Thursday, October 7, 2010

Pelakon Abu Bakar Ariffin meninggal dunia

KANGAR: Pelakon Abu Bakar Ariffin, 58, yang pernah membintangi beberapa filem dan drama sekitar 80-an meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Melangit, Bintong, dekat sini, selepas mengadu sesak nafas malam tadi.

Allahyarham yang agak sinonim dengan watak garang dan penjahat termasuk membintangi drama Gerak Khas, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.30 malam di pangkuan isterinya, Siti Armah Samsuddin, 52.

Selain isteri, Allyarham meninggalkan empat anak berusia 23 hingga 29 tahun serta dua cucu .
Siti Armah ketika ditemui berkata, arwah malam kelmarin secara tiba-tiba mengadu sesak nafas ketika sedang berehat di ruang tamu rumah.
"Saya cuba membantu dengan mengurut dan memicit badan suami untuk memudahkannya bernafas, tetapi takdir sudah menentukan ajalnya sudah sampai dan arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
"Arwah sebelum itu kelihatan biasa saja dan pada sebelah pagi, dia kelihatan begitu ceria berbasikal ke pusat perkelahan di Sungai Batu Pahat. Malah, arwah juga sempat melayari laman sembang facebook beberapa jam sebelum meninggal dunia," katanya.
Siti Armah berkata, arwah mengambil keputusan menetap di kampung asalnya di Perlis selepas bersara sebagai Pegawai Sumber Manusia di Syarikat Apson Toyocom Corporation di Seri Damansara, Kuala Lumpur, sejak Disember tahun lalu.


P/S - Al-Fatihah..





Bahaya babi yang ramai belum tahu..

Anda akan 'blueek' kalau baca entry ini...adeh..Tapi info ini wajib diketahui..serius woo.....




Tin terlekat pada kepala kucing



LINZ, Austria - Kepala seekor kucing betina tersangkut pada satu tin makanan semasa ia mencari makanan di belakang sebuah pasar raya di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Anggota-anggota jabatan bomba menyelamatkan kucing itu selepas mendapatkan maklumat daripada orang awam yang menghubungi talian kecemasan 999, baru-baru ini.
Kucing itu merayau-rayau di jalanan dengan tin terlekat di kepalanya.
Pemotong logam digunakan untuk menanggalkan tin makanan itu daripada kepala haiwan tersebut sebelum ia dihantar ke sebuah pusat perlindungan kucing.
"Kucing itu tidak dapat melihat ke arah mana ia berjalan atau apa yang dilakukannya.
"Adalah sesuatu yang ajaib kerana ia tidak berjalan keluar, pergi ke jalan raya dan dilanggar kereta," kata seorang anggota bomba.





Tasik unik di Austria



TRAGOESS, Austria - Satu kawasan tasik di sini mempunyai pemandangan unik kerana di dasarnya mempunyai pokok, rumput, bangku dan jambatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Tasik itu dikenali dengan nama Green Lake yang terletak di sini mempunyai pokok, rumput, bangku dan jambatan asli kerana ia tenggelam buat seketika.
Apabila musim sejuk, kawasan tasik itu akan kering dan ia dijadikan taman.
Namun, apabila suhu semakin meningkat, ais dan salji di kawasan pergunungan dekat tasik itu mula cair menyebabkan kawasan taman berkenaan dipenuhi air.
Tasik itu kini menjadi tumpuan penyelam untuk melihat keunikan pemandangan semulajadi yang tidak ada di tempat lain.






Pelamin bak singgahsana Sultan Mansur Syah

Gambar pra perkahwinan


TARIKH 10.10.10 bakal memahat memori paling indah buat angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kerana detik itu, dia akan diijabkabulkan dengan permaisuri hatinya, Dr Halina Mohd Yunos.

Pada hari yang amat berbahagia itu, bersaksikan keluarga kedua-dua pihak, saudara-mara, sahabat-handai dan peminat, pasangan kekasih yang sama cantik dan sepadan itu akan dinikahkah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, Kuala Lumpur, tepat jam 11 pagi. Majlis pernikahan itu bermula jam 9 pagi hingga 2 petang manakala Sheikh Muszaphar menjemput seluruh rakyat Malaysia hadir sama untuk berkongsi kebahagiaan dan kegembiraannya. Diikuti pada sebelah malamnya akan berlangsung majlis persandingan yang gilang gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Tanggal itu yang juga menjadi pilihan ramai pasangan kekasih lain untuk menyimpul cinta mereka dengan ikatan yang lebih suci dan diredai Allah SWT kerana ia sempena ulang tahun ketiganya ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
Bukan saja Sheikh Muszaphar dan Halina berdebar menantikan detik paling bersejarah dalam hidup mereka, malah perunding perkahwinan mereka, Ariff Quasry yang juga Pengarah Urusan Cosry Wise Sdn Bhd bersama Pengarah Kreatifnya, Putra Aziz, juga bagaikan tidak sabar menantikan tarikh itu.

Gambar pra perkahwinan

Selama empat bulan, mereka berdua bertungkus-lumus membuat segala persiapan agar hari yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia itu berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan memahat kenangan manis kepada semua jemputan yang hadir meraikan pasangan pengantin baru itu.
Menurut Ariff, Sheikh Muszaphar dan Dr Halina datang ke butiknya di Bangsar dan terus melantiknya sebagai perunding perkahwinan mereka selepas dia menghadiri Konsert Ratu (Datuk Sheila Majid) Bersama Cosry, yang berlangsung penuh warna-warni di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, April lalu.
"Dia tertarik melihatkan persembahan Cosry pada malam itu yang turut menyambut ulang tahun kelima butik kami. Selain konsert Datuk Sheila yang diadakan khusus meraikan 25 tahun pembabitannya dalam industri hiburan tanah air, Cosry menyajikan juga pertunjukan fesyen yang semuanya rekaan terbaru Putra.

"Kami tidak menyangka Datuk Sheikh Muszaphar memberi kepercayaan untuk menguruskan majlis perkahwinannya. Ini kerana walaupun Cosry sudah lima tahun bertapak dalam bidang rekaan fesyen tanah air, kami masih baru sebagai perunding perkahwinan. Namun, amanah itu kami terima dengan hati terbuka dan berjanji untuk menyediakan yang terbaik kepada bakal raja sehari itu," katanya.

Gambar pra perkahwinan

Oleh kerana tetamu jemputan termasuk mereka dari luar negara, Ariff dan pasukan kerjanya memerah minda untuk menyediakan segala yang terbaik dan eksklusif untuk Sheikh Muszaphar dan Dr Halina.

Majlis persandingan malam bertemakan Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan akan menyaksikan kemunculan bintang dan bulan dalam dewan itu. Lebih 1,000 jemputan akan hadir yang terdiri daripada golongan diraja, orang kenamaan, ahli keluarga, rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 negara dan 20 media antarabangsa.
Menurut Ariff, selama empat bulan tumpuannya hanya kepada persiapan perkahwinan itu. Apatah lagi, Datuk Sheikh Muszaphar seorang yang sangat teliti. Justeru, Ariff kena menerangkan dengan sejelas-jelasnya konsep baju, hantaran, pelamin, cendera hati kepada tetamu dan kad perkahwinan kepadanya.

Lakaran pelamin

"Sebelum kata putus dicapai untuk rekaan baju yang bakal digayakan pada hari pernikahan dan persandingan, saya, Ariff dan Datuk Sheikh Muszaphar banyak kali berbincang dan dia melakukan beberapa perubahan pada rekaan itu sehingga dia berpuas hati dengan hasilnya. Begitu juga dengan pelamin, kami mencadangkan beberapa lakaran yang berkonsepkan zaman Kesultanan Mansur Syah.
"Pada hari pernikahan, Dr Halina akan menyarungkan kebaya renda putih yang agak ringkas bersesuaian cita rasanya. Pada hari pernikahan itu, Datuk Sheikh Muszaphar akan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 bertemakan rona putih gading dan perak. Hiasan hantaran turut diserikan dengan warna biru muda.
"Rekaan hantaran juga berkonsepkan angkasa lepas dan ia memang lain daripada yang lain. Pentas untuk majlis pernikahan pula berkonsepkan dalam taman yang dihiasi tiang roman dan diperindahkan dengan bunga-bungaan segar," katanya.

Untuk majlis persandingan, Dr Halina akan menyarungkan kebaya berlatarkan rona perak yang diperincikan dengan butiran batu permata warna biru muda. Rekaan kebaya tajaan kain Jackel itu akan dipadankan dengan kain songket ditempah khas daripada Habibah Songket. Dr Halina juga akan melangkah penuh bergaya dengan kasut jenama Lewre.
"Melengkapkan lagi penampilan Dr Halina pada malam itu, dia akan mengenakan aksesori berlian daripada Mouawad yang turut dipakai pada majlis pernikahan. Datuk Sheikh Muszaphar pula akan berbaju Melayu dipadankan dengan kot, samping, tanjak dan bengkung. Rekaan itu lebih menyerlah dengan kombinasi warna serta sulaman di atasnya.

"Pelamin yang berkonsepkan zaman Kesultanan Mansur Syah itu bercorak keislaman dengan hiasan pucuk rebung. Pentas pelamin sepanjang 21 meter dan tingginya lima meter. Kami menggunakan tirai biru muda dan dihiasi bunga-bungaan segar yang menjadikan pelamin itu kelihatan sangat mewah.

SIMBOLIK...teratai kristal sebagai cenderahati untuk sultanah.

"Sebagai tanda kenangan untuk dibawa pulang, cenderahati berupa lapan kuda kristal disediakan untuk Sultan, bunga teratai kristal untuk Sultanah, sepasang angsa kristal khusus untuk tetamu kenamaan (VIP) dan bola kristal buat jemputan biasa. Semuanya ditempah khas dari luar negara.
Untuk majlis memotong kek berkonsepkan sebuah roket itu, pasangan mempelai akan menggayakan busana rekaan Datuk Bernard Chandran berkonsepkan moden.
"Bagi mengetengahkan budaya dan adat Melayu pada hari persandingan itu, tetamu dapat menyaksikan acara kesenian seperti gurindam, zapin dan tarian dalam usaha membuka mata serta sebagai tarikan istimewa kepada tetamu luar negara.

CANTIK...tetamu VIP pula bakal menerima angsa kristal ini.

"Majlis perkahwinan yang bakal mencipta sejarah tersendiri itu akan diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air. Bagi mereka yang tidak dapat bersama menghadiri majlis persandingan itu, TV3 akan menyiarkannya secara langsung tempat jam 9 malam, selama sejam," katanya.


P/S - credit untuk candidsyndrome for gambar pra perkahwinan ala-ala terbang..cantik!







Diana, Zamarul menanti kelahiran


BERDEBAR, risau, cemas dan gembira mungkin itulah adunan rasa yang bermain di fikiran pasangan pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham sementelah selang beberapa minggu sahaja lagi mereka bakal menimang cahaya mata sulung.
Ketika ini, jelas Zamarul, usia kandungan isterinya telah pun mencecah 34 minggu dan dia sebagai suami turut merasai debaran yang sama seperti mana yang dirasai oleh Diana.
Momen-momen manis berperingkat turut merasai perubahan yang dialami oleh wanita hamil yang lain bagi Diana suatu keajaiban yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Apatah lagi inilah pengalaman pertama dia menjalani fasa kehamilan biarpun mengakui sehingga kini dia tidak mengalami sebarang alahan kecuali mengalami masalah jerawat di muka pada bulan pertama kehamilan.
Tidak seperti ibu hamil yang lain, Diana tidak betah dengan hanya duduk diam di rumah. Malah ketika ditemui pada majlis doa selamat bagi kelahiran bayinya itu Diana masih lagi bebas bergerak melayani tetamu yang hadir.
Keadaan ini sedikit sebanyak akui Zamarul menimbulkan kebimbangan di hati kecilnya.
Menjawab pertanyaan tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan, jelas mereka kemungkinan besar adalah bayi lelaki.
Melihat kepada keadaan Diana yang kurang gemar bersolek, lasak menjalani aktiviti di rumah serta gemar bermain permainan kereta lumba menguatkan lagi andaian bahawa kandungannya itu adalah bayi lelaki.
"Daripada ujian imbasan, doktor mengatakan anak kami lelaki namun, saya tidak kisah anak lelaki atau perempuan kerana apa yang penting bayi sihat dan Diana selamat melahirkan nanti.
"Saya adalah orang yang paling gembira apatah lagi inilah bayi sulung saya bersama Diana.
"Banyak yang saya lihat perubahan dalam diri Diana terutama tentang sikapnya dan ini merupakan satu pengalaman yang baru bagi kami," kata Zamarul.
Berehat seketika daripada aktiviti seni sejak tiga bulan lalu jelas Diana, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga apatah lagi, pertambahan berat badan daripada 46 kilogram (kg) kepada 61kg kini membuatkan dia cepat berasa penat.
Mengakui semakin berdebar menanti saat kelahiran, jelas Diana, dia banyak bertanya, berkongsi cerita dan pengalaman bersama rakan-rakannya, Nabila Huda dan Dynas tentang kehamilan serta kelahiran.
Ditebak pertanyaan tentang anak lelaki, seperti Zamarul dia juga tidak kisah tentang jantina.
"Ramai orang kata anak sulung sebaiknya biarlah lelaki kerana mereka umpama pewaris.
"Apatah lagi, daripada pengalaman adik-beradik dan kawan-kawan, ramai yang kata menjaga bayi lelaki tidak susah sebab mereka tidak banyak kerenah.
"Tambahan pula apabila besar nanti kita boleh bergantung harap kepada mereka untuk menjaga kita kelak," kata Diana.
Terbiasa dengan jadual kerja yang padat sehari-harian membuatkan Diana cukup lasak biarpun ketika ini dia sudah mencapai tempoh sarat.
Biarpun tugas mengemas rumah dan menguruskan anak-anak kini diambil alih oleh Zamarul, Diana masih lagi melakukan tugas utama iaitu memasak.
"Sepanjang hamil, Diana tidak banyak kerenah. Cuma kadang kala apabila saya mengemas dia pun sibuk mengemas sama.
"Apapun, Diana tetap memasak untuk kami sekeluarga sebab saya tak boleh jika tidak makan masakan dia," kata Zamarul yang bakal bercuti seminggu menemani Diana di saat kelahiran bayi mereka.







 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!