Friday, October 1, 2010

Tunang 12 hari

JASIN: Detik bahagia bergelar tunangan orang dalam tempoh 12 hari buat seorang konstabel wanita tidak berpanjangan apabila tunangnya terbunuh dalam kemalangan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi, Sallehudin Jusoh, 29, maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kesang-Jasin, dekat Ayer Barok, di sini.
Mangsa, seorang Pembantu Am Rendah Klinik Pergigian Hospital Jasin maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Tunang mangsa, Siti Rasidah Mohd Rasid, 28, berkata mereka baru saja mengikat tali pertunangan pada 18 September lalu iaitu pada Aidilfitri kesembilan di rumah ibu bapanya di Kluang, Johor.

Menurutnya, mengikut perancangan mereka bakal mendirikan rumah tangga pada Mac depan, namun takdir arwah meninggal sebelum mereka disatukan.

“Saya tak sangka malam tadi (kelmarin) dia ada menghubungi saya jam 11 malam dan bertanya khabar sebelum berpesan menjaga diri baik-baik berada di tempat orang.

“Saya tak menyangka pesanan itu yang terakhir sebelum meninggal dunia selepas kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Jasin, semalam.

Katanya, dia mengetahui tunangnya maut dalam kemalangan ketika sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin apabila dihubungi seorang pegawai trafik memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, pegawai itu menyatakan dia menemui gambarnya dalam dompet tunangnya dan mendapati motosikal dinaiki juga miliknya.

“Saya mulanya seperti tidak percaya walaupun sudah bergenang air mata sebelum terus ke tempat kejadian.

“Bagaimanapun, saya dihalang anggota trafik untuk melihat jasad arwah kerana mereka tidak mahu saya terkejut,” katanya..

Katanya, dia berkenalan dengan arwah setahun lalu ketika bertemu sewaktu sedang bertugas sebelum mengikat tali pertunangan.

“Kami sudah merancang mengenai tema dan warna bagi majlis perkahwinan yang masih belum ditetapkan tarikh.

“Malah, sebahagian barangan hantaran juga sudah dibeli bagi persediaan majlis itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di depan, namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.







.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!