TIGA maut dalam kemalangan kereta Proton Saga yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 42.7 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kampung Lahar, Lenggong semalam. |
Kaki mangsa tersepit akibat nahas
LENGGONG: "Dia meronta-ronta atas riba bapanya... saya cuba menariknya keluar tetapi kakinya tersepit akibat nahas itu. Selepas lima minit, dia sudah tidak bergerak lagi.
Nada kesal bercampur sedih itu diluahkan Ketua Kampung Lenggong, Mohd Razli Ahmad, 56, yang juga orang terawal tiba di tempat nahas yang meragut tiga beranak termasuk kanak-kanak 4 tahun selepas dua kereta bertembung di Kilometer 42.7 Jalan Kuala Kangsar-Grik dekat Kampung Lahar, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, empat yang lain turut cedera, termasuk tiga parah.
Mereka yang meninggal dunia ialah Mariah Ahmad, 61; anaknya, Abdul Lajis Zakaria, 42 dan Mohd Mukmin, 4, yang juga cucunya.
“Dia (Mohd Mukmin) masih hidup sewaktu saya sampai. Anak itu meronta-ronta atas riba bapanya (Mohd Lajis). Saya tidak terdaya menariknya kerana kakinya tersepit,” kata Mohd Razli, menceritakan detik cemas cuba menyelamatkan anak kecil yang tersepit bersama bapanya di tempat duduk depan sebelah pemandu.
Kereta Proton Saga itu dibawa suami Mariah, Zakaria Yasin, 67, yang parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK).
Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata semua mangsa yang terbunuh dan tiga parah itu berasal dari Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Kedah, yang menaiki satu kereta menuju ke arah Kuala Kangsar.
Satu lagi kereta Proton Wira dipandu oleh Tajul Khairi Muhamad, 22, pelajar Tahun Dua Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Pulau Rusa, Kuala Terengganu, seorang diri. Dia bagaimanapun hanya cedera ringan di dahi dan kaki kiri.
Mahad Nor berkata, kemalangan itu berlaku di jalan lurus kira-kira dua kilometer dari pekan Lenggong.
“Mariah yang duduk di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucunya, Mohd Mukmin, mati sebelum sempat dibawa ke hospital. Abdul Lajis menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Kangsar tengah hari ini (semalam).
“Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Saga remuk di bahagian depan manakala Proton Wira pula remuk di bahagian depan sebelah kiri,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Grik untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dirawat di HKK.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Lenggong, Zainuddin Mohd Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota berjaya mengeluarkan tiga mangsa tersepit dalam tempoh enam minit.
.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment