Saturday, December 25, 2010

Maut dirempuh lori..


Hasrat seorang lelaki untuk menetap di rumah yang baru dibelinya musnah apabila dia maut dalam satu nahas ngeri - motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori di Jalan Yeap Chor Ee di sini hari ini. Aung Kok Guan, 58, yang menyewa seorang diri di Jelutong sebelum ini amat teruja untuk menetap di rumah barunya yang terletak di Lorong Penang.

Bagaimanapun hajatnya tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Adiknya, Aung Kok Wah, 52, berkata, abangnya itu bekerja sebagai subkontraktor di tapak pembinaan apartmen yang dibelinya.
Menurutnya, Kok Guan membeli salah sebuah unit di apartmen itu setelah disyorkan oleh majikannya.

"Abang saya begitu bersemangat untuk berpindah ke rumah baru yang sudah hampir siap. Dia begitu sibuk menguruskan proses pembelian rumah itu bersama anak angkatnya. Tidak sangka, dia tidak sempat untuk duduk di rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Turut berada di tempat kejadian, beberapa ahli keluarga mangsa iaitu kakaknya, Aung Swee Hoe, 59, anak saudaranya, Lee Gim Hong, 22, serta anak angkatnya, Danny Ong Soo Yong, 21.

Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian dan melihat mayat bapa angkatnya, Danny hanya mampu menangis sambil duduk terpaku memandang ke arah mayat.
Kesemua mereka datang ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan oleh rakan mangsa yang melalui kawasan berkenaan.

Menurut Kok Wah, mangsa belum berumahtangga dan anak angkatnya itu yang sedang belajar di sebuah kolej di sini sering ke rumahnya dan hubungan mereka sangat rapat.

"Dia menyewa seorang diri. Danny selalu datang menemaninya terutama hujung minggu. Ketika ini Danny sedang menghadapi peperiksaan. Pasti kehilangan Kok Guan memberi sedikit tekanan kepadanya," katanya.
Kemalangan itu berlaku ketika Kok Guan dalam perjalanan ke tempat kerjanya tidak jauh dari situ selepas pulang untuk makan tengah hari.

Menurut jurucakap polis, ketika kejadian, mangsa sedang menunggang seorang diri sebelum dia tiba-tiba dirempuh sebuah lori muatan satu tan.

Akibat rempuhan itu, mangsa dan motosikalnya hilang kawalan dan terjatuh.
Mangsa dan motosikal kemudian diseret sejauh hampir 50 meter. Pemandu lori berkenaan kemudian melarikan diri bersama kenderaannya.
Kok Guan yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!