Kehidupan Asita Chari, 14, tidak banyak berubah sejak dia dijual oleh ibu saudaranya kepada seorang lelaki asing di bandar Borgou, Benin, lima tahun lalu. Sejak usianya sembilan tahun, dia terpaksa mengerah tenaga mudanya bekerja di ladang kapas tersebut.
Negara Benin yang kecil dan miskin itu terletak di antara Teluk Guinea hingga ke sempadan Nigeria. Ia sangat dikenali sebagai tempat lahirnya penyembahan voodoo, pusat perdagangan buruh kanak-kanak dan pusat pengeluaran kapas di rantau tersebut.
"Saya dijual pada harga AS$50 (RM163) kepada majikan saya sekarang. Sebagai buruh kanak-kanak, saya tiada pilihan untuk membuat keputusan menentukan arah hidup. Saya selalu mencari jalan untuk lari dari sini.
"Hidup saya sangat susah. Kerja saya berat tetapi sering lewat diberi makan. Semasa baru sampai di ladang ini, hampir setiap malam saya menangis sambil berharap voodoo datang membantu saya," katanya.
Dia percaya, kecekalan dan kekuatan meneruskan hidup sehingga hari ini adalah berkat dan restu dari roh nenek moyangnya.
Kisah Asita sungguh malang namun ia menjadi sesuatu yang sangat biasa di negara yang bergelut dengan masalah buruh kanak-kanak itu. Kerahan tenaga pada usia awal di Benin sekali gus memberi kesan terhadap jangka hayat yang kini rata-rata hanya 59 tahun.
Roh
Malah, kira-kira sepertiga daripada 8.7 juta rakyat di negara itu diselubungi kemelaratan dan hidup di bawah garis kemiskinan antarabangsa dengan pendapatan tidak sampai AS$1.25 sehari (RM4).
Voodoo yang terkenal di bumi Afrika diiktiraf sebagai agama tertua di dunia oleh sesetengah ahli konservatif yang menganggarkan usia tradisi itu sudah melebihi 10,000 tahun.
Di Benin, amalan voodoo bukan sahaja dianggap sebagai pemujaan semangat dan roh sebaliknya ia adalah satu-satunya negara di dunia yang menjadikan voodoo sebagai agama rasmi sejak lebih 500 tahun lalu.
Mengamalkan kepercayaan kepada takdir dan pegangan animisme, merangkumi alam sekeliling dan fenomena alam, sebarang kejadian yang berlaku dianggap sebagai petunjuk kepada keberkatan atau amaran daripada semangat suci yang juga disebut sebagai roh atau tuhan.
Pada dunia moden hari ini, amalan voodoo masih dipraktikkan malah masih ramai yang taksub sama ada dengan sami, ramalan mahupun ritual yang dilaksanakan bagi memenuhi sesuatu hajat.
Rahsia
Bagi seorang warga Botswana yang melanjutkan pengajian di negara ini, Bains Bosigo, 23, dia masih mempercayai voodoo sebagai tradisi budaya lama di negaranya.
"Voodoo adalah kepercayaan asal di negara kami, tetapi selepas kedatangan Kristian, semakin ramai yang beralih arah. Kini ia hanya dipraktikkan secara meluas sebagai budaya, bukan lagi agama. Namun, tidak dinafikan, masih ada yang taksub dengan voodoo, tetapi jumlahnya tidak ramai.
"Di bandar asal saya, Gaborone, voodoo adalah pemujaan roh atau bacaan mentera tertentu yang biasanya dilakukan dalam acara rasmi, upacara keagamaan, perkahwinan dan kematian.
"Selain itu, sami voodoo juga akan menjadi rujukan untuk tujuan perubatan alternatif atau sekiranya mahu mencari jalan keluar kepada sesuatu masalah," jelas penuntut di Universiti Limkokwing ini.
Bagaimanapun, tambahnya, cara pengubatan dengan sami voodoo adalah perkara yang perlu dirahsiakan demi menjaga maruah pesakit selain mahu mengelak dari menjadi bahan usikan.
"Ramai orang datang berjumpa sami dengan membawa bermacam-macam hajat. Ada yang berubat mahukan anak, mahu mencari jodoh, keselamatan, minta perniagaan maju dan sebagainya.
"Boleh dikatakan semua yang datang berjumpa dengan sami dan menjalani ritual pemujaan akan menyimpannya sebagai rahsia. Berubat dengan sami dianggap kolot namun dalam diam masih ramai yang melakukan penyembahan voodoo sebagai jalan untuk menunaikan hajat," katanya.
Darah
Ritual yang membuktikan pengabdian kepada voodoo atau semangat yang dipuja biasanya menagih darah haiwan seperti ayam untuk dijadikan sebagai korban.
Teori mengorbankan haiwan dan elemen darah yang dilihat sebagai simbolik memberi hidangan kepada roh atau semangat bagaimanapun ditolak kaitannya dengan penglibatan syaitan atau roh jahat.
"Pemujaan ini hanya dilakukan untuk meminta restu daripada alam ataupun nenek moyang yang telah meninggal dunia, tiada kena mengena dengan kuasa ghaib," ujar Bains yang menolak kewujudan penggunaan patung dan jarum dalam amalan voodoo di negaranya.
Selain korban haiwan, muzik dan tarian merupakan kunci yang menentukan kejayaan dalam pemujaan voodoo. Malah ia menjadi lambang ekspresi keagamaan, hubungan antara tuhan dengan roh yang juga dikenali sebagai Iwa di Haiti.
Tidak hairanlah, dalam ritual penyembahan voodoo, ia pasti berlangsung dengan disertai tarian yang diberi nama 'tarian malam' atau 'tarian voodoo'.
Bagi seorang lagi penuntut dari Uganda, Tebor Ulaiya, 28, dalam upacara penyembahan, dengan bantuan para Iwa, sami atau paderi akan menawarkan diri untuk mengubati pesakit sama ada menggunakan herba, ubat-ubatan ataupun mengubati melalui Iwa.
"Ia adalah ritual budaya masyarakat Afrika yang bertujuan untuk memulihkan atau memberi kebaikan. Ia merupakan alternatif yang lebih bertradisi.
"Malangnya, upacara voodoo sering digambarkan oleh sebahagian besar masyarakat dunia sebagai cara pemujaan yang hanya bertujuan untuk membalas dendam dan menyihir. Sedangkan, hakikatnya tidak begitu," katanya.
Tambah Tebor, dia tidak menolak wujudnya sami voodoo yang sanggup melakukan pemujaan ilmu hitam dengan patung atau haiwan yang telah mati demi membalas dendam sehingga membawa kepada kematian.
"Saya pernah terdengar cerita tentang orang yang memuja voodoo untuk perkara yang tidak baik, tetapi saya tidak ada pengalaman mengenainya.
"Bagi yang mempercayai voodoo, ia adalah sesuatu yang sangat berkuasa dan boleh memberi kebaikan kepada pengikutnya namun ada juga individu yang mengambil kesempatan untuk menipu dan menggunakannya untuk kejahatan," katanya.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment