PETALING JAYA: Susulan laporan sebuah akhbar mengenai seorang aktor ditahan oleh polis ekoran penyalahgunaan dadah, malam Jumaat lalu, pelakon popular Shaheizy Sam turut mendapat tempiasnya apabila timbul desas-desus yang mengaitkan namanya dengan aktor tersebut.
Justeru itu, peluang bertemu dengan pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu, Isnin, memberi ruang bagi mendapatkan penjelasan daripada adik kepada aktres Zizie Ezzette itu sendiri.
Sam yang terkejut apabila diajukan soalan itu berkata, ia hanya spekulasi dan dakwaan kosong yang tidak berasas sama sekali.
Akui pelakon filem Ngangkung itu, sebaik saja berita itu disiarkan di akhbar memang dia mendapat panggilan dan pertanyaan yang bertalu-talu daripada banyak pihak untuk mendapatkan kesahihan.
Bagaimanapun, Sam sama sekali tidak melenting atau marah dengan dakwaan tersebut, sebaliknya menyifatkan ia sebagai strategi akhbar terbabit untuk menarik perhatian pembaca.
"Saya memang terkejut apabila ramai yang menghubungi dan bertanyakan saya tentang berita itu tapi tiada apa yang saya perlu bimbang atau cemas sebab ianya tiada kena-mengena dengan saya.
"Malah, berdasarkan info yang disampaikan kepada saya, aktor yang ditahan polis itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan Festival Filem Malaysia ke-23. Jika dilihat pada umur dan beberapa maklumat berkaitan aktor yang ditahan polis itu pun, ia langsung tidak berkaitan dengan saya.
"Mungkin ada kesilapan di mana-mana sehingga orang salah anggap atau hanya strategi akhbar tersebut untuk memancing perhatian, sekaligus membuat spekulasi yang mengaitkan dengan saya pula," katanya.
Apabila diminta mengulas mengenai kes tersebut, Sam berkata, manusia memang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan dan menasihatkan aktor tersebut perlu lebih berhati-hati dalam segala tindak-tanduknya.
"Saya pun bukannya baik sangat. Jadi, tiada hak untuk komen tentang isu-isu serius sebegini. Saya pun pernah melakukan kesilapan sebelum ini cuma apa yang boleh saya katakan kepada aktor itu mahupun sesiapa saja perlulah berhati-hati dalam segala tindakan yang kita lakukan," katanya.
Dalam laporan sebuah akhbar pada Ahad, seorang aktor berusia 30 tahun dan tunangnya yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine telah ditahan oleh pihak polis ketika sedang menunggu bekalan dadah di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MMRR2), Ampang, Selangor, malam Jumaat lalu.
P/S - Bila pula berita tu keluar eh? [Klik Sini]
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment