Monday, October 4, 2010

Dua askar, guru maut kereta bertembung bas

KEMALANGAN ngeri membabitkan kereta Perodua Kancil dan bas berhampiran Kampung Empila, Asajaya, awal pagi semalam menyebabkan dua tentera dan seorang guru meninggal dunia di tempat kejadian

Jalan licin akibat hujan punca nahas di selekoh tajam

KOTA SAMARAHAN: Tiga rakan karib termasuk dua anggota tentera maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas sekolah dalam kemalangan ngeri berhampiran Kampung Empila, Asajaya, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, kepala dua daripada mangsa terbabit hampir terputus menyebabkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Mahdi Akun, Sabdi Kamri dan Mohd Zoolneezam Alon, semuanya berusia 25 tahun maut apabila Perodua Kancil itu merempuh dan terperosok di bawah bas sekolah ketika melalui satu selekoh tajam.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuching menuju ke kampung mereka di Asajaya, manakala bas sekolah tanpa penumpang itu dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Abdul Rahman Ibrahim, berkata pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

“Keadaan jalan raya ketika itu agak licin kerana hujan dan kejadian berpunca daripada bas sekolah terbabit memasuki laluan bertentangan ketika mengambil selekoh di jalan sempit itu.

“Pemandu bas itu gagal mengelak kereta mangsa menyebabkan mereka bertembung lalu terperosok di bawah bas,” katanya.
Abdul Rahman berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, kedua-dua anggota tentera yang bertugas di Semenanjung itu juga adalah sepupu yang menetap di Kampung Sepang Laut, Asajaya dan ketika kejadian mereka sedang bercuti, manakala rakan mereka seorang guru sekolah menengah berasal dari Kampung Asajaya Laut.






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!