Tuesday, February 24, 2015

Bapa nekad bunuh 3 anak kerana tidak mampu biayai majlis perkahwinan mereka



Bapa nekad bunuh 3 anak kerana tidak mampu biayai majlis perkahwinan mereka | GARA-gara bimbang tidak mampu membiayai majlis perkahwinan anaknya, seorang bapa di India sanggup mencekik tiga anak perempuannya hingga mati dan mencampakkan mayat mereka ke dalam sebuah terusan. Sanjay Dubey, 33, ditahan di tempat kejadian selepas mengaku membunuh Ankita, 9, Priya, 7, dan Bhavna, 2. Awalnya, lelaki itu memberitahu isterinya dia ingin membawa anak mereka ke sebuah pameran tempatan.

Sebaliknya, peniaga sari dari Pandesera di Gujarat itu ke terusan berhampiran dan membunuh ketiga-tiga anaknya. Menurut Inspektor Mahendra Kher, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang menemui tiga mayat terapung dalam keadaan tertiarap. Apabila pasukan polis tiba, Sanjay yang berada di tempat kejadian terus mengaku bersalah membunuh anak-anaknya.

Isterinya, Meera Devi, 32, hanya tahu mengenai kejadian itu keesokan hari selepas diberitahu abang iparnya dan tidak menyangka bagaimana suaminya itu boleh bertindak sejauh itu. Difahamkan, Sanjay mengalami kemurungan setelah kerugian 3,000 pound (RM17,000) dalam urus niaga perniagaan beberapa bulan lalu. Dia turut memberitahu pihak polis bahawa dia tidak mempunyai pilihan lain selain membunuh mereka kerana bimbang mengenai kos membesarkan anak-anaknya itu. – DM




.

Terkini harga tiket Zoo Negara dan Pusat Konservasi Panda Gergasi yang dikurangkan berkuatkuasa esok



Terkini harga tiket Zoo Negara dan Pusat Konservasi Panda Gergasi yang dikurangkan berkuatkuasa esok | Harga tiket bagi lawatan pelajar sekolah ke Zoo Negara dan Pusat Konservasi Panda Gergasi dikurangkan sebanyak 44 peratus iaitu daripada RM18 kepada RM10 seorang berkuatkuasa esok. Guru pengiring kumpulan pelajar sekolah tersebut pula layak menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus iaitu RM15 berbanding harga asal RM30 seorang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, pengurangan kadar tiket itu bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah mengunjungi dan menghayati konsep konservasi dalam mengelakkan kepupusan sesuatu spesies. - Utusan




.

Usaha seorang lelaki untuk mencipta rekod mengelilingi dunia menggunakan basikal berakhir selepas beliau maut dalam sebuah kemalangan



Usaha Juan Francisco Guillermo, 48, untuk mencipta rekod mengelilingi dunia menggunakan basikal berakhir selepas beliau maut dalam sebuah kemalangan, semalam. Guillermo, seorang warganegara Chile memulakan perjalanannya pada November 2010 dan dijangka berakhir November tahun ini dirempuh oleh sebuah kenderaan pikap. Menurut The Guardian, perjalanannya dilaporkan meliputi jarak sejauh 250,000km di lima benua. Isteri Guillermo dan anaknya yang berusia dua tahun yang menggunakan sebuah lagi basikal juga cedera.

Pemandu pikap berkenaan, Tiwarat Ratchaipidet ditahan polis kerana memandu dengan cuai. "Kemalangan tersebut disebabkan kecuaian pemandu tersebut. Jalan tersebut lurus dan mangsa berada di lorongnya sendiri." kata pegawai polis, Torsak Thammingmongkol. Pada bulan Februari 2013, sepasang lelaki dan perempuan warga Britain yang cuba mencipta rekod sama juga maut di dalam kemalangan di Thailand. -AP



.

Pasukan mencari yakin temui #MH370 beberapa bulan lagi



Pasukan mencari yakin temui #MH370 beberapa bulan lagi | Penyelaras misi pencarian penerbangan MH370 di Australia yakin kapal terbang milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu akan ditemui dalam beberapa bulan sahaja lagi. Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata, beliau mempunyai harapan tinggi pasukannya akan menemui bangkai pesawat malang itu sebelum misi pencarian berakhir pada Mei depan. Pesawat MH370 hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada pagi 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tiada kesan atau petunjuk jelas ditemui sejak pesawat tersebut hilang tetapi Dolan percaya pasukannya semakin hampir kepada penemuan serpihan kapal terbang itu. “Saya tidak fikirkan ‘ini harinya’ setiap kali saya bangun daripada tidur tetapi memang setiap kali saya bangun, saya harapkan itulah harinya pesawat itu ditemui dan saya jangka antara sekarang hingga Mei depan, hari tersebut akan tiba. “Peristiwa ini (kehilangan MH370) membingungkan dan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, bukan sahaja misteri kehilangan itu malahan skala usahasama kami dalam mencari pesawat malang tersebut,” katanya.

Dolan menegaskan, pasukannya tidak mempunyai kepastian untuk menemui pesawat MH370 tetapi mereka mempunyai keyakinan penuh hari itu akan tiba juga akhirnya. Bagaimanapun, Pusat Agensi Penyelarasan Bersama enggan mengulas mengenai kenyataan tersebut dan cuma memaklumkan kerajaan Malaysia, Austra­lia dan China yang akan menilai langkah berikutnya selepas ini. Misi pencarian sejak tragedi sedih itu berlaku tahun lalu masih tidak membuahkan sebarang hasil dengan lokasi ter­akhir dipercayai tempat pesawat malang itu terhempas pada mulanya disangka di Laut China Selatan atau Teluk Thailand sebelum beralih ke selatan lautan Hindi dekat Australia. – Agensi




.

Inilah surat tulisan tangan Einstein yang dijual pada harga £50,000



Inilah surat tulisan tangan Einstein yang dijual pada harga £50,000 | Sekeping surat yang ditulis dalam bahasa Itali oleh saintis terkenal Austria, Albert Einstein telah dijual pada harga hampir £50,000 (RM206,750) dalam satu lelongan yang diadakan di sini baru-baru ini. Surat yang mempertahankan teori kerelatifan itu dialamatkan kepada seorang jurutera elektrik di Itali, Giovanni Giorgi bagi menjawab pengkritik Amerika Syarikat yang menentang teorinya. Surat berkenaan ditulis pada tahun 1925 dan merupakan salah satu contoh nota mengenai ilmu Sains yang ditulis Einstein dalam bahasa Itali.


Einstein amat jarang menulis dalam bahasa tersebut walaupun dia fasih berkata-kata dalam bahasa itu kerana dia pernah tinggal di Itali bersama keluarganya sekitar tahun 1890-an. Menurut jurucakap Rumah Lelongan RR, surat yang ditulis Einstein sangat menarik dan indah. Setiap ayatnya menjelaskan mengenai teori kerelatifan dan dijelaskan dengan panjang lebar olehnya. “Surat seumpama ini yang ditulis dalam bahasa Itali oleh Einstein amat jarang dijumpai. Maka sebab itulah surat ini telah dijual pada harga yang mahal,” katanya. – Agensi




.

Impian lelaki bertemu kekasih hati yang dikenali di facebook berkecai selepas wanita itu tidak muncul



Impian lelaki bertemu kekasih hati yang dikenali di facebook berkecai selepas wanita itu tidak muncul | Impian seorang lelaki dari Semenanjung bertemu kekasih hati dikenali melalui laman sosial Facebook bukan saja berkecai, malah kerugian RM10,000 selepas wanita berkenaan tidak muncul dan panggilan telefon tidak dijawab. Difahamkan, lelaki dikenali sebagai Mohd Noor berusia 30-an itu dikatakan tiba di Lapangan Terbang Sandakan di sini, kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, untuk bertemu ahli keluarga teman wanitanya dipercayai untuk merisik dan melangsungkan pertunangan.

Sebelum tiba di daerah ini, mangsa dipercayai memasukkan RM10,000 seperti diminta wanita terbabit dengan alasan untuk membuat persediaan majlis pertunangan mereka. Sebaik menjejakkan kaki ke daerah ini, mangsa terus menghubungi teman wanitanya, tetapi tidak dijawab sebelum talian telefon bimbit dimatikan. Mangsa yang buntu dilihat berlegar-legar tanpa tujuan di sekitar lapangan terbang itu sehingga petang sebelum disedari orang ramai. Selepas mendapati mangsa ditipu, orang ramai membawa lelaki itu ke balai polis untuk membuat laporan dan mendapatkan bantuan. -Metro




.

Akibat terlalu taasub dengan satu ajaran songsang, Datin jalin hubungan sulit dengan teman sealiran



Akibat terlalu taasub dengan satu ajaran songsang, Datin jalin hubungan sulit dengan teman sealiran  | Akibat terlalu taasub dengan satu ajaran songsang sehingga melabelkan suami sendiri sebagai najis, seorang wanita bergelar Datin yang sanggup menjalinkan hubungan sulit dengan teman sealiran kononnya lebih warak akhirnya dicekup berkhalwat dengan lelaki itu di dalam sebuah kereta, tengah hari semalam. Wanita dan pasangannya ditahan kira-kira jam 11.30 pagi semalam di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Bandar Sri Damansara oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas mendapat aduan orang ramai.

Ketaasuban disulami cinta terlarang pasangan itu berlarutan sejak lebih setahun lalu selepas sama-sama sering berbincang mengenai kuliah pengajian dianjurkan sebuah pertubuhan di pinggir ibu negara menyebabkan wanita ahli perniagaan itu tergamak menuduh suami sendiri terkeluar daripada ajaran agama Islam sebenar.

Sumber berkata, Datin berusia 40-an itu sudah mempunyai tiga anak bersama suaminya berusia lapan hingga 15 tahun, namun selalu bersama pasangan kekasih gelapnya itu dan bersikap dingin dengan suaminya sendiri termasuk tidur berasingan. “Akibat taasub melampau dengan ajaran berkenaan, wanita itu sengaja mencari alasan untuk memburukkan suaminya dengan menuduh lelaki itu terkeluar daripada Islam selain mengamalkan ajaran bercanggah serta sesat. -Metro




.

Ini kisah sepasang pengantin baru yang begitu menyentuh perasaan dan menjadi #viral di laman sosial



Ini kisah sepasang pengantin baru yang begitu menyentuh perasaan dan menjadi #viral di laman sosial | Kehadiran suami ke hospital membawa kek untuk isterinya selepas terpaksa bersanding seorang diri bukan saja meninggalkan kenangan manis untuk mereka, malah gambar pasangan itu turut ‘viral’ di laman sosial hari ini, dengan ramai menyifatkannya sebagai sesuatu yang amat manis dan menyentuh perasaan. Mohd Suhairi Md Salleh,26, dan Ainul Aqmar Arzmi,25, ‘berpisah’ seketika di hari persandingan mereka di kediaman pihak lelaki, Ahad lalu selepas Ainul terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Amanjaya Specialist Centre, Sungai Petani, Kedah.

Ainul ketika dihubungi di Sungai Petani, berkata, pada 6 petang Sabtu lalu, dia ke hospital itu selepas tidak dapat menahan kesakitan akibat ketumbuhan pada ovari (cyst). “Pada 8 malam, doktor memaklumkan saya perlu dibedah bagi membuang ketumbuhan itu kerana ia semakin kritikal. “Sebelum itu, pada Rabu lalu, saya ada berjumpa doktor untuk mengetahui perkembangan penyakit saya ini dan doktor maklumkan, ia belum membimbangkan. “Tak sangka pula jadi begini. Apa yang mampu saya lakukan hanya berserah kepada Allah SWT dan reda dengan ketentuannya kerana perancangan untuk bersanding di sebelah lelaki sudah diatur ,” katanya yang bekerja sebagai guru.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan, suaminya muncul di hospital pada 4 petang, Ahad membawa kek untuk dipotong bersama sambil bergambar kenangan. “Itu antara kenangan paling indah dan tak dapat saya lupakan. Mungkin ada hikmah di sebaliknya,” katanya. Sementara itu, Mohd Suhairi berkata, dia mendapat idea untuk ke hospital dan membawa kek itu selepas dimaklumkan oleh jurugambar perkahwinannya, Kawaras Yahya, 30. “Pada awalnya saya tertekan kerana terpaksa bersanding tanpa isteri.

Selepas bersanding, saya ke hospital membawa kek bersama jurugambar (Kawaras) dan beberapa rakan. “Hospital itu terletak hanya 500 meter dari kediaman saya,” katanya. Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur pembedahan itu blancar. “Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dan isteri ada gambar kenangan yang boleh diabadikan biarpun gambar dirakam di hospital,” katanya yang bekerja sebagai jurutera. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!