Thursday, November 18, 2010

4 maut dalam 2 nahas di Sarawak


KUCHING: Tiga maut apabila sebuah kereta pacuan empat roda bertembung dengan sebuah lori treler di KM63 Jalan Sri Aman-Sarikei di sini hari ini.

Mereka yang maut dalam kejadian 10.40 pagi itu dikenali sebagai Harry Kuhoe, 43, dari Serian, Wan Malik Wan Oya, 44, dan Abang Morni Abang Sepawi, 52.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Sri Aman, Insp Ahmod Fuad Mahmod, berkata semua mangsa mati di tempat kejadian setelah kereta yang dinaiki bertembung dan dihempap lori treler terbabit.

Katanya, ketika kejadian kereta pacuan empat roda yang dipandu Harry bersama dua pekerjanya itu dalam perjalanan dari Sri Aman ke Hospital Betong manakala treler berkenaan dari arah Sarikei.

"Kereta pacuan empat roda yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal lalu terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh lori treler datang dari arah bertentangan sebelum dihempap di bawah lori treler itu," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak cedera.

Sementara itu, lebih kurang sejam sebelum kejadian itu sebuah kereta Toyota bertembung dengan bas ekspres di KM41 Jalan Sri Aman-Sarikei menyebabkan pemandu kereta itu maut dan rakannya cedera parah.
Billy Joe, 25, yang tersepit di bawah bas ekspres itu mati di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd Subrie Sulaiman, 25, yang parah dihantar ke Hospital Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Lubuk Antu, DSP Bidol Noyeng, berkata kejadian 9.45 pagi itu membabitkan kereta Toyota yang dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu manakala bas terbabit dari arah bertentangan.

"Pemandu bas dan kira-kira 30 penumpang bas ekspress yang dalam perjalanan dari Miri ke Kuching tidak cedera," katanya.

Kedua-dua nahas itu berlaku di selekoh dan dalam keadaan jalan yang licin akibat hujan pada sebelah pagi.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!