Sunday, December 19, 2010

Keajaiban 9 bulan


TAHNIAH, anda disahkan hamil,” itulah ayat keramat yang pastinya dinantikan pasangan yang mendirikan rumah tangga terutamanya si isteri.

Bermula daripada saat itu, pelbagai persiapan sama ada di segi luaran mahupun dalaman, dilakukan bagi memastikan anak di dalam kandungan mendapat yang terbaik.

Bermacam-macam petua diamalkan khususnya yang disarankan oleh orang tua-tua yang lebih berpengalaman, termasuk pelbagai pantang larang sepanjang kehamilan.

Namun, seiring dengan perubahan zaman, petua penjagaan kandungan juga melalui fasa baru dan mungkin ada antara petua berkenaan tidak lagi sesuai diamalkan kini.

Minggu awal kehamilan adalah tempoh yang paling penting kerana pada peringkat itu embrio masih lagi belum cukup kuat.

Pakar Obstetrik Klinik The Glasgow Holistic, Dr Low Kok Kwan, berkata emosi si ibu adalah elemen penting sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh mempengaruhi emosi bayi secara langsung.

Ibu mengandung tidak terlepas daripada berdepan sindrom kemurungan yang sering dihadapi wanita yang gagal menangani emosi mereka.

Katanya, kerisauan dan kemurungan yang dialami ibu mengandung memberi kesan kepada saiz bayi dan juga sistem penghadaman bayi berkenaan.

“Kebimbangan atau kemurungan yang lebih serius juga akan memberi kesan buruk kepada bayi dalam kandungan termasuk memendekkan kematangan saluran penghadaman bayi.

“Malah, mereka juga berisiko menghadapi komplikasi ketika melahirkan anak dan memberi kemudaratan jangka panjang kepada anak mereka,” katanya.

Wanita yang mengalami masalah itu dinasihatkan merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor bagi meluahkan sebarang apa yang mengganggu fikiran mereka.

Kesihatan bayi bermula daripada dalam kandungan, jika perkembangan ketika dalam kandungan sempurna maka bayi yang dilahirkan akan mempunyai tahap kesihatan tinggi.

Dr Low berkata wanita mengandung, terutamanya apabila kandungan memasuki usia enam hingga sembilan bulan, akan berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak.

Ketika itu, berat kandungan semakin meningkat dan pastinya membataskan keupayaan si ibu untuk bergerak seperti biasa.

Masalah bengkak kaki atau edema adalah perkara biasa yang dihadapi ibu mengandung, bagaimanapun ia tidak mendatangkan masalah serius. Ia lazimnya dikaitkan dengan saiz anak dalam kandungan yang lebih besar daripada biasa.

“Bagaimanapun, jika bengkak kaki itu disusuli dengan tekanan darah tinggi dan kencing kotor, itu menandakan wanita berkenaan menghidapi toksemia.

“Seandainya berlarutan, keadaan ini boleh mengancam nyawa ibu dan bayi jika rawatan sewajarnya tidak diberikan,” katanya.

Wanita mengandung patut menjalani pemeriksaan tekanan darah dan ujian air kencing secara berkala di klinik.

Selain itu, mereka juga sering mengalami sakit pinggang dan bahagian belakang badan. Keadaan ini berlaku disebabkan kelonggaran ligamen tulang sendi dan juga postur badan yang ‘terlari’ sedikit berikutan beban yang terpaksa dibawa.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi mereka boleh dilegakan dengan rehat secukupnya dan kurangkan berdiri serta jalan buat sementara waktu.

Perkembangan bayi dalam kandungan perlu dipantau dari semasa ke semasa supaya sebarang kecacatan atau masalah pada bayi dapat dikenal pasti pada peringkat awal.

Beliau berkata, pemeriksaan berkala adalah penting untuk meramal, mencegah dan mengesan komplikasi pada ibu dan bayi dalam kandungan.

Malah, sama ada kita sedar ataupun tidak, sebanyak 15 peratus kandungan akan mengalami komplikasi yang memerlukan rawatan dan rundingan doktor.

“Lazimnya, wanita akan membuat pemeriksaan selepas 12 minggu tidak didatangi haid, pengesahan kehamilan perlu dilakukan oleh doktor kerana bukan semua kes tidak datang haid disebabkan mengandung.

“Pemeriksaan pertama ini adalah penting untuk menentukan usia kehamilan dan menganggar tarikh untuk bersalin,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan imbasan bunyi diguna bagi memeriksa keadaan bayi dalam kandungan dan secara tidak langsung dapat mengesan jika ada sebarang kelainan pada kandungan.

Imbasan bunyi adalah teknik pengimejan yang menggunakan gelombang bunyi tinggi dan dengan penggunaan komputer akan menghasilkan imej organ dalam badan.

Pemeriksaan ini dilakukan pada trimester pertama (tiga bulan pertama) kehamilan dan pada minggu yang ke-18. Ia kemudian diulang pada minggu ke-34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.

Sepanjang tempoh kehamilan, pelbagai makanan sampingan diambil ibu mengandung, baik secara tradisional mahupun moden, semata-mata mahu memastikan bayi mendapat yang terbaik.

Dr Low berkata masyarakat Cina sering mengamalkan pengambilan herba yang diyakini dapat memberikan kebaikan kepada si ibu dan anak dalam kandungan.

“Namun, mereka tidak sedar ada antara herba itu tidak sesuai diambil untuk ibu mengandung dan lebih membimbangkan ia memberi kesan negatif kepada bayi.

“Mereka dinasihatkan supaya tidak sewenang- wenangnya mengambil ubatan herba tanpa merujuk dulu kepada doktor kerana dikhuatiri membahayakan kandungan,” katanya.

Beliau berkata penjagaan kandungan bukan hanya di segi kebaikan anak dalam kandungan tetapi turut merangkumi semua aspek, lebih-lebih lagi kesihatan si ibu.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!