JEMPOL: Seorang penunggang motosikal ‘terbang’ sebelum melekat dan menemui ajal di atas bumbung kereta dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, Muhamad Fadli Arbian, 20, mati serta-merta akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian melakukan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kemalangan.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari Batu Kikir menghala Kuala Pilah termasuk laluan bertentangan.
“Berikutan itu, motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya bertembung dengan Proton Gen2 menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, pemandu Proton Gen2 berusia 39 tahun tidak cedera dan membuat laporan polis selepas kejadian serta diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan itu dan pada masa sama meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa yang beralamat di Kuala Pilah dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.
Sementara itu, abang ipar mangsa, Mohd Zulfaqar Ismail, 24, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi seseorang menggunakan telefon bimbit arwah.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan sebelum melihat adik ipar masih bernafas. Tidak lama kemudian pegawai perubatan yang berada di situ memaklumkan arwah meninggal dunia,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment