Sunday, November 28, 2010

Nenek antara 3 maut nahas berasingan

POLIS mengangkat jenazah Kelsom (gambar kecil) selepas dirempuh van di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu

Dua kemalangan babitkan penunggang motosikal

KUALA TERENGGANU: Tiga termasuk seorang nenek terbunuh dalam kemalangan berasingan dalam tempoh 24 jam di sini.

Kemalangan membabitkan Kelsom Chik, 68, berlaku ketika mangsa melintas jalan ke sebuah stesen minyak di Jambatan Sultan Mahmud, jam 8.40 pagi semalam selepas dikatakan teringin menjamah makanan ringan.

Mangsa dari Kampung Padang Hiliran, di sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas dilanggar van dipandu Romley Mamat, 59, dari Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata Romley dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikatakan cuba memberhentikan kenderaannya tetapi gagal lalu merempuh mangsa.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan di Kampung Atas Tol, di sini jam 10 malam kelmarin, Mohd Saiful Azhar Wahab, 28, maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain selepas mangsa yang bekerja sebagai buruh dalam perjalanan dari Kampung Pengkalan Setar untuk pulang ke rumahnya di Kampung Buluh Gading.
“Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa melanggar sebuah motosikal lain yang melintas jalan. Mohd Saiful Azhar meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat. Bagaimanapun, penunggang motosikal berasingan hanya cedera ringan,” katanya.

Kejadian ketiga pula membabitkan seorang lelaki, Zaid Ngah, 46, dari Kampung Jeram, Tepoh, yang maut selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Tuanku Mizan di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, jam 2.45 pagi semalam.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!