Wednesday, November 17, 2010

William, Kate kahwin 2011

LONDON: Pewaris takhta Inggeris, Putera William dan kekasihnya, Kate Middleton sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan tahun depan.
Clarence House, kediaman rasmi Putera Wales berkata, William melamar kekasihnya ketika mereka bercuti di Kenya bulan lalu dan selepas meminta keizinan bapa Kate untuk berkahwin dengan anak perempuannya.

Pasangan yang berusia 28 tahun itu menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Kate pernah digelar ‘Waity Katy’ kerana kesetiaannya menanti lamaran William tetapi kini penantian itu sudah berakhir. Pasangan berkenaan akan muncul di khalayak ramai hari ini apabila bakal puteri itu dijangka menunjukkan cincin pertunangan mereka selain sesi wawancara pertama yang akan berlangsung di televisyen.

Perkahwinan William dan Kate akan menjadi acara diraja paling besar sejak perkahwinan Putera Charles dan Puteri Diana pada 1981. Majlis perkahwinan itu diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi Britain yang kini berdepan dengan masalah.

Clarence House dalam kenyataannya semalam berkata: “Putera Wales amat gembira untuk mengumumkan pertunangan Putera William dan Catherine Middleton.

“Perkahwinan mereka akan berlangsung pada musim bunga atau musim panas tahun depan di London.

“Maklumat lanjut mengenai majlis perkahwinan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Putera William dan Catherine bertunang pada Oktober lalu ketika percutian peribadi mereka di Kenya.

“Putera William sudah memaklumkan kepada Ratu Elizabeth dan ahli keluarga terdekat lain.

“Beliau juga sudah meminta keizinan daripada bapa Catherine.

“Selepas berkahwin, pasangan itu akan tinggal di utara Wales, tempat Putera William akan terus berkhidmat dengan angkatan tentera udara diraja.” Jurucakap Istana Buckingham pula berkata: “Ratu Elizabeth dan suami, Putera Philips amat gembira dengan perkembangan perhubungan pasangan itu.”



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!