Thursday, October 7, 2010

Diana, Zamarul menanti kelahiran


BERDEBAR, risau, cemas dan gembira mungkin itulah adunan rasa yang bermain di fikiran pasangan pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham sementelah selang beberapa minggu sahaja lagi mereka bakal menimang cahaya mata sulung.
Ketika ini, jelas Zamarul, usia kandungan isterinya telah pun mencecah 34 minggu dan dia sebagai suami turut merasai debaran yang sama seperti mana yang dirasai oleh Diana.
Momen-momen manis berperingkat turut merasai perubahan yang dialami oleh wanita hamil yang lain bagi Diana suatu keajaiban yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Apatah lagi inilah pengalaman pertama dia menjalani fasa kehamilan biarpun mengakui sehingga kini dia tidak mengalami sebarang alahan kecuali mengalami masalah jerawat di muka pada bulan pertama kehamilan.
Tidak seperti ibu hamil yang lain, Diana tidak betah dengan hanya duduk diam di rumah. Malah ketika ditemui pada majlis doa selamat bagi kelahiran bayinya itu Diana masih lagi bebas bergerak melayani tetamu yang hadir.
Keadaan ini sedikit sebanyak akui Zamarul menimbulkan kebimbangan di hati kecilnya.
Menjawab pertanyaan tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan, jelas mereka kemungkinan besar adalah bayi lelaki.
Melihat kepada keadaan Diana yang kurang gemar bersolek, lasak menjalani aktiviti di rumah serta gemar bermain permainan kereta lumba menguatkan lagi andaian bahawa kandungannya itu adalah bayi lelaki.
"Daripada ujian imbasan, doktor mengatakan anak kami lelaki namun, saya tidak kisah anak lelaki atau perempuan kerana apa yang penting bayi sihat dan Diana selamat melahirkan nanti.
"Saya adalah orang yang paling gembira apatah lagi inilah bayi sulung saya bersama Diana.
"Banyak yang saya lihat perubahan dalam diri Diana terutama tentang sikapnya dan ini merupakan satu pengalaman yang baru bagi kami," kata Zamarul.
Berehat seketika daripada aktiviti seni sejak tiga bulan lalu jelas Diana, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga apatah lagi, pertambahan berat badan daripada 46 kilogram (kg) kepada 61kg kini membuatkan dia cepat berasa penat.
Mengakui semakin berdebar menanti saat kelahiran, jelas Diana, dia banyak bertanya, berkongsi cerita dan pengalaman bersama rakan-rakannya, Nabila Huda dan Dynas tentang kehamilan serta kelahiran.
Ditebak pertanyaan tentang anak lelaki, seperti Zamarul dia juga tidak kisah tentang jantina.
"Ramai orang kata anak sulung sebaiknya biarlah lelaki kerana mereka umpama pewaris.
"Apatah lagi, daripada pengalaman adik-beradik dan kawan-kawan, ramai yang kata menjaga bayi lelaki tidak susah sebab mereka tidak banyak kerenah.
"Tambahan pula apabila besar nanti kita boleh bergantung harap kepada mereka untuk menjaga kita kelak," kata Diana.
Terbiasa dengan jadual kerja yang padat sehari-harian membuatkan Diana cukup lasak biarpun ketika ini dia sudah mencapai tempoh sarat.
Biarpun tugas mengemas rumah dan menguruskan anak-anak kini diambil alih oleh Zamarul, Diana masih lagi melakukan tugas utama iaitu memasak.
"Sepanjang hamil, Diana tidak banyak kerenah. Cuma kadang kala apabila saya mengemas dia pun sibuk mengemas sama.
"Apapun, Diana tetap memasak untuk kami sekeluarga sebab saya tak boleh jika tidak makan masakan dia," kata Zamarul yang bakal bercuti seminggu menemani Diana di saat kelahiran bayi mereka.







.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!