Wednesday, December 29, 2010

Penjenayah parah ditembak



Seorang pengedar dadah yang cuba menyerang anggota polis dengan mengundurkan keretanya, cedera parah selepas terkena dua das tembakan ketika cuba melarikan diri di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Intan Baiduri, Kepong hari ini.
Kejadian berlaku pukul 11.15 pagi itu turut mencederakan empat orang awam termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, selepas dilanggar kenderaan yang dinaiki suspek.
Insiden bermula semasa anggota terbabit yang berpangkat lans koperal sedang meronda bersama dua lagi rakannya di kawasan itu dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

Mereka bagaimanapun terserempak dengan suspek yang berusia 26 tahun dalam keadaan mencurigakan berhampiran bulatan Batu Caves sebelum mengarahkannya berhenti.

Bagaimanapun suspek memecut sejauh empat kilometer sebelum berhenti di kawasan tersebut dan melanggar anggota itu dua kali sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan terjatuh.
Anggota berusia 20-an itu yang cedera di kakinya kemudian melepaskan dua das tembakan dan mengenai suspek.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kenderaan suspek hilang kawalan lalu merempuh tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang kebetulan berada di gerai berdekatan.

"Seorang peniaga nasi lemak berusia 40 tahun dan kanak-kanak terbabit cedera ringan. Seorang wanita berusia 55 tahun patah tangan kanan dan seorang lagi yang berusia 36 tahun melecur di kaki kiri terkena ekzos kereta suspek.

"Suspek dan empat orang awam itu dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu, polis menemui tujuh peket dadah jenis heroin di dalam poket seluar suspek selain di tempat duduk pemandu dan penumpang.

"Siasatan awal mendapati suspek memiliki lima rekod lampau, empat berkaitan kes dadah dan satu kes curi di Jinjang.

"Tiga saksi awam yang melihat kejadian sudah diambil keterangan manakala suspek yang sedang kritikal di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.




.

1 Penyokong CHELSEA:

Hanis Azla on December 29, 2010 at 10:41 AM said...

kesiannya.. sbb dia org lain pun terbabit sama.. nasib polis tu cekap dpt tembak..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!