Sunday, October 31, 2010

Fenomena Letusan Gunung Merapi, Indonesia


Gempa bumi yang mencetuskan tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat Isnin lalu dan letusan Merapi di Jawa Tengah, merupakan fenomena alam yang tidak boleh ditepis.

Menurut Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (Seadpri), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo, pergerakan bumi yang tidak pernah berhenti boleh mencetuskan malapetaka alam.


“Permukaan tanah dan lautan terdiri daripada beberapa plat atau kepingan iaitu kepingan lautan dan kepingan benua.
“Permukaan bumi yang sentiasa bergerak akan menyebabkan kepingan-kepingan benua menjauh antara satu sama lain.
“Ia juga boleh bergeser dan bertembung sesama sendiri. Lokasi pergeseran ini dinamakan sebagai zon subduksi.
“Ia juga adalah tempat di mana dua kepingan kerak bumi, biasanya kepingan kerak lautan dan kepingan benua, bertembung.
“Dalam kes ini, kepingan lautan mendap, atau tenggelam di bawah kepingan benua lalu membentuk jurang yang dalam di pinggir pantai.

Fitrah


“Kepingan ini kemudian dicairkan oleh haba daripada kerak bumi sebelum membentuk magma.
“Magma yang terhasil cenderung menjadi amat likat disebabkan kandungan silika yang tinggi. Disebabkan itu, ia sering tidak sampai ke permukaan dan mengeras jauh di perut bumi.

“Sekiranya ia tiba pada permukaan, gunung berapi akan terhasil. Di zon subduksi ini juga, didapati gempa bumi sering berlaku, hasil daripada pertembungan antara kepingan-kepingan tadi,” ujarnya.

Menurut Ibrahim, dalam masa setahun, sepanjang dua hingga lima sentimeter (sm) bumi akan mendap ke bawah. Fenomena tersebut sudah menjadi fitrah alam dan tidak boleh dihentikan.
Malah, implikasi yang terjadi juga tidak mampu untuk dielakkan.


“Sekiranya geseran antara kepingan terlepas, gempa bumi akan berlaku. Jika pelepasan itu patah ke bawah, tsunami pula yang akan terjadi.
“Ini bermakna jika aktiviti pergeseran aktif, kecenderungan untuk berlaku gempa bumi adalah tinggi, malah gempa itu juga boleh menghasilkan tsunami,” katanya.


Terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, Indonesia memiliki lebih 1,000 gunung berapi namun hanya 129 dikatakan aktif.
Hampir 90 peratus gempa bumi terbesar terjadi di sepanjang Lingkaran Api Pasifik yang bermula dari Indonesia hingga ke Peru.

Sementara itu, sebanyak 17 peratus daripada gempa bumi terbesar berlaku di kepingan Alpide yang merentangi dari Jawa ke Sumatera, Himalaya, Mediterranean hingga ke Atlantik.
“Bencana gempa dan gunung berapi ini tidak ada kaitan dengan penuaan bumi sebaliknya ia terhasil menerusi pergerakan kepingan tadi.


“Sungguhpun begitu, baru-baru ini ada kajian mendapati bencana yang dahsyat akan berlaku dalam tempoh 200 hingga ke 300 tahun sekali dan tsunami pada tahun 2004 dikatakan sebagai pembuka kepada bencana alam untuk tempoh masa 200 tahun akan datang.

“Kerana itu selepas tahun 2004, aktiviti gempa dan letusan gunung berapi lebih kerap berlaku berbanding dekad-dekad sebelumnya,” kata Ibrahim.





.

2 Penyokong CHELSEA:

CIK TOM on October 31, 2010 at 9:55 PM said...

alhamdulillah malaysia takde gunung berapi..

Lulu Caldina on October 31, 2010 at 11:28 PM said...

ya syukur...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!