Bekas wartawan akhbar Berita Harian merupakan antara empat yang rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh sebuah treler membawa muatan kelapa di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat di Keratong dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, empat saudara terbabit termasuk sepasang suami isteri dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan seorang saudara mereka di Marang, Terengganu.
Mereka ialah pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Md. Sharif Nani, 61, dan isterinya, Marinah Kambas, 60, anak saudaranya yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28, dan bekas wartawan, Patimah Ramli, 46, yang juga adik ipar kepada Md. Sharif.
Pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anaknya, Rozlan, 18, hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian jalan agak licin kerana hujan lebat.
"Kereta Proton Persona yang dinaiki semua mangsa dipercayai memotong sebuah lori yang berada di hadapan. Sebaik sahaja berjaya memotong, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah treler yang dalam perjalanan menghala ke Kuantan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Johari memberitahu, berikutan pelanggaran itu, kereta terbabit terperosok di bawah treler sebelum diseret sejauh 40 meter dan terbakar menyebabkan empat mangsa itu rentung.
Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat.
Sebaik sahaja api berjaya dipadamkan, katanya, kesemua mangsa dikeluarkan dan dihantar ke Rumah Mayat
Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga kira-kira pukul 2 petang ini.
Sementara itu, Rosli ketika ditemui memberitahu, dia bersama anaknya dalam perjalanan menghantar kelapa dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang, Kelantan.
Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia berusaha menyelamatkan diri sebaik melihat kepulan asap keluar di tengah treler dipandunya sebelum disusuli bunyi letupan.
"Anak saya sempat menarik tangan saya dan berlari ke arah semak kerana bimbang treler itu akan terbakar.
"Kami juga tidak sempat membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta kerana api sudah marak," katanya.
Ibu bersikap pelik
DIKEBUMI...tiga jenazah dikebumikan di Tanah Perkubungan Islam Kampung Bukit Duyung, semalam. |
JASIN: “Sebelum bertolak ke Marang, Jumaat lalu, umi (ibu) tiba-tiba menangis dan memeluk saya dengan erat sambil berpesan agar belajar rajin-rajin. Ibu juga nasihatkan saya supaya jangan abaikan solat.
“Saya pelik dengan sikap ibu dan langsung tidak menyangka rupa-rupanya ia pesanan terakhir umi kepada saya,” kata Nurhazimah Abu Hassan, anak bongsu Patimah Ramli, 46, yang mati dalam keadaan rentung bersama tiga saudaranya dalam kemalangan di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat, kelmarin.
Nurhazimah, 10, berkata, kali terakhir dia dapat menghubungi ibunya pada kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu dan arwah memberitahu ketika itu dia berada di Kuantan.
“Umi beritahu kalau tak dapat menghubunginya mungkin bateri telefon bimbitnya sudah habis. Malam tadi (kelmarin) sehingga pagi ini (semalam) saya cuba menghubunginya, tetapi hanya masuk peti pesanan suara,” kata pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di Pernu.
Suami Patimah, Abu Hassan Nani, 62, berkata, sebelum bertolak ke Marang pada kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu, terdapat sedikit kelainan pada sikap Patimah.
“Semasa arwah nak pergi (dia) ketawa tidak, senyum pun tidak. Sebelum bertolak dia minta izin (untuk) pergi dan cium saya sekali,” kata bekas pesara tentera itu.
Menurut Abu Hassan, sebelum bertolak arwah Patimah turut mencium anak keduanya, Mohd Zamri, 33, berulang kali sehingga menimbulkan tanda tanya dan rasa pelik kepada dirinya.
Katanya, dia tidak menyangka perubahan perlakuan itu rupa-rupanya menjadi petanda dirinya akan pergi buat selama-lamanya.
Abu Hassan yang menghidap barah paru-paru berkata, apabila mendapati isterinya masih belum tiba sehingga awal pagi dia dia terus menghubungi saudaranya.
“Hampir satu jam saya menelefon mereka, tetapi masih gagal,” katanya.
Menurutnya, kira-kira jam 6 pagi semalam seorang anaknya memberitahu mengenai berita menyedihkan itu.
Menurutnya, tahun ini genap 10 tahun dia mendirikan rumah tangga dengan Patimah yang juga isteri keduanya selepas kematian isteri pertama.
Jenazah Patimah tiba di rumah keluarganya kira-kira jam 5 petang semalam sebelum disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pondok Batang, di sini.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment