopher Cheng, pakar urologi di Hospital Besar Singapura (SGH).

Bulan lepas, Hsien Loong telah menjalani rawatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) prostat yang menunjukkan luka-luka yang mencurigakan. Ujian biopsi seterusnya yang dijalankan mendapati bahawa satu daripada 36 sampel mengandungi sel-sel kanser. Beliau mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan atas nasihat panel doktor yang diketuai oleh Prof Cheng dan beliau dijangka pulih sepenuhnya selepas pembedahan. - Bernama

Ada pengunjung yang menziarah pusara Nik Aziz lakukan perkara khurafat?



Ada pengunjung yang menziarah pusara Nik Aziz lakukan perkara khurafat? | Nik Mohamad Abduh, anak Allahyarham Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang ramai supaya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi pusara ayahnya itu. Beliau berkata, orang ramai diminta untuk tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai khurafat ketika menziarahi pusara Allahyarham. "Saya nasihat kepada rakyat Malaysia yang datang ziarah hendaklah menepati sunah Nabi Muhammad SAW kerana ziarah keluarga dan tok guru adalah sama.

"Perlu berdoa dan mengambil peringatan untuk diri sendiri, jangan tambah (melakukan) benda yang bersifat bidaah dan khurafat kerana ia akan membatalkan amalan soleh kita sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, hari ini. Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya terdapat segelintir masyarakat yang mengambil tanah di pusara berkenaan untuk dijadikan azimat dan sebagainya.

Tinjauan Bernama di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini, mendapati orang ramai tidak henti-henti menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu. Beliau meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka pada 9.40 malam, Khamis ketika berusia 84 tahun. Adun Chempaka itu dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam hari yang sama setelah dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada 11.30 pagi semalam. - Bernama



.

Cubaan individu tidak dikenali membakar kereta milik Dr Mohd Hatta Ramli tidak kesampaian



Cubaan individu tidak dikenali membakar kereta milik Dr Mohd Hatta Ramli tidak kesampaian | Cubaan individu yang tidak dikenali untuk membakar kereta milik Dr Mohd Hatta Ramli tidak kesampaian apabila tindakan itu disedari oleh seorang pengawal di kawasan perumahan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat tersebut di Hulu Kelang, Kuala Lumpur awal pagi Sabtu.

 Kejadian berlaku di luar rumah pemimpin terbabit pada pukul 5.30 pagi apabila seorang lelaki cuba untuk membakar kereta Hatta. Bagaimanapun, tindakan itu disedari oleh seorang pengawal bertugas yang ketika itu sedang membuat rondaan di kawasan tersebut dengan membunyikan hon motosikal. Difahamkan, anak Mohd Hatta dikatakan berjaya memadamkan api sebelum polis dan bomba tiba di tempat kejadian.

Mohd Hatta sebelum ini didakwa merupakan antara pemimpin PAS yang berkomplot untuk menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dakwaan itu dibuat oleh sekumpulan penyokong yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim. Bagaimanapun, Mohd Hatta berkata, tuduhan Fadhli adalah tidak berasas dan beliau tidak berminat untuk memperbesarkannya kerana perkara sedemikian dianggap lumrah dalam parti.-Mstar



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!