AIDILFITRI tahun ini sememangnya cukup bermakna buat pelakon Datin Paduka Umie Aida kerana kali pertama mencium tangan suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada pagi raya.
Kalau selama ini dia dan adik beradik, Erma Fatima dan Betty mencium tangan ibu bapa dan sejak tiga tahun lalu, tidak lagi dapat mencium tangan bapa, Rahmat Ali yang lebih dulu menemui Yang Maha Kuasa, kini hadir lelaki bernama suami dalam hidupnya.
Tidak cukup dengan itu, buat pertama kalinya juga Umie atau nama sebenar, Umi Khaltum Rahmat Ali, 37, menyambut lebaran ini di rumah keluarga suaminya di Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tahun ini, Umie dan suami meraikan Aidilfitri di rumah keluarga Umie di Taman Melawati, Hulu Klang pada raya pertama kemudian raya kedua hingga keempat bersama keluarga suami.
Kata Umie, selain pengalaman pertama mencium tangan suami di pagi raya, kejutan baru buat Umie apabila melalui kesesakan jalan raya ketika pulang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang.
"Selama ini saya beraya di Kuala Lumpur saja tetapi kini saya bangga kerana ada kampung dan berpeluang balik kampung seperti orang lain. Dapatlah saya rasa pengalaman mengejutkan dengan kesesakan jalan raya balik ke Kuala Lumpur. Barulah saya tahu bagaimana rayanya pengalaman itu.
"Kami beraya di sana sehingga raya keempat dan berkunjung ke rumah saudara-mara selain menerima kunjungan ramai sanak saudara sebelah suami," katanya.
Sempena Aidilfitiri, Umie juga mengadakan rumah terbuka meraikan rakan-rakan rapat di kediamannya dan kali ini meraikan mereka di kediaman mereka di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Ketika zaman bujang, Umie mengadakan rumah terbuka bersama kawan baiknya, Erra Fazira, kali ini tidak berkongsi rumah terbuka lagi. Kata Umie, dia hanya menjemput kenalan rapat seramai 40 orang dan bukan kenalan suami. Majlis yang diadakan di kolam renang kondominium itu diganggu hujan lebat tetapi itu bukan halangan untuk menjamu selera dengan hidangan enak seperti lemang, sate, soto, laksa dan juga kambing bakar. "Dianggarkan lebih 80 orang yang datang dan saya terkilan kerana tidak dapat memberi layanan lebih baik kepada rakan yang datang. Bagaimanapun majlis bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu berakhir jam 3.30 pagi apabila ada rakan datang lewat hingga disambung ke rumah di tingkat 32. Jadi, dapatlah berborak panjang hingga jam 3.30 pagi. "Sebenarnya persiapan rumah terbuka ini dibuat saat akhir menyebabkan persiapan untuk hiasannya kurang memuaskan tetapi saya puas kerana rakan-rakan rapat semuanya datang kecuali Erra yang menjayakan pementasan Muzikal Tun Mahathir," katanya.
Ramai rakan yang datang bersama pasangan dan anak seperti Eizlan Yusof bersama isteri, Vie Shantie Haroon Khan dan dua anak mereka, Vie Zaraa, 2, dan Zareef, 5 bulan, Melissa Saila membawa tiga anaknya, Noor, 6, Zain, 4, dan Zahrah, 1, Eja atau Siti Shahrizah Saifudin yang datang agak lewat, turut membawa buah hatinya, Nur Eishal yang genap usianya setahun pada 3 September lalu, begitu juga Zarina Zainuddin turut ditemani anak.
Ia turut dihadiri pasangan bahagia, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ahmad, Den Wahab dan Nora Tamam Idris, Sofia Jane dan suami, Aliah Lee (Vee) dan suami, Mohammad Zekri Ibrahim serta Vanidah Imran dan Rashidi Ishak yang menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 pada 1 Oktober ini.
Begitu juga sahabat baik Umie, Betty Banafe dan Zahida Rafik serta rakan artis lain, Linda Onn, Yasmin Hani, Aqasha, Azwan Ali Tidak ketinggalan, produser glamor, Datin Zaiton Mohd Jiwa (Global Station Sdn Bhd) dan Ziela Jalil (Pena Creative Sdn Bhd), pelakon veteran, Rubiah Suparman dan tentunya kakak Umie, pengarah Erma Fatima.
Kata Umie, dia tumpang gembira melihat rakan-rakan kini bahagia dengan anak hingga dia juga menyimpan impian mempunyai anak untuk menyerikan rumah tangga yang dibina pada 14 Mac lalu.
"Memang saya ingin punya anak sendiri dan sedang mencuba ke arah itu. Bagaimanapun, buat masa ini belum ada rezeki. Saya juga kurangkan aktiviti lakonan untuk cepat dapat anak," katanya.
Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Embun ini juga gembira kerana lakonan terbarunya selepas bergelar isteri dapat disaksikan menerusi slot Cerekarama di TV3 pada 18 September lalu. Katanya, telefilem Airmata Nursalina arahan Erma Fatima dan digandingkan dengan Remy Ishak itu mendapat respon yang cukup baik apabila mereka yang bertemu dengannya di majlis rumah terbuka bercakap mengenai drama itu.
"Ramai tidak puas hati dengan penamat cerita yang menyaksikan Nursalina ke tali gantung kerana bersalah membunuh suaminya. Hati saya turut terusik kerana memang berlaku wanita yang menjadi mangsa dek terlalu mempercayai lelaki hingga akhirnya menjerat diri sendiri. Tapi itulah hakikat hidup yang terpaksa ditelan.
"Selepas ini saya tumpukan perhatian untuk pementasan teater Natrah pula yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada November nanti. Latihan akan bermula akhir bulan depan," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment