Sunday, November 28, 2010

Lagi kes curi kabel


KOTA KINABALU: Kematian seorang lelaki yang rentung ketika cuba mencuri kabel elektrik berhampiran kondominium di Tanjung Aru, 24 November lalu, tidak pernah mematahkan semangat ‘penyangak’ yang masih mencuba nasib mencuri kabel elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Terbaru, pepasang pencawang elektrik milik SESB di Kingfisher hilang dikebas, menyebabkan Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah terputus bekalan elektrik hingga menjejaskan fungsi pam air.

Malah, kejadian itu mengakibatkan lampu jalan utama sekitar kawasan terbabit terpadam dan berbahaya kepada kenderaan, kira-kira jam 2 pagi semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pihak berkuasa menerima panggilan daripada orang ramai yang mengadu tekanan bekalan air di kediaman mereka tidak berfungsi.

Beberapa kakitangan SESB yang membuat pemeriksaan mendapati kotak menempatkan fius utama pencawang dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Masalah itu berjaya diatasi apabila SESB membawa set Janakuasa Mudah Alih bagi membekalkan elektrik untuk sementara sebelum kerja menggantikan fius yang hilang.

Pengurus Zon Tengah Kendalian Pembahagian SESB, Yuzrian Efren Yunus berkata, pihaknya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 menggantikan peralatan yang dicuri dalam kejadian itu.

“Akibat tindakan mereka (pencuri), lampu jalan sepanjang lebih satu kilometer terputus selain beberapa bangunan kerajaan terputus bekalan air apabila pam gagal berfungsi.
“Kami menerima aduan mendakwa bekalan air terputus akibat pam air mati dan lebih teruk lagi, pengguna jalan raya terpaksa bergelap akibat ketiadaan lampu jalan sekitar Jalan Kingfisher,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Yuzrian berkata, perbuatan itu bukan saja menyusahkan orang ramai, malah pelakunya terdedah dengan renjatan elektrik yang boleh membawa maut.

“Mereka (pencuri) tidak pernah serik walaupun kejadian seorang lelaki rentung, dipercayai cuba mencuri kabel, disiarkan secara meluas di akhbar tempatan beberapa hari lalu.

“Pencuri ini berani mati kerana bukan saja berani bermain dengan elektrik, malah sanggup mencuri pepasang di setiap pencawang elektrik SESB,’’ katanya.

Yuzrian berkata, SESB meminta kerjasama orang ramai segera melaporkan kepada SESB jika mengesan kegiatan pencerobohan di mana-mana pencawang SESB sekitar mereka.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!