Wednesday, December 8, 2010

'Mak saya disembelih'

Keadaan rumah selepas kejadian

PASIR MAS: “Mak saya kena sembelih!” jerit seorang peniaga, Lee Chee Keong, 30, kepada sepupunya, Lew Beng Lai, 76, sebaik melihat ibunya ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di Kampung Lubok Tapah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Lee yang pulang ke rumah untuk menghantar nasi bungkus kepada ibunya, Yeap Seok Pen, 60, terkejut apabila disajikan kejadian memilukan menimpa pesara jururawat terbabit.

Berikutan itu, Chee Keong memaklumkan kejadian terbabit kepada bapanya, Lee Lai Wing, 64, yang ketika itu berada di kedai jam milik keluarga mereka di bandar ini, selain memberitahu Lew yang tinggal di sebelah rumah.

Difahamkan, kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan amah yang baru diambil bekerja daripada ejen pembantu rumah di Kota Bharu sejak dua minggu lalu. Pembantu rumah itu didapati tiada di rumah ketika mayat Yeap ditemui.

Khidmat anjing digunakan untuk mencari bukti

Namun, dengan bantuan orang ramai dan kecekapan polis membolehkan pembantu rumah warga Indonesia berusia 20-an itu diberkas di Cabang Empat Tok Uban, di sini, kira-kira jam 5 petang.

Suspek dibawa sekumpulan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, Lew berkata, dia yang duduk di depan rumah bersama anak saudaranya terkejut sebaik mendengar jeritan saudaranya itu.

“Saya terperanjat apabila sepupu beritahu ibunya mati disembelih. Mulanya macam tidak percaya, tetapi keadaannya ketika mengungkapkan perkataan terbabit menyebabkan saya berdebar-debar.

“Sambil berdiri di pagar rumah, Chee Keong menghubungi ayahnya yang berniaga di kedai jam tangan di bandar ini selain melaporkan kepada polis,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia pergi ke rumah terbabit dan mendapati mangsa terlentang dan berlumuran darah di kepala.

Katanya, mangsa yang tinggal di rumah berkenaan bersama tiga ahli keluarganya termasuk suami dan dua anak lelaki mengambil pembantu rumah untuk menjaganya.

Mayat Yeap dibawa keluar

“Mereka sekeluarga baru mengambil pembantu rumah itu dua minggu lalu.
Tujuannya untuk menjaga mangsa kerana keadaannya tidak begitu sihat dan perlu penjagaan rapi,” katanya.

Chee Keong yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit, bagaimanapun mengesahkan kejadian menimpa ibunya itu disedari sebaik menghantar makanan tengah hari ke rumah kira-kira jam 2 petang.

“Pagi sebelum kejadian, saya dan bapa meninggalkan ibu dalam keadaan baik di bawah penjagaan pembantu rumah. Dia seorang yang rajin dan mendengar kata.

“Saya amat terkejut melihat ibu dalam keadaan tidak bernyawa di ruang tamu dan berlumuran darah di muka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Lazim, berkata kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 hingga 1 tengah hari selepas seorang anak mangsa pulang ke rumah bagi menghantar makanan kepada mangsa.

Beliau berkata, mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Tapah, di sini, dan dipercayai ditikam penyerang yang juga pembantu rumahnya iaitu seorang wanita berusia 21 tahun.

Katanya, mangsa yang juga bekas kakitangan sebuah klinik pergigian di Pasir Mas menghidap Parkinson sejak beberapa tahun lalu.

“Setakat ini kami masih menyiasat motif kejadian dan menyoal siasat anak lelaki mangsa yang menemuinya terbaring di dalam rumah.

“Maklumat awal mengatakan ada jiran terdengar bunyi bising seolah-olah pertengkaran di rumah mangsa sebelum mayatnya ditemui berlumuran darah,” katanya.

Mazlan berkata, polis membuat sekatan jalan raya sebelum mengesan suspek di sekitar Cabang Empat Tok Uban, di sini, dengan bantuan orang ramai dan menahannya kira-kira jam 5.15 petang selepas itu.

“Suspek dikesan di sekitar Tok Uban dan hasil kerjasama orang ramai, suspek yang ketika itu dilihat berjalan ditahan.

“Kami akan menahannya untuk siasatan lanjut dan mengetahui punca dia bertindak demikian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mazlan, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!