Wednesday, December 15, 2010

Temani mayat ibu


SIBU: Kasih anak kecil yang tidak mengerti apa sebenarnya berlaku menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kelaparan dan ditemui tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang sudah berulat dipercayai mati akibat dibunuh kira-kira tiga hari lalu di sebuah rumah teres di Jalan Hua Kee, di sini.

Ketika ditemui jam 4.30 petang semalam, kanak-kanak itu duduk tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang terlentang di atas tilam dalam bilik tidur dengan kesan kecederaan di badan dan telinga kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan, berkata kanak-kanak berkenaan ditemui anggotanya yang bergegas ke lokasi selepas mendapat laporan pemilik rumah yang didiami wanita berumur 34 tahun itu apabila terhidu bau busuk.


Katanya, pemilik rumah itu pada mulanya ke rumah yang didiami ibu tunggal terbabit untuk memungut sewa bulanan sebelum curiga apabila panggilannya tidak berjawab sebelum terhidu bau busuk meloyakan daripada dalam rumah itu.

“Dia menghubungi polis yang kemudian membuka pintu dan menemui sekujur tubuh dalam keadaan sudah berulat terlentang di atas tilam di dalam bilik tidur.

“Di sisi mayat itu duduk seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan lemah kerana tidak makan dan minum sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zamani berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat itu, polis percaya wanita terbabit mati sejak tiga hari lalu dan kanak-kanak perempuan itu tetap menemani ibunya.

“Berdasarkan siasatan awal, kami menemui beberapa kesan kecederaan pada kepala dan telinga kanan mangsa dan tidak menolak kemungkinan wanita yang berasal dari Sibu itu mangsa pembunuhan.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat ke atas mayat bagi mengetahui punca kematian wanita itu,” katanya.

Zamani berkata, kanak-kanak perempuan berkenaan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut kerana dipercayai trauma dengan pengalaman yang dilaluinya dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan seorang lelaki yang juga bekas suaminya bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Makbed on December 15, 2010 at 9:18 AM said...

iskk.... kesian sungguh tgk budak ni.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!