Wednesday, October 6, 2010

Kahwin bukan untuk sehari dua

HUBUNGAN cinta juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil dengan buah hati pengarang jantungnya, Irma Hasmie bukan lagi satu rahsia.
Umum pun sudah mengetahui betapa seriusnya hubungan mereka berdua sehinggakan peminat mereka sendiri pun menggesa agar mereka segera berkahwin bagi mengelakkan cerita buruk terus menghimpit mereka.
Baik Nabila atau Irma, masing-masing sudah pun mengakui memang ada memikirkan soal rumah tangga dan perancangan untuk masa depan mereka berdua.
Kalau semuanya sudah lengkap serba-serbi, memang tiada masalah untuk berkahwin dengan segera.
"Tetapi, saya dan Irma mahu melengkapkan diri kami dengan mengumpul duit sebanyak yang mungkin sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Semuanya demi melengkapkan diri kami untuk kehidupan selepas berkahwin itu nanti.
"Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi ia adalah ikatan suci yang perlu dijaga sehingga ke akhir hayat.
"Kalau ditanya kepada saya, memang saya sudah bersedia tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, saya perlu bekerja keras untuk menyiapkan diri saya terlebih dahulu," demikian luahan jujur Nabil ketika ditemui baru-baru ini.
Anak jati Negeri Sembilan ini memang tidak berselindung tentang soal perkahwinan dan dia sendiri mengakui dia bakal menamatkan zaman bujangnya tahun depan.
Namun, dia dan Irma masih lagi belum memutuskan tarikh yang sesuai untuk hari bahagia mereka itu.
Memperkatakan mengenai perkahwinannya, seboleh-bolehnya dia mahu melakukannya secara kecil-kecilan dan melaksanakan perkara yang wajib sahaja.
Tetapi, pemuda ini cukup sedar. Dengan kedudukannya sebagai selebriti ternama, mana mungkin untuk dia mengadakan majlis sedemikian rupa.
"Susah juga apabila difikirkan tentang perkara ini khususnya senarai jemputan. Kalau kita buat majlis yang kecil, pasti akan dipersoal. Begitu juga kalau dibuat secara besar-besaran, orang akan mula mengatakan kita cuba menunjuk-nunjuk dan bersikap riak.
"Saya dan Irma pun masih belum duduk berbincang tentang perkahwinan kami kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.
Apa yang pasti, kami berdua tidak mahu membazir dalam menyempurnakan majlis perkahwinan kami," kata Nabil bersungguh.
Menyebut tentang perkahwinan, Nabil sebenarnya memiliki satu impian yang sudah lama dipendam walaupun dia tahu memang mustahil untuk dilaksanakannya.
"Saya selalu fikir kalaulah saya ini seorang hartawan yang memiliki wang yang banyak, saya akan menjemput semua anak-anak yatim di seluruh Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan saya," ujarnya lagi.






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!