Wednesday, November 10, 2010

Blues ketepi memori perit



LONDON - John Terry berkata, Chelsea boleh menggunakan kekalahan kepada Liverpool sebagai sesuatu yang berguna, apabila Blues kembali memperbaharui cabaran kejuaraan Liga Perdana England apabila menentang Fulham, hari ini.

Kekalahan 0-2 di Anfield bermakna, kelebihan Chelsea di tangga teratas liga dengan pasukan di tangga kedua, Manchester United semakin mengecil kepada dua mata.

Ia kekalahan kedua Chelsea setakat ini dan ia meningkatkan persoalan berhubung keupayaan skuad Carlo Ancelotti menghasilkan keputusan positif pada aksi di padang lawan.

Sebelum ini, mereka kalah di Manchester City, keciciran mata di Aston Villa.
Blues akan kembali ke suasana yang menjadi kelaziman mereka, apabila Fulham berkunjung ke Stamford Bridge, hari ini.

Rekod Chelsea di laman sendiri begitu menakjubkan, dengan empat kemenangan tanpa melepaskan sebarang gol setakat ini, walaupun bergelut untuk mencapai tahap prestasi sebenar, ketika menang 2-0 ke atas Wolves, baru-baru ini.
Terry menerima hakikat keciciran mata sejak kebelakangan ini, setelah Chelsea dilihat sukar disekat pada awal musim dan kini dia menuntut rakan sepasukan supaya bangkit, selepas kalah kepada Liverpool.

"Saya tidak rasa pernah memandang ringan cabaran di kelab ini tetapi mungkin kekalahan kepada Liverpool ini sesuatu yang kami perlukan.
"Ini kerana kami tidak beraksi begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Kami perlukan satu lonjakan baru, kami masih di tangga teratas liga, jadi kami mendapat semangat daripada kedudukan tersebut dan kami tidak boleh lupa betapa sukarnya kami mendaki ke puncak liga.
"Dalam beberapa perlawanan di tempat lawan, kami bermula sangat perlahan dan kami melakukan perkara yang sama ketika menentang Liverpool.

''Saya sangat kecewa kerana kalah, kami sebenarnya sudah kalah sejak babak pertama lagi,'' katanya.

Florent Malouda menyokong kenyataan Terry dengan berkata: "Kami perlu lebih konsisten terhadap prestasi kami, kerana sejak awal musim lagi kami meraih keputusan yang baik, namun kami jarang beraksi dengan mengawal permainan.

"Kami sedar ia sukar untuk sepanjang musim, kami adalah juara dan apabila pasukan lain menerima kedatangan sebuah pasukan juara di padang mereka, ia adalah peluang terbaik untuk mereka mempamer bahawa mereka mampu mencapai prestasi terbaik ke atas pasukan yang hebat,'' katanya.
Didier Drogba memulakan perlawanan dengan Liverpool sebagai pemain simpanan selepas mengalami masalah kesihatan, tetapi dia akan beraksi apabila menentang skuad Mark Hughes nanti.

Frank Lampard sekali lagi tidak dapat beraksi akibat kecederaan pangkal paha.
"Frank Lampard tidak cergas untuk perlawanan Rabu ini, tetapi saya harap dia akan beraksi apabila menentang Sunderland nanti.

"Kami harus memandang jauh perlawanan seterusnya menentang Fulham. Kami berada pada kedudukan baik berbanding pasukan-pasukan lain,'' kata Ancelotti.
Hughes pula kehilangan pertahanan kiri Carlos Salcido, akibat diterjah pemain Aston Villa, Luke Young pada perlawanan hujung minggu lalu.


P/S - Jom tebus kekalahan dengan melawan Fulham subuh ni...





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!