LONDON: Rakyat Britain mahu Putera William dan tunangnya, Kate Middleton menjadi bakal raja dan ratu, bukannya pewaris takhta yang ada, Putera Charles dan isterinya Camilla, menurut tiga pungutan pendapat, semalam.
Tinjauan didedahkan berdasarkan sokongan rakyat terhadap anak sulong Putera Charles dan mendiang Puteri Diana itu selepas beliau mengumumkan akan berkahwin dengan kekasihnya Kate tahun hadapan.
Akhbar The News of the World memaparkan kaji selidik ICM yang menunjukkan 55 peratus pembaca mahu Putera William melangkaui bapanya, Putera Charles sebagai pewaris takhta selepas Ratu Elizabeth II meninggal dunia.
Pungutan pendapat yang dilakukan ke atas 2,015 pembaca menunjukkan 64 peratus percaya William dan bakal isterinya lebih layak untuk menaiki takhta berbanding Charles dan Camilla.
Pungutan pendapat akhbar Sunday Times-You Gov terhadap 1,967 penduduk pula, menunjukkan 44 peratus berpendapat Charles perlu memberi laluan kepada William untuk menjadi raja, manakala 37 peratus berpendapat sebaliknya. Sebanyak 56 peratus beranggapan William akan menjadi raja yang lebih baik berbanding 15 peratus yang memilih bapanya.
Tinjauan akhbar The People terhadap 2,000 responden mendapati 49 peratus mahu William dan Kate sebagai pewaris takhta, manakala 16 peratus saja memilih Charles dan Camilla.
Tinjaun Harris untuk akhbar Daily Mail juga menunjukkan keputusan hampir sama. Sebanyak 48 peratus berpendapat Charles perlu memberi laluan kepada anaknya untuk menjadi raja. Undian membabitkan 1,008 penduduk.
Undian berkenaan membuktikan rakyat Britain tidak bersedia dengan komen Putera Charles dalam satu wawancara televisyen Jumaat lalu, di mana buat kali pertama beliau mengatakan Camilla yang dikahwininya pada 2005 akan menjadi ratu satu hari kelak.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment