Monday, December 13, 2010

Ahli perniagaan dakwa hospital cuai

Khairul Anwar bersama arwah isteri, Norliza Shariff.

SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan mendakwa isteri dan anaknya meninggal dunia ketika proses kelahiran akibat kecuaian doktor serta jururawat sebuah hospital swasta di sini, pada 6 Disember lalu.

Khairul Anwar Abdul Halim, 40, mendakwa isterinya, Norliza Shariff, 40, diberikan gas nitrus oksida dan oksigen berterusan selama lebih dua jam sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar. “Isteri saya baru selesai makan pada jam 1.45 petang dan mula terasa sakit hendak bersalin kira-kira jam 3 petang lalu jururawat memakaikan topeng gas nitrus oksida dan oksigen untuk mengurangkan sakit. “Saya menegur kerana bimbang isteri memuntahkan kembali makanan, tetapi tidak dipedulikan. Doktor kemudian mendapati bukaan serviks sudah empat sentimeter (sm) walaupun tidak memecahkan air ketuban.

“Doktor memecahkan air ketuban jam 4.15 petang dan beredar. Kira-kira 15 minit kemudian bukaan serviks sudah lapan sm dan isteri saya mengalami kontraksi setiap setengah minit dan berlanjutan selama 20 minit, namun jururawat tidak memaklumkan doktor sebaliknya menyuruh isteri saya meneran.

“Selepas itu isteri saya muntah dalam topeng gas dan berada dalam keadaan separuh sedar dengan mata terbeliak. Pada waktu sama doktor tiba dan panik melihat keadaan isteri saya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, doktor terbabit bagaimanapun tidak berusaha menyelamatkan isterinya, sebaliknya sibuk menggunakan telefon bimbit menyebabkan beliau sendiri mengambil inisiatif memanggil isterinya bagi mengelakkan pengsan.
Katanya, beliau kemudian menggesa doktor membuat pembedahan menyelamatkan isteri dan anaknya, namun pihak hospital mengambil masa setengah jam menyediakan dewan pembedahan.

Beliau berkata, lebih dikesalkan, isteri dan anaknya disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang, tetapi beliau hanya dimaklumkan mengenainya sejam kemudian.

“Saya hairan sikap doktor terbabit yang mengelak untuk menyambut kelahiran secara caesarean walaupun diminta sejak beberapa bulan lalu.

“Sejak awal saya meminta doktor melakukan pembedahan kerana memikirkan usia isteri saya dan sehingga pagi hari kejadian saya masih mendesak, namun doktor terbabit berkeras melakukan secara normal,” katanya.

Khairul berkata, beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk menyaman hospital serta doktor terbabit sebagai peringatan kepada semua hospital swasta supaya tidak mengambil mudah keadaan setiap pesakit.

Sementara itu, seorang pakar perbidanan dan sakit puan hospital terbabit, berkata siasatan dalaman sudah dilakukan dan mendapati tidak ada sebarang kecuaian berlaku kerana semua dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.




.

1 Penyokong CHELSEA:

Makbed on December 13, 2010 at 11:12 AM said...

kesiannye..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!